BAB 3

Romance Completed 28762

“APA yang Zatil cakap ni? Zatil sedar tak?” soalan itu dibalas dengan
anggukan yang yakin. Sudah puas dia memikirkan. Dia yakin, inilah
jawapan yang harus diberi. Ya dan ya… dan tetap ya. Walau berkali-kali
orang di sekelilingnya bertanya kenapa. Jawapannya mudah sahaja, kerana
hatinya tersangat menyintai lelaki itu. Ya, dia sangat menyintai Ahmad
Zafar.

“Zatil!” tekan Mak cik Ramlah dengan geram. Tidak faham
dengan sikap anaknya yang seorang ini. Semalam, bermatian-matian kata
tidak mahu. Tetapi hari ini, lain pula ceritanya. “Cuba cakap dengan
mama… kenapa?”

“I love him, mama.”

“Ya… tu mama tahu. Tapi kenapa nak kena kahwin jugak? Cakap
dia dah kahwin dengan perempuan rambut blonde tu… apa nama dia? Jes?”

“Jeslina, mama.” Sepatah jawab Zatil. Hancur hatinya
menyebut nama perempuan itu. Tapi apakan daya, kena sebut juga. Bakal
madunya bukan. Madu? Ditelan dalam-dalam perkataan itu. Dah macam kena
telan hempedu. Pahit dan sakit.

“Jeslina… orang Melayu ke?”

Zatilhusna menjeling kecil. “Orang Islam ma…”

“Samalah tu…”

“Tak sama. Banyak bezanya.” Malas-malas Zatilhusna menjawab.
Malas sangat. Biarlah orang apa sekalipun, dia malas hendak ambil kisah.
Tapi yang dia hairan sangat sekarang ini, macam mana Encik Zafar yang
tercinta boleh tersangkut dengan minah mat salihitu? Banyak sangat teori
dan andaian yang tidak begitu mengena.

“Dah fikir masak-masak ke Zatil?” soal Mak cik Ramlah lagi.

Zatilhusna mengeluh tidak sudah. “Muktamad!” akhirnya, itu
sahaja yang mampu dikatakan. Ya, muktamad.

Serentak itu dia sudah berlalu memanjat tangga. Ingin
direbahkan badan seketika di atas tilam yang empuk. Biar berkurang
sedikit bebanan yang menghantui minda. Namun untuk melelapkan mata,
tidak semudah yang disangka. Wajah Jeslina bermain-main di tubir mata.
Makin naik menyampahlah jadinya biarpun si Jes itu kerjanya tersenyum
tidak kira masa. Makin sakit hati apabila senyuman itu mendapat sambutan
daripada Zafar dan bibirnya, hanya terkaku bak kayu di antara mereka
berdua itu.

Bunyi ‘beep’ daripada telefon bimbit di tepi katil itu
dipandang sepi. Malas hendak melihat, lantas ditarik sahaja bantal
menutupi seluruh wajahnya. Tidur lagi baik!

SHOW me the meaning, of being lonely…

Seakan terngiang-ngiang di ruang telinga. Seperti pernah
didengar dan agak mesra buat pendengarannya. Tapi, apa ya? Fikir
Zatilhusna, sambil matanya leka berlari pada rekod bacaan seorang
pesakit di Wad 5. Tidak sampai beberapa minit kemudian, bunyi yang sama
kedengaran. Lantas dia kalih ke sebelah, memandang wajah Hajar,
jururawat pelatih yang sedang berdiri di sampingnya.

“Awak dengar tak?”

Hajar terpinga. “Err… dengar apa Doktor Zatil?”

“Bunyi…show me the meaning?” soal Zatilhusna lagi.
Lagaknya kelihatan bingung sahaja. Hendak dikatakan tidak cukup tidur,
rasanya dah terlebih ‘qada’!

“Bukan telefon doktor ke?” soal Hajar lambat-lambat. Rasanya
dari tadi, telinganya sudah menangkap bunyi itu, namun sayup-sayup sahaja.

“Telefon saya?” Zatilhusna memasukkan tangan ke dalam kocek
seluar yang dipakainya. Sekilas nama yang terpapar di skrin dilihat,
tanpa rasa dia menekan butang cancel bagi menghentikan bunyi yang agak
membingitkan telinga di kala ini.

Hajar yang melihat, tidak mampu berkata apa-apa. Mood Doktor
Zatil pada pagi ini begitu aneh pada pandangan matanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience