BAB 7

Crime Completed 5579

Aku dapat melihat muka Iman dan Hakimi yang berseri tatkala aku menyebut nama itu.

Mungkin kerana sepanjang mereka menasihatiku, ini baru kali pertama aku memberikan respons yang positif. Positif? Mungkin.

“Bro, sandarkan hati pada Allah. Sesungguhnya Allah yang menciptakan masalah, dan hanya Dialah yang boleh menyelesaikan masalah tersebut. Kalau kau minta dengan bersungguh-sungguh, aku yakin Allah akan tunjukkan jalan keluar untuk masalah kau. Berdoalah pada Dia,” Hakimi semacam merayu padaku.

“Berdoa?”

“Malam ini, kau balik, buat solat taubat, solat istikharah. Minta bantuan Tuhan,” tambahnya lagi.

Solat? Doa? Adakah itu jalan terakhirku? Mungkin itu pilihan terakhirku. Aku jadi buntu. Adakah Tuhan akan memandang dan memakbulkan doa daripada aku? Atau segalanya hanya sia-sia?

Aku mencapai beg di atas meja dan mahu bergerak pergi. Aku tidak tahu apa lagi yang perlu ku fikirkan. Sebelum aku menghilangkan diri, Iman menitipkanku sepucuk surat. Aku tidak segera membacanya di situ tetapi membukanya di tempat lain yang agak jauh dari mereka. Hairan juga, sejak bila Iman pandai berutus surat denganku.

Bismillahirrahmanirahim,

Assalamualaikum w.b.t., saudara atas dasar iman, saudara atas dasar Islam.

Di sebalik wajahmu yang sentiasa bersedih, di sebalik wajahmu yang sentiasa mengeluh, aku tahu ada sesuatu di dalam dirimu yang istimewa. Kau tidak banyak bicara. Kau tidak banyak menyusun kata. Kau memang pemuda biasa.

Entah kenapa, kebiasaanmu itu yang menjadikanmu luar biasa pada pandangan mataku. Aku sering berdoa supaya Tuhan menunjukkan aku jalan, tetapi aku melihat jalan yang menuju kepadamu.

Oleh itu, aku cuma ingin tahu adakah wajar kiranya aku terus mengambil berat tentang dirimu, atau aku harus berhenti?

Tulus,
Nur Khalisah.

Sungguh aku terdiam membaca nama yang tertera pada penghujung surat ringkas itu. Aku tidak percaya. Sungguh tidak percaya. Lisa menaruh harapan padaku, dan bukannya Iman? Iman, dia pasti tahu semua ini tetapi tidak mahu memberitahuku.

Ah, segalanya bertambah runsing lagi. Apa yang perlu ku balas? Apa yang perlu ku lakukan? Sungguh aku tidak setaraf dengan Nur Khalisah. Dia lebih layak dengan Iman yang berkarisma, atau si Hakimi yang pintar.

Kenapa dia memilihku? Aku yang kosong, aku yang hina. Aku melipat surat itu dan menyimpannya di dalam poket.

Aku menghidupkan enjin motosikal dan pulang ke rumahku yang terletak tidak jauh dari kolej.

Perjalanan ke rumah hanya memakan masa dua puluh minit. Ku lihat si Azlina sudah setia menungguku di hadapan pintu rumah. Tetapi, ada yang aneh pada wajahnya.

Dia tidak ceria seperti selalu. Azlina mengambil tangan kananku dan mengucupnya. Tidak ada sepatah kata pun yang terbit dari bibirnya.

“Kenapa ni dik?”

“Ibu menjerit-jerit macam orang tak siuman tadi. Mungkin dia teringat fasal ayah. Adik cuba cari ubat ibu, tak jumpa. Sudah habis, bang. Semuanya sudah habis,” jelasnya. Ternyata itu yang membuatkan adik perempuanku yang satu itu bersedih.

“Ibu di mana sekarang?” soalku.

“Sudah tidur. Mungkin bila-bila masa dia akan mengamuk lagi.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience