Bab 41
Kata-katanya sungguh sinis, membuat Leo tersentap. Dia rasa tidak sedap hati dengan kata-kata itu, namun dia hanya mendiamkan diri. Kepalanya tertunduk merenung lantai.
“Abah…” Amalina kelu, tidak terlontar kata-kata seterusnya.
Dia memandang ke arah Leo yang menundukkan wajah.
“Siapa ibu bapa kau. Mereka masih hidup? Di mana kampung kau?” tanya Encik Hamdan bertalu-talu.
“Ibu bapa dah tiada lagi…” balas Leo.
Dia tidak menduga begini sambutan bapa Amalina. Memang patutlah lelaki itu ragu padanya. Bukankah hidupnya penuh diselubungi misteri? Leo mengeluh perlahan, keputusannya untuk bertemu dengan bapa Amalina nyata bukanlah sesuatu yang mudah.
“Kampung… Saya tak ada kampung!” jawab Leo.
“Tak ada kampung? Bukan ke kau ni berasal dari kampung orang asli, dekat hutan Jerangkang. Kau ni keturunan orang asli?”
Leo menggeleng.
“Tak pakcik, saya orang Melayu beragama Islam,” kata Leo.
Encik Hamdan ketawa sinis. “Tapi kau membesar di kampung orang asli, bergaul dengan masyarakat tu, kan? Bila dah kerja di KL ni, kau dah lupa asal usul kau tu?”
Leo hanya diam.
“Kau kerja apa kat Omara Holdings.”
“Pemandu,” jawab Leo.
“Hei, kau cerminlah diri kau tu sikit! Anak aku ni tak setaraf dengn kau! Kau hanya pemandu, tak ada kelulusan tinggi. Anak aku ni keluar universiti, kerja gaji tiga empat ribu. Tapi kau… hanya pemandu!”
“Abah! Jangan hina Leo macam tu!”
“Macam mana abah tak hina… dia ni memang hina dina. Tak layak menjadi menantu dalam keluarga kita. Kalau saudara mara kita yang lain tahu, kau pilih dia jadi suami… malu!
Kau tu tak ada mata ke, tak tahu memilih, tak tahu melihat? Atau kau ni dah kena ilmu hitam?”
“Abah!” Amalina terjerit lalu segera bangun dari kerusi.
Leo tenang sahaja, dia memandang Amalina. Wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang riak, marah ataupun kecewa dengan kata-kata Encik Hamdan yang begitu kesat sekali. Malah dia tersenyum.
“Saya faham. Kalau pakcik nak hina ataupun pandang rendah pada saya… saya tak kisah. Memang wajar ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka…” kata Leo dengan tenang kemudian menyambung.
“Tapi tuduhan pakcik kata saya kenakan ilmu hitam pada Amalina, saya nafikan sekeras-kerasnya. Tidak ada langsung niat di hati saya nak buat benda kurafat tu! Sebesar kuman pun tak ada. Perasaan cinta dan kasih sayang ni lahir dengan hati suci bersih pakcik. Semuanya pemberian Tuhan.”
“Kau ingat bila kau sebut nama Tuhan tu aku akan percaya?” tingkah Encik Hamdan.
“Terpulanglah pada pakcik. Saya tak paksa pakcik percaya pada saya. Tapi saya memang ikhlas.”
“Kau rasa kau tu setaraf ke dengan kami? Kau tak tengok sendiri macamana keluarga kami? Kalau betul kau ikhlas, tapi aku tak sudi nak bermenantukan seorang lelaki miskin dan hina macam kau!”
“Abah! Abah dah melampau!” kata Amalina, tanpa sedar meninggikan suara pada ayahnya.
“Kau diam, Amalina! Kau ni dah buta. Dibutakan dek cinta. Dah elok-elok orang yang berpangkat dan berharta datang meminang kau tolak! Kau nak jantan ni? Aku ni bapa kau, aku ada hak untuk menentukan jodoh kau, Amalina! Sekarang, kau pergi masuk bilik!”
“Tak! Alin takkan ke mana-mana!” balas Amalina.
Mendengar suara kecoh di luar, Puan Salimah tergopoh-gopoh ke luar.
“Apa hal ni?” tanya Puan Salimah kehairanan.
Matanya memandang ke arah Encik Hamdan, Amalina dan Leo yang diam apabila melihat Puan Salimah muncul dari dapur. Mata Puan Salimah menangkap jambangan bunga ros di dalam bakul yang indah terletak di atas meja. Dia tersenyum.
“Cantiknya bunga. Kau yang bawa, Leo?” tanya Puan Salimah.
Sengaja dia berkata begitu melihat suasana tegang di ruang tamu itu. Dia mendengar suara Encik Hamdan meninggi diikuti suara Amalina yang membantah kata-kata bapanya.
“Ya makcik. Bunga dan kain sutera ni untuk makcik.”
“Terima kasih.”
Encik Hamdan merengus kasar, dia bangun lalu berjalan laju menghala ke tingkat atas.
“Bang… Kita makan dulu. Makanan dah siap.”
“Awak makan sajalah! Saya tak ada selera.” jawab Encik Hamdan lalu terus naik ke tingkat atas, menuju ke bilik tidur.
Puan Salimah tidak berkata apa-apa lagi. Dia terus mengajak Leo menikmati makan malam. Dipeluknya bahu Amalina sambil berkata.
“Sabar ya. Abah kau memang macam tu. Mak harap kau jangan melawan dia dengan kata-kata yang kasar.”
“Tapi hati Alin sakit mak.”
“Betul kata makcik, Alin.” sampuk Leo.
Amalina memandang Leo.
“Aku minta maaf. Kata-kata abah tadi memang kasar, memang menyakitkan hati.”
“Tak apa. Aku terima semuanya. Kan aku dah kata ianya wajar.”
“Wajar? Di mana kewajarannya Leo?”
...bersambung
Bab akan datang:
Mengapakah Leo mengatakan bahawa tindakan Encik Hamdan itu wajar?
Share this novel