Bab 48
Walaupun Leo terlalu sedih mengenangkan, ibu saudaranya itu sanggup membunuh abang iparnya sendiri demi harta. Ibu saudaranya juga sanggup menganiayai dirinya. Mengapa Puan Suriati sekejam itu?
Kini Airiel ada bersama mereka di kampung itu. Rumah teman Affendi. Airiel tidak mengerti apa yang terjadi. Dia terpinga-pinga sahaja apabila Leo memohon maaf darinya.
“Aku… Aku tak faham.”
Affendi masuk ke ruang itu sambil membawa laptop. Airiel tambah terkejut melihat Affendi turut ada di rumah itu.
“Affendi? Kau… ada di sini?”
“Ya.” jawab Affendi.
Lalu dia menceritakan bagaimana Leo menyelamatkannya.
Airiel menganggukkan kepala, mulai mengerti. Namun dia tidak mengerti mengapa dia dibawa ke situ.
Affendi memasang laptopnya dan memasukkan rakaman dari CD yang diberikan oleh Noreen. Airiel terperanjat melihat rakaman itu.
Rakaman itu adalah peristiwa yang berlaku pagi tadi. Semua kata-katanya dengan Puan Suriati terdengar jelas. Mereka saling gertak mengertak. Namun akhirnya Puan Suriati beralah. Namun Puan Suriati hanya beralah di hadapannya tetapi di belakang dia merancang hendak membunuhnya.
Airiel menggelengkan kepalanya.
“Jadi, kau dah selamatkan aku, Leo… Fendi!”
“Itu memang benar.”
“Tapi aku jahat pada kau Leo… Kenapa kau tolong aku?”
“Sebab kami perlukan kau sebagai saksi. Kau harus jadi saksi untuk heret Puan Suriati ke muka pengadilan.”
Airiel mula kecut perut mendengarkannya.
“Tapi… aku pun terlibat sama. Aku…” suaranya tersekat di kerongkong.
Dia rasa amat takut. Saat itu terbayang-bayang dirinya terkurung di dalam penjara.
“Kalau kau bekerjasama, hukuman ke atas kau akan diringankan.” Kata Affendi. “Macamana kau akan bekerjasama?”
Airiel mengangguk.
“Okey! Okey!”
Affendi menghubungi temannya yang bertugas sebagai seorang inspektor. Lelaki itu akan datang ke rumah itu. Airiel akan dibawa ke balai, keterangannya akan diambil. Sebagai saksi, Airiel mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa.
Suasana di ruang penyambut tetamu Omara Holdings lengang bagaikan langsung tidak berorang. Meja penyambut tetamu kosong.Telefon menjerit-jerit minta diangkat tetapi tiada sesiapa pun yang menjawab panggilan. Puan Suriati kehairanan. Apa sudah jadi?
Dia melangkah ke bahagian tengah ruang tingkat bawah bangunan itu. Di situ adalah bahagian pentadbiran. Namun semua meja kosong, tetapi komputer terpasang menandakan ada orang datang bekerja hari itu. Tetapi ke mana mereka semua pergi?
Tiba-tiba dia terpandang satu memo yang tertampal pada dinding pintu pengurus pentadbiran.
“Mesyuarat kakitangan?” Dahinya berkerut.
Siapa yang mempengerusikan mesyuarat tersebut? Dia membaca surat itu sekali lalu. Semua orang sedang berkumpul di bilik persidangan. Bermakna semua staf berada di situ. Jika bilik mesyuarat yang biasa pasti tidak cukup untuk menampung staf yang ramai. Dia terus menapak naik ke bilik persidangan yang terletak di tingkat empat.
Siapa yang memanggil semua staf bermesyuarat? Mengapa dia tidak diberitahu? Dia berhak tahu! Apakah Hamzah yang memandai-mandai. Affendi sudah hilang. Dia yakin Hamzah yang memandai-mandai mengadakan mesyuarat itu.
Pasti mesyuarat itu bertujuan hendak menyingkirnya! Pasti Hamzah membuat undian siapa yang menyokong dan menentangnya. Kemudian surat itu akan dihantar ke semua ahli lembaga pengarah.
Tidak! Tak boleh jadi! Hamzah tak boleh menyingkir dia.
“Eh, mana semua orang?”
Tiba-tiba dia mendengar suara Hamzah dari arah belakangnya.
Puan Suriati terkejut sedikit. Hamzah baru datang rupanya.
Puan Suriati terus berjalan laju menghala ke bilik persidangan tanpa menjawab pertanyaan Hamzah. Daun pintu dipulas. Namun ia berkunci dari dalam. Dia mengetuk daun pintu dengan kuat. Tiada sesiapa yang membuka pintu. Sebaliknya dia terdengar bunyi orang ketawa, bergema dengan kuat.
Kenapa? Apa yang mereka buat di dalam bilik tu? Puan Suriati menghentak kaki, kemudian berjalan ke biliknya. Dia menghempas pintu biliknya sekuat hati bagi melepaskan rasa marah. Pintu dikunci dari dalam. Dia menjerit sekuat-kuatnya seperti tarzan di tengah belantara. Hamzah mengetuk pintu bilik. Puan Suriati membuka pintu, membiarkan Hamzah masuk. Pintu dikuncinya semula.
“Apa jadi malam tadi? Berjaya kau hapuskan Airiel?” tanya Hamzah sambil duduk di kerusi.
“Berjaya apa? Aku tembak bantal! Rancangan aku ada orang yang tahu. Seingat aku, aku tak beritahu sesiapa. Hanya engkau sorang. Engkau khianati aku, Hamzah?”
Hamzah menggeleng.
“Tak… Tak! Aku tak buat macam tu!” kata Hamzah sambil menggelengkan kepala.
“Kau tahu siapa yang mempengerusikan mesyuarat?”
“Mana aku tahu! Aku pun sama je macam kau, baru datang!” jawab Hamzah sambil mengangkat bahu.
*****
“Assalamualaikum semua…” seru Affendi pada staf yang ada di dalam bilik persidangan itu.
“Hari ni kita buat mesyuarat tergempar, sebab ada sesuatu yang saya nak umumkan pada anda semua. Kita ada berita baik hari ni…” kata Affendi sambil menjeling jejaka yang duduk di hujung meja… Kerusi itu selalu diduduki oleh Datuk Omar.
...bersambung
Bab akan datang:
Share this novel