Bab 1: Algojo

Romance Completed 47436

9 tahun kemudian,

Gemawan mendung berarak di kaki langit kota menandakan ketibaan tetamu hujan. Maya berjalan malas di belakang lorong kedai. Tangannya laju mengipas-ngipas lalat yang berterbangan di muka. Bau hamis longkang dan sampah reput menusuk ke rongga hidung dan meloyakan tekak. Kombinasi aroma pekat menjijikan itu mampu membuat sesiapa sahaja yang lalu-lalang termuntah hijau.

Maya membuang pandang ke sekitarnya. Di satu sudut, dia melihat sekeluarga tikus sedang menikmati makan tengah hari berlaukkan sisa mi goreng dan ayam yang dibuang dari belakang sebuah restoran. “Mewah menu kau hari ni. Aku pun sarapan telan angin je.” Maya memandang tingkap belakang restoran tersebut yang sudah berlumut. “Nasib baik manusia ni makhluk pembazir. Sekurang-kurangnya, ada rezeki untuk kau hari ni.” Maya meneruskan langkah.

Kota kelahiran Maya, Kota Semenaja adalah sebuah kota metropolis yang pesat dan terkenal di pelosok negara. Ada juga yang menggelarnya mata bunga api kerana landskap urbannya dibarisi bangunan pencakar langit yang akan bercahaya di waktu malam. Kemewahan dan ekonomi yang mencanak naik, dilengkapi dengan kemudahan canggih dan moden menjadikan Kota Semenaja begitu sempurna. Namun jika ada cahaya, pasti ada bayang-bayang. Di sebalik kota pesat tersebut, terdapat lorong-lorong kotor yang menyimpan seribu satu cerita hitam dan pahit. Kepesatan kota sudah berjaya membutakan warganya daripada jenayah kolar putih, penindasan dan komuniti gelandangan yang meningkat saban hari.

Berbeza dengan orang lain, Maya tidak berminat untuk bersiar-siar di taman indah dan permai di sekitar kota tersebut. Sebaliknya lebih memilih untuk menjalani hari petangnya di lorong-lorong. Menurutnya, dia mahu berteman dengan realiti dan bukan pula dengan kepura-puraan.

“Eh!” Seekor tikus gemuk memintas kaki Maya, lantas membuat gadis itu terlompat. “Tikus bodoh.”

Maya berhenti sejenak untuk melipat hujung seluarnya yang sudah comot terkena percikan lumpur. Sejenak, dia merenung pantulan sendiri yang terbias pada lopak-lopak air bergenang. “Sial.” Bisikan terbit di bibir. “Ini muka perempuan sial.” Sentuhan jarinya menghasilkan gelombang bulatan pada permukaan air. “Kalau bukan kerana kau, hidup aku tak akan macam ni, kau tahu?” Sumpah seranah berakhir dengan ludahan Maya kepada bayangnya sendiri.

“Itu dia, anak perempuan si bedebah tu!” Laungan keras seorang lelaki memecah hening.

Maya tersentak. Belum sempat dia menoleh, lengan kirinya ditarik kasar ke belakang. Gadis itu gagal mengawal imbangan, lantas menyebabkan tubuhnya terhumban ke sisi. Mujur, timbunan kotak tebal menyelamatkannya daripada terhentak ke dinding. Kini, dia dikelilingi tiga orang lelaki. Seorang botak, seorang mempunyai parut di muka dan seorang lagi mempunyai wajah persis pak turut.

“Argh, tak guna. Sakit bahu aku-” Getaran di hujung suara Maya menahan ngilu.

“Woi, perempuan. Kau bagitahu sekarang, dekat mana bapak kau menyorok.” Baju Maya direntap kuat oleh lelaki botak yang berwajah bengis.

“Aku tak tahu dia dekat mana.” Dia terbata. Maya bergelut dan cuba menepis tangan lelaki tersebut.

“Dah pinjam duit, pandai pulak lari. Kalau kau tak nak bagitahu, dekat sini jugak kitorang bogelkan kau. Cakap cepat!”

“Aku cakap, aku tak tahu. Lepaskan aku! Aku tak ada kena-mengena dalam hal ni.” Mencerlung matanya memandang lelaki di hadapannya.

Satu tempeleng keras ditujah pada wajah Maya. Bibirnya pecah dan hidungnya berdarah. “Melawan kau ya. Tak padan dengan perempuan, nak tunjuk garang konon. Aku tanya kau sekali lagi, mana bapak kau?”

“Aku cakap, aku tak tahulah sial! Kau pekak ke?” Maya bertempik. Darah hanyir yang memenuhi ruang mulutnya diludah.

“Celaka! Kau dengan bapak kau, dua kali lima je cari mati. Tak apa, kau tak nak bagitahu. Sayang sangatkan dekat bapak kau?” Lelaki botak itu berundur setapak. “Joe, Parley. Kau dua orang pegang dia.”

“Kau nak buat apa Komeng?” Lelaki pak turut bernama Joe itu kelihatan bingung. Namun, dia tetap akur mengikut arahan. “Aku nak habiskan dia.”

“Kau nak buat apa?” Giliran Parley, lelaki berparut di wajah pula bertanya.

“Orang perempuan ni tak elok belasah lebih-lebih. Aku nak cabut baju dia, satu demi satu sampai dia bukak mulut.”

Serentak, lengan Maya di pusing ke belakangnya dan digenggam kemas. Maya cuba mengayun kakinya ke arah Komeng.

“Duduk diam-diamlah sayang.” Kejung urat Maya mendengar suara gatal lelaki itu. Sempat juga Komeng mengelus lembut pipi gadis itu. “Cantik jugak kau ni. Garang pulak tu. I like,” ujarnya sambil menggigit bibir.

“Lepaskan akulah binatang!”

Prakkk! Lengan kiri baju Maya dikoyakkan, menampakkan kulit mulus bahunya. Lebih malang, tali baju dalamnya kini terdedah. “Mana bapak kau?”

Maya hanya membisu. Dada Komeng berombak menahan marah. Reaksi gadis di hadapannya benar-benar menguji kesabaran. Kini, tangan Komeng sudah menggenggam bahagian leher baju Maya, bersedia untuk direntap.

“Ehem. Saudara,” Satu suara asing menjengah dari belakang.

“Eh?” Komeng dan dua rakannya tercengang. Terbantut niatnya hendak mengoyakkan baju Maya. Genggaman tangan dilonggarkan sebaik sahaja kelibat lelaki memakai hoodie kelabu menghampiri mereka dengan bersahaja. Separuh wajahnya terlindung dengan topeng pelitup muka berwarna hitam.

“Kau siapa?” Parley menyoal. Komeng turut memaling tubuh menghadap lelaki misteri itu.

“Kau polis ke?” Joe pula menyoal dalam cuak. Dia memandang atas bawah. Hoodie kelabu yang membaluti tubuhnya tidak cukup untuk menutup fizikal sasa dan tinggi lampai lelaki itu, lantas mencetus rasa gerun.

“Main tak ajak.” Lelaki misteri itu semakin menghampiri.

“Kau kenal perempuan ni ke? Kau kawan dia ke?” Giliran Komeng pula menyoal.

“Lepaskan perempuan tu.”

“Wah, wah. Kau bos kitorang ke?” Komeng mematah-matah jari dan mengepal penumbuk.

Lelaki itu tergelak kecil. “Nak spare? Siapa menang, perempuan tu dia punya,” sambungnya lagi. Maya mengecilkan matanya dan cuba menangkap mata lelaki itu. “Macam aku kenal mata tu.” Dia sempat berteka-teki. “Eh, jangan-jangan...”

Komeng meluru pantas sambil mengayun penumbuk, namun tersasar. Dia langsung terhumban ke hadapan. Lelaki misteri itu terlebih dahulu mengelak. “Itu je? Hahaha.”

“Parley, pergilah. Aku pegangkan perempuan ni.” Joe menolak bahu Parley. Dalam teragak-agak, Parley cuba mengatur langkah. Tumbukan di hala ke wajah lelaki itu, namun berjaya ditepis. “Eh?” Parley langsung hilang imbangan dan menyembah bumi. Wajahnya terperosok ke dalam longgokan sampah basah yang sudah berulat.

Maya menjeling raut Joe yang kelihatan kaget. “Peluang,” bisiknya.

Dushhh! Maya mengayun siku ke arah dagu Joe, lantas membuat lelaki itu mengerang. Joe meleraikan pegangannya dan berundur beberapa tapak. Dia menggosok-gosok rahangnya yang berdenyut. Dalam cuak, dia akhirnya melarikan diri.

“Sial.” Komeng bangun terenjut. “Kau memang dah puas hidup ke?” Tumbukan kedua diayun tepat ke perut lelaki di hadapannya. Kali ini mengena, tetapi dia hanya menyeringai. “Kau-” Belum sempat Komeng menghabiskan ayat, rahangnya dihadiahkan sebuah uppercut. Memercik liurnya keluar daripada celah gigi. Gusinya menjadi ngilu dan matanya berpinar.

Geli hati Maya menonton babak Komeng yang rebah. Parley mendecit dan mula mengikut jejak Joe yang lesap. Lelaki misteri itu mengalih pandangannya ke arah gadis di belakangnya. Maya menelan air liur, cuak. Sambil mencengkam lengan bajunya yang koyak, dia mula berundur beberapa tapak. “Kau- betul-betul nak-” Maya terbata. Lelaki itu semakin menghampiri sambil jarinya menarik zip hoodie. “Buang baju kau,” ujarnya.

“Nanti dulu.” Maya semakin berdebar. Lelaki itu menanggalkan hoodienya, meninggalkan sehelai T-shirt berwarna merah hati yang masih bersarung pada tubuh. “Nah, pakai baju aku.” Sekilas, dia melilit hoodie kelabunya pada bahu Maya. “Dan jangan nak cari penyakit lalu tempat macam ni lagi. Kau perempuan, sasaran mudah,” tambahnya bersahaja. Dia tidak sedikit pun mencuri pandang bahagian tubuh Maya yang sudah terdedah. Maya lantaran itu menjadi pegun seketika.

“Ha-, Hazra?” Satu nama terbit di mulut Maya. Hazra membisu.

“Terima kasih.” Maya menggigil. Entah dia takut atau teruja. Hazra hanya mengangguk laju. “Rahsiakan perkara ni.” Hazra memaling tubuh seraya mahu lekas-lekas berlalu.

“Hazra, terima kasih,” laung Maya buat sekian kali. Hazra sekadar mengangkat tangan dan berlalu pergi.

“Hazra, selamatkan aku? Betul ke?” Seluruh tubuh Maya menggigil. Dia masih terkejut. Hoodie kelabu milik Hazra diraup pada wajah. Sekuat hati, Maya menghirup haruman perfume dan aroma tubuh Hazra yang masih melekat pada hoodie tersebut.

MALAM, Ford Arena di Kota Semenaja hingar-bingar.

“Tuan-tuan dan puan-puan. Malam ini, bertempat di Ford Arena dalam Kejohanan Iron Fist kali ini kita akan menyaksikan sambungan pertarungan dua penjuru di antara dua seteru hebat. Di sudut biru, the one and only El-Tigre, Zaquan al-Asad!”

Petinju Zaquan melangkah masuk sambil memapar laga tinju udara.

“Dan di sudut merah…” Suara pengulas menangkap debaran penonton bersama-sama dengan paluan gendang, tanda mengalu-alukan kehadiran seteru sang rimau tinju.

“Sang Algojo, Hazra Ivan!”

Sorakan meribut menyentak tali jantung dan menggoncang gegendang telinga. Tatkala itu, lampu limpah beralih arah dan menumpu jalur cahaya pada sosok tubuh sasa dan tinggi milik Hazra. Tumpahan cahaya daripada lampu limpah empat penjuru memapar lekuk-lekuk jisim ototnya dan jatuhan bayang-bayang tubuh lampai yang cukup maskulin dan menggentarkan, sesuai dengan dirinya yang digelar algojo.

Hazra hanya mengenakan seluar boxer berwarna biru gelap yang disemi jalur putih di bahagian sisi. Sarung tangan tinju merah jenis sparring glove bersarung kemas pada kedua-dua belah tangan. Mengiring langkah kaki Sang Algojo, seluruh panggung gelanggang bergema dengan sorak gempita daripada lautan manusia.

Berdiri di tengah gelanggang, Hazra dan Zaquan kedua-duanya saling menatap tajam mata satu sama lain. Suasana bertambah tegang. Perbezaan ketinggian yang agak ketara antara keduanya memaksa Zaquan untuk sedikit mendongak merenung Hazra.

“Selamat malam abang rimau,” celah Hazra, sinis. Zaquan hanya mendengus.

“Awal sangat gurau. Simpan dulu.” Zaquan membalas.

“Fine.” Hazra tersenyum senget. Naik turun dadanya menahan tawa.

“Ready?” Hazra berundur beberapa tapak bersama lompatan pendek untuk mendapatkan momentum. Tangannya digenggam kemas.

“Bring it on,” ujar Zaquan yang turut berbuat serupa.

Pusingan kedua bermula. Malang bagi Zaquan yang sudah K.O. pada pusingan pertama. Kini, dia hanya perlu bertahan dan mengheret perlawanan ke timbal balik. Tiada pilihan lain. Nafasnya ditarik dalam-dalam, menanti pukulan genta tanda mula.

“Boleh ke aku ni?” Bisikan waswas mula mencucuk halus.

Ting! Ting!

“Second round!”

Hazra meleret kaki kanannya ke sisi. Zaquan pula menolak kaki ke belakang dan menujah tubuh ke hadapan. Dalam teragak-agak, Zaquan cuba mengatur langkah. Hakikatnya, dia masih dihantui kekalahan pusingan pertama.

Jab dilepaskan bertalu-talu, namun tiada satu pun yang menggoncang Hazra. “Ah. Tak guna.” Zaquan cuba menyasarkan kepala. Dia membengkokkan siku 90 darjah dan melepaskan pukulan dengan cara berpusing. Hook tepat mengena, tetapi Hazra masih tegak. Kakinya seperti sudah berakar kuat pada tapak gelanggang.

Udara sejuk mula meraup segenap tubuh Zaquan. Keringat jantan yang mengalir bukan tanda takut, tetapi kerana seteru di hadapannya bukan calang-calang orang, Hazra Ivan sang Algojo gelanggang yang sukar ditumbang.

Zaquan berundur setapak. Sikunya dilipat mendekati sisi tubuh, menanti serangan balas. Hazra mula merapat dan menolak sebelah kaki ke hadapan, seraya menjaga keseimbangannya.

Satu jab keras menghentam kiri kepala Zaquan. Berdengung. Jab berdas seterusnya dilepas berulang kali. Deruan angin laju daripada ayunan tumbukan Hazra membuatnya terkebil beberapa saat. “Shit!” Beberapa saat yang terlepas daripada fokus Zaquan memakan diri. Satu cross pada rusuk kanan membuatnya hilang imbangan. Dia mula hilang arah. Serentak, Hazra menghadiahi seteru di hadapannya sebuah uppercut yang cukup mematikan. Sekelip mata, Zaquan tumbang.

“K. O!”

Ting! Ting!

Usai genta penamat berbunyi, segenap ruang arena bersorak riang menggegarkan lantai. Rata-rata penonton membuat ombak manusia meraikan kemenangan bersih sang Algojo. Ternyata, sang rimau tinju bukan tandingannya.

“Good game abang rimau.” Hazra menghulur tangan membantu Zaquan berdiri.

“Good game apa? Kau strike dua round.” Zaquan hanya mengeluh.

“Biasalah tu, game ada menang kalah. Enjoy jelah.”

“Ceh. Dah menang bolehlah cakap macam tu.” Zaquan masih terduduk. Dia menekup telinga kirinya berdesing.

“Dah, dah. Berdiri. Tengok aku ambil black belt.” Hazra menampar bahu Zaquan.

“Celaka.”

“FORD Arena pada malam ini menyaksikan petinju finalis kita berentap untuk merebut Blackbelt dalam Kejohanan Iron Fist.” Pengulas lelaki melontarkan suara penuh semangat bagi membakar keterujaan penonton di segenap ruang arena.

“Dan, juara kali ini, pemegang Blackbelt bagi lima tahun berturut-turut, the one and only.”

Bunyi derapan dram yang sengaja dilama-lamakan mengacah suasana.

“Hazra Ivan!”

Sorakan kedengaran semakin bingit dan mengujakan tatkala Hazra menayang megah Blackbelt berkilat di tangannya. Letusan konfeti berwarna emas dilepaskan di seluruh arena, menyemarakkan lagi sambutan kemenangan buat Hazra.

Langit Kota Semenaja pada malam itu dihiasi deretan bunga api.

“Hazra! Look at me! Look at me!” Suara para gadis menggeletis usai Hazra melangkah berjalan di tengah laluan masuk melintasi barisan penonton.

“Hazra sayang. Notice I, please.”

“Hazra! Hazra! Jom kahwin!”

Hazra hanya mampu menelan air liur. Seram seriau dia mendengar jeritan jengkel sebahagian para peminat wanitanya. Hazra hanya melempar senyum nipis dan melambai, sebelum meneruskan langkah. Belum dua langkah pun, pihak media mula mengerumuni dirinya. Kelipan lampu kamera dan para media yang berasak membuat Hazra menjadi lemas.

“Uh, excuse-” Hazra mula tercungap. Suasana itu membuatnya menjadi cemas. Dia berundur setapak sambil anak matanya meliar mencari jalan keluar. “Excuse me...” Suaranya tiba-tiba bergetar. Lemas. Hazra bergelut dengan pernafasan sendiri. Kakinya mula terasa longgar dan lemah. Kelipan lampu kamera yang menyilau dan memeningkan mula membuat Hazra terpinar. Wajahnya berkerut. Hazra menunduk kepalanya sedikit. “To- tolong-”

“Ke tepi! Beri laluan semua! Ke tepi! Bagi ruang!” Zaquan muncul menyelamat keadaan. Serentak, para pengawal peribadi Hazra menolak kasar pihak media yang sudah berkumpul di sekeliling Hazra.

“Kau okey?” Zaquan mendapatkan Hazra yang masih pegun di tengah-tengah.

“A… aku...” Hazra terbata. Tanpa membuang masa, Zaquan menarik lengan Hazra dan membawanya keluar dari tempat itu.

Dalam lautan manusia itu, seorang gadis memerhati sosok Hazra dengan tekun. Kemudian, dia melempar jeling ke arah barisan peminat wanita yang menjerit-jerit menarik perhatian.

“Eee, tengoklah semua perempuan tu. Terhegeh-hegeh dekat suami aku, macam anjing lapar. Kalau ada pistol kat tangan aku ni, seekor-seekor aku tembak,” ucap Maya sambil mengetap gigi.

“Hazra sayang.” Anak mata Maya kembali memimpin langkah Hazra. “Tak lama lagi, kita kahwin ya?” Dia menyeringai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience