Chapter 39

Mystery Completed 14816

Bab 39

Kenapa harus Irfan meninggal dunia begini? Siapakah pelakunya yang menyebabkan Irfan terkedang, cedera parah di setiap organ tubuh dan menghancurkan tulang belulangnya? Kalaulah dia dapat tahu siapa orang itu, dia akan membunuh lelaki itu dengan tangannya sendiri.

Dia tidak peduli pada undang-undang dan peraturan lagi! Undang-undang memang tidak adil. Dunia ini tidak adil… Tuhan juga tidak pernah berlaku adil padanya! Dia selalu bernasib malang. Sudahlah kehilangan suami kini dia juga kehilangan anak! Dia tidak mendapat apa yang dihajati. Dia tidak mendapat apa-apa… Hanya satu kekosongan. Puan Suriati bangkit, berjalan keluar. Fikirannya kosong, hatinya hancur seperti kaca yang terhempas ke batu.

Jenazah Irfan disemadikan. Tidak ramai yang menghantar jasad yang sudah ditinggalkan oleh rohnya itu.

Hanya beberapa orang saja yang ada mengelilingi pusara. Airiel turut datang, tetapi berdiri agak jauh. Puan Suriati menjirus air mawar dan menabur kelopak bunga. Air matanya sudah kering. Dia tidak menangis langsung. Malam semalam dia sudah menghamburkan semua airmatanya. Pagi ini dia lebih tenang.

Segalanya belum berakhir, bisik hati Puan Suriati.

“Happy nampaknya hari ni, Alin? Ada apa-apa ke?” usik Puan Salimah.

“Eeemmm….” Amalina mengulum senyum.

Mulutnya rancak mengunyah nasi impit. Mereka saling duduk berhadapan. Puan Salimah masih belum menyentuh lontongnya. Dia ralit memerhati perubahan pada diri anak perempuan kesayangannya itu.

“Tak ada apa-apa mak. Biasa je…” jawab Amalina.

“Jangan tipu mak! Mak tahu… dari raut muka kau tu tahu mak tahu, ada sesuatu yang menggembirakan. Mesti pasal lelaki. Wajib!” jawab Puan Salimah sambil terus tersenyum.

“Apa yang mak tahu?” kata Amalina seperti mencabar pula.

Memang Amalina terlalu bahagia selalu berada di samping Leo. Leo menyimbah warna-warna ceria dalam kanvas hidupnya. Dia wanita yang bahagia, dicintai dan mencintai dengan sepenuh jiwa raga. Kemesraan antara mereka semalam kekal dalam hati, dari malam membawa ke pagi. Leo mengisi malam-malamnya yang dulu sepi. Lelaki itu memenuhi hari-hari siangnya dengan tawa ria. Dia tidak pernah rasa begini bahagia semasa bersama dengan Airiel. Walaupun Leo tidak punya apa-apa… Leo hanya punya cinta yang tulus dan suci.

Itu sudah memadai bagi Amalina. Seseorang wanita itu sanggup menghadapi susah dan senang bersama dengan lelaki yang dicintainya. Leo bukan lagi hadir setakat di alam mimpi. Dia sudah ada di hadapan mata. Mimpi yang panjang itu sudah berakhir.

“Mak dapat rasa rasa… Alin dah jatuh cinta, ya? Pada siapa? Mak rasa kali ni dengan orang yang tepat.”

Amalina tersipu-sipu. Tiba-tiba dia rasa malu. Kemudian dia berkata dengan nada perlahan.

“Emmm, rasanya macam tu lah mak!”

Dia terdiam sejenak kemudian berkata lagi.

“Mak ingat lagi tak masa keluarga Airiel datang meminang Alin dulu? Mak suruh Alih buat solat istikharah. Alin buat tiga malam berturut-turut. Tiga kali juga Alin nampak muka dia tu, mak.”

Puan Salimah merenung Amalina. Kemudian dia berkata lembut.

“Kalau betul dia jodoh kau, kau akan dapat rasakannya, Alin.”

“Ya, mak betul. Dia memang jodoh Alin.”

“Siapa dia?” tanya Puan Salimah.

Dia meneka-neka sendiri. Hatinya jadi tidak sedap pula secara mendadak. Takut pun ada! Minta-minta janganlah dia sebut nama itu!

“Leo,” jawab Amalina sepatah, memandang tepat ke wajah Puan Salimah.

Bibir Amalina tersenyum manis. Puan Salimah menyembunyikan rasa terkejut. Dia cuba mengembangkan senyum namun senyuman itu tidak sampai sesaat hilang dari wajahnya.

“Mak! Leo ada di sini mak. Di KL ni. Sekarang dia kerja di Omara Holdings.”

“Apa? Pemuda keturunan asli tu ada di sini?” tanya Puan Salimah.

Dahinya berkerut-kerut. Wajahnya berubah lagi, lebih terperanjat kini. Tidak sangka lelaki itu ada di Kuala Lumpur. Pasti Amalina dan Leo selalu bertemu. Itulah yang membuat wajah Amalina sentiasa ceria sekarang.

“Ya,” jawab Amalina, langsung tidak menanggapi reaksi ibunya yang terkejut.

“Dia kerja apa kat situ?”

“Jadi pemandu peribadi kepada penolong pengarah Omara Holdings.”

“Pemandu?” Puan Salimah menggelengkan kepala.

Apa lagi yang dia harapkan. Seorang lelaki yang tidak berpelajaran tentulah mendapat kerja yang bertaraf rendah. Ada kesal yang bermukim di hati Puan Salimah kini. Kenyataan ini amat pahit. Apakah Amalina tidak mengenal antara intan permata dan batu jalanan? Apa sudah jadi pada anaknya itu? Mati-mati dia menyangka Amalina memilih Hashim, setaraf dengannya dari segi pelajaran dan kedudukan dalam kerjaya.

Dia sudah lama berkawan dengan Hashim. Hashim baik dan cepat mesra orangnya. Puan Salimah baru bertemu beberapa kali, tapi setiap kali pertemuan itu selalu disulam kemesraan yang tulus.

Puan Salimah larut dalam arus fikirannya. Mengapa Leo yang harus jadi pilihan Amalina? Dia mengeluh perlahan.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Puan Salimah akan membantah dengan pilihan Amalina? Apakah rancangan Affendi seterusnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience