Bab 2

Mystery & Detective Series 13994

|6 Januari 2026, Selasa|

Beep.

“Selamat pagi,”

“Selamat pagi…”

“Selamat…”

Langkah mereka terhenti melihat Arif yang kurang bersemangat, seperti tidak dengar sapaan mereka. Arif melangkah layu ke mejanya. Masih awal. Ramai yang masih belum tiba di pejabat. Cuma bau karpet baldu berwarna biru yang menyapa hidungnya. Untuk pertama kalinya dia terasa kosong bila ke pejabat.

Kebiasaannya dia akan menyapa Zulaiha tetapi yang dilihatnya sekarang cuma meja yang tidak dihuni. Kertas-kertas kerja serta hiasan meja masih terletak sama. Patung kaca arnab yang digam rapi terletak di sebelah bekas pen.

Arif duduk di mejanya. Tugas hakiki terus dilaksanakan. Sedar tak sedar, jam kini menunjukkan pukul 12 tengah hari.

Tepat jam 12 tengah hari, dia telah menghantar tiga artikel. Baru sahaja dia hendak membuat artikel keempat, bahunya ditepuk mesra. Gerak tangannya terhenti.

“Eh, kau tak bancuh kopi ke?” soal Encik Zaidi, memicit-micit bahu Arif. Terpinga Arif melihat mejanya yang tiada secangkir kopi segera seperti kebiasaannya. “Ah, takpelah, bila kita hilang orang tersayang ni, kita pun hilang sebahagian dari diri kita,” ujar Encik Zaidi seperti memujuk.

Arif tak tau apa hendak dijawabnya dengan apa yang dikatakan oleh Encik Zaidi, ketua bahagian penulisan artikel di syarikat itu. Dia hanya diam, memandang skrin komputer ribanya. “Ada apa yang saya boleh bantu ke, Encik?”

“Engkau dah siap kerja ke?” soal Encik Zaidi, meletakkan tangan kirinya pula pada bahu kiri Arif.

“Saya baru hantar tiga artikel dekat portal. Sekarang nak buat artikel lain,” Encik Zaidi mengangguk, memandang skrin komputer riba Arif. “Ada apape yang saya terlupa nak submit ke?”

Encik Zaidi tersengih dan menggeleng. Tangannya menepuk-nepuk bahu Arif. “Takdelah. Bagus dah engkau ni buat kerja semua on time, tak last minute.” puji Encik Zaidi lagi. “Tak payah la kau buat lagi artikel sekarang ni. Boleh tolong tak?”

Keningnya diangkat, hairan. “Tolong apa?” soal Arif, memusingkan kerusinya menghadap Encik Zaidi.

“Tadi HR ada inform aku yang adik Zulaiha nak datang ambik barang dia, so, boleh tak kau tolong kemaskan barang Zulaiha? Ikutkan nak mintak tolong Mai, tapi dia tak datang hari ni, MC.” Arif menoleh, benar, meja Mai kosong. “Aik? Kau tak perasan Mai tak datang?”

Arif menggeleng, kepalanya digaru. “Tak, saya sibuk tadi,”

“Hah, nanti kau ambik kotak dekat bilik stor, lepastu kemas apa yang patut. Laptop dia jangan lah kau masukkan dalam kotak tu jugak, tu company punya,” jelas Encik Zaidi sebelum berlalu pergi entah kemana.

Mata terpanah ke patung kaca arnab di atas meja Zulaiha.Disebabkan dia pun dah hantar tiga artikel ke portal, dia bangun bergerak ke bilik stor untuk mengambil kotak kosong yang dikatakan oleh Encik Zaidi. Cekap Arif mengambil beberapa kotak.

Satu per satu barangan Zulaiha dimasukkan ke dalam kotak dalam keadaan bersusun. Perasaan bersalah menyelubungi diri, rasa berdosa setiap laci dibuka dan barangan Zulaiha dipunggah keluar. Jauh dalam lubuk hati, wujud rasa yang Zulaiha tidak mati, seperti dia akan kembali ke pejabat esok atau bila-bila sahaja.

“Rif, phone kau, orang call,” panggil salah seorang pekerja yang kebetulan lalu di sebelahnya. Arif melontarkan senyuman pahit tanda terima kasih. Kaki melangkah ke meja, telefon diambil.

“Hello?” ujar Arif sebaik panggilan dijawab.

“...kang…”

“Ha???” dia hairan sendiri. Telefon dijauhkan dari telinga. Berkerut kening Arif memandang nombor pemanggil. Nombor pemanggil tidak tertera pada skrin. “Hello? Cari siapa ya?” soal Arif, sedikit pelik.

Tut… Tut… Tut…

Panggilan dimatikan. Kakinya melangkah semula pada meja Zulaiha. Sekilas pandang matanya pada skrin telefon sebelum dimatikan, dia telah menerima satu email dari seseorang. Serentak dia membuka semula telefonnya sambil mencangkung.

[
Teruknya line kau. Anyway, alang-alang kau nak kemas meja dia, jangan lupa laci bawah sekali, ada buku warna biru tua. Ambik, jangan letak dalam kotak.]

Membulat biji mata Arif membaca email yang diterimanya. Matanya terus memandang tepat laci paling bawah. Seingatnya, dia sudah kosongkan laci itu. Telefonnya diletak di atas lantai sambil dia mencangkung, cuba mencari kalau-kalau ada buku yang dikatakan tadi.

Mungkin dia sudah keluarkan buku itu tapi menurut email yang diterimanya, buku itu berwarna biru tua. Warna biru tua bukan warna estetik yang digunakan oleh Zulaiha. Dia cuba meraba-raba belah belakang laci dan…

Tup.

Lantai laci bergerak tak seimbang. Nafasnya terhenti. Kepalanya menoleh ke kiri dan kanan. Lantai palsu laci diangkat dan benar, sebuah buku berwarna biru tua tersorok di sebalik lantai laci yang diangkatnya.

“Arif,”

Bergegar jantung tiba-tiba dia disapa dari belakang. “Ya?” jawab Arif, terkejut.

“Uish, sorry, tak niat nak takutkan kau. Kau okay ke?” soal lelaki yang sama memberitahu telefonnya berbunyi tadi, Vin.

“Okay je. Ada apa?” soal Arif, mengawal dirinya dari kelihatan mencurigakan.

“Dah lunch ni. Kau tak keluar ke? Join kitorang jom?” pelawa Vin dengan mesra.

Arif hanya tersenyum, menggeleng. “Eh, takpelah, korang pergi jelah lunch dulu. Aku nak kemaskan me…”

“Hmm… Takpe, aku faham. Kau nak kirim apape ke?” soal Vin, kelat pandangan matanya memandang meja Zulaiha yang kosong.

“Tak kut,” ujar Arif. “Kalau aku lapar, nanti pandai-pandailah keluar kejap.”

Vin mengangguk. Pandangan matanya tersentak menjauhi meja Zulaiha. “Yelah,”

Arif melambai.

Sebaik Vin hilang dari pandangan, Arif berpura-pura bangun, kononnya hendak menggeliat tapi sebenarnya hendak memastikan line clear untuknya membuka semula ruangan tersembunyi di laci Zulaiha.

Ping!

Telefonnya dikeluarkan. Email dari penghantar yang sama masuk ke telefonnya.

[
Jangan gopoh.]

Arif berkerut lagi. Laci ditutup dan kotak barangan Zulaiha diletak di atas meja yang kosong.

[
Kau siapa? Macam mana kau boleh dapat email aku?]

Kaki melangkah semula ke kerusinya. Buku Zulaiha diselit masuk ke dalam beg. Punggung dilabuhkan ke kerusi. Lama dia menunggu balasan dari penghantar misteri itu tetapi…

Ping!

Satu emoji senyuman dihantar dari si Turr. Entah siapa dalang disebalik pengguna email itu. Satu keluhan berat dilepaskan. “Kenapa aku macam tak sedap hati ni…”

“MEOW…”

Arif terus mengangkat Tofu dari lantai. “Tofu…” rungut Arif, penat. “Eii… Geramnya aku dengan kau ni… Kenapa gebu sangat ni?” digomol si bulu putih sehingga mengiau-ngiau. “Yelah, yelah,” Tofu segera meloloskan diri dari dakapan Arif.

“Meow…”

Arif yang terbaring meniarap di atas katil, hanya bertuala, memandang ke arah beg kerjanya yang terletak berhampiran meja malamnya di tepi katil. Buku Zulaiha terintai sedikit. Perlahan-lahan dia bergerak menuruni katil.

Skk… Skk… Skk…

Tofu mencakar-cakar pintu, ingin keluar dari bilik tidur. Arif buka pintu untuk Tofu keluar tetapi matanya fokus pada buku yang memanggil dari dalam begnya.

Duduk di tebing katil, Arif mengeluarkan buku tadi. Luaran buku dibelek dan diteliti. Ini pertama kali dia melihat barangan Zulaiha yang berwarna gelap. Kebiasaannya barangan Zulaiha berwarna terang. Buku ini pula, tidak.

Dengan kulit buku keras, bersaiz A5 dan kulit buku seperti dibalut dengan bahan fabrik. “Takpe ke kalau aku baca…? Tak invade privacy dia ke?” Arif mengetuk-ngetuk kulit buku itu. Bibirnya diketap.

Tangannya seperti bergerak sendiri, membuka muka pertama buku tersebut. Kosong. Terlihat tulisan di sebalik muka kosong. Muka surat seterusnya dibuka. Ayat pertama yang dibacanya terus mencelikkan mata Alif, dalaman dan luaran.

“Aku nak mati?” gumamnya membaca sendiri di mulut apa yang dibacanya di dalam buku tersebut.

[Aku nak mati. 25 tahun aku hidup, aku fikir masa depan aku. Aku rasa takde gunanya aku hidup lama-lama. Dua puluh tahun lepas, aku baru belajar pasal masa depan. Cita-cita aku, apa aku nak buat, siapa aku suka, siapa yang aku takut, apa yang aku boleh buat, semua aku ada jawapan. Tapi sekarang, aku dah tak tau apa aku nak buat dengan hidup aku. Aku patah harapan, patah semangat. Aku dah cuba sebaik yang aku mampu tapi aku tak dapat nak tarik perhatian mama dengan papa untuk pandang pencapaian aku. Aku rasa kalau aku terus hidup macam yang orang lain nak, aku takkan bahagia. Tapi aku takkan pastikan kematian aku satu hari nanti sia-sia. Dengan tu, aku akan catat 30 sebab kenapa aku nak mati. Sebelum tahun ni habis, aku akan pastikan aku capai sasaran aku. Selagi aku tak capai 30 sebab tu, aku takkan cuba sakitkan diri aku. Aku akan cuba hidup macam mana yang aku nak dengan saki baki hari yang aku ada.]

Kepala Arif terasa ringan dan mula terasa pening membaca muka pertama. Ayat pertama luahan hati Zulaiha seperti bergema dalam kepalanya, berulang-ulang, seperti Zulaiha sendiri yang mengucap tiga perkataan tadi padanya.

Aku nak mati… Aku nak mati… Aku nak mati…

Arif memegang kepalanya, sedar yang dia mulai terasa ringan kepala usai membaca. Rasa hendak muntah pun ada. Buku diletak di atas katil. Segelas air diambil serta pil iron.

“Macam mana aku boleh overlook sign kau…” gumam Arif, menyalahkan diri sendiri. Pipi digigit, menahan sebak yang mula menyerang matanya. Arif duduk sebentar di meja kerjanya sambil menunggu kesan ubat.

Perasaan ini pernah dilaluinya tak lama dahulu, semasa kehilangan arwah ayahnya tapi berbeza. Semasa kematian ayahnya, perasaan yang dialaminya adalah marah, tapi bila dirasakan kehilangan Zulaiha, dia terasa kosong.

Dahi ditekan kuat pada buku lima yang ditongkat pada meja. “Bodohnya aku… Dah banyak kali benda senang macam ni jadi dekat aku, tapi aku masih buta…”

Lebih kurang sepuluh minit kemudian, kepala Arif kembali normal. Tidak lagi terasa ringan. Bingkas dia kembali ke katil dan mengambil semula buku diari tersebut dan muka surat yang sama dibuka. Dibaca semula ‘mukadimah’ diari Zulaiha.

Satu keluhan dilepaskan. Tangannya menolak ke belakang rambut yang mencucuk dahi. Jarinya ingin mengupas ke muka surat yang seterusnya bila tiba-tiba sekeping kertas terjatuh dari dalam selitan buku dan telefonnya berbunyi dari dalam beg.

Ring! Ring! Ring!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience