Bab 9

Romance Series 106380

ZAILANI termenung sendiri. Sejak peristiwa tengah hari tadi, Juwita langsung tidak mahu bercakap dengannya.

"Nana, file yang saya minta semalam tak bagi-bagi lagi. Tak siap lagi ke apa? Kan saya dah cakap saya nak pukul dua, hari ni. Ni dah masuk pukul tiga tak jugak ada atas meja saya. Saya nak jawab apa bos dah minta. Saya pun tak semak lagi!" Marah Juwita. Sedikit pun dia tidak memandang Zailani.

Nana terkulat-kulat apabila dimarahi oleh Juwita. Dia terlupa. Benar-benar terlupa tentang file yang diminta oleh Juwita. Dia terlalu ralit mencuri masa kerjanya dengan melayan fac.

"Saya bagi masa setengah jam dari sekarang. Kalau tak ada jugak, jawab sendiri dengan bos!" jerkah Juwita sebelum kembali ke tempatnya.

Kelam kabut Nana dibuatnya. Macam lipas kudung menyiapkan kerja yang sepatutnya telah lama disiapkan. Satu hari tu Juwita berangin tak tentu pasal. Salah sikit je, pasti dijerkah.

Bos pun geleng kepala dengan angin puting beliung Juwita. Mana taknya bila Juwita mula naik angin, wajahnya pasti masam mencuka. Tapi adakala Zailani pelik dengan sikap segelintir rakan kerjanya yang suka sangat melihat Juwita marah.

"Aku memang suka tengok Juwita marah. Kau tengok muka dia merah. Nampak comel." Zailani menjeling Samad. Entah apa yang seronok sangat pun, dia tak tahu.

* * * * *

ZAILANI meraup rambutnya kebelakang. Silapnya ke sehingga Juwita mengamuk satu hari? Takkan sebab kes Zack tumpahkan air tu.

Zailani tak habis fikir dengan sikap Juwita. Macam pasang surut air laut. Kejap berombak, kejap tenang. Entah kenapa dia rindu pada Juwita yang dulu.

Masa merubah segalanya. Sepertimana dia berubah, begitu juga Juwita. Yang lalu hanya tinggal kenangan, kenangan yang mungkin tiada siapa mengenangnya.

Zailani mencapai album lama. Diselak satu persatu. Kenangan masa lalu yang sangat dirinduinya. Dia pejam mata. Menarik nafas dalam.

Pernah satu ketika dulu dia merayu agar mereka kembali semula ke sini. Hatinya dipagut pilu apabila orang sekeliling sering mempersendakannya.

Namun kerana tuntutan kerja, ayahnya terpaksa menolak mentah-mentah permintaan Zailani.

"Kau kena kuat. Sampai bila nak lemah? Kau tu anak lelaki."

Masih segar ingatannya pada pesanan ayahnya itu. Sehingga hari ini dia masih membiarkan dirinya dipersenda dan dipermainkan kerana dia yakin dan percaya aturan Allah SWT itu cantik. Dia yakin dan percaya, ada hikmahnya semua yang berlaku.

"Zai..." Ketukan dipintu mematikan ingatan Zailani tentang kenangan lalu. Fuh... kenangan mengusik jiwa. Macam lagu P. Ramlee tu.

Bergegas Zailani membuka pintu bilik yang berkunci. Faridah berdiri tegak di depan pintu.

"Kau ni merap je dalam bilik kalah anak dara. Mak lapar ni dari tadi tunggu kamu tak turun-turun." Faridah cekak pinggang.

Entah apa yang mengganggu fikiran anaknya. Serabut je dia tengok. Serupa laki mati bini. Geleng kepala Faridah dibuatnya.

"Serabut macam orang mati bini jelah kamu ni Zai. Bila suruh nikah tak nak. Kamu jangan macam-macam ye Zai. Jangan nak conteng arang ke muka kami." Buntang mata Zailani mendengar bebelan Faridah.

"Mak ni, kan... tak sayang mulut betul. Kata-kata tu doa ye. Zai ni masih lelaki tulen. Masih lelaki sejati. Dahlah, jom turun makan. Tadi kata lapar." Zailani ambil jalan pintas.

Malas dia ingin mendengar Faridah membebel pasal nikah kahwin. Mau tujuh hari tujuh malam tak habis. Bukan niat tak nak bernikah, tapi calonnya belum setuju nak dipinang. Nak setuju macam mana kalau dah calon pun tak ada.

"Haaa... turun dah putera raja. Nak kena berjemput pula ye? Banyak cantik kau punya muka." Zailani tersengih bila diperli oleh Sahak.

"Beta nak bersantap. Sila hidangkan santapan beta." Geleng kepala Faridah dengan ragam anak terunanya. Tangan Zailani lincah menyenduk nasi buat mereka.

"Eh... tuanku pula yang hidangkan? Boleh ke macam tu?" Sahak masih mengusik. Zailani tayang sengih.

"Dah tu yah. Makan dulu. Kang dah habis makan baru kita berdrama balik. Mak marah nanti. Tadi mak cakap dia dah lapar sangat. Zai takut kalau kita berdrama, mak baling pinggan." Zailani pula menyakat Faridah.

"Cepat permaisuri nak bersantap. Jangan sampai beta murka." Terhambur ketawa mereka anak beranak. Itulah mereka. Dari dulu penuh dengan drama.

Masa yang ada bersama, digunakan sepenuhnya bergurau senda.

"Esok mak nak ajak keluarga Juwita makan malam dekat sini. Nanti Zai bagitahu Juwita ye." Terhenti seketika suapan Zailani.

"Ada kenduri ke?" Zailani menyoal. Terasa macam ketinggalan kereta api pula dibuatnya. Dia memandang Faridah sambil menanti jawapan.

"Taklah. Memang mak dah lama rancang nak ajak makan sama. Tapi Zai, lah asyik busy je." Zailani terdiam. Mula berfikir bila masa pula dia asyik busy. Sedangkan selalunya dia hanya pergi balik kerja. Ada tak ada pun hujung minggu dia dengan aktiviti riadah dia. Tapi itu pun bukan sehari suntuk.

"Dah macam ayam berak kapur pulak muka tu kenapa?" Hairan pula Sahak melihat reaksi Zailani.

"Mak ada anak lain nama Zai ke? Kenapa mak cakap Zai busy memanjang je sedangkan Zai ni bukannya kaki lepak." Muka Zailani masih lagi menunjukkan reaksi terkejut. Terhenti suapan Faridah ketika disoal begitu.

"Ke ada jelmaan yang menyerupai Zai?" Melompat Sahak mendengar soalan Zailani.

"Ish... kau ni Zai. Ayah sumbat teko tu dalam mulut kau baru tahu. Ada ke patut cakap macam tu. Menjelma betul-betul baru kau tahu." Belum sempat Zailani membuka mulut untuk membalas kata-kata Sahak, terdengar bunyi pintu dibuka.

Mereka saling berpandangan. Terhenti suapan masing-masing.

"Ayah, pergilah tengok," Zailani menolak Sahak supaya bangun.

"Ish... apa pula ayah. Kau kan anak jantan. Kata lelaki sejati pergilah tengok." Zailani tarik muka. Geram betul bila dipermainkan saat genting begini.

Tangannya segera dicuci lantas dia bangun menuju ke ruang tamu. Kelihatan pintu terbuka luas. Namun, tiada siapa di situ. Zailani cuba memberanikan diri untuk meninjau keluar rumah.

Belum pun sempat kakinya melangkah keluar rumah, Zailani sudah menjerit dan berlari lintang pukang menyelamatkan diri.

"Mak... Ayah..." jerit Zailani mendapatkan mereka di dapur. Pucat lesi masing-masing dengan reaksi Zailani.

"Ada apa?" soal Sahak apabila Zailani sedikit tenang.

"Oh... tak ada apa pun. Kucing je. Ayahlah ni tutup pintu tak rapat." Dengan selamba Zailani duduk menjamah semula nasinya di dalam pinggang.

Sahak dan Faridah hanya mampu menahan rasa dengan perangai anak tunggal mereka. Dalam diam mereka terkena.

Share this novel

Izati Nur
2020-11-13 09:17:46 

Best

Izati Nur
2020-11-13 09:17:45 

Best


NovelPlus Premium

The best ads free experience