Bab 33
Mata Amalina merayap ke arah pintu masuk utama hotel. Ramai orang yang masuk, lalu menghala ke dewan. Dia ternampak seseorang… Matanya terbeliak. Biar betul!
Tiba-tiba Amalina berlari-lari ke satu arah. Dia terus keluar dari ruang lobi hotel.
Tanpa sedar dia melanggar seseorang. Dia hampir jatuh terjerembab di lantai, apabila kakinya yang memakai kasut tumit tinggi terpelecok. Mujur lelaki itu dengan cepat memegang bahunya.
“Cik tak apa-apa?” seru lelaki itu.
Mata Amalina bulat dan buntang, memandang lelaki yang memandu kereta mewah itu selepas menurunkan seseorang di hadapan hotel. Memang dia tidak salah lihat. Lelaki itu nampak gagah bergaya dengan uniform baru tetapi rambutnya tetap tidak berubah. Panjang dan berserabut! Leo! Biar betul! Kau ada di KL ataupun aku yang angau?
“Oh… Tak apa-apa… Maaf! Maaf!” seru Amalina tidak keruan.
Semasa Amalina berdiri di atas pentas, di hadapan ratusan orang yang mengisi dewan itu, dia tergamam. Wajah Leo terus mengisi seluruh ingatannya. Dia tidak ingat langsung pada teks ucapan yang dikarang dan dihafalnya.
Dia berucap mengikut apa yang terlintas di fikiran. Dia tidak kisah, tidak peduli jika ucapannya itu tunggang langgang. Semua hadirin yang ada di dalam dewan hanya diam dan mendengar. Tiada suara pun yang terlontar dari mulut mereka yang ada.
Seingat Amalina dia tidak pernah jadi begini… Dia benar-benar sedang parah! Bukan dia tidak biasa berucap di atas pentas.
Apa yang diingat selanjutnya adalah dia sentiasa menyebut nama Leo… Leo dan Leo. Lelaki itulah yang mendorong dan merealisasikan impiannya buat menulis buku tersebut. Lelaki itu yang membantunya mendapatkan gambar-gambar yang menarik. Lelaki itu begitu dan begini… Semuanya lelaki itu.
Amalina turun dari pentas. Terasa kakinya tidak berjejak di atas bumi lagi. Namun tepukan bergemuruh tetap jua bergema dan gamat memenuhi dewan. Malah terdengar siulan daripada arah belakang dewan.
Wajah Amalina hangat berbahang semasa dia kembali ke mejanya, Hashim terus saja menegur.
“You’re women in love!”
Amalina berpaling pada Hashim.
“Obvious sangat?”
“Ya… sangat-sangat obvious. Kau dah jatuh cinta pada Leo. Semua orang dalam dewan ni mendengar suara hati kau. Tapi hanya tuan punya badan saja yang tak tahu!” bisik Hashim.
“Siapa beli buku lelong tu, pada harga termahal?” tanya Amalina pada Tuan Syed, boss besarnya.
“Kalau tak silap I tadi, syarikat Omara Holdings.”
“Omara Holdings? Syarikat milik Datuk Omar. Pembelinya siapa?”
“Penolong pengarah urusan syarikat tu.” Tuan Syed berkata.
“Marilah I kenalkan you dengan dia. Dia memang ada tanya pasal you tadi.”
Tuan Syed membawa Amalina ke meja lelaki yang menjadi Penolong Pengarah Urusan Omara Holdings.
Terkejut kala bertatapan dengan lelaki itu, Amalina hilang tingkah. Lelaki itulah yang dilanggarnya tadi semasa dia mengejar Leo di pekarangan hotel.
“Encik Affendi… Ni Cik Amalina Hamdan.”
Affendi tersenyum dan mengangguk.
“Hello…” sapa lelaki itu.
“Hai!” balas Amalina.
“Cik Amalina… boleh sain buku ni?”
“Boleh tulis perkataan… with love?” tanya Affendi sambil tersenyum nakal.
Wajah Amalina jadi merah lagi. Gila ke apa… suruh aku tulis macam tu? Rungut Amalina di dalam hati.
Affendi membuka halaman pertama buku tersebut. Terlihat nama Leo tertulis di situ, lalu dia menulis perkataan ‘with love’ di bawah nama Leo, lalu menurunkan tandatangannya.
“Terima kasih. Ni kad saya… Hubungi saya kalau ada buku-buku baru yang akan terbit nanti. Saya minat dengan tulisan Cik Amalina,” kata Affendi.
“Insya Allah. Terima kasih,” jawab Amalina sambil menyambut kad daripada Affendi.
Dia turut memberikan kadnya pada lelaki itu.
Affendi tersenyum panjang, memerhati Amalina bergerak pergi bersama ketuanya.
Leo! Bisik Affendi dengan senyuman yang terus terkembang di bibir.
“Nah! Ambil buku kau! Peluk ciumlah buku tu!” kata Affendi sambil menyerahkan buku tulisan Amalina kepada Leo sebaik sahaja mereka tiba di rumah.
Leo menerima buku itu, membelek-belek buku bersaiz agak besar itu, berkulit tebal dan mempunyai jaket. Pada kulitnya tertulis tajuk buku itu serta nama penulisnya dengan tulisan berhuruf besar, Amalina Hamdan.
“Buku Amalina?”seru Leo sedikit terperanjat.
Dia memandang tepat ke wajah Affendi yang duduk di hadapannya sambil tersengih yang tidak putus-putus.
“Ya, buku tulisan Amalina. Tadi majlis pelancarannya. Kalau aku tahu kau ada hubungan dengan dia, tentu aku ajak kau masuk tadi!” kata Affendi kesal.
“Dah jadi buku rupanya,” kata Leo seperti tidak percaya sahaja.
Dia membuka halaman pertama buku tersebut. Terlihat namanya di ruang penghargaan. Mata Leo terbelalak, terkejut sekali. Di situ juga ada tandatangan Amalina, siap ditulis ‘with love’.
Gementar namun bahagia Leo terus membelek helai demi.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah Leo akan mengimbau kembali kenangannya bersama Amalina semasa berada di hutan?
Share this novel