BAB 4

Romance Series 8815

DIA telan air liur ketika melihat seorang lelaki muncul dari pintu lif. Lelaki itu berjalan menuju ke biliknya tanpa melihat kiri dan kanan. Pintu terkatup rapat setelah tubuh itu masuk ke dalam biliknya.
Misya mengerling jam yang melilit di tangan kiri. Pukul 2.00 petang. Tadi, dia tidak mengikut yang lain-lain makan di restoran berdekatan. Dia menunaikan solat zohor di pantri dan duduk di atas mejanya tanpa berbuat apa-apa kerana masih terasa canggung dengan suasana baru.
Pukul 2.20 petang, barulah kelihatan orang lain memasuki pejabat ini. Kelima-lima mereka menegur Misya dengan mesra. Misya hanya tayang senyuman kecil kerana masih gabra untuk bertemu dengan Tuan Jo.
“Tuan Jo dah masuk ke pejabat ke?” soal Kak Nour.
Misya mengangguk.
“Dah jumpa dia?”
Misya menggeleng. Bibirnya semakin pucat. Darah menyerbu ke pipi. Nafasnya pula semakin tidak teratur. Dia menggelabah!
“Jom akak bawa jumpa Tuan Jo.”
“Sekarang ke kak?” Dia seperti belum bersedia. Bagaimana jika kemunculannya di sini menjadi beban buat Jawdan Raffiq?
“Jomlah. Riah kata mood Tuan Jo okay. Mesyuarat tadi tak ada problem.”
Ya ke?
Misya menatap wajah Kak Nour.
Kak Nour mengangguk seperti memahami soalan dari hati Misya.
“Jom...”
Misya hela nafas dalam-dalam. Lambat laun, dia akan berhadapan dengan Jawdan. Jika dia kekal seperti penakut, mana mungkin dia berjaya dalam tujuan asalnya berada di sini.
Misya menggenggam tangan erat sebelum mengikut langkah Kak Nour menuju ke bilik Jawdan.
Berderau darah Misya apabila melihat jari jemari Kak Nour mengetuk pintu bilik Jawdan.
“Masuk...”
Kak Nour menolak pintu itu setelah mendapat kebenaran dari lelaki yang berada di dalam.
Misya menguatkan hati untuk melangkah masuk.
Sejuk.
Entah berapa darjah celcius di dalam bilik ini. Yang pastinya Misya tidak akan dapat bertahan lama dalam suhu sebegini.
“Yang ni staf baru, yang gantikan tempat PA lama Tuan Jo.” Suara Kak Nour meniti di deria pendengaran Misya.
Misya angkat muka. Matanya menangkap seraut wajah serius yang tidak beriak, sedang merenungnya tanpa kata-kata.
Kak Nour memberi isyarat kepada Misya untuk menghampiri Jawdan.
“I keluar dulu.” Kak Nour meninggalkan Misya yang kaku berdiri seperti tiang bendera.
Misya terkulat-kulat apabila ditinggalkan keseorangan bersama lelaki yang seperti tidak berminat dengan kewujudannya di sini.
Malah suhu di bilik ini juga membuat mood Misya bertambah merudum. Dia mengerling mencari aircond. Tertera nombor 16 darjah celcius pada aircond itu. Sejuk! Entah bagaimana Jawdan boleh bertahan di dalam bilik ini dengan hanya bert-shirt lengan panjang nipis berwarna hitam. Sesuai sangat dengan karakter lelaki itu. Sejuk, keras dan beku!
“Nama?” Sepatah soalan yang muncul dari bibir Jawdan. Dia meletakkan apple pencil di atas iPad. Matanya masih mengamati seraut wajah gadis di depannya.
Kelihatan muda dan polos. Sebaya dengan adik perempuannya. Cuma air muka Misya menggambarkan yang dia sedang dalam keadaan tidak selesa.
“Misya... Misya Khalida.”
Misya tarik nafas perlahan, enggan perasaan menggelabahnya terbias dengan suara. Jujur, jari-jemarinya kini sedang bergetar seperti hilang kawalan. Jika tidak dia menggenggam jari-jemarinya, pasti Misya kelihatan tewas dengan peperangan mental yang dibina oleh diri sendiri.
“You look terrified.” Bibir Jawdan ternaik sedikit. Seolah-olah kelucuan melihat reaksi janggal dari gadis itu.
“A bit nervous,” ucap Misya. Lebih baik mengaku sahaja kerana itu lebih logik berbanding pengakuan bahawa dia punya tujuan lain untuk berhadapan dengan lelaki itu.
“Umur?” Nada Jawdan menyoal biasa saja. Tapi perlahan dan ada aura.
“25 tahun.” Tekanan yang Misya rasai tadi mula longgar. Dia sedikit lega walaupun tidak betul-betul ringan. Bebanannya masih terasa. Cuma tidak sekuat tadi.
“Oh.” Jawdan mengangguk. Tepat tekaan Jawdan. Misya sebaya saja dengan adiknya.
Misya menarik senyuman kecil, cuba untuk mengurangkan kejanggalan antara mereka berdua. Tapi apabila Jawdan tidak bereaksi, senyuman di bibir Misya pudar sedikit demi sedikit. Bimbang Jawdan menganggap dia bodoh, gila dan sewaktu dengannya, Misya segera melemparkan pandangannya ke dinding.
Kenapalah dia boleh mengukir senyuman kepada Jawdan tadi? Sedangkan lelaki itu pasti tidak memerlukan senyuman dari diri Misya.
“Tuan ada apa-apa kerja untuk saya?” soal Misya masih mencuba untuk membina hubungan antara mereka berdua. Dia tahu jika tiada inisiatif dari dirinya, sampai bila-bila pun dia bakal kaku berhadapan dengan lelaki itu.
“Check content dengan team komik. Kalau dah siap content terbitan bulan 12, apply kan ISBN, PDP dan e-ISBN.”
Terkebil-kebil Misya mendengar arahan Jawdan. Sudahlah dia langsung tiada background penerbitan. Dia jadi hilang arah untuk seketika. Wajah Kak Nour terlintas dalam fikirannya. Moga-moga Kak Nour dapat membantu menjelaskan benda-benda yang Jawdan pinta itu kepadanya nanti.
“Dalam this week I kena jumpa dengan writer komik bulan 12. You arrange kan perjumpaan dengan dia.”
“Err... Kat mana I nak dapatkan nombor writer tu ya?”
Jawdan terdiam beberapa saat. Matanya mencerlung wajah polos Misya.
“Tak apa, nanti I tanya kat Kak Nour...” Segera Misya menjawab soalan yang dia lontarkan. Bimbang Jawdan memarahinya kerana bertanyakan soalan itu.
“You kena check schedule penerbitan. Dapatkan dari team marketing.” Jawdan kembali mengambil apple pencil. Matanya kembali memandang skrin iPad.
Misya sedar dia perlu keluar daripada bilik itu sekarang.
“Terima kasih, tuan.” Misya berpaling untuk pergi dari tempat itu. Dia perlu cepat-cepat menyempurnakan tugasan yang diberikan oleh Jawdan kepadanya.
“Panggil Luna masuk ke sini. Ask her to bring the manuscript for next month’s printing.” Suara garau itu sempat mencelah sebelum Misya menarik tombol pintu.
Dia menoleh ke arah Jawdan, tetapi Jawdan tidak memandangnya. Arahan untuk Misya kah kata-kata Jawdan tadi?
Misya menghela nafas dalam. Harap-harap dia tidak lupa dengan tugas yang Jawdan sebutkan tadi kerana termsnya agak janggal bagi Misya.

follow me on ig @rinsyachasiani

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience