Nurbaya cuma mampu mengalirkan airmata. Untuk melawan, dia benar-benar tidak berdaya. Tubuhnya dirasakan amat lemah.
Fikri tolong saya, Fikri. Tolong saya, Nurbaya meraung di dalam hati.
“Jangan buat saya macam ni Datuk. Tolonglah. Saya dah bersuami.” Rayuan Nurbaya disambut ketawa sinis Datuk Johan.
Di dalam bilik hotel, Datuk Johan ketawa besar melihat Nurbaya yang sudah terbaring di atas katil. Airmata wanita itu langsung tidak menimbulkan rasa simpatinya. Sudah lama dia memasang jerat, baru hari ini wartawan cantik tetapi sukar dijinakkan itu termasuk dalam perangkap.
“Kali ini you tak akan terlepas sayang. I akan pastikan you akan ikut segala kemahuan I selepas ini.”
“Tolong Datuk. Jangan buat saya macam ni.” Suara Nurbaya semakin lemah.
Dalam kesamaran dia melihat lelaki itu menanggalkan baju kemeja yang dipakai.
Fikri, saya minta maaf. Saya tak berdaya nak pertahankan hak awak. Maafkan saya, bisik hatinya penuh kesal.
Sebelum dia kalah dengan penangan dadah yang diberikan, Nurbaya sempat melihat beberapa lelaki lain memasuki bilik itu. Ketika itu dia tahu dia sudah kalah.
Fikri, saya minta ampun abaikan awak selama ini. Maafkan saya, Fik. Ya Allah! Aku benar-benar memohon pada-Mu. Ambillah nyawaku. Ambillah nyawaku ya Allah.” Pohonnya bersungguh-sungguh sebelum dia terkapar tidak sedarkan diri.
Perlahan-lahan Nurbaya membuka mata. Kepalanya masih berdenyut. Sempat dikerling jam di sebelah katil. Pukul 4.45 pagi.
Dia memaksa diri untuk duduk. Cuba diingat apa yang terjadi sebenarnya. Mengapa dia di atas katil sedangkan dia sepatutnya menemubual Datuk Johan di lobi hotel.
Datuk Johan? Mengingat nama itu, ingatan Nurbaya kembali sedikit demi sedikit. Airmata kembali mengalir. Demi melihat sebatang tubuh sedang nyenyak tidur di sebelah kanannya. Nurbaya lantas memaki hamun sambil tangannya memukul tubuh itu sekuat hati.
“Jantan tak guna. Aku bunuh kau. Aku bunuh kau Johan. Jangan ingat kau boleh lepas.” Nurbaya menjerit seperti orang hilang akal sambil tangan dan kakinya memukul dan menendang tubuh yang sudah pun melutut mengadapnya di atas katil.
“Kau memang sial Johan. Kau memang tak guna. Aku bunuh kau.” Dia terus menyerang, menampar, memukul, menarik rambut lelaki di sebelahnya.
Fikri kelam kabut mempertahankan diri daripada serangan si isteri yang seolah-olah sudah hilang kewarasan.
“Baya, ini Fikri sayang. Fikri. Bukan Datuk Johan. Sayang, ini Fikri.” Fikri berusaha menyedarkan Nurbaya yang masih lagi menjerit memaki hamunnya.
Namun Nurbaya terus-terusan memukulnya yang memaksa dia memegang kedua-dua pipi isterinya.
“Nurbaya. Stop it. Look at me.” Kali ini dia terpaksa meninggikan suara. Wajahnya dibawa ke depan wajah Nurbaya. Pegangan erat Fikri membuatkan Nurbaya tidak dapat lagi meronta. Wajah di depan matanya direnung lama. Biarpun kabur dengan airmata, Nurbaya masih dapat melihat dengan jelas.
Itu bukan wajah Datuk Johan, Lelaki didepannya itu adalah Fikri, suaminya.
“Baya. Ini Fikri, sayang. Fikri, suami awak. Bukan Datuk Johan. Cuba tengok keliling. Ini bilik kita. Bukan bilik hotel.”
Share this novel