SUKAR untuk dinafikan tapi ramai yang bersetuju bahawa perkahwinan pelengkap kehidupan. Ada suami,
ada anak. Kalau yang perempuan pulak, dikira hebat jika ada cita-cita
nak jadi surirumah sepenuh masa. Duduk di rumah, bangkit Subuh,
berjemaah, siapkan sarapan untuk suami dan anak-anak, hantar suami pergi
kerja di muka pintu dan lambai anak-anak naik bas sekolah. Pagi pergi
pasar, tengah hari balik masak. Petang pulak tunggu suami balik dari
kerja dengan senyuman menawan menggoda. Gitu?
Tak tahulah apa yang tak kena dengan kepala aku ni, aku tak boleh nak
terima tu semua. Itu pepatah lapuk. Dunia sekarang ni, lelaki dan
wanita sama hebat. Aku tak kata wanita boleh jadi pemimpin tapi tak
mustahil. Hanya satu yang wanita tak boleh jadi, imam. Itu dah dikira
ajaran sesat tapi masih boleh jadi imam sesama perempuan apa.
Payah kan, hidup kalau tak terima petua lapuk zaman tok kaduk naik
junjung tu. Serius aku rasa nak hantuk kepala pada dinding, bagi lupa
ingatan. Lepas tu terima semua cadangan atau lebih tepat lagi paksaan
mama dengan papa untuk aku bernikah.
Inilah yang buatkan aku tak nak balik Malaysia seumur hidup ni kalau tak
ingatkan ada keluarga lagi di sini. Keluarga yang sangat bahagia pada
kakak dan adik aku tapi keluarga yang agak meresahkan pada aku pulak.
Bukan tak bahagia malah kami sangat bahagia. Mama dengan papa tak
pernah gaduh tapi aku nak hidup bebas. Terbang ke mana saja yang aku
nak. Galas Canon DSLR yang banyak memberi rezeki untuk aku tu.
Apa salahnya aku mengembara? Kata mama...
“Tak elok anak dara mengembara seorang diri. Cari suami, mengembara
sesama...”
Aku julingkan mata ke atas. Kalaulah suami tu jenis yang suka
mengembara. Buatnya jenis suka duduk di rumah, jadi anak dara sunti...
aku nak jadi apa?
Resah.
Papa punya pendapat lagilah kolot.
“Papa tak kisah Kejora nak kat siapa. Janji kahwin, jadi isteri yang
baik, duduk rumah, jaga makan pakai suami... bahagia hidup Kejora dunia
akhirat. Macam mama ni...” Papa sengih.
Aku rasa nak tekup telinga. Dia nak aku jadi macam mama ke apa?
Ya...ya... aku akui mama tu sangatlah baik. Dulu gambar-gambar mama aku
tengok boleh tahan tapi lepas kahwin, kata nenek mama berubah seratus
peratus. Biarpun ada pendidikan tinggi, lama dia besarkan kami barulah
dia mohon jadi Pensyarah. Itupun sebab mama kahwin muda dan dia dapat
aku dan kakak aku, Aina tu dalam tahun yang sama.
Phew... mentang-mentang kakak dan adik aku dah selamat mendirikan rumah
tangga, aku pun dipaksa sama. Kononnya adik aku dah langkah bendul.
Hey, lelaki tau adik aku tu. Dikira langkah bendul jugak ke? Tak
adalah. Bukan perempuan.
KAHWIN?
Erghh... satu perkataan buat aku tak nak duduk di rumah. Baru je
landing pagi tadi tapi mama dah sebut pasal urusan nikah kahwin. Mama
tak tahu ke aku balik ni sebab kenduri kahwin si Aina tu. Cukulah tu
ada sorang menantu lelaki dan seorang menantu perempuan. Apa masalah
dia lagi. Tinggal nak dapat cucu je pun.
“Ni balik berapa lama ni? Bila pulak nak terbang lagi?”
Aku tersentak. Baru je rasa nak kemas bagasi ke dalam almari. Terus
tak jadi. Senang cerita biar duduk situ jelah pakaian aku tu. Senang,
kalau rasa nak cabut, aku heret apa yang ada.
“Soalan macam tak nak aku duduk rumah je...” Aku kerling Aina yang
sedang ketawa mengekek.
Masa kecik-kecik aku panggil dia kakak dan dia pun panggil aku adik.
Lepas dah dewasa ni, senang ber aku-kau je. Rasa lebih rapat biarpun
sejak habis belajar aku banyak mengembara. Jadi nomad moden.
Aina dah duduk di birai katil. Menyilang kaki dan menongkat tangan ke
belakang. Dia pandang aku yang dah kaku tak buat apa-apa.
“Kau nak apa ni?” aku jeling tangan Aina. Dah pun diinai. Malam ni
dia akad nikah dan on the nick of time, aku landing Subuh tadi.
“Aku ingat kau tak nak balik dah?”
“Dah kau hari-hari hantar emel. E-Card la... e-Song la...
macam-macam. Semak mailbox aku!”
Aku mencebik dalam hati. Gila tak balik. Inilah satu-satunya kakak
yang aku ada. Terlepas hari kebesaran dia, aku rasa akulah orang paling
rugi nanti sebab kena banish dengan mama dan papa.
Aina ketawa besar. Dia raih bahu aku dan menjeling pada sebuah buku
skrap yang baru aku bawak keluar daripada beg galas.
“Kali ni Negara mana pulak?”
Aku sengih. “Africa.” Gelak.
Aina merengus. “I am damn serious, Laisa Kejora !”
Tak jadi aku nak ketawa. Sejak nak jadi isteri ni aku nampak Laisa Aina
ni dah berubah sikit. Suka membebel. Dah jadi macam mak nenek. Dan
bertambahlah lagi satu factor yang aku tak nak kahwin. Nanti jadi tua
sebelum usia. Sia-sia hidup aku.
“Aku pun...” sela aku tawar.
“Yang kau ni, kan... padahal sembang dengan aku tiap-tiap hari.
Webcam la, apa la... tapi kenapa aku tak perasan kau berubah eh?”
Dia kerutkan kening. Tak faham. Muka suci je. Menyampah.
“Aku rasa kau dah banyak berubah. Dah suka membebel. Ke sebab dah
dekat nak jadi isteri sebab tu dah praktis awal-awal cara membebel? Eh?’
Bulat macam guli mata Aina pandang aku. Tak puas hati.
“Ei... dia ni. Ada ke cakap macam tu. Laki aku tu baik tau. Nak
membebel apa pulak? Kau ni memang kena bagi kahwin baru otak tu betul
sikit...” Dia tolak kepala aku.
Aku mengelak. See... kan dah cakap. Dia memang dah lain. Macam
mak-mak orang dah. Ataupun isteri yang tunggu suami tak balik rumah.
“Hey, kalau aku jadi macam kau sebab kahwin, tak nak aku... cukuplah kau
je kahwin. Aku nak hidup bebas lagi kat luar sana. Banyak Negara lagi
aku tak pergi. Ni Artartik aku tak sampai lagi, tahu?”
“Gila!” cemuh Aina.
Aku buat muka suci biarpun Aina buat muka keji. “Mama tak adanya nak
lepaskan kau pergi macam tu je kali ni kalau kau tak diikat...”
“Ikatlah dengan rantai 10 tan sekalipun, aku tetap boleh lepaslah...”
“Mama ikat Kejora dekat suami Kejora , nak tengok boleh lepas ke tidak...”
Gulp... aku telan liur. Aina ketawa halus dan terus bangkit ke pintu.
Mama! Pitam aku. Tiba-tiba terus je aku rebahkan tubuh buat-buat tak
sedar diri sebelum aku dengar gelak tawa Aina yang pecah lepas.
“Kejora jangan nak berlakon eh...” Mama dan duduk dibirai katil.
Aku buat-buat berat mama nak pandang mama. “Kejora ngantuk ni, ma... Kejora
tidur dululah...”
Mama bangkit bercekak pinggang. “Laisa Kejora binti Zafran!”
Tu dia... nama penuh okey? Nama penuh tu. Itu nama penuh aku. Laisa
Kejora binti Zafran. Kakak aku Laisa Aina dan adik lelaki aku Zakhri
Adha. Bila mama sebut nama penuh bermakna memang dia sedang tahan marah.
Automatic aku bangkit menegakkan duduk. Terpandang pulak Aina yang
sedang tahan ketawa di muka pintu.
“Lepas ni mana pulak Kejora nak pergi?” soal mama.
Gamaknya dia dengar kot aku cakap apa dengan Aina tadi. Siol punya
kakak. Saja nak bagi aku terikat kejap dalam rumah ni.
“Err...” Dah sudah. Hilang kata dah.
“Nak pergi Antartik pulak?” sergah mama.
Aku langut kepala. Pandang mama yang nampak merah wajah dia.
Lambat-lambat aku sengih dan mengangguk.
“Boleh tak?”
“Boleh...” Jawapan mama buat aku bulat mata, buat Aina kejang rahang.
“Tapi kahwin dulu...” Dan sambungan dia buat aku rebah kembali dan Aina
ketawa sampai terguling.
Erghh... kalau aku tahu, aku tak balik rumah.
Share this novel