Bab 2

Action Series 1929

[Selatan Rom.]

"Pertarungan sebentar lagi berlangsung. Jangan terlepas siaran utama." Hadrianus membaca surat daripada Antinous. Kemudian kertas itu disimpan dan balasan segera yang mengandungi rahsia yang telah dicungkil dua hari lepas, diselitkan di kaki burung perantara sebelum diterbangkan balik.

Dia berpaling ke pahlawan setianya. "Kita akan bertemu tentera Jeneral Antinous di sempadan tenggara Rom, kemudian mengikut kumpulan pertahanan di sebelah tengah. Doses akan mengikuti jaluran sebelah kiri kumpulan pemanah."

"Baik!"

Sementara itu di kem ketenteraan Antinous, mereka sedang bersiap sedia untuk pertempuran pada sebelah tengah hari.

Burung perantara yang hinggap di kepala khemah dipanggil. Antinous laju membaca surat balasan. Dia tersenyum dengan berita yang berjaya diperoleh mereka.

"Baiklah, ketua barisan maju."

Ketua-ketua bagi setiap barisan tentera tampil kehadapan.

Antinous menerangkan maklumat dan posisi dengan cermat. Perbincangan tersebut hanyalah sebagai satu ulang tayang bagi memastikan perjalanan perang berjalan lancar untuk pihak mereka.

"Baiklah. Kita akan bertolak sepuluh minit lagi. Pastikan kelengkapan cukup dan bersiap sedia!"

"Baik, Jeneral!"

Seperti yang dijanjikan, Antinous dan Hadrianus bergabung di sempadan tenggara sebelum terus menuju ke selatan Rom.

****
[Utara Rom.]

Adriana menguis makanan di pinggan. "Makcik Vibia, ayah dan pakcik akan baik-baik saja kan?"

"Mestilah. Mereka pahlawan berkebolehan!", Antoninus menyahut kuat.

Vibia hanya tersenyum melihat gelagat mereka. "Hari ini tidak usah ke tasik."

"Baik." mereka berkata serentak, tetapi dalam masa yang sama bibir mengukir senyuman pelik.

Pasti memikirkan cara untuk pergi ke tasik juga. Vibia menggeleng kepala. "Ingat pesanan Hadrianus. Antinous pasti marah jika kamu berdua memungkiri janji."

Kedua kanak-kanak itu mengeluh. Perlahan mereka mengangguk akur.

"Baiklah, makcik Vibia."

"Baik, ibu."

Apabila Vibia berlalu pergi, Antoninus mengajak Adriana ke biliknya.

"Aku siapkan ini tempoh hari." gelang kayu berukir cantik ditunjukkan. "Aku hadiahkan pada kau."

Mata Adriana bersinar. "Cantiknya. Pakaikan aku." dia menghulurkan tangan.

Antoninus menjuih bibir. Tangan itu ditarik dan dipakaikan gelang kayu tersebut. "Aku ambil masa yang lama untuk membuatnya. Jangan tanggalkan dan jaga elok-elok. Selepas aku pulang dari Hispania, aku akan memberikan kau hadiah yang lebih mahal."

"Janji?" sahutnya teruja.

Antoninus senyum. "Janji."

Adriana membelek gelang kayu di tangan. "Tapi kan Antoninus..."

Antoninus, "Ya?"

Adriana, "Adakah hadiah yang lebih mahal daripada ini?"

Antoninus memandang pelik. "Mestilah ada. Contohnya pasu kegemaran ayah."

Adriana ketawa kecil. "Tapi berbanding pasu pakcik Hadrianus dan gelang tangan ini, aku lebih menyukai ini."

"Itu tidak membuktikan apa-apa." Antoninus menjeling. Pipinya membahang.

"Kau malu? Muka kau merah." Adriana bertanya naif.

"Jangan mengarut." Antoninus berlari keluar.

Adriana yang tidak puas hati mengejarnya sehingga mereka berdua bertembung dengan Vibia.

Adriana menarik tangan Vibia sambil menunjuk ke arah Antoninus. "Makcik Vibia, Antoninus sedang malu."

"Mana ada!" Antoninus membentak.

Vibia memandang anak lelakinya lalu berbisik kepada Adriana, "Kenapa malu?"

"Sebab aku menyukai hadiahnya." Adriana menunjuk gelang di tangan.

Vibia tersenyum mengerti. Gelang itulah yang dibisingkan tempoh hari. "Antoninus berusaha membuatnya. Dia pasti gembira kamu menyukai gelang itu."

"Hadiah buatan Antoninus amat berharga. Tentulah suka." dia tersenyum lebar.

Antoninus memandang kawan cilik itu, dan satu rasa hangat menjengah ke dalam hatinya. Perlahan-lahan, bibirnya mengukir senyuman apabila mata mereka bertembung.

****
Peperangan di selatan tidak mengambil masa yang panjang. Setelah beberapa hari pulang dari medan perang dengan membawa kejayaan, kini Antoninus perlu bersiap sedia untuk pergi berhijrah ke Hispania untuk menuntut ilmu.

"Untuk menjadi seorang pahlawan handal, kamu perlu belajar dengan bersungguh-sungguh.", Hadrianus memesan.

"Baiklah, ayah." Antoninus akur. Walaupun dia nampak fokus, matanya melilau mencari kelibat kawan ciliknya.

"Antoninus?", Vibia memanggil.

Antoninus menyambut tangan ibunya.

"Baik-baik di sana, dan dengar cakap guru kamu. Pakcik saudara kamu akan menjaga kamu dengan baik."

"Baik, ibu."

Hadrianus memanggil pembantu yang akan menemani perjalanan anaknya nanti. "Jaga keperluannya. Pastikan dia selamat sampai ke Hispania."

"Akan saya jaga tuan muda Antoninus dengan nyawa saya, tuan.", jawab pembantu awal dua puluhan itu.

Rombongan itu kecil, tetapi disertai orang-orang kepercayaan Hadrianus. Selain daripada pembantu yang setia, Hadrianus turut membekalkan beberapa pengawal handal untuk menjaga keselamatan anaknya.

Hadrianus menyuruh rombongan itu bertolak, tetapi Antoninus belum ingin pergi. Dia merayu untuk menunda seketika keberangkatannya, "Sekejap lagi. Tolonglah."

Hadrianus menghela nafas lalu mengangguk. "Bukankah aku sudah memberitahu kau tentang pemergian Antoninus? Mana kau dan anak kau, Antinous...", hatinya berbisik.

Selang beberapa minit, barulah dua beranak itu sampai. Mereka berlari sehingga tidak cukup nafas.

"Adriana!" Antoninus berlari menyambut kawannya itu. "Kau lambat datang."

"Maaflah." dia menarik nafas dalam dan dihembus, menenangkan diri sendiri. Kemudian tangan dihulur. "Nah. Ambil ni."

Rantai dengan mata batu yang telah diukir diberikan.

"Matanya ialah batu asal tasik yang diukir. Ayah membantu aku menyambungnya."

Antoninus berasa terharu. "Terima kasih."

"Baik-baiklah di sana, dan jangan lupa menceritakan aku tentang kecantikan Hispania." Adriana memeluknya erat.

Antoninus membalas pelukan itu, menekan bahu Adriana dengan kuat. "Tunggu aku pulang."

Di tempat orang-orang dewasa pula, Antinous menyerahkan beberapa kelengkapan dan hadiah untuk membantu pembelajaran Antinous setelah tiba di destinasi nanti.

Hadrianus, "Mengapa kau lambat sampai?"

Antinous tersengih. "Adriana meminta aku mengikat rantai hadiah untuk Antinous."

Jawapannya mengundang senyuman mereka.

Antinous, "Kau yakin tidak ingin ikut Antoninus pergi?"

"Terlalu banyak urusan di istana. Lagipun, lebih selamat untuk kekalkan skala rombongan ini."

Antinous mengangguk faham.

Hadrianus kemudiannya memanggil anaknya. "Pergilah sekarang, agar tidak sampai pada malam hari."

Antoninus melambai tangannya dari tingkap kereta kuda yang dinaiki.

Adriana berasa sedih melihat kawannya semakin jauh dari penglihatan. Tanpa ditahan, hatinya berbisik, "Harap kau akan baik-baik saja, Antoninus."

Sementara itu di dalam kereta kuda, Antoninus merenung mata batu pada rantai pemberian kawannya. Dibeleknya depan belakang, menikmati ukiran cantik itu. Dibelakang batu, terdapat simbol istimewa yang menjadi tanda persahabatan mereka. Simbol yang turut digunakan pada gelang tangan yang diberikan kepada Adriana beberapa hari yang lalu.

"Adriana, jaga diri.", Antoninus berbisik seraya memakai rantai itu dileher dengan senyuman nipis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience