Bab 15 : HV

Mystery & Detective Series 29168

~You know you really love someone when you can't hate them for breaking your heart.~

2007. Villa Suci.

"Han... Cuba Han tengok sini sekejap..."

"Apa?" Eshan malas-malas bertanya.

"Sini lah..."

Senyap. Tiada balasan dari Eshan.

"Han... Sini lah..." Sarah menyeru Eshan lagi.

Senyap lagi. Tangan makin ligat bermain games dalam telefonnya.

"Han..."

Eshan berdengus. Apa kenalah Sarah ni.

"Apa?" Eshan bertanya malas, sejujurnya dia masih melayan rajuk. Mata Eshan tetap tidak beralih dari skrin telefonnya. Panggilan Sarah langsung tidak dilayan. Sakit hati dan geram. Hari ini hari ulang tahun kelahirannnya yang ke-22 tapi Sarah langsung tidak memberikannya sebarang ucapan Sedangkan awal-awal lagi umi dan Walid 'wish' depan Sarah bila berdetiknya jarum jam ke angka 00 : 00, 10.10. 2007. Sempat matanya kerling jam berdetik di penjuru skrin, 11: 58 minit malam. Lagi dua minit mahu bertukar tarikh ke 11.10.2007.

"Han... Tengok sini lah..."

Eshan buat tak tahu lagi. Biar Sarah tahu macam mana rasanya bila tidak diperdulikan.

"Han... Sampai hati Han tak nak tengok Sarah. Penat tau tangan Sarah pegang ni.." Sarah sudah merenggek manja di belakang Eshan. Pancing Eshan supaya toleh ke belakang, walaupun sekejap.

"Han... Tak baik buat Sarah macam ni.. Cuba pusing belakang sekejap." Tengku Naina tak betah pandang saja, masuk campur dalam perang dingin antara Eshan dan Sarah. Budak berdua ni macam-macam tahu, macam budak kecil saja lagaknya!

Eshan berdecit. Makin geram, umi ni kalau dengan Sarah selalu sahaja lebihkan Sarah dari dia. Padahal bukan Sarah anak kandung Umi. Huh!

"Han.. kalau Han tak nak pusing belakang, umi makan semua ni... Biar padan muka Han." Uminya Menambah.

Eshan mendengus, makin geram. Apa pula yang umi maksudkan tu? Tak sanggup menunggu, tangannya yang sedang memegang kejap telefonnya dijatuhkan seraya bangkit dari duduknya. Lambat-lambat dia berpusing ke belakang, menghadap Sarah dan uminya di muka pintu bilik. Sebelah umi, ada juga Mak Ning. Mereka bertiga sedang menantikan reaksi darinya.

Okay, kali ni Eshan betul-betul terkedu. Sarah dilihat sedang menguntum senyuman manisnya sambil menatang sebiji kek di situ. Eshan tak tahu mahu berikan reaksi yang macam mana. Nak buat-buat terkejut kan, dia memang betul-betul terkejut. Nak buat selamba kan, tak boleh dah sebab dia sudah berikan reaksi yang dia betul-betul terkedu dengan apa yang dia lihat saat ini.

Sarah toleh sedikit kepada Tengku Naina, ada anggukan kecil di wajah itu. Memberi keizinan. Lalu kaki Sarah mula melangkah selangkah demi selangkah, dekati Eshan.

"Happy Birthday my twins," ujar Sarah. Kek lobak dengan cream cheese, kek favourite Eshan di angkat tinggi sedikit menyamai ketinggian paras mata Eshan.

Walaupun masih terkedu dengan kejutan yang Sarah sediakan untuknya, Eshan sempat curi pandang apa yang tertulis di atas kek lobak itu.

'Happy Birthday Eshan dan Sarah ~10.10.' Eshan membacanya di dalam hati.

"Birthday Sarah?"

Senyuman Sarah makin melebar. Laju saja dia mengangguk.

"Tak sangkakan? Kita kongsi tarikh lahir yang sama walaupun bukan di tahun yang sama," ujar Sarah, bangga dengan satu kebetulan yang dia sendiri terkejut bila tahun hari ini hari lahir Eshan juga.

Eshan akhirnya turut mengukir senyuman.

"Kenapa tak cakap awal-awal? Kalau tak aku boleh belikan kau hadiah," ujar Eshan, matanya tidak lepas dari menjamah seraut wajah lembut milik Sarah. Hatinya betul-betul terpaut dengan Sarah.

"Sebab tu Sarah tak bagitahu Han awal-awal. Han dah buat Sarah macam-macam. Sarah tak nak susahkan Han lagi."

"Mana ada susahnya Sarah. Kan aku dah cakap, aku selalu ada untuk kau kalau kau rasa perlukan pertolongan aku. Jangan anggap aku ni orang lain, boleh tak?"

Sarah senyum lagi. Entah berapa banyak lagilah yang Eshan perlu tolong dia. Sejak kenal Eshan setahun yang lalu, sudah banyak Eshan korbankan untuk dia. Walaupun Eshan menegaskan semua yang dilakukan itu demi keselamatan dia, tapi rasanya Eshan tidak perlu berkorban sejauh itu.

"Kenapa lambat?" Sekonyong-konyong itu, soalan Eshan mengembalikan Sarah dari terus mengelamun.

"Lambat?"

"Lambat apa?" Sarah bertanya kali ke dua. Tidak faham soalan Eshan.

"Lambat wish." Eshan kerling jam dinding biliknya. Sudah tepat jam 12 tengah malam. Sudah masuk hari lain.

"Ohh.. Saja."

"Saja?" Sekali pakej hujung alis Eshan ternaik sedikit. Mata itu pula sudah tajam tatap Sarah, menanti jawapan Sarah. Nampak sangat tak puas hati dengan jawapan 'saja' Sarah tu.

Sarah tergelak kecil dengan reaksi Eshan. Cepat sangat dia ni nak marah.

"Iyalah saja. Sarah nak jadi yang last wish dekat Han. Kalau yang pertama, semua dah berebut nak wish, kan? Jadi Sarah nak jadi yang last wish. Biar Sarah tak perlu berebut dengan siapa-siapa macam sekarang. Kita boleh celebrate sama-sama, kan?"

Eshan tak jadi nak marahkah Sarah, bibirnya merekah dengan senyuman.

"Amboi... bila tahu tarikh lahir dia sama dengan Sarah, terus tak nampak Umi dengan Mak Ning yang duk tercegat dekat sini... Lenguh betis kita ni Mak Ning." Tak semena-mena ada suara menyindir dari belakang, di ambang pintu bilik Eshan.

Eshan dan Sarah sama-mana menoleh ke belakang. Tengku Naina dan Mak Ning sedang pandang mereka berdua sambil menyenggih mengusik. Siap jari telunjuk Tengku Naina bergoyang-goyang, mengusik Eshan dan Sarah. Keduanya tergelak. Eshan gosok batang leher, sengaja larikan wajahnya dari jadi bahan usikkan uminya. Sarah pula menekur lantai. Membahang mukanya, malu.

"Emm.. Jom kita ke dapur. Tak sabar nak makan kek. Kau buat sendiri?" Eshan menyelamatkan keadaan. Sarah mengangguk lalu memberi ruang untuk Eshan bergerak terlebih dahulu.

Mereka berdua sampai di hadapan pintu. Umi dan Mak Ning sudah pandang mereka dengan pandangan yang lain macam. Eshan cuma tayang sengih sahaja. Manakala Sarah dengan muka yang serba tak kena. Mereka sama-sama bergerak ke dapur.

"Kenapa umi tak tidur lagi?" Tanya Eshan pelik, sudah jam sebegini tapi uminya masih belum masuk tidur. Biasanya jam 11 sudah menyelinap masuk ke bilik tidurnya.

"Habis tu? Nak tinggal Han dengan Sarah berdua je ke? Banyak cantikk." Sekali pakej jeling Eshan Tengku Naina bagi.

Meletus tawa Eshan dan Sarah dengar balasan Tengku Naina. Mak Ning dibelakang mereka turut tersengih.

"Umi ni.. Mana ada Han cakap macam tu..." Eshan meyangkal sangkaan uminya.

"Yelah tu.. Ingat umi tak tahu? Kamu jangan nak macam-macam Han. Kamu tu kalau pasal Sarah ada je cari masa nak berdua-duaan. Ingat Han, kamu dengan Sarah bukan muhrim tahu. Macam-macam boleh jadi. Kalau berdua ada yang ketiga. Yang ketiga tu biasanya makhluk yang bertanduk tu. Selagi tu kamu tak tunduk, selagi tulah dia duk syok menghasut." Panjang bebel Eshan dapat sempena birthday dia kali ini. Eshan garu belakang kepala. Umi ni selalu bebel dia depan Sarah. Straight to the point betul!

"Apa umi ni bebel pulak. Mana ada Han macam tu."

"Iye lah tu Han. Han ingat Umi tak kenal anak Umi ni siapa?"

"Umi ni bebel Han pulak." Eshan buat-buat muka.

Bunyi Sarah gelak halus, Eshan kalih matanya kepada Sarah yang sudah labuhkan duduknya di sebelah Umi. Mak Ning tiba dengan beberapa pirng dan sudu kecil dari dapur.

"Gelak pulak dia," omel Eshan. Matanya curi pandang Sarah yang sedang memotong kek lobak untuknya.

"Bila lagi Sarah nak gelakkan Han macam ni.. kan umi?" Sarah tambah menyakat. Tengku Naina disebelah mengangguk, mengiakan.

"Suka la tu kan? Eii budak ni.." Eshan cuit krim kek dengan hujung jarinya sedikit lalu dibawa ke puncak hidung Sarah.

Membulat mata Sarah terkejut dengan tindakan Eshan. Bukan hanya Sarah, Umi dan Mak Ning juga terkejut.

"Han... apa ni..." Sarah menyapu krim di hidungnya lalu dengan pantas dia menyapunya ke pipi Eshan.

"Sarah!" Eshan menyapunya. Bulat matanya terkejut dengan tindakan spontan Sarah.

"Han buat Sarah dulu." Sarah sudah tak kisah dengan umi dan Mak Ning yang tengah menyaksikan dia dan Eshan bergaduh.

"Sarah!" Eshan sudah melompat turun mendapatkan Sarah, sempat sahaja tangannya mencuit krim yang terletak elok di atas kek.

Sarah yang tahu apa tindakan Eshan, cepat-cepat dia melarikan diri. Bersembunyi di belakang Tengku Naina.

Eshan tidak puas hati, dia cuba tarik Sarah namun cepat saja Sarah beralih arah, berlari ke arah Mak Ning pula. Terhuyung hayang Mak Ning bila tubuhnya tidak bersedia menjadi benteng Sarah dari diserang oleh Eshan.

"Sini Sarah."

"Tak nak! Uwekkk." Sarah menjelir lidah, menambah usikkan.

"Ya Allah budak berdua ni. Han, Sarah, jangan bising. Walid tengah tidur.'' Tengku Naina mengingatkan. Risau kalau tiba-tiba suaminya terjaga. Esok suaminya perlu ke Terengganu, ada hal yang perlu diselesaikan.

Mereka berhenti mengusik sesama sendiri. Keadaan kembali bertenang. Masing-masing kembali ke meja. Eshan sempat menghantar amaran kepada Sarah. Dua jarinya ditunding ke matanya sebelum di halakan kepada Sarah. Muka itu pula sengaja buat serius.

* * *

2018.

Eshan tersentak. Rupanya secebis kenangan antara dia dan Sarah muncul disebalik lenanya. Muncul sebagai satu mimpi yang indah. Mungkin kerana mereka berkongsi tarikh lahir.

'10.10. Tarikh lahir Sarah. Sama dengan tarikh lahir aku.' Eshan bermonolog sendiri.

Matanya yang tiba-tiba terjaga itu langsung terasa segar seolah-olah sudah tidak mampu untuk lena kembali walaupun seluruh tubuhnya terasa sangat penat hari ni. Berkejaran menghadiri mesyuarat di siang hari dan petangnya pula ke Taska kakaknya. Bukannya dekat jarak antara pejabatnya dengan Taska Nafla tu. Mahu sahaja dia menolak ajakan Nafla tapi sebab Nafla sudah sediakan majlis kecil untuknya, dia pergi jugalah.

Sebut tentang Taska Nafla tu, teringat pula kepada seseorang yang berada di Taska tadi. Eshal Maisarah. Tiba-tiba nama itu tercetus di fikirannya.

'Dah kenapa boleh nama itu pulak yang muncul?' Eshan tidak puas hati, kenapa boleh nama Eshal yang muncul?

Eshal Maisarah, seorang perempuan yang tertutup elok. Hanya sepasang mata sahaja yang dia mampu tilik. Mata itu cantik, berkaca bening. Tapi dia perasan mata itu sering kali dilarikan dari terus memandangnya. Kenapa agaknya ya?

Siang tadi, bau aroma nasi lemak pandan bersama ayam berempah, teringat pula kepada Sarah. Tahun terakhir dia meraikan hari ulang tahun kelahirannnya dengan penuh kegembiraan.

"Han, ini Sarah ada masakkan Nasi Lemak Pandan untuk Han. Makanan kegemaran Han kan?"

"Mana Sarah tahu ini makanan kegemaran Han?"

"Macam mana boleh Sarah tak tahu kalau dah setiap kali Han makan nasi lemak pandan ni, Han langsung tak toleh kiri kanan. Entah-entah, awek Han lalu depan mata pun Han tak pandang."

"Kau lalu aku sedar je. Yang lain tu biarlah, aku peduli apa. Yang penting aku tahu kau yang lalu depan mata aku."

"Sarah cakap awek Han la... bukan Sarah." Sarah mencebik, tanda tidak suka diusik begitu.

Eshan ketawa.

"Malu?" Sengaja mengusik Sarah. Suka betul dia tengok muka merah-merah Sarah tu.

"Tak." Sarah tayang muka selamba walaupun sudah rasa pijar mukanya, tak suka Eshan mengusiknya begitu. Nanti boleh buat hatinya jadi huru hara.

"Habis tu?"

"Tak nak la Han cakap macam tu. Kalau abang pilot Sarah dengar nanti macam mana? Nanti macam-macam dia fikir..."

Tidak semena-mena Eshan melepaskan sudunya ke pinggan. Berdeting bunyinya.

Sarah terngadah, terkejut. Eshan sedang merenungnya dengan mata helangnya.

"Han kenapa?" tanya Sarah terpinga-pinga.

"Can you stop mentioning his name? At least on this day?"

"Hah?" Sarah tidak faham, kenapa?

"Huh!" Eshan tanpa tunggu lagi, terus bangkit dari kerusinya meninggalkan meja makan dengan nasi lemak pandan yang masih bersisa.

"Han, kenapa? Nasi banyak lagi ni. Han kata suka nasi lemak ni, kenapa makan tak habis?" Tengku Naina yang baru tiba di ruang makan melaung. Dia tidak sempat menyaksikan apa yang berlaku. Eshan berhenti di anak tangga yang paling bawah, mahu ke biliknya.

"Dah hilang selera."

Ringkas tapi cukup menyentapkan tangkai hati Sarah. Sarah gigit bibir. Tak sangka itu reaksi Eshan. Tapi kenapa?

"Tapi ini Sarah yang masak." Sekali lagi Tengku Naina melaung. Matanya meliar pada hidangan yang terusik sedikit sahaja diatas meja.

"Suruh je dia buang. Lepas ni jangan masak nasi lemak tu lagi untuk Han. Han tak nak makan."

"Dah kenapa pulak? Bukan ke semalam Han juga yang mintak?"

"Hari ni selera dah hilang." Usai berkata-kata, Eshan terus panjat anak tangga terus ke biliknya.

Mata Eshan rasa bergenangan bila teringat kejadian itu. Dia masih ingat itulah kejadiannya pada hari lahir mereka berdua sebelum malamnya Sarah sekali lagi buat kejutan, menyediakan Kek Lobak bersama dengan Cream cheese kegemarannya. Sarah itu baik orangnya.

'Sarah, Sarah ada dekat mana sekarang? Han rindukan Sarah. Sungguh...' Matanya bergenangan. Sungguh susah untuk dia kikis perasaannya terhadap gadis itu. Dia betul-betul sukakan Sarah.

* * *

Adham mengetuk pintu pejabat Tengku Eshan Maisur. Setelah mendapat kebenaran dari lelaki itu barulah Adham menolak daun pintu bilik bossnya. Bossnya itu sedang menyemak beberapa dokumen penting di atas mejanya.

"Boss sibuk ke?" Adham Sulaiman menegur terlebih dahulu.

Eshan tidak menjawab, sekadar angkat pandangan sahaja seraya menjungkit keningnya.

"Saya ada benda nak bagitahu boss ni tapi kalau boss sibuk, maybe next time..."

"What?" soal Eshan bersahaja namun matanya masih tidak lepas dari difokuskan kepada lembaran kertas di hadapannya.

"Emm.. Boss ingat tak, boss ada minta saya siasat satu nombor telefon dulu?"

"Nombor mana?" Kali ini Eshan bersandar tubuhnya ke belakang kerusi. Tangannya bersilang ke dada.

"Nombor yang boss suruh saya cari. Dalam bulan lepas kot."

Eshan baru teringat tentang satu nombor telefon misteri itu.

"Okay baru ingat. So macam mana result?"

"Saya dah cari pemilik nombor telefon tu. Namanya Juwita. Orang Terengganu."

Bertaut kening Eshan mendengarkan maklumat itu.

"Juwita? Juwita mana pula?"

"Juwita pemilik nombor itulah."

"Aku ada kenal ke dengan orang nama Juwita?"

"I'm not sure boss. Yang saya tahu Juwita ni bekerja di Terengganu. Seorang anak yatim piatu. Suami dan anak-anaknya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Lebih kurang 4 tahun lalu. Rasanya macam tak ada kaitan dengan boss."

"Oh..." Pendek saja respon dari Eshan. Patutlah itu setiap kali diluahkan dalam voice mail itu.

Juwita? Siapa tu... Tq to all the readers. HV.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience