Suara jeritan itu membuatkan aku tersentak. Aku merenung lama ke arah radio. Setahu aku petang tadi dengar lagu ini tak ada pula ayat yang agak menyeramkan itu. Tapi malam ini lain pulak. Aku cuba menyedapkan hati dengan menganggap mungkin ini adalah versi terbaru lagu itu. Tapi dalam masa yang sama radio aku off sebab tidak semena-mena bulu roma aku meremang selepas mendengar suara jeritan yang parau dan kasar itu.
Tatkala itu aku terpandang sebuah hotel yang terletak di bahagian kiri aku. Aku memasang signal dan membuat pusingan U menuju ke arah hotel itu. Aku sendiri pun tak tahu apa yang membuatkan hati aku tertarik ke arah hotel itu.
Dari luar memang agak tidak menarik. Terdapat sebuah bangku usang di luar. Seni bina yang agak ketinggalan. Cat yang agak memudar. Masih menggunakan lampu kalimatang (mentol bulat). Sekali pandang seakan-akan rumah Inggeris lama. Tidak besar dan tidak kecil. Hanya sederhana sahaja. Aku kira mungkin dalam 2 tingkat sahaja.
Aku memarkir kereta di satu ruangan. Aku matikan enjin dan keluar dari kereta. Aku tinjau sekeliling. Baru aku perasan tiada sebuah kereta pun di kawasan itu. Berhadapan dengan hotel itu terdapat hutan tebal. Namun di belakang hotel itu ku lihat ada sebuah pantai yang tersergam. Aku mengukir senyuman, Itu ciri-ciri yang aku idamkan. Bagasi kecil aku keluarkan dari bonet dan dibawa bersama.
Aku melangkah dan berdiri di hadapan hotel tersebut. Aku mendongak dan melihat banner berwarna coklat kekusaman, Aku kira ia diperbuat daripada sejenis papan.
“HOTEL LUDWIG. Since 1917.”
Saat itu angin sejuk menerpa tubuh aku. Aku mengzipkan jaket sehingga ke bahagian leher. Kedinginan mulai terasa. Kemudian aku melangkah masuk ke dalam hotel tersebut.
“SELAMAT DATANG KE HOTEL LUDWIG ”
Ucapan pertama yang aku terima sebaik kaki menginjak lantai hotel itu. Senyuman manis wanita pembuka pintu mencairkan hati lelaki aku. Bila aku perhati wajahnya sukar untuk aku mengesani jenis kaumnya. Pada anggapan aku mungkin wanita itu campuran Barat kerana wajahnya agak berbeza dengan orang Asia.
Dia membawa aku menuju ke kaunter pendaftaran. Di situ terdapat dua wanita bertugas. Masing-masing menyambut kedatangan aku dengan senyuman yang tak lokek daripada bibir. Mungkin salah satu cara bagi menarik perhatian pelanggan. Aku memerhati kedua-dua pekerja wanita itu. Rupa mereka juga tidak iras dengan mana-mana jenis kaum yang terdapat di Malaysia. Seolah-olah mereka adalah orang Eropah. Aku mengitari kawasan sekeliling.
Hampir keseluruhan ruangan hotel diperbuat daripada kayu yang aku tak pasti jenisnya. Bahkan lantai tempat aku berpijak kini. Aku seolah-olah berada di zaman Inggeris kuno. Rata-rata pekerja pula kebanyakan berwajah ala-ala Eropah. Bahkan cara mereka berpakaian juga agak pelik pada pandangan aku. Lelaki memakai sut serba hitam. Begitu juga dengan wanita. Walhal aku pasti hotel ini bukan bertaraf lima bintang.
“Bilik untuk seorang.”kata aku.
Tanpa banyak bertanya, wanita berambut perang menyerahkan kunci kepada aku. Aku menyambut kunci tersebut. Lazimnya kunci akan diberi selepas mendaftar tetapi ini sebaliknya. Kemudian dia menyerahkan buku pendaftaran kepada aku. Aku memerhati nama-nama yang menginap di hotel tersebut.
Carla Samona. 12 Mac 1917
Evan. 1 May 1919
Kevin Space. 28 December 1935.
Itu adalah secebis daripada keseluruhan nama yang terdapat di dalam buku tersebut. Dahi aku berkerut melihat tarikh-tarikh yang tertera. Agak mustahil hotel ini masih menyimpan senarai nama pelanggan sejak berkurun yang lalu. Buku tersebut juga telah agak kusam dan kekuningan warnanya. Enggan membejatkan fikiran, aku menulis nama dan tarikh pendaftaran. Kemudian buku diserahkan kepada pekerja wanita itu.
Baru sahaja aku ingin berlalu, nama aku dipanggil sekali.
“Tolong turunkan tandatangan di borang ini.”ujar wanita itu.
Share this novel