.........................................
Hari pertemuan aku dan teman-temanku pun muncul juga akhirnya. Mereka yang pulang ke kampung dan datang ke rumahku dengan bermacam buah tangan. Susprize!..dan aku memang terkejut besar dengan kedatangan mereka yang tak disangka-sangka.
‘’Kenapalah kau orang ni suka sangat buat aniaya aku? Kalau iya pun, calling-calling la dulu. Nasib baik aku ni tak ada darah tinggi tau. Tiba-tiba saja orang glamour lagi terkenal terpacak di depan rumah aku. Bukan sorang, empat orang pula tu.’’ Aku mula membebel sebaik mereka masuk ke dalam rumah.
‘’Kami bukan tak nak inform kau dulu, takut kau lari bersembunyi pulak, kalau kami bagitau awal-awal. Zaman sekarang ni, budak-budak kecil pun dah tak main sembunyi-sembunyi ni, tapi kau tu...’’ Lyana membidas kata-kataku sambil menayang wajah tak puas hati kepadaku. Aku hanya mencebik seketika sebelum tersenyum akhirnya.
‘’Aku tak ada pun niat nak jauhkan diri dari korang. Aku dengan korang sekarang ni, ibarat langit dengan bumi. Kau tengok sendiri keadaan aku sekarang. Intan Najiha sekarang, bukan macam Intan Najiha yang dulu. Aku dah tak ada apa-apa lagi..’’ lemah suara aku. Memang itu yang aku rasa sekarang ini. Mereka berjaya dalam kerjaya, sedangkan aku semakin jatuh merudum. Kerja tetap pun tiada. Hanya mampu kerja separuh masa yang langsung tak ada kelas.
‘’Yalah tu..kau tu masih di bumi lagi. Kami ni dah jadi alien, tinggal di planet.’’ Azrul membalas kata-kataku sambil buku limanya mendarat perlahan di atas kepalaku. Hampeh betul, aku taulah, dia pelakon komedi pun. Nak buat lawak dengan aku pun, tak kira tempat ke? Benaklah minda aku selepas ni.
‘’Lelaki yang tampar kau hari tu, bekas suami kau kan? Hari ini, aku nak kau cerita semua kisah kau pada kami. Kalau tak...’’ Aiman menyoal aku lagi dengan soalan yang tak mahu aku dengar tu. Tanpa sedar aku mengeluh perlahan. Takkan aku nak kena cerita semuanya kepada mereka? Apa yang mereka fikir nanti? Banyak pula soalan yang menjengah mindaku saat ini. Memang aku belum bersedia untuk bercerita segalanya, tapi kalau mereka terus memaksa begini, aku tiada pilihan.
‘’Punggung korang belum pun panas. Korang baru saja sampai, takkan aku nak buka cerita yang tak menarik tu. Kalau ya pun, tunggulah korang lama sikit di sini. Alang-alang dah sampai tu, makan dan minum dulu apa yang ada. Tapikan, korang macam tahu-tahu saja, peti ais aku tengah kosongkan? Banyak pula makanan yang korang bawa. Terima kasihlah sebab memudahkan aku menyambut korang hari ni. Kalau tak aku jamu air paip saja untuk korang.’’ Aku berkata dan tergelak perlahan. Aku hempaskan punggung aku di atas sofa pudar yang sudah bertahun tidak ku ganti. Ini pun sofa terpakai yang aku beli selepas sofa lama rumah kami aku lelong.
‘’Kami datang bukan nak makan. Kalau nak makan, lebih baik kami ajak kau keluar makan di restoran. Takut pula aku nak makan masakan kau. Jangan-jangan kau masih tak pandai masak macam dulu?’’ Aiman menambah rencah perbualan kami. Lantas minda aku pun terus mengimbas kenangan lalu. Aku memang tak pandai masak dulu. Kalau ibu sedang masak di dapur, aku langsung tak ada minat untuk belajar. Masak nasi goreng pun boleh hangit. Adakalanya terlalu masin dan pernah sekali aku masukkan gula dalam nasi goreng yang aku masak. Memang lucukan? Ada ke orang masukkan gula dalam nasi goreng? Kicap manis mungkin ada kot?
‘’Tengok tanganlah bro. Intan dulu dan sekarang, jauh bezanya tau! Aku takut, kau makan masakan aku sampai menjilat jari pulak nanti.’’ Aku berkata yakin, padahal bakat masakan aku biasa-biasa saja. Taklah setaraf masakan hotel. Sekadar untuk mengenyangkan perut aku sendiri bolehlah.
‘’Iya? Macam teringin pulak aku nak dera kau, masak untuk aku hari ni. Jangan hangit, sudah.’’ Azrul mencelah sambil ketawa. Lyana yang ingin bersuara, macam kematian kata-kata mendengar perbualan kami. Selalunya, dia yang terlebih sudu dari kuah.
‘’Cukup, cukup sudah! Tujuan kita datang ni bukan nak makan. Jangan lupa pulak apa tujuan kita. Makan saja apa yang ada. Belum hari lagi kau nak test bakat memasak dia. Kita datang lain kali kalau kau nak rasa masakan dia. Kita tuju ke topik asal. Intan! Matlamat kami hari ni, nak korek semua rahsia kau. Kau kena cerita dari A hingga Z. Tak boleh tidak!’’ amboi..bila Lyana Nasuha bersuara, dia memang tak reti nak kona. Terus straight to the point. Aku tersenyum cuma. Nak buat macam mana lagi. Aku angkat kaki dan mula bersila di atas sofa. Aku pandang wajah-wajah sahabat baik aku ni seorang demi seorang.
‘’Aku ringkaskan saja cerita, kalau korang betul-betul nak tahu. Bisnes ayah aku bankrup ketika aku masih belajar. Dan, ayah aku meninggal kerana tekanan darah tinggi. Aku berhenti belajar kerana nak jaga mak aku. Lagi pun, masalah kewangan kami memang gawat masa tu. Aku mula bekerja dan melakukan apa saja kerja yang boleh mendatangkan duit poket untuk kami dua beranak.
Masa aku buat kerja part time di restoran yang Syaukie bawa aku hari tu, bos kedai tu terpikat dengan aku. Masa tu pulak, mak aku kena strok dan aku terpaksa berulang-alik ke hospital. Aku tak ada duit untuk merawat mak aku, jadi aku selalu pinjam dari bos aku. Lama-lama, bos aku luahkan perasaan dia kepada aku dan lamar aku.
Kami nikah di siam dan balik buat pendaftaran selepas tiga bulan. Aku mengandung dan melahirkan anak sulung kami. Sebulan selepas tu, mak mertua aku datang serang aku di rumah. Mak aku pun teruk kena hina...’’ aku tertunduk dan cuba mengawal suaraku. Saat ini aku dah tak mampu nak meneruskan ceritaku. Terbayang wajah ibu aku ketika itu. Sakit hati aku bila terkenangkan semua itu. Tak semena-mena air mata aku menuruni pipiku. Setitik demi setitik.
‘’Kenapa kau harungi semuanya seorang diri. Kau kan masih ada kami? Apa gunanya kami sebagai sahabat, kalau masalah sebesar itu pun, kau nak rahsiakan?’’ Lyana mengelus lembut belakangku dan dalam masa yang sama dia menyalahkan aku.
‘’Aku malu nak susahkan korang. Masa tu fikiran aku hanya terfikir macam mana nak hidup. Aku hanya ingin cuba mengharungi semua kepayahan tanpa menyusahkan orang lain. Sahabat tak bermakna, aku boleh menyusahkan korang dengan masalah aku.’’ Aku luahkan apa yang aku rasa. Itulah apa yang aku fikir dulu. Hidup mesti diteruskan, biar apa pun halangan yang terbentang di hadapanku. Kalau aku tak cuba harungi, aku takkan tahu, aku mampu menghadapinya ataupun tidak.
‘’Maknanya, kau tak pernah anggap kami sebagai sahabat kau kan?’’ pedih ayat-ayat yang dilontarkan Azrul untukku. Aku pandang tepat ke wajah Azrul dan cuba menafikan kata-katanya itu.
‘’Cubalah fahami aku. Kalau kau berada di tempat aku pun, korang akan berbuat perkara yang sama aku lakukan. Aku ni manusia biasa. Adakalanya, perasaan rendah diri tu tetap menghuni dalam diri aku ni. Korang siapa? Aku siapa? Layakkah aku menyusahkan korang?’’ air mata aku mengalir lagi selepas mengungkapkan kata-kata itu. Ya, siapa aku? Dan siapa mereka? Gagak dan merak kayangan memang tak layak pun terbang bersama.
‘’Kayu Rule..kau jangan nak lebih-lebih erk! Teruskan cerita kau Intan. Macam mana mertua kau layan kau selepas itu? Mak kau pula, macam mana dia meninggal?’’ Lyana cuba meredakan keadaan, Azrul terus terdiam. Aku mengesat kering air mata dan menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan payah.
‘’Mertua aku rampas anak aku yang baru berusia sebulan. Siang malam aku menangis kerana rindukan anak aku. Selepas itu sampai pula surat dari mahkamah syariah. Aku diceraikan dengan talak satu. Tak habis dengan itu, suami aku kahwin lain. Aku tak kisahlah, dia memang anak emas emak dia. Apa yang emak dia cakap, semua dia ikut.’’ Air mata aku mengalir lagi. Sambil bercerita, air mata aku pun turut sibuk untuk bercerita sama. Aku tak sekuat dan setabah mana sebenarnya. Aku cuba menjadi kuat, untuk melupakan semua peristiwa pahit itu.
‘’Ya Allah, zalimnya. Manusia ke apa tu? Dia pisahkan kau dan anak kau macam tu saja? Kau tak saman dia ke? Anak kau belum lepas pantang lagikan? ‘’ Lyana bersuara lagi. Dia menghulurkan tisu untuk aku. Inilah kawan, tak bagi bahu, bagi tisu pun okey, juga.
‘’Mereka orang berduit. Aku tak ada apa-apa masa tu. Mak aku pula semakin tenat. Aku tak nak sia-siakan masa aku dengan naik turun tangga mahkamah. Lebih baik aku tumpukan perhatian aku dengan merawat mak aku. Tapi, sebanyak mana pun aku sayang mak aku, Allah lebih sayangkan dia daripada aku. Aku ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Aku hilang segalanya dalam sekelip mata. Masa tu lektrik dan air di rumah ini pun nyaris kena potong. Sebab itulah rumah aku jadi macam ni. Aku lelong semua perabut-perabut rumah untuk menampung perbelanjaan harian aku. Aku dah tak ada apa-apa lagi Yana. Hanya Allah tempat aku bergantung harap sekarang ni.’’ Aku tersedu lagi untuk kesekian kalinya. Lyana menarik aku rapat ke tubuhnya dan merangkul aku seraya mengelus lembut belakangku.
‘’Arghh..mata aku masuk pasir!’’ aku dengar Azrul bersuara.
‘’Mata aku masuk habuk!’’ aku pasti itu suara Aiman. Aku panggung kepala dan memandang mereka bertiga tapi aku tak nampak Syaukie. Ke mana dia pergi? Aku lepaskan rangkulanku.
‘’Mana Syaukie?’’ aku menyoal Aiman dan Azrul sambil mengelap air mataku dengan tisu. Lyana juga turut tershahdu sama. Dia turut mengelap air matanya. Bibir aku tersenyum memerhatikan tiga orang sahabatku yang turut menangis mendengar cerita aku.
‘’Qie keluar. Aku rasa mata dia masuk sampah kot.’’ Azrul menjawab sambil tergelak perlahan. Aku tersenyum juga dan mula bersedia untuk menyambung cerita.
‘’Suruh Qie masuk. Aku tak nak cerita dua kali.’’ Aku berkata dengan niat untuk bergurau. Syaukie sudah masuk semula selepas habis aku berkata-kata. Mata dia merah dan dia sedang memaksa bibirnya untuk tersenyum. Syaukie, kalau menangis memang payah nak sembunyi. Wajah dia, termasuk telinga semua berubah warna jadi merah.
‘’Suami aku call aku ajak rujuk semula. Selepas dia nampak aku dengan Syaukie di restoran dan terserempak dengan aku di hospital hari tu dengan Aiman, dia tuduh aku ada spare tayar atau ada kekasih. Aku tak tahu nak cerita macam mana dengan korang. Masalah aku datang bertalu-talu. Tiga tahun kami bercerai, dia nak aku lagi, sedangkan dia tahu, mak dia takkan pernah suka aku. Apa pendapat korang?’’ aku lencongkan cerita aku dengan hal yang berlaku beberapa hari yang lalu. Sejarah silam tu, aku lupakan buat seketika. Sekarang ni, aku buka pula topik serius untuk kami bincangkan.
‘’Kau tanya hati kau, masih ada lagi ke rasa sayang kau pada dia? Bahagiakah kau, kalau kau kembali hidup dengan dia? Kau dah bebas sekarang Intan, takkan kau nak ulangi lagi sejarah hitam kau? Kau masih tak serik kena maki hamun dengan mak dia ke?’’ macam biasa, Lyana mengeluarkan ayat-ayat pedasnya untuk aku fikirkan. Aku memang tak sanggup, nak mengulangi semua itu lagi.
‘’Aku rindu anak aku! Aku hanya boleh tengok dia dari jauh. Aku tak boleh pegang dia pun, apatah lagi nak peluk dan cium dia.’’ Sekali lagi, air mataku mengkhianati diriku. Air mata aku menitis lagi membasahi pipiku.
‘’Kau pergi bersiap sekarang! Lap air mata kau. Jangan menangis lagi. Kita pergi jumpa anak kau sekarang juga. Kau bagi alamat suami kau. Kalau dia tak bagi kita jumpa anak kau. Kita report polis. Kita upah peguam. Kau masih ada kami Intan. Kami akan buat apa saja, untuk kebahagiaan kau!’’ sambil bersuara, Lyana menyuruh aku bangun. Dia paksa aku untuk bergerak kerana aku sedang memakukan langkahku. Biar betul. Takkan semudah itu?
‘’Kita nak pergi mana?’’ aku tanya macam orang dungu.
‘’Tuntut balik anak kau!’’ tegas sekali kata-kata Lyana.
‘’Aku takut. Mak mertua aku..’’ aku gantung ayat-ayat aku. Tak tahu macam mana nak mengambarkan sikap ibu mertua aku, kalau dia tahu aku pergi ke restoran bekas suami aku dan berjumpa dengan cucunya itu, iaitu anak kandung aku sendiri.
‘’Kalau kau tak yakin dengan kami, kau yakinlah dengan Allah. Allah pasti tolong kau, dan In Sha Allah, niat kita baik, pasti Allah akan restui. Kita bukan nak pergi berperang. Kita nak pergi jumpa anak kau saja. Siapa mereka untuk menghalang kau? Kalau mereka ada hak, kau sebagai ibu lagi mempunyai hak yang lebih berbanding mereka.’’ Lantang dan yakin sekali Lyana melontarkan kata.
Share this novel