Dan sebagai jawapan kepada lamaran Helmi, aku kini menyarung cincin pertunangan kami. Hanya dalam masa lima bulan lagi kami bakal diijab kabulkan. Aku juga kembali menghuni rumah guru. Kebetulan ada guru baru yang posting di sekolah kami. Jadi, bertemanlah aku kini.
Sebenarnya, itu hanya alasan sahaja. Yang pastinya, aku malu untuk terus tinggal di rumah itu sebelum kami sah sebagai suami isteri. Bukan sahaja bertemu dengannya waima bertemu dengan ayah dan ibunya pun aku mulai terasa segan. Lagipun, ini adalah juga untuk kebaikanku agar tidak menjadi buah mulut orang kampong.
Cuti sekolah tiba lagi. Tetapi cuti kali ini bukan seperti cuti-cuti yang lalu. Cuti kali ini lebih bermakna kerana aku bakal menjadi milik orang. Hatiku berbunga riang. Rasa tidak sabar untuk kembali bertemu papa dan mama. Tentu mama telah membantu membuat serba-sedikit persiapan buatku.
Paluan kompang semakin bingit kedengaran menandakan rombongan pengantin lelaki semakin hampir. Aku mengenakan sepersalinan pakaian pengantin, kain songket rona hijau dengan hiasan labuci yang bergemerlapan. Sebagaimana meriahnya labuci itu, begitu jugalah meriahnya hatiku.
Masih terasa kehangatan sentuhan bibir suamiku di dahi ini saat upacara membatalkan air sembahyang selepas upacara akad nikah semalam. Kini, suamiku datang kembali bersama rombongannya untuk majlis persandingan kami. Kami tidak bersanding sebenarnya kerana tiada pelamin yang disediakan. Hanya ruang tamu dihias sedikit indah melebihi kebiasaan untuk acara makan beradat.
Nasib baik mama memahami hasratku dan tidak memaksa kami bersanding untuk dijadikan tontonan kepada tetamu yang bercampur gaul antara muhrim dan bukan muhrim. Kami cuma inginkan keberkatan. Tidak bersandingpun, majlis tetap berjalan lancar.
Dua hari di rumahku, Helmi mulai merindui ayam itiknya. Aku hanya tertawa melihat tingkah lakunya yang serba tak kena tetapi Helmi tidak mahu mengaku.
“Mana ada abang rindui ayam dan itik. Abang bahagia di samping Hana sampai terlupakan ayam dan itik tu,” Sangkal Helmi sambil menarikku, rebah di pangkuannya.
“Harap-harap, mak dan ayah tak lupa beri makan haiwan peliharaan abang walau pun sibuk dengan majlis menyambut menantu,” Pecah juga rahsia Helmi. Dia memang merindui ayam itiknya. Aku tertawa besar sambil terus tenggelam dalam pelukannya.
“Wah, menyambut masaklah nampaknya, ye?” Tegur Mak Cik Mah, jiran sebelah rumah saat kami bersiap-siap untuk ke majlis menyambut menantu di rumah Helmi setelah seminggu berada di rumahku.
“Apa dia menyambut masak tu mak cik?” Tanyaku kerana kurang arif dengan istilah-istilah ini.
“Ada yang menyambut masak, ada yang menyambut mentah,” aku memasang telinga mendengar penjelasan Mak Cik Mah.
“Menyambut mentah, lepas je kenduri di rumah perempuan, esoknya terus pergi menyambut di rumah lelaki. Mentah lagi. Menyambut masak pula, dah seminggu kahwin baru nak pergi menyambut,” Helmi tersenyum sambil mengenyitkan matanya ke arahku. Memang dah masak pun aku ni.
Di dalam kereta, Helmi memaklumkan, Abang Hakimi telah tiba dari Sabah seminggu lalu untuk meraikan majlis perkahwinan kami.
“Kenapa Abang Kimi tak ikut sekali masa kenduri di rumah Hana dulu?”
“Masa tu Abang Kimi baru sampai. Masih belum hilang penatnya. Dia ambil cuti panjang sebab dia pun nak pergi merisik gadis idamannya. Kiranya, mak ayah bakal terima dua menantulah tahun ini,” Aku hanya memasang telinga mendengar penerangan Helmi.
“Abang Kimi belum kahwin?”
“Belum. Mungkin bila dengar Helmi kahwin, baru dia dapat semangat nak kahwin agaknya. Eh, abang lupalah. Abang Kimi pernah belajar di universiti tempat Hana belajar dulu. Mungkin Hana kenal dia agaknya,” Darahku menyirap.
“Dia ada kekasih di sana. Mungkin gadis itulah yang ingin dipinangnya.”
“Siapa nama gadis itu, bang?” Kugagahi bertanya.
“Entah. Abang sendiripun tak tahu tetapi dia selalu sebut ‘Budak Kecik’. Mungkin budak kecik itulah yang hendak dirisiknya.”
Share this novel