Surya : Bab 14
Kelam-kabut Zharil apabila melihat kelibat sesuatu di dalam hutan. Sudahlah terjatuh di atas kereta. Nasib baik tidak cedera. Melalui jalan pintas yang biasa penduduk kampung lalu untuk ke hutan, Zharil berhenti di Warung Pak Anjang.
"Kau dah kenapa Zharil? Macam kena kejar beruang aje."
"Bukan beruang Pak Kassim. Manusia datang." Termengah Zharil mencari air di meja Pak Kassim. "Sikit air, Pak Kassim."
"Hah. Ye lah. Tapi, kenapa manusia masuk tempat kita pula?" Pak Kassim masih keliru.
Jamal yang sedang bermain dam haji bersama Malik berhenti seketika. "Nak cari budak perempuan yang Haron bawak baliklah tu. Budak tu kan manusia."
Sulaiman cuma berdiam. Diperhatikan sahaja gerak-geri penduduk kampung di warung. Dia perlu beritahu kepada Haron. Manusia sudah mahukan gadis itu. Air teh o suamnya dihirup perlahan. Menghayati segala titisan.
Setelah suasana kembali reda selepas Zharil dan Pak Kassim pulang, baru Sulaiman bergerak. Dia perlu beritahu Haron perihal manusia ini. "Pak Anjang, kira."
*
"Kau biar betul?"
"Betul. Aku rasa kita dah kena pulangkan balik perempuan tu. Takut lain pula jadinya."
Haron cuma berdiam. Tidak lama kemudian, terdengar bunyi kenderaan pacuan empat roda melalui kawasan rumahnya. "Hah, itulah gamaknya."
Kereta itu berhenti sedikit jauh daripada rumahnya. Kelihatan seorang pak cik tua berumur lingkungan 50-an keluar. Kemudian, keluar pula beberapa orang manusia lain bersama dua gadis. Pak cik tadi berjalan menuju ke penjuru kampung. Manakala yang lain memerhatikan kawasan.
"Tolong aku panggil Haji Latiff. Aku nak panggil mak aku."
**
Rizal cuma berdiri tegak. Membaca beberapa ayat-ayat suci demi meminta bantuan Allah, memudahkan pencarian. Apabila dia mencelik mata, kelihatan samar-samar beberapa buah rumah dan pergerakan seakan manusia. Tapi, masih belum yakin sepenuhnya. Rizal cuma mendiamkan diri. Manakala, Encik Sabri masih bersila di satu sudut. Dia juga seakan sudah nampak. Salwa dan Adila duduk berteduh di dalam kereta. Panas katanya.
Pak Daud sudah duduk bersila di tengah terik. "Jom kita solat dulu. Pakai dulu ayaq apa yang ada. Yang perempuan ada bawa telekung?" Kemudian, terdengar laungan azan samar-samar. Mereka yang belum nampak mengagak azan daripada kampus. Tapi, agak jauh dan agak mustahil untuk dengar.
Selepas mengagak di mana kiblat, Nadzri menjadi imam dan Adhwa menjadi bilal. Solat fardhu Zohor dilakukan dengan sempurna walaupun bersederhana. Dan mereka tidak sedar ada penambahan jemaah di dalam saf mereka tak kira lelaki dan perempuan. Sesudah salam diberi, jemaah tambahan juga pergi meninggalkan saf.
Seusai mengaminkan doa, Rizal terpandang seorang lelaki tua berdiri tidak jauh daripada mereka.
"Assalamualaikum..."
Share this novel