Hey! 2 : Kenangan

Romance Series 266596

ENCIK Ihsan sedang membetulkan ihram yang dipakainya. Sebentar lagi dia bersama jemaah yang lain akan berangkat ke Arafah untuk menunaikan rukun yang seterusnya. Puan Sofina, isteri keduanya selepas kematian isteri pertamanya, Puan Asyikin menghampirinya.

"Abang, abang rasa Afaf balik tak ke kampung nanti?" soal Puan Sofina ingin mengetahui keputusan anak tirinya itu.

"Insya-Allah, dia akan balik. Baru tadi abang call dia nak confirmkan dia balik ke tak. Dia kata dengan abang petang sebelum raya dia balik," balas Encik Ihsan, lembut.

"Alhamdulillah, terbuka juga hati Afaf nak balik ke kampung ye, bang," ujar Puan Sofina lega sambil menyimpulkan senyuman.

"Alhamdulillah selepas dipujuk rayu barulah dia mengalah nak balik ke sana."

"Tapi abang tak risau ke dia balik sorang-sorang kat sana? Yalah, saya tahu kenapa Afaf tak nak balik ke sana semula sebab terlampau banyak kenangan pahit dia kat sana." Encik Ihsan melepaskan keluhnya.

"Insya-Allah, tak ada apa-apa. Lagipun sampai bila Afaf tak nak jumpa dan berbaik semula dengan atok dan sanak saudara yang lain."

"Kenapa abang terlalu baik? Saya memang tak tahu masa silam abang dan keadaan abang dengan arwah isteri abang dulu. Tapi bila saya tengok layanan Tuan haji kepada abang sangat teruk. Padahal dah macam-macam cara abang cuba ambil hatinya. Padahal abang dengan Tuan haji ikutkan dah tak ada apa-apa hubungan pun."

"Sofina, betapa teruknya orang itu, betapa kejinya dia melayan kita, kena ingat satu je. Kita hidup dalam bermasyarakatan. Buruk baik dia pernah menjadi sebahagian dalam hidup abang. Biar orang buat kita jangan kita buat orang. Setiap kejahatan tak semestinya kita kena balas dengan kejahatan," jelas Encik Ihsan berserta nasihat. Puan Sofina mengangguk faham.

"Memang betul kata abang tu tapi selama lima tahun saya berkahwin dengan abang tak pernah sekali pun saya tengok Tuan haji menghargai apa abang buat. Semua yang abang buat salah di matanya. Jadi saya risaukan Afaf nanti. Boleh ke Tuan haji terima Afaf dengan penampilan Afaf yang.... " Puan Sofina mengetap bibirnya. Tidak sanggup menghabiskan ayatnya.

"Maafkan saya, bang. Bukan niat saya nak mengata pasal anak abang. Bukan saya tak sukakan Afaf. Saya sayangkan dia dan dia pun sayangkan saya walaupun saya mama tiri dia je. Tapi abang fahamkan maksud saya pasal penampilan Afaf." Puan Sofina menyambung semula ayatnya yang tergantung tadi. Encik Ihsan mengangguk faham.

"Kita doakan semoga Afaf terbuka hati untuk menutup auratnya."

"Amin, bang. Lagipun Afaf bukanlah budak liar dan nakal macam anak-anak lain. Dia masih lagi menjaga batasnya. Cuma itulah, mungkin sebab faktor pekerjaan dia yang satu itu dia terbiasa dengan pakaian begitu. Kita sama-sama doakan dia ya, bang."

"Insya-Allah, satu hari nanti. Abang yakin yang anak kita akan berubah. Mana tahu dia akan bertemu dengan orang yang tepat untuk dia berubah. Kita sebagai orang tuanya hanya mampu doakan sahaja. Abang tak nak paksa Afaf, biarlah dia ikhlas dalam buat sesuatu."

Puan Sofina mengangguk setuju dengan kata-kata suaminya itu.

"Marilah kita bergerak. Nanti lama pula jemaah lain menunggu kita ni," ajak Encik Ihsan kepada Puan Sofina.

* * *

AFAF memandang ke kiri dan kanan sepanjang jalan yang dilaluinya. Sebelah kirinya terbentang anak sungai yang mengalir dengan tenang. Bibirnya mengukirkan senyuman apabila melihat anak sungai tersebut. Airnya masih jernih seperti dahulu. Anak sungai itulah tempat dirinya berkubang dahulu. Kerana anak sungai itulah juga dia sering dimarahi oleh ibunya atas sebab dia selalu berkubang dekat sungai tersebut. Pasti jika dirinya tertangkap bermandi-manda di sungai itu, bersedialah kena rotan dengan ibunya. Kata ibu, budak perempuan tidak molek berkubang di sungai.

Disebelah kanannya pula terbentang luas sebuah dusun buah-buahan yang ditanam secara teratur di sepanjang jalan. Tahulah dia kini dirinya sudah memasuki kawasan tanah milik datuknya.

Datuknya siapa saja yang tidak kenal. Datuknya, Tuan Haji Yaaqub merupakan orang kaya yang disegani kerana memiliki beberapa bidang tanah buah-buahan dan juga ternakan seperti lembu dan kambing. Pokoknya, Tuan Haji Yaaqub merupakan pengusaha ladang dan perternak yang berjaya. Oleh kerana kerjayaan itu, Tuan Haji Yaaqub telah memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Perjalanan yang hanya mengambil masa lebih kurang lima minit dari jalan besar, akhirnya Afaf dapat melihat pintu gerbang yang dikata oleh penjual lemang tadi. Masuk sahaja pintu gerbang tersebut, tersergam indah rumah banglo milik datuknya. Afaf memberhentikan keretanya di depan rumah banglo tersebut lalu terus keluar dari perut keretanya itu. Dia memandang sekeliling kawasan rumah banglo itu.

"Tak ada apa-apa yang berubah," gumamnya.

Melihat kawasan rumah itu, kenangan lama kembali terpapar di balik matanya.

17 tahun yang lalu.

Afaf sedang mengorek tanah di tepi rumah banglo itu sementara menunggu abahnya menyiapkan pekerjaannya.

"Hoi, Kau buat apa tu?!" teking seseorang menyebabkan Afaf terus berdiri ketakutan. Wajahnya ditundukkan tidak berani menatap wajah orang dihadapannya. Wajah yang menyeringai itu merenung tajam ke arah Afaf. Renungan penuh kebencian terhadap anak kecil itu.

"Aku tanya kau buat apa tu, hah?!" tekingnya lagi seraya melangkah mendapatkan Afaf. Lalu lengan kecil Afaf digenggam kuat dan di tarik ke atas sehingga terjongket kaki Afaf di tanah.

"Afaf tak buat apa-apa pun Nek Cu!" laung Afaf ketakutan. Wanita yang umurnya sebaya dengan bapanya yang dipanggil Nek Cu itu membeliakkan matanya. Dia memandang tanah yang sudah digemburkan oleh Afaf.

"Ya Allah, kau korek tanah ni nak buat apa? Buat penat aku ratakan tanah ni nak biar rumput karpet ni membiak dengan cantik, datang kau pergi jahanamkan. Dasar anak tak guna. Dah la busuk!" Yasmin memukul-mukul tubuh kecil itu dengan telapak tangannya. Yasmin adalah adik bongsu kepada datuknya.

"Maaf, Nek Cu. Maaf! Afaf tak sengaja," rayu Afaf sambil menangis.

"Hidup kau memang menyusahkan orang! Sama macam mak kau. Dah hidup senang-lenang tapi nak juga kahwin dengan tukang kebun yang tak ada apa-apa tu. Dapat pula kau, bertambah sial hidup!" herdik Yasmin dengan geram.

Selepas puas memukul tubuh kecil itu, Yasmin melemparkan tubuh itu ke tanah seperti sampah.

"Puih!" Diludahnya Afaf yang masih duduk bersimpuh di tanah. Afaf memalingkan wajahnya untuk mengelak ludah itu.

"Jijik aku tengok muka kau tu. Kenapa kau tak sama macam cucu-cucu saudara aku yang lain? Cantik, pandai, bersih. Bukan macam kau, busuk!" herdik Yasmin lagi. Afaf hanya diam tidak berkutik. Pipinya memang sudah lencun dengan air matanya.

"Kau dengan bapak kau tu sama-sama bawa malang dalam keluarga aku. Sama-sama sial. Eh, kalau bukan sebab kau dengan bapak kau, penyakit ibu kau tu dah lama sembuh. Tapi sebab degilnya ibu kau nakkan bapak kau yang papa kedana tu, sekarang hadaplah. Bapak dia sendiri pun tak ada hati nak selamatkan anak dia yang tengah menunggu masa je tu." Makin berjurai air mata Afaf apabila Yasmin berkata begitu. Afaf bangun dengan perlahan. Yasmin pula mencebikkan bibirnya sambil berpeluk tubuh.

Kereta berjenama Mercedes-benz berhenti di perkarangan rumah banglo tersebut. Wajah bengis Yasmin tadi terus berubah rupa. Kelihatan sepasang kanak-kanak keluar dari dalam kereta tersebut.

"Cucu-cucu kesayangan Nek Cu dah balik ya," sapa Yasmin dengan cukup mesra lalu terus meninggalkan Afaf yang terkulat-kulat di situ. Sempat Yasmin memberikan jelingan kepada Afaf. Yasmin mendepakan tangannya lalu merangkul tubuh kanak-kanak perempuan itu.

"Macam mana hari ni kat sekolah, Eliza, Emir?" Emir dan Eliza merupakan cucu Tuan Haji Yaaqub daripada anak sulungnya, Yunus dan Shima. Emir merupakan anak sulung pasangan terbabit manakala Eliza anak bongsu dan sebaya dengan Afaf.

"Hari ni school okey je," jawab Eliza dengan senyuman yang tidak lekang di bibirnya. Emir di sebelahnya hanya mendiamkan dirinya sahaja.

"Eh, Afaf," tegur Emir apabila terlihat Afaf dari jauh. Yasmin memutarkan biji matanya ke atas apabila nama itu disebut.

"Emir, Eliza, pergi masuk. Bersihkan diri lepas tu solat asar," arah satu suara garau yang baru keluar dari dalam perut kereta.

"Baiklah, tok." Emir dan Eliza menurut arahan yang diberikan oleh datuknya, Tuan Haji Yaaqub. Tuan Haji Yaaqub sempat menjeling ke arah Afaf yang sedang menekur ke tanah.

"Budak tu buat apa kat sini?" soal Tuan Haji Yaaqub kepada adiknya.

"Tulah Abang Long. Budak tu boleh korek tanah yang yasmin dah tanam rumput karpet tu. Habis rosak semua. Baru ingat nak cantikkan halaman kita ni. Datang budak tu pergi jahanamkan," adu Yasmin. Tuan Haji Yaaqub berdengus kasar.

"Bapak budak tu mana?"

"Manalah Yasmin tahu. Adalah tu dekat belakang ke kebun ke buat kerja." Tuan Haji Yaaqub melangkah mendekati Afaf yang dari tadi tidak bergerak. Afaf tidak berani memandang datuknya itu. Sering kali dirinya dimarahi oleh datuknya walaupun kesalahannya sebesar zarah.

"Kau tak ada kerja lain ke? Asyik main tanah je kerjanya. Tengok tu kuku kau, hitam. Cuba duduk rumah, ulangkaji pelajaran. Macam mana nak pandai kalau dalam kepala tu asyik main je. Nak jadi bodoh macam bapak kau juga," herdik Tuan Haji Yaaqub. Bergegar tubuh Afaf apabila diteking oleh datuknya itu.

"Alah, long. Mana tak tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Tak macam cucu long si Eliza tu. Ke mana-mana dengan buku je. Esok besar berjaya budak tu. Tak macam cucu yang ni, long. Entah besar nanti jadi apalah agaknya."

"Af...Afaf...tunggu Eliza. Nak...ajak dia main," jawab Afaf perlahan namun jelas di pendengaran Tuan Haji Yaaqub dan Yasmin.

"Hei! Kau jangan nak ajak cucu kesayangan aku main dengan budak kotor macam kau. Kau ingat Eliza ada masa nak bermain-main macam kau? Dia tu balik je sekolah terus pergi kelas tambahan. Balik pula dia kena ulangkaji pelajaran. Bukan macam kau. Dalam kepala asyik fikir main je." Ditunjal-tunjal kepala Afaf oleh Yasmin.

"Allah...Afaf.." laung Encik Ihsan berlari-lari anak mendapatkan anaknya. Hatinya sedih apabila melihat anaknya diperlakukan begitu. Terus didakap tubuh kecil anaknya itu.

"Allah, Yah, Yasmin. Kenapa ni? Kenapa ayah dan Yas buat anak saya macam ni?" soal Encik Ihsan dengan matanya sudah berkaca. Diusap lembut wajah anaknya itu.

"Lain kali jaga anak tu betul-betul. Habis semua barang dekat rumah aku dirosaknya," ujar Tuan Haji Yaaqub dengan kasar. Encik Ihsan berdiri tegak di hadapan bapa mentuanya dengan kedua jari-jemari tangannya saling bertaut.

"Maafkan saya, Yah. Saya lalai jaga Afaf." Tuan Haji Yaaqub hanya mendengus mendengar kata-kata maaf itu. Lalu dia meninggalkan dua beranak itu masuk ke dalam rumahnya. Yasmin pula tersenyum sinis melihat dua beranak itu.

"Itulah, kau ingat dulu kau kahwin dengan Asyikin kau boleh tumpang senang dengan harta kekayaan bapak dia. Tapi rupanya kau silap, malah bala lagi kau dapat. Hmmm...dengan sekarang Asyikin sakit menunggu nak mati je. Kesian hidup kau anak beranak. Sial tak habis-habis," kata Yasmin yang berlidah tajam.

"Yasmin!" Sedikit tinggi nada Encik Ihsan. Sempat matanya melirik ke arah anaknya. Afaf memandang Encik Ihsan dengan terkebil-kebil.

"Boleh tak kamu jaga sikit mulut kamu tu. Depan budak ni tak elok."

"Humph... Ada aku kisah." Sambil memintal-mintal hujung rambutnya.

"Lagi, Asyikin yang kamu kutuk tadi tu anak saudara kamu. Tak ada belas kasihan ke kamu terhadap anak saudara kamu yang tengah menahan sakit tu?" Yasmin hanya beriak sahaja mendengar kata-kata menekan Encik Ihsan.

Encik Ihsan mendekatkan dirinya ke arah Yasmin lalu berbisik, "Aku tahu kamu sakit hati dengan aku sebab dulu aku tak layan kamu. Aku pilih Asyikin dari kamu. Tapi kamu tahu kenapa aku tak pilih kamu? Sebab mulut kau tu. Mulut kau tu lidahnya setajam pedang."

Terbeliak mata Yasmin mendengar kata-kata Encik Ihsan itu.

"Apa kau kata?!" soal Yasmin dengan rahangnya bergerak-gerak menahan geram. Kedua tangannya dikepalnya.

"Aku cuma kata, jaga mulut kamu tu." Yasmin bengang dan wajahnya mula memerah. Dengan perasaan yang sebal dia terus berlalu meninggal Encik Ihsan dan Afaf. Menghentak-hentak kakinya tanda marah.

Encik Ihsan terus mencangkung berhadapan anaknya. Wajah Afaf diusap. Rambut Afaf yang serabai dirapikan.

"Afaf buat apa tadi sampai Nek Cu dan atok marah sangat?" soal Encik Ihsan sambil menatap wajah anaknya.

"Afaf tak buat apa-apa pun. Tiba-tiba je Nek Cu marah-marah Afaf," jawab Afaf polos. Encik Ihsan melepaskan keluhannya.

"Abah, kenapa atok dengan Nek Cu tak suka dengan kita?" Encik Ihsan tersentak mendengar soalan itu. Encik Ihsan cuba memaniskan wajahnya.

"Mana ada atok dengan Nek Cu tak suka kita. Sukalah."

"Kalau suka kenapa atok tak bagi kita duduk sama-sama dengan atok macam Pak Long dan Mak Long? Kenapa kita kena duduk jauh tengah kebun sana?"

"Sebab rumah atok dah ramai sangat orang. Yelah, ada atok, Pak Long, Mak Long, Abang Emir, Eliza dan juga Nek Cu. Kalau tambah kita nanti sempit pula rumah atok. Tak selesa."

"Tapi rumah atok banyak je bilik kosong. Rumah atok bukan kecik macam rumah kita. Rumah atok besar," ujar Afaf sambil mengawangkan kedua tangannya. Encik Ihsan hanya mampu tersenyum.

"Afaf, jom balik. Mesti ibu dah tunggu kita," ajak Encik Ihsan lembut.

"Jom!" Dengan girang Afaf menjawab sambil mereka berdua berpegang tangan untuk pulang ke teratak mereka.

AFAF tersenyum hambar mengenangkan peristiwa lama itu. Hatinya sakit mengenangkan kenangan yang ingin dia lupuskan. Tanpa sedar matanya mula berkaca. Oleh sebab itu, dia nekad tidak ingin menjejakkan kakinya di situ lagi. Namun, pada hari ini dia telah memungkiri janjinya sendiri dan dengan kakinya sendiri dia telah melangkah ke kawasan rumah banglo itu.

Bunyi laungan enjin motor kedengaran dari jauh. Bunyi tersebut makin menghampiri Afaf. Seorang lelaki yang sedang menunggang motorsikal memberhentikan motornya bersebelahan dengan Afaf. Afaf hanya merenung lelaki itu dengan pandangan yang kosong sambil berpeluk tubuh.

Lelaki itu turun dari motornya lalu memandang Afaf atas ke bawah.

"Assalamualaikum. Maaf. Saudari ni siapa? Dan cari siapa?" soal lelaki itu dengan pandangan hairan.

If klo tersilap fakta ke apa pls beritahu sy.. Sy akan cube memperbaiki kelemahan saya.

Share this novel

opetNget
2024-10-29 08:11:54 

menarik


NovelPlus Premium

The best ads free experience