MOTOSIKAL yang ditunggang Syafiq hanya diekori sahaja Damia dari belakang. Kali ini, mereka berdua sama-sama menuju ke lokasi seterusnya iaitu rumah Syafiq.
Syafiq membelok ke kiri tanda sudah tiba di lokasi tujuan. Kelihatan di situ sebuah rumah kayu satu tingkat yang usang tetapi cantik dan tradisional. Di sekitarnya pula dikelilingi sawah padi yang menambahkan lagi keindahan suasana.
"Ni la rumah saya," ucap Syafiq apabila mereka berdua memberhentikan dan turun dari motosikal di pekarangan rumah.
Mata Damia melilau mengamati keindahan suasana. Memang cantik dan nyaman. Ditambah dengan deruan angin sepoi-sepoi bahasa, bagaikan berada di alam yang lain.
"Cantiknya rumah awak ni, saya sukalah. Dahlah terletak betul-betul kat tengah bendang," puji Damia yang berasa kagum.
"Rumah peninggalan arwah mak dan abah saya je ni." Syafiq tersenyum nipis. "Dahlah, jom kita masuk." Dia terus mengajak Damia masuk ke dalam rumah.
Damia turuti sahaja Syafiq menuju ke pintu masuk. Dah macam belangkas pulak dia orang ni. Di mana Syafiq pergi, di situ Damia ikut.
"Betul ke adik awak ada kat dalam rumah. Kalau tak ada macam mana? Nanti kalau saya masuk, tak pasal-pasal kena tangkap basah pulak."
Damia malah berfikir bukan-bukan. Dah macam dia tu tak percayakan Syafiq pulak gamaknya.
Syafiq hanya sengih dan teruskan langkah tanpa membalas soalan Damia. Ada-ada ajelah soalan dari gadis tu.
"Assalamualaikum, adik! Ni along dah balik!"
"Waalaikumussalam. Ya, along!" Suara Syafiqah nyaring terdengar dari dalam rumah. Tetapi suaranya itu diselangi dengan bunyi terbatuk-batuk darinya.
Mendengar sahutan Syafiqah membuatkan diri Damia berasa sedikit tenang.
"Jom. Adik saya ada dalam bilik kut," Syafiq terus mengajak melihat Damia yang sedikit segan itu.
Hari tu beria-ia sangat nak jumpa Syafiqah, Si Damia tu. Tapi hari ni tahu pun segan.
Damia melangkah masuk ke dalam rumah itu. Lalu seorang budak perempuan datang keluar dari biliknya menghampiri Syafiq.
"Along dah balik? Adik dah masakkan nasi macam yang along suruh tadi. Lauk yang along masak pun adik dah siap panaskan." Syafiqah menyapa sambil fokus melihat wajah tampan abangnya sampaikan kewujudan Damia pun dia tak terperasan.
Damia terkedu dan terasa tercabar. Budak macam Syafiqah pun dah pandai masak nasi sendiri.
Aku pulak? Bila lagi? Masak tak mahu tetapi yang aku tahu nak makan dan suap aje apa yang mak aku masak. Akui Damia dalam hati.
Sedar pun diri tu, Damia. Nasib baiklah mak kau tu sudi masakkan untuk kau. Kalau tidak, kebulurlah kau.
"Okey. Terima kasih tau, adik. Bagus adik along ni," ucap Syafiq kepada adiknya itu sambil mengusap lembut kepalanya.
Syafiqah hanya tersenyum gembira. Lalu matanya kini terpasang pada Damia yang cuba menampakkan dirinya setelah berselindung di belakang Syafiq dari tadi.
"Eh, along? Along tak bagitahu pun ada tetamu? Bila masa akak tu ada kat sini?" tanya Syafiqah dalam nada berbisik.
"Oh ... kamu tu yang tak perasan. Dari tadi kakak ni berdiri belakang along tapi kamu bukannya nak tengok dia pun." Syafiq bergurau tatkala mata adiknya masih terkebil-kebil memandang Damia. Damia pula hanya mampu menundukkan sedikit kepalanya dan tersenyum.
Syafiqah tersengih. "Siapa dia tu, along?"
"Kawan along," jawab Syafiq.
Melopong mulut Syafiqah memandang Damia. Dari atas ke bawah dia meneliti tubuh Damia itu. Gadis itu hanya memakai baju berlengan pendek dan berseluar jean ketat. Semestinya itu membuatkan pandangan pertamanya kepada Damia sedikit serong.
Ini bukan pertama kali Damia berpakaian sebegitu. Itulah pakaian harian Damia. Dia jaga kedai, dia keluar berjalan, pakaian itulah yang dikenakannya. Dah memang sudah biasa sebegitu.
Lalu Syafiq memberi isyarat mata kepada Syafiqah agar dia segera bersalam dan menyapa Damia yang masih membisu itu.
"Saya Syafiqah Amani." Syafiqah mendapatkan tangan Damia dan mengucupnya.
"Syafiqah Amani? Sedapnya nama! Kakak pulak Damia," balas Damia.
Baru kali ini dia dapat tahu nama penuh Syafiqah itu. Si adik, nama Syafiqah Amani, abangnya pulak Syafiq Aiman. Pandai arwah ibu dan abah mereka berikan nama sedap sebegitu.
"Kak Cik Damia?" Muka Syafiqah serius bertanya itu.
Damia memasang senyum kelat. Eh! Tiba-tiba dipanggil kak cik dah kenapa?
Pertanyaan yang bukan berbaur sindiran mahupun perlian itu membuatkan Syafiq yang mendengarnya terburai dengan gelak tawa. Tiba-tiba terasa terhibur pulak adiknya memanggil Damia menggunakan panggilan itu dengan muka tak bersalahnya. Dah nama pun budak-budak, habis semua panggilan dia bedal.
"Adik, Damia tu kawan along. Bukannya sepupu kita. Takkanlah nak panggil kak cik pulak. Panggil Kak Damia sudah la." Syafiq melepaskan tawa yang masih lagi tersisa.
Syafiqah tersengih malu. "Maaf, Kak Damia."
Haih ... Syafiqah, Syafiqah. Nasiblah kamu tu comel. Nak saja dicubit-cubit pipi gebu kamu tu. Damia hanya menggeleng-geleng sahaja kepalanya.
"Tak apalah, Syafiqah. Kakak okey je."
Syafiq masih tersenyum lebar. Ceh! Cakap je okey padahal masih panas hati.
"Dahlah. Alang-alang awak kat sini, jomlah makan dulu. Takkanlah masuk rumah saya ni semata-mata nak ambik helmet je, kan?" Syafiq turut mempelawa Damia.
Membulat mata Damia. Ajak makan? Bukannya tak mahu tapi seganlah. Dia bukannya siapa-siapa bagi mereka. Dia tu hanya kawan Syafiq aje. Berkawan pun, masih tak sampai tempoh sebulan.
"Jomlah, kak. Kita makan sekali. Lagipun Syafiqah nak sembang banyak-banyak dengan Kak Damia," rayu Syafiqah dengan penuh kecomelan.
Alahai, comel betul budak ni. Siapa je tak cair.
Pada mulanya Damia nak menolak tetapi melihat tingkah Syafiqah itu membuatkan dia mengubah fikiran. Untung kau ada adik macam Syafiqah ni kan, Syafiq.
"Yalah. Kak makan sini ye."
Damia mengangguk dan tersenyum lebar. Hilanglah sikit stres yang ditanggung. Sekurang-kurangnya masalah yang dipikul di rumah mampu dia lupakan.
"Jom kak cik, kita makan kat dapur." Syafiq berseloroh sebelum berlari ke dapur. Bersiap sedia sebelum 'singa betina' menyerang.
Damia apa lagi, mahu je dikejar lelaki itu tapi dia kawal sahaja tingkahnya hanya kerana Syafiqah di situ. Tak naklah tunjukkan sifat ketidakmatangannya kat depan budak-budak.
Ada adik kau, kau berani usik aku eh, Syafiq. Siap kau nanti! Desis hati Damia yang tak puas hati.
*****
Meja makan empat kerusi itu mereka duduk. Makanan sudah dihidang satu per satu di atas meja. Nasi dan lauk-pauk seperti gulai ikan termenung, ikan masin dan telur goreng menaikkan selera. Macam tahu-tahu aje Damia sedang kelaparan.
Ni dah kali kedua Damia menambah nasi. Masakan kampung dimakan oleh orang kampung, memang kenalah dengan tekak. Hidangan kampung jugaklah menjadi keutamaan.
"Sedaplah masakan awak ni," puji Damia sambil tangannya menguis-nguis nasi yang tersisa di pinggan. Kenyang jugak perut ni!
"Terima kasih. Ni pun Syafiqah yang tolong masak. Kan adik, kan?" Syafiq lalu terus melihat adiknya yang khusyuk makan.
Syafiqah pun hanya senyum kelat. Anggukannya acuh tak acuh. Dia kembali terbatuk-batuk padahal tadi sepertinya sudah reda. Tapi batuk kali ini agak kuat, batuk yang kedengaran kering.
"Adik okey tak ni? Dari semalam batuk tak lega-lega. Ni macam makin teruk je." Syafiq kelihatan risau.
"Dari semalam?" Damia mencelah. Syafiq pun hanya mengangguk.
"Tak apa. Batuk sikit je. Nanti baiklah tu." Syafiqah berusaha senyum.
Syafiq hela nafas. "Hari ni tak payahlah pergi mengaji. Kamu tak sihat tu."
Syafiqah terus mengerutkan dahi. "Mana boleh, along. Adik nak pergi mengaji jugak," bantahnya.
"Kat rumah ni pun adik boleh mengaji tau." Suara Syafiq sedikit tegas. Bukan apa, dia terlalu risau sangat akan keadaan Syafiqah tu.
"Dahlah, nanti along bagitahu Ustazah Najihah, jangan risau," sambung Syafiq.
Syafiqah hanya mengangguk perlahan. Dia turuti sahaja permintaan abangnya itu. Takkan nak melawan pulak, kan? Lagipun, dia memang berasa amat lemah semacam dari tadi.
Diri Damia pada ketika itu umpama seekor nyamuk. Hanya menyempil di antara dua beradik itu tanpa disedar akan kewujudannya. Nak menyampuk, tetapi hal keluarga orang lain. Ah! Biarkan je la.
Usai makan tengah hari, mereka bertiga terus berkumpul di ruang tamu. Masing-masing saling berbual lebih-lebih lagi antara Syafiqah dengan Damia tu. Suka sungguh Damia melayan Syafiqah tu, dah macam adik dan kakak kandung betul padahal baru je berkenalan tak sampai sehari pun.
Syafiqah pun, dalam tak sihat dan terbatuk-batuk pun semangat jugak bercerita macam-macam dengan Kak Damianya itu.
Bercerita tentang sekolahlah, tentang mengajilah, macam-macam benda yang dibualnya. Memang banyak mulut juga Syafiqah ini. Tak macam abang dia yang hanya senyum aje dari tadi.
Ketika itu, Syafiq bingkas bangun dari situ dan ambil sesuatu di bawah meja. Dia kelek sebiji helmet berwarna jingga dan segera dia serahkan kepada empunya helmet itu.
"Nah, helmet awak. Kejap lagi terlupa bagi pulak."
Tangan Damia perlahan menerima helmet tu. "Terima kasih, awak."
Tapi raut wajah Damia berubah apabila helmet itu sudah berada di tangannya. Dia terdiam seketika.
Ni bermakna, selepas ini aku kena balik rumah sekaranglah, kan? Hati Damia sedikit resah memikirkan itu.
Kalau dirinya balik ke rumah, ibunya pasti bertanya macam-macam hal.
Bertanya macam-macam hal tu satu, tapi kalau dirinya dah tak boleh jumpa Syafiq lagi macam mana? Tak boleh! Dia harus fikirkan sesuatu.
"Damia? Kenapa ni?" tanya Syafiq. Muram aje muka Damia tu, risau jugak dia.
"Awak ... macam nak suruh saya balik cepat je." Damia tidak sedikit pun mengangkat wajahnya. Tertunduk.
Mata Syafiq terus menjeling Syafiqah. Syafiqah pun turut membalas jelingan. Dah kenapa dengan Damia ni? Tadi bukan main rancak bersembangnya.
"Eh! Bukan macam tu awak. Saya bukan tak suka awak kat sini, tapi ibu awak kat rumah macam mana? Dari pukul satu awak duduk kat rumah ni. Lagipun, dah nak maghrib ni, nanti mak awak risau pulak." Syafiq cuba membetulkan salah faham.
"Mak saya tak pernah risaukan awak tapi awak yang risaukan mak saya."
Perkataan yang keluar dari mulut Damia itu membuatkan Syafiq tersentak. Apa yang cuba dimaksudkan Damia ni?
Aku kena bagitau perkara sebenar. Ya, aku kena. Wajib! Desis hati Damia yang kepalanya masih tertunduk.
"Apa maksud awak Damia? Sa ... saya tak faham."
Damia terus memandang wajah Syafiq. Tunjuk wajah raih simpati.
"Awak kena tolong saya. Saya nak tinggal satu malam kat rumah awak boleh? Saya merayu sangat." Damia terus merapatkan kedua telapak tangannya tanda merayu.
Mata kedua-dua beradik yang menyaksikan Damia itu terus membulat. Random sungguh tindakan Si Damia ni. Tiba-tiba aje nak tinggal semalam kat rumah ni. Dah tak betul ke dia ni? Kena sampuk, kut.
"Kejap Damia, tapi kenapa..." Belum sempat Syafiq menghabiskan kata, suara tangisan Damia sudah kedengaran.
Pada mulanya, mereka hanya menyangka Damia itu main-main. Tapi kerana tangisan Damia yang semakin teresak-esak itu, membuatkan Syafiq garu kepala. Memang serius betul perempuan ni sampai nak nangis bagai.
Syafiqah yang turut di situ hanya menjongketkan bahu. Geli jugak hatinya melihat Damia itu nangis sebegitu. Iyalah, tiba-tiba saja menangis dah kenapa? Tapi dia tahan jua agar tidak melepaskan tawa.
"Saya tak nak balik rumah ... saya nak tinggal sini sekejap je. Satu malam pun jadilah." Damia menutup wajahnya. Tangisannya masih tersisa.
"Okey awak, okey. Jangan nangis. Saya bagi awak duk sini," pujuk Syafiq lalu dia menempatkan duduknya di sebelah Damia. Dia mengusap bahu Damia dengan lembut. Tangisan Damia yang teresak-esak tadi mampu dia kawal.
"Be ... betul ni awak?" Mutiara jernih di tubir mata Damia seka. Mata mereka berpandangan.
Syafiq mengangguk lalu dia segera jatuhkan tangannya.
Kenapalah Si Damia ni buat hal waktu-waktu ni jugak. Perangai mengada dia tu. Dahlah kat depan Syafiqah, seorang budak 11 tahun. Tak malu betul!
"Tapi awak kena bagitau dulu kenapa awak nak duduk sini?" Satu syarat tersebut Syafiq utarakan.
Damia hela nafas. Dia mengumpul semula tenaga dan kekuatan untuk bercerita. Memang dia sudah berniat untuk memberitahu perkara tersebut pun tanpa disuruh. Dirinya harus jujur.
"Sebenarnya, mak saya tu ..."
*****
Damia keluar dari bilik air dengan berbajukan sehelai kemeja-T berwarna putih dan kain pelekat milik Syafiq. Hanya itu sahaja baju yang sesuai dipakainya kalau nak bermalam kat sini. Mahu pinjam baju Syafiqah, dah sah-sah saiz baju Syafiqah tu terlebih kecil. Sendat pula kalau dipakai nanti.
"Letak je tuala dan baju awak dalam bakul tu." Suara Syafiq di dapur menerjah telinga. Dia yang sedang menikmati secawan kopi panas hanya melihat sahaja gerak-geri Damia di meja makan.
"Nah ni, kopi untuk awak. Minumlah dulu sementara masih panas." Syafiq selepas itu menghidangkan secawan lagi kopi di hadapannya khas untuk Damia.
Damia tanpa bicara turuti sahaja perkataan Syafiq. Lalu kakinya lambat-lambat melangkah mendekati lelaki itu dan duduk di kerusi di hadapannya. Kopi yang dihidang Syafiq dia cicip sedikit. Hangat dan sedap rasanya.
"Terima kasih tau awak ... saya banyak susahkan awak. Pasal petang tadi tu ... saya teremosi sikit. Saya mintak maaf," luah Damia.
Pandangan dibuang ke arah lain. Malu mahu bertentang mata dengan lelaki di depan matanya itu.
"Tak apalah, awak. Saya faham," jawab Syafiq tenang.
Dia memang sudah maklum dengan perangai Damia tu. Mungkin dari situ dia rasakan suatu 'kelainan' yang menggambarkan seorang Damia Qistina itu.
"Saya pun nak mintak maaf jugak," sambung Syafiq.
"Sebab?"
"Saya tersentuh bahu awak tadi."
Malu rasanya kalau diingat akan hal tadi. Syafiq tu macm automatik pulak mengusap bahu Damia tu padahal niatnya untuk memujuk dan menenangkan aje.
"Hmm ... . Tak apalah." Damia anggukkan kepala.
Syafiq hela nafas. Lalu dia diam sejenak. Tiba-tiba dia terfikirkan cerita Damia tadi. Ya, cerita tentang ibu Damia yang tidak merestui persahabatan mereka membuatkan Syafiq dihurung rasa serba-salah.
"Awak buat semua ni demi nak lari dari ibu awak?"
Damia terus menatap wajah Syafiq. Tiba-tiba sahaja perihal ibunya ditanya. "Bukan lari, tapi saya hanya nak ..."
"Tunjuk protes?" Syafiq pangkas jawapan Damia. Damia pun hanya mampu mengiyakan. Betullah apa yang dikatakan Syafiq tu.
Syafiq tarik nafas sedalam-dalamnya. Tunjuk protes sampai macm ni sekali? Sanggup bermalam kat sini tanpa pengetahuan ibunya?
"Kalau nak tunjuk protes sangat, lebih baik awak tak payah balik terus rumah awak tu. Senang," kata Syafiq dalam nada menyindir.
Betul jugam apa yang dikata Syafiq tu. Buat apa lari dari rumah tapi buat masa sehari je.
"Bukan macam tu. Tapi, saya nak buktikan kepada mak saya yang awak lelaki baik. Awak lelaki yang boleh dipercayai. Mungkin dengan cara ni saya dapat ubah fikiran mak saya tu? Lagipun, saya tak nak kehilangan awak."
Ucapan panjang lebar Damia membuatkan mata Syafiq terbeliak. Seperti ada maksud tersirat pulak dalam kata gadis itu.
"Ma ... maksud saya, kehilangan kawan macam awak." Damia meluruskan ucapannya. Lihat muka Syafiq pun dah tahu yang lelaki tu tersalah sangka.
"Tapi perbuatan awak ni lagi burukkan keadaan tau tak?"
Damia mati kata. Tak tahu mahu membalas apa. "Saya tahu. Maafkan saya. Maafkan saya ka ... kalau mak saya tu ada guriskan hati awak."
"Tak, Damia! Saya tak kisah mak awak tu tak suka saya sebab harta saya ni. Tapi yang saya kisah sekarang ni, kenapa awak mesti bergaduh dengan dia sebab saya? Untuk apa?"
Damia raup wajah dan matanya digosok perlahan.
"Tak apalah, awak. Tak payahlah bincang pasal hal ni lagi. Esok saya pandai-pandailah hadap mak saya tu." Damia malas berbual panjang. Cakap pasal Mak Siti tu, buatkan mood berubah pulak.
Damia redha. Dia harus kental sekarang ini. Memang perbuatannya itu memburukkan keadaan tapi nak buat apa lagi, dah ni sahaja yang mampu dilakukan. Walaupun perbuatan dia sekarang ni nampak tak berguna.
"Hmm ... ye la." Syafiq akur.
Suasana menjadi senyap semula. Syafiq kerling jam di dinding. Sudah 10 minit azan isyak berkumandang tadi.
Oh, ya! Solat perlu dikerjakan segera kalau tak nak terlupa. Baik dia solat sekarang.
"Awak tak nak solat sekali ke? Kita solat isyak bertiga dengan Syafiqah, nak tak?"
Ajakan Syafiq yang boleh dikatakan tiba-tiba itu membuatkan Damia hampir tersembur air kopi yang dicicipnya.
Solat tu dah satu hal, tapi solat berjemaah? Dengan Syafiq?
Dahlah Damia itu boleh dikatakan jahil. Dia tahu hukum-hakam dan tatacara solat tetapi tak jua dia praktikkan. Malas kerjakan solat dari sekolah menengah lagi. Bukan je Damia, ibu dan kakaknya pun sama jugak perangai!
"Solat? Err ... saya cu ... cuti hari ni. Lagipun awak tahu kan saya tak solat maghrib tadi," ujar Damia cuba bertenang. Hanya itu jawapan spontan yang mampu dia tuturkan.
Dia rahsiakan perkara itu kepada Syafiq.
Damia Qistina tinggal solat fardu yang wajib itu Jatuhlah sahamnya di mata Syafiq nanti!
"Ouh, okey. Kalau macam tu, saya solat berdua je la dengan Syafiqah."
Damia mengangguk perlahan.
Syafiq lalu bangun dari duduknya untuk mendapatkan adiknya di ruang tamu. Budak tu, kalau bukan buat kerja sekolah, pasti dia akan mewarna. Kadang pula baca al-Quran.
Syafiq berjalan mendekati adiknya yang duduk di atas sofa. Telekung putih masih berbalut di tubuh. Tetapi tubuh gadis kecil itu hanya bersandar lemah. Mukanya juga kelihatan pucat.
"Adik, jom. Kita solat isyak," ajak Syafiq yang sudah siap berkopiah.
"Adik rasa ... se ... seram sejuk la, along ... ." Terketar-ketar bibir Syafiqah mengatakan itu.
"Adik kenapa ni?" Syafiq lalu meletakkan punggung tangannya di atas dahi adiknya. "Ya Allah! Badan adik panas ni."
Syafiq mulai panik. Padahal tadi adiknya kelihatan baik-baik sahaja. Batuknya pun sudah mulai mereda. Tapi kali ni, demam panas pula yang menimpa.
Damia yang terdengar suara Syafiq yang penuh kebimbangan itu terus meluru pergi ke arah ruang tamu.
"Awak, kenapa dengan Syafiqah?"
"Dia demam rasanya."
"Hah? Demam?"
Membuntang mata Damia. Memang kelihatan Syafiqah sudah lemah-longlai. Kesian pulak dia tengok. Sakit apalah yang Syafiqah sedang hadap ini.
Bersambung...
Update untuk hari ni. Panjang sikit chapter ni haha ^^. Maaf kalau ada tersalah/terkurang.
Share this novel