Bab 22 : Berakhir Segalanya

Horror & Thriller Completed 71148

Suasana sedikit riuh di kawasan hutan itu. Lampu biru dari siren kereta polis kelihatan jelas memenuhi segenap ruang gelap hutan itu dan orang ramai mulai berkumpul selepas berita itu tersebar. Garisan kuning diletakkan di beberapa kawasan bagi menghalang orang ramai memasuki kawasan tersebut.

Syafiq berdiri lemah di sisi Ustaz Kamal dan Cik Jah. Encik Hafiz yang dari tadi sibuk menerima pelbagai panggilan dari pelbagai pihak kelihatan sedikit runsing. Mana tidaknya, sekarang ini segalanya masih belum pasti jadi tidak bolehlah bagi Encik Hafiz mengeluarkan apa-apa kenyataan lagi.

Syafiq sebenarnya juga dari tadi tidak sedap hati. Segalanya masih dalam persoalan dan jawapan hanya akan terjawab sekiranya pihak polis berjaya menemui sebarang bukti di situ. Keberadaan Alif mungkin sudah dapat dirasakan oleh Syafiq, namun selagi dia tidak melihat dengan matanya sendiri, dia tidak akan percaya apa-apa pun buat masa ini.

Pihak polis dan beberapa orang ahli bomba yang berada di kawasan itu sedang berusaha mencari bukti dari laporan yang dilaporkan oleh Syafiq sebentar tadi. Jika benarlah beberapa hari lepas terjadinya kemalangan di situ, pasti kesan nya masih lagi ada.

Sedang masing-masing leka dengan bayangan sendiri, tiba-tiba kedengaran suara pihak bomba menjerit meminta bantuan dari rakan nya yang lain. Masing-masing pun bergegas ke tempat kejadian dan menyuluh ke arah yang ditunjukkan oleh ahli bomba itu tadi.

Syafiq yang berada di luar garisan kuning mula tidak keruan. Apalah yang dijumpai oleh pihak bomba di tepi gaung itu. Syafiq semakin resah, perasaan di dalam jiwanya berbaur. Terasa nak menangis pun ada, terasa nak menjerit pun ada. Syafiq betul-betul tidak keruan di situ.

Melihat Syafiq tidak senang duduk, Ustaz Kamal menghampiri nya.

"Banyakkan selawat Syafiq. Bertenang, ambil nafas. Ingat Allah banyak-banyak." Kata Ustaz Kamal lembut.

Syafiq yang mendengar kata-kata Ustaz Kamal itu mengikut arahan yang diberikan. Ditarik nafas nya perlahan, lalu dihembus. Diulang lagi beberapa kali sehingga dia benar-benar merasa tenang di dalam hatinya. Selawat dan zikir turut dibaca, sebagai penguat agar dirinya tabah menghadapi segalanya.

"Satu, dua, tiga." Tiba-tiba kedengaran kuat suara sekumpulan ahli bomba di tepi gaung sana.

"Satu, dua, tiga." Sekali lagi kedengaran suara sekumpulan ahli bomba itu menjerit.

Dari jauh, dapat dilihat sekumpulan ahli bomba sedang menarik sesuatu dari bawah gaung menggunakan tali yang diikat pada sebuah lori bomba yang ada. Setiap kali kiraan itu dilaung, mereka akan menarik dengan sepenuh tenaga dan dengan bantuan lori bomba yang ada, tali itu turut ditarik dengan kuat.

"Syafiq, sila ikut saya ke sana tempat kejadian ye. Saya perlukan saksi untuk kes ini." Kata salah seorang anggota polis yang tiba-tiba datang menghampiri Syafiq.

"Baik tuan." Jawab Syafiq dengan nada penuh kebimbangan.

Dilintasnya garisan itu, lalu Syafiq berjalan di belakang pegawai polis tersebut. Langkahnya perlahan, mukanya ditundukkan sedikit ke tanah, fikirannya melayang entah ke mana. Pelbagai persoalan timbul, namun kebimbangannya lebih dirasai.

Syafiq dapat rasakan bahawa dia semakin menghampiri tebing gaung itu. Suara kumpulan anggota bomba itu semakin dekat malah sudah dapat dilihat sedikit, objek yang ditarik naik oleh anggota bomba itu.

Dada Syafiq semakin senak. Nafasnya semakin pendek. Apa agaknya yang ditarik naik oleh pihak bomba itu. Syafiq buntu.

"Syafiq, kamu cam kereta ni?" Tiba-tiba pegawai polis yang berada di hadapannya bertanya.

Syafiq yang masih menundukkan pandangannya ke bawah semakin berdebar-debar. Tidak sanggup baginya untuk melihat kereta itu malah seboleh-bolehnya biarlah jawapan yang diberitahu kelak adalah tidak. Kerana sekiranya kereta itu dikenalinya, maka sudah pasti kemana hilangnya Alif akan diketahui.

Syafiq mula mengangkat mukanya perlahan. Dengan terpaksa, dia gagahkan juga hatinya untuk melihat kereta yang ada di depan matanya itu. Syafiq mula memandang perlahan dari bawah. Apabila bahagian kereta itu sudah kelihatan jelas, Syafiq tergamam. Tubuhnya seakan hilang segala kudrat yang ada. Dia benar-benar hilang kekuatan untuk terus berdiri.

Air mata jernih mulai keluar dari kelopak matanya. Kenyataan pahit yang Syafiq harus telan, kereta itu amat dia kenali. Kakinya lemah, lalu dia menjatuhkan lututnya ke tanah. Ustaz Kamal dan Cik Jah yang mendapat keizinan dari pihak polis untuk masuk ke kawasan itu kelihatan sedang berlari mendapatkan Syafiq di sana.

Syafiq tidak berkata sepatah pun. Dia benar-benar tergamam. Melihat keadaan kereta itu, segala kenangan dan memori bersama Alif muncul dengan tiba-tiba. Dari raut wajah Alif, senyuman dia, ketawa nya, gurau sendanya hinggalah ke janji-janji yang mereka bina bersama. Air matanya semakin laju bercucuran. Tangisan Syafiq mulai kedengaran.

Ustaz Kamal memeluk erat tubuh Syafiq. Air matanya turut berguguran, mungkin kerana Ustaz Kamal juga mengenali Alif secara peribadi. Hatinya menjadi sayu. Cik Jah turut menangis di situ. Mungkin tidak sanggup memikirkan kejadian yang menimpa Alif tempoh hari. Dilihatnya kereta itu berkali-kali, kemudian tangisannya itu disambung lagi.

Suasana pilu menyulubungi kawasan itu. Pihak polis dan pihak bomba sudah pun mengambil keterangan dari semua pihak dan bangkai kereta Alif itu sudah diletakkan di atas sebuah lori untuk dibawa ke balai bagi tujuan penyiasatan. Mayat Alif yang sudah tidak sempurna, turut berjaya dikeluarkan dan dibawa ke hospital berhampiran.

Air mata Syafiq masih berguguran. Dia yang sudah berada di dalam kereta milik Encik Hafiz termenung jauh ke luar tingkap kereta itu. Roomatenya yang amat dia sayangi kini telah pergi untuk selamanya. Walaupun kini segalanya telah terjawab, namun inilah hakikat yang paling perit untuk Syafiq telan. Dia redha.

Syafiq mencapai telefon bimbitnya yang berada di dalam kocek seluarnya lalu mendail nombor seseorang. Dikesat air matanya perlahan, ditarik nafas panjang, lalu ditekan butang hijau yang ada di skrin telefon bimbitnya itu.

"Assalamualaikum mak cik. Ini saya Syafiq, kawan Alif." Kata Syafiq sayu apabila panggilan nya itu dijawab.

Air mata nya berguguran sepanjang dia menelefon Ibu Alif itu. Tangisannya semakin kedengaran, malah nafasnya sudah tidak cukup kerana terlalu banyak menangis. Kemudian Syafiq menarik nafas panjang lalu dia menerangkan dengan penuh sayu, berharap agar Ibu Alif menerima berita ini dengan penuh redha.

Tidak lama selepas itu, panggilan tersebut dimatikan. Tangannya memicit perlahan kepalanya, lalu Syafiq menyandarkan kepalanya di tempat duduk belakang dan memejamkan matanya erat.

Dengan perlahan dan penuh kesayuan, Syafiq berkata

Al Fatihah...

-TAMAT-

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience