Bab 11 : Panik

Romance Series 403934

"Sssstttt..."

Anne melihat sekeliling biliknya. Bunyi apa tu? Melihatkan tiada apa-apa yang mencurigakan, Anne menyambung aktiviti yang tergendala. Rambutnya disikat kembali dan diikat dengan kemas.

Telekung disarung, dan dia memulakan solat Isyak nya. Semenjak dia menceburkan diri dengan kerjaya menjadi kakak kuih lopes sejak dua minggu yang lalu, harinya bermula seawal 3 pagi. Waktu tidur juga berubah menjadi lebih awal. Baru sahaja dia mengangkat takbir usai rakaat kedua, bunyi yang sama kedengaran lagi dari bawah katil di bilik tidurnya itu.

Khusyuk nya mengerjakan solat Isyak itu hilang digantikan dengan peluh berjejer di dahi. Fikirannya sudah menerawang jauh memikirkan segala jenis kemungkinan haiwan atau benda yang berada di bawah katil itu. Kali ini Anne sudah nekad, andai berbunyi lagi buat kali ketiga, dia akan berhenti solat dan akan diintai ke bawah katil.

"Sssstttt..."

Anne berhenti dari mengerjakan solatnya. Segera diintai ke bawah katilnya. Dalam keadaan berbalam-balam itu, dapat dia lihat ada sesuatu seolah sedang bergumpal. Anne kecilkan matanya. Benda itu bercorak. Berbelang-belang. Hampir seperti...ular?

"Sssstttt..."

"Tolongggggggg, ada ular!" Jerit Anne.

Anne tidak menunggu lama, bertempiaran dia berlari keluar dari bilik. Dalam keadaan panik itu, sempat otaknya mengarahkan dia agar menutup pintu bilik supaya ular yang menumpang itu tidak boleh keluar.

"Apa ni Anis menjerit macam ni. Tak sopan lah." Tegur Aneesa.

"Tu kak, ada...ada..." Anne menarik nafas panjang seketika sebelum dia menyambung semula.

"...ada ular bawah katil Anis. Cepat kak, telefon apa tu, alah yang lori merah bunyi neno neno tu." Anne masih termengah-mengah berpaut pada lengan Aneesa.

"Ya Allah biar betul?" Tanya Aneesa.

"Betul-betul lah ni. Siap nampak mata dia lagi. Bercahaya. Mata kuning macam hijau tu. Cepat kak. Mujur tak kena patuk. Kalau tak, esok akak jadi anak perempuan tunggal dah." Balas Anne laju.

Semputnya masih bersisa dek kerana dia berlari tadi. Walaupun jaraknya tidaklah jauh, tapi cukup untuk menyesakkan dada. Tangannya masih menggeletar hebat. Mujur tidak dipatuk sewaktu dia mengintai ke bawah katil tadi.

*****

"Assalamualaikum pak cik." Idris memberi salam sebaik sahaja mereka tiba di rumah Arshad.

"Waalaikumussalam. Alhamdulillah sampai dah. Tu ada ular dalam bilik Anis." Maklum Arshad.

"Pak cik ada tengok tak ular tu spesis apa?" Tanya Bahri.

Kebetulan malam ini dia dan Idris bertugas bersama.

"Tak nampak. Anis tu melalak-lalak tak nak bagi pak cik masuk. Bahaya. Takut dipatuk katanya. Masuklah dulu tengok. Kalau kamu masuk tak adanya dia nak tahan dah." Balas Arshad.

Idris memberi isyarat untuk Bahri bergerak dahulu, mengekori Arshad masuk ke rumahnya. Sementara dua rakan yang lain menyiapkan sangkar sekiranya ular itu berjaya ditangkap.

"Haaa Anis. Cuba cerita dekat mereka ni ular tu dekat mana, besar mana." Arshad bersuara sebaik sahaja mereka tiba di hadapan pintu bilik Anne.

"Ular tu ada dekat bawah katil. Tadi sempat lah intai. Nampak mata semua tu. Tapi sekarang tak tahu ada dekat mana sebab lepas saya berlari keluar, saya dah tak bukak pintu. Encik hati-hati tau masuk nanti. Mau nya tiba-tiba ada dekat atas kepala, haaa, buta dibuatnya." Omel Anne.

"Hisy budak ni, ada ke cakap macam tu. Orang datang nak menolong, lagi cakap benda mengarut." Marah Arshad.

"Anis ingatkan je. Bukan cakap mengarut saja-saja." Balas Anne.

Idris dan Bahri berpandangan sesama sendiri sebelum membaca bismillah. Tombol pintu dipulas perlahan. Mata mereka melilau ke sekeliling bilik itu mencari kelibat ular yang dicerita.

Setelah dipastikan tiada, mereka mengintai di bawah katil, tempat pertama ular itu mula-mula dilihat oleh Anne.

"Ris, kau tengok kejap. Ke, salah mata aku je ni?" Tanya Bahri.

Idris melihat ke bawah katil seperti yang diarahkan.

"Dia nampak benda ni ke, atau betul-betul ada ular tapi dah lari?" Tanya Idris.

Melihatkan tiada ruang terbuka untuk ular keluar, Bahri mengangkat bahu. Namun ditarik juga benda yang dilihat itu keluar menggunakan alatan untuk menangkap ular yang dibawa bersama.

"Pak cik, kami tak ada pulak jumpa ular. Tapi ini adalah." Bahri bersuara.

Arshad, Anne dan Aneesa terdiam.

"Anis, itu ke corak 'ular' yang kau nampak tu?" Tanya Arshad.

Anne masih ragu-ragu untuk menjawab soalan itu. Takkan lah?

"Tapi Anis ada nampak mata dia jugak. Bercahaya. Hijau kuning macam tu. Macam mata ular bila dalam gelap. Haaa lepas tu ada bunyi. Macam ni bunyi dia, sssttt." Jawapan yang diberi tidak memuaskan hati Arshad.

"Hijau kuning macam ni ke?" Tanya Idris.

Glade automatic spray yang sedari tadi dalam pegangannya ditunjukkan kepada Anne. Sedang elok, pada masa yang sama ianya turut mengeluarkan bunyi Sssstttt.

Anas dan Anif sudah terbahak-bahak gelak ketawa mereka berdua. Wajah Anis sudah memerah. Di hulurkan tangannya untuk mengambil getah rambut dengan corak kulit ular itu dari kayu yang berada dalam pegangan Bahri.

Glade automatic spray yang sudah habis kandungan dalam botolnya juga bertukar tangan. Patutlah ada bunyi, tapi tak ada bau.

'Dan kenapa aku boleh lupa yang aku ada getah rambut bercorak kulit ular ni?' Bisik hati Anne.

Aduhaiii, panik dulu berfikir kemudian punya pasal lah ni. Malunya dia sekarang tatkala masih berhadapan dengan dua lelaki dari pasukan bomba dan penyelamat. Renungan Idris sedikit sebanyak meresahkan Anne.

'Itulah, mesti bomba fikir kau prank dorang Anne! Habislah, mesti kau kena saman nanti. Entah-entah kau viral sebab kau panik bila tengok getah rambut sendiri.'

"Saya mintak maaf tuan. Saya ingatkan ular betul." Anis menunduk sahaja melihat lantai.

"Itulah kau kak, nanti tak payah nak buat zoo dengan getah rambut tu. Pakai yang kosong sudah. Ini corak harimau bintang lah, lintah bulan lah, kuda belang lah, harimau Malaya lah. Sekali kena prank dengan getah rambut sendiri." Seronok Anas mengenakan kakaknya itu.

Anne mengetap bibir.

Siap kau Anas!

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience