WAKTU terus berlalu. Aku tidak pasti bagaimana aku dapat bertahan. Yang aku tahu fikiranku melayang seharian. Aku hanya datang kerja dan menunggu waktu pulang. Itu sudahpun menjadi rutin seharianku. Kosong tanpa arah mahupun hala tuju. Tanpa matlamat. Tanpa masa depan. Tiada lagi sebarang harapan. Yang aku inginkan hanyalah wang yang dibayar kepadaku di akhir bulan dengan harapan ia mampu mengurangkan sedikit bebanan keluargaku. Aku hanya ingin membahagiakan mereka selagi hayatku masih ada. Itu saja yang aku mahu dalam hidupku. Tidak perlu suami. Tidak perlu kekasih. Cukup ada mereka dalam hidupku sehingga aku mati.
Waktu pulang akhirnya tiba. Sekali lagi kami perlu mengikuti peraturan bodoh si tua itu untuk beratur umpama budak tadika sebelum pulang sambil mendengar leterannya yang berjela. Leteran tentang bagaimana dia sudah bekerja di empat kilang dan tidak pernah berjumpa pekerja seperti kami. Setiap hari cerita yang sama. Beraturlah untuk dihina. Dia saja sebaik firaun di dunia. Dan kamilah sejahat-jahat manusia. Umpama kafir yang menyerang negara Islam. Apabila mereka bangun untuk mempertahankan diri dan berjuang, mereka dilabel pengganas di mata dunia. Dasar makhluk laknat yang menganggap diri mereka suci.
Bukan aku ingin melaga-lagakan agama. Ramai saja non-muslim yang aku kenal yang bersikap baik. Lagipun, bagi aku baik buruk seorang manusia bukan terletak pada agama ataupun bangsanya. Baik buruk seorang manusia terletak pada nilai yang ditunjukkan individu itu sendiri. Dan wanita tua ini adalah sejijik-jijik makhluk di mataku sehingga kebencian saja tidak cukup untuk menggambarkan perasaanku terhadapnya. Aku ingin dia mati. Terhapus dari bumi. Atau terkena musibah yang paling dahsyat di dunia. Aku ingin dia terseksa. Merayu meminta kematian. Kejam? Ya, aku boleh jadi raksasa sekalipun jika terus-terusan ditekan dan dipijak-pijak.
Aku mengangkat muka memandang wanita tua yang masih lagi menggerakkan mulutnya. Mendera kami tanpa mencederakan fizikal. Siksaan paling kejam dan tanpa bukti. Deruan nafasku semakin laju dengan setiap kata yang diungkapkannya. Aku menggenggam kuat tanganku. Bibirku kugigit demi menahan amarah yang mula memenuhi jiwa. Aku harus bersabar demi keluarga aku. Ayat itu aku ulangkan berkali-kali di dalam kepala umpama zikir. Cuba untuk menghalang suara syaitan yang membisikkan kata-kata hasutan ditelingaku.
Degupan jantungku semakin gila. Tanganku menggeletar hebat menahan amarah. Mataku kupejam. Cuba mencari ketenangan yang mungkin masih tersisa. Bisikan syaitan itu, aku tak mungkin tewas dengannya.
Suara jeritan disekelilingku dan tangan-tangan yang cuba menarik lenganku membuatku kembali ke alam nyata. Aku terdengar namaku dipanggil berkali-kali membuatkan fikiranku semakin celaru memikirkan apa yang sedang berlaku. Aku memandang tepat di hadapanku. Hampir saja aku melepaskan tawa. Aku telah tewas. Ia berlaku lagi. Sekali lagi aku gagal menghalang syaitan itu dari menguasai aku. Hanya kali ini bayaran untuk kegagalanku terlalu mahal.
Tanganku masih lagi di leher wanita itu mencengkam kuat lehernya dan masih tidak melepaskannya biarpun lenganku ditarik oleh beberapa orang sahabatku. Kepala wanita lahanat itu merah dibasahi darahnya sendiri. Mungkin kerana aku telah menghentak kuat kepalanya ke dinding beberapa kali sambil lehernya ku cekik.
Lehernya ku lepaskan. Tubuhnya melorot jatuh terkulai layu di hadapan kakiku kupandang sepi. Hidup atau matinya aku tidak tahu. Bukan niatku untuk membunuhnya. Ya, aku inginkan dia mati. Ya, aku telah membunuhnya berkali-kali di dalam anganku. Namun keinginan itu selalu aku halang demi keluargaku. Demi masa depanku. Kini segalanya sudah berkecai. Tiada lagi janjiku yang akan tertunai.
Haruskah aku menangis membayangkan masa depanku yang sudah pasti tidak dapat ku tebus kembali. Tali gantung sedang menanti. Atau haruskah aku gembira kerana syaitan itu sudah tiada lagi. Akhirnya ketenangan dapat kuberi kepada mereka yang bekerja di sini. Masalah si gila itu sudah terhenti di sini. Hanya aku saja harga yang harus mereka beri.
Mungkin kerana ini aku ditakdirkan ke sini. Mungkin kerana ini pekerjaan yang aku minta selalu menolakku berkali-kali. Kerna wanita tua itu ditakdirkan mati. Dibunuh dengan tanganku sendiri.
Share this novel