Enam bulan kemudian...
Seorang jururawat tergesa- gesa masuk ke dalam kamar besar yang dihiasi dengan barangan mewah itu apabila kedengaran kuat suara bayi menangis memenuhi ruangan bilik. Jururawat yang bernama Ain itu segera mendukung bayi lelaki yang air matanya sudah membasahi seluruh wajahnya. Ain mula memujuk dengan memeluk bayi itu dengan penuh kasih sayang. Matanya sempat mengerling pada ibu bayi tersebut yang hanya diam masih tidak berkutik di atas katil seperti langsung tidak memperdulikan bayinya itu.
"Mengapa dia menangis?" Tan Sri Mansur masuk ke dalam bilik itu apabila terdengar tangisan bayi lelaki dari biliknya. Dia yang baru selesai menunaikan solat fardu asar segera bangkit daripada sejadahnya untuk melihat perkara yang berlaku.
"Mungkin dia lapar. Tan sri jangan risau saya akan menjaga mereka dengan baik." Jururawat muda itu tersenyum melihat majikannya yang sungguh prihatin terhadap menantu dan cucunya itu. Dia juga berharap agar satu hari nanti fia akan mendapat bapa mertua seperti Tan Sri Mansur yang bukan saja kaya raya tetapi juga sangat baik dan penyayang.
"Mengapa Qalifh menangis?" Satu suara pula kedengaran masuk ke dalam bilik itu. Aqil yang baru saja pulang dari kerja terus berlari naik ke atas apabila mendengar suara tangisan bayi daripada tingkat atas.
"Dia lapar mahu menyusu." Tan Sri Mansur ketawa melihat gelagat Aqil. Dia berasa itu adalah perkara yang lucu apabila mereka kini sangat peka jika mendengar suara bayi menangis dan langsung mendapatkan bayi itu untuk memujuk.
"Beruntungnya puan, dapat bapa mertua dan adik ipar yang prihatin macam tan sri dan Encik Aqil." Ain memuji kedua-dua lelaki di hadapannya itu. Sejak dari hari pertama dia bekerja di situ dia melihat betapa sayangnya kedua lelaki itu kepada Rina sehingga dia berasa cemburu dan terharu.
"Macam mana saya tidak sayangkan menantu saya, Ain. Dia yang melahirkan keturunan saya dengan bertarung nyawanya." Tan Sri Mansur memandang Rina yang terbaring kaku di atas katil. Wajahnya berubah serta merta apabila melihat wajah menantunya yang mencengkung dan pucat itu.
Melihat wajah Tan Sri Mansur yang sudah berubah dari yang ceria menjadi sedih, Aqil segera datang memeluk bahu bapanya. Dia tahu bapanya masih tidak dapat memaafkan diri sendiri apa yang telah menimpa keluarga mereka saat itu.
"Sabarlah tan sri, saya yakin satu hari nanti pasti Puan Rina akan bangun." Ain cuba memberikan semangat kepada keluarga mertua wanita muda itu. Inilah pengorbanan besar seorang ibu untuk anak yang dilahirkan walaupun harus memberikan nyawa sebagai taruhan. Rina koma akibat pendarahan sewaktu melahirkan Qalifh itulah apa yang dikatakan oleh doktor wanita yang merawatnya dulu. Sudah masuk enam bulan wanita muda itu terbaring tidur tidak terusik langsung dengan keadaan sekitar.
Qalifh menangis lagi dan segera Ain mendapatkan Rina dibantu dengan Aqil. Rina disandarkan pada kepala katil dengan bantuan bantal di belakangnya. Sebaik saja Rina seperti keadaan sedang duduk, Tan Sri Mansur dan Aqil berlalu keluar daripada bilik itu memberikan ruang untuk Rina menyusui Qalifh. Qalifh tidak mahu menyusu menggunakan botol susu dan lebih parah lagi apabila bayi itu tidak mahu dengan susu formula. Mereka sempat panik dengan keadaan itu tetapi mereka berasa takjub apabila doktor mengatakan bahawa Qalifh masih boleh menyusu badan melalui Rina walaupun wanita itu dalam keadaan koma kerana susu badannya penuh dan mereka semakin takjub lagi susu badan itu hanya penuh apabila Qalifh berasa lapar. Bagaimana hal itu boleh terjadi sedangkan Rina tidak menikmati langsung makanan atau minuman yang berkhasiat? Sesungguhnya Allah Maha Besar dan melindungi hamba-hamba-Nya yang bertakwa.
Selesai Qalifh disusui, Aqil dan Tan Sri Mansur masuk semula ke dalam bilik Rina untuk bermain dengannya. Tanpa Tan Sri Mansur sedari Aqil mendekati Rina dan membetulkan selimut yang menyelimuti Rina agar gadis itu berada di dalam suhu yang selesa.
"Bangunlah Rina, tidak mahukah awak memeluk Qalifh? Tidak rindukah awak kepada anak yang awak kandungkan selama ini? Bagunlah, kasihani dia. Dia perlukan awak untuk membesar dengan baik." Aqil berbisik sambil melihat wajah Rina yang pucat lesi seperti tidak berdarah.
"Encik Aqil sangat prihatin dengan Puan Rina sehingga saya berharap dapat mencari keluarga mertua yang mencintai saya sama seperti encik dan tan sri." Ain memandang wajah sedih Aqil yang memandang kakak iparnya itu. Tapi ada yang pelik dengan pandangan itu. Pandangan itu tidak ubah seperti pandangan seseorang kekasih terhadap orang yang dicintainya.
Ain membawa tuala kecil dan baldi yang berisi air untuk membersihkan Rina sebelum jam kerjanya tamat. Dia hanya menjaga Rina daripada lapan pagi sehingga pukul lima petang. Disebelah malam pula ada Mak Sofi yang akan menjaga Rina dan Qalifh.
"Mak Sofi cakap, setiap malam pasti encik bacakan surah yaasin untuk puan. Beruntung Puan Rina, walaupun suaminya jauh tetapi ada keluarga yang sentiasa mahu menjaganya." Ain memuji lagi sikap prihatin Aqil sambil tersenyum melihat Rina. Jika ibu muda itu tidak sakit dia sangat yakin Rina pasti cantik orangnya. Dia tidak pernah melihat wajah Rina yang 'hidup' kemerah-merahan kerana tiada satu pun gambar Rina berada di dalam rumah itu seakan-akan Rina baru berpindah ke situ kerana semua barangan yang berada disekeliling Rina semuanya baru dan berbau seperti kedai.
"Bukan dia yang beruntung tetapi lelaki yang berkahwin dengannya yang beruntung kerana mendapat isteri yang soleha seperti dirinya." Aqil mengeluh tanpa Ain sedari. Membayangkan betapa beruntungnya Haikal menikahi gadis sebaik Rina dia kecewa kerana bukan dia lelaki beruntung itu. Rina yang dituduhnya satu ketika dahulu melakukan perkara yang terkutuk ternyata gadis itu tidak berzina sebaliknya dia sudah berkahwin dengan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Apa sebenarnya yang berlaku di antara Rina dan Haikal? Sejak bila mereka mengenali satu sama lain dan melangsungkan pernikahan tanpa ada orang yang mengetahuinya? Dan mengapa Haikal meninggalkan Rina sendirian menghadapi fitnah daripada orang sekeliling termasuk dirinya yang tidak lepas daripada memfitnah gadis itu? Banyak persoalan yang bermain di minda Aqil ketika itu.
"Puan pasti sangat cantikkan dahulu?" Ain bertanya lagi mahu mengetahui pendapat Aqil tentang seberapa cantiknya Rina dimata lelaki itu. Jika dirinya sebagai seorang perempuan mengakui kecantikan Rina pasti kaum Adam juga mengatakan hal yang sama.
"Sangat cantik bahkan sehingga hari ini dia sangat cantik." Aqil memuji tanpa dia sedari kerana pujian itu lahir daripada hatinya.
Ain mengerling memandang Aqil. Dia tahu pandangan itu bukanlah pandangan yang sepatutnya diberikan oleh Aqil kepada kakak iparnya itu. Ada yang aneh tentang kelakuan Aqil. Seolah-olah lelaki itu cuba menyembunyikan perasaannya kepada Rina. Adakah lelaki ini jatuh cinta dengan kakak iparnya sendiri dan mengkhianati abangnya yang bekerja di luar negara? Ain! Apa yang kau fikirkan ni!
"Tan Sri, Aqil. Ada keluarga Cik Shofwah dibawah mahu berjumpa." Tiba-tiba suara Mak Sofi kedengaran di hadapan muka pintu. Tan Sri Mansur dan Aqil saling berpandangan. Mengapa Dato' Bahrin sekeluarga datang ke rumahnya sudah lewat petang seperti ini.
"Terima kasih, Sofi. Kamu duduklah disini bantu Ain menguruskan Rina dan Qalif sebentar." Tan Sri Mansur menyerahkan Qalifh ke tangan Mak Sofi sebelum berlalu keluar dengan Aqil dari bilik Rina.
Mak Sofi mendekati Rina dan dibaringkan Qalifh disebelah wanita muda itu. Mak Sofi dan Ain mula menanggalkan baju Rina satu persatu untuk disalinkan pakaiannya dan dilap tubuhnya. Mak Sofi berasa sedih setiap kali dia membantu Ain menguruskan Rina kerana tidak sampai hati melihat wajah pucat Rina. Dia membayangkan jika itu adalah anak perempuannya pasti dia akan meraung meratapi nasib.
"Lihat Mak Sofi, Qalifh kenal siapa ibunya." Ain menundingkan jari telunjuknya ke arah Qalifh dimana jari-jari kecil Qalifh menggenggam jari telunjuk Rina sambil ketawa seperti sedang diagah seseorang.
"Kasihan ibu dan anak ini. Sudah cukup banyak mereka terseksa." Tanpa sedar Mak Sofi berbicara sehingga menarik perhatian Ain.
"Apa maksud Mak Sofi? Ceritalah pada Ain pasal Puan Rina. Ain nak tahu sangat siapa perempuan muda yang Ain jaga ini. Ain rasa ada yang pelik tentang keluarga ni." Ain memujuk agar wanita itu membuka mulut dan bercerita kepadanya. Sewaktu dia menandatangani kontrak di rumah itu dia diberikan beberapa peraturan iaitu dia tidak boleh bertanya sesuatu yang bukan urusannya dan dia harus merahsiakan kepada semua orang siapa yang dirawat oleh dirinya.
Jika dia melanggar perjanjian itu Tan Sri Mansur berhak mengheretnya ke penjara. Pada awalnya Ain berasa ragu-ragu mahu bekerja disitu tetapi memandangkan gaji yang sangat lumayan boleh buat tampung perbelanjaan ibu dan adik-adiknya di kampung dia bersetuju dengan syarat-syarat itu.
"Mak Sofi tak tahu apa-apa. Puan Rina baru berpindah masuk ke dalam rumah ini jadi Mak Sofi tak tahu banyak pasal dia." Mak Sofi sedar akan kekhilafannya segera menafikan dengan riak wajah yang cuba dikawal.
"Tadi Mak Sofi kata Puan Rina sudah lama terseksa macam mana Mak Sofi tahu?" Ain mengecilkan matanya tidak mempercayai kata-kata Mak Sofi yang cuba mengalihkan tajuk perbualan mereka kepada yang lain.
"Mak Sofi saja je cakap macam itu sebab yelah mengandung duduk seorang di rumah tanpa suami. Mestilah dia rasa terseksa dengan kesunyiankan?" Mak Sofi berpura-pura sibuk mengemaskan pakaian Rina yang baru diganti.
"Oh, ingatkan apalah tadi. Tapi kan peliklah kenapa dia tak ikut Encik Haikal pindah ke luar negara bersama?" Ain bertanya pelik dan menunggu jawapan Mak Sofi lagi.
"Puan Rina masih belajar di sini jadi mana mungkin dia harus mengikuti Encik Haikal di sana." Mak Sofi sedaya upaya mencari alasan agar jawapan yang diberikan kelihatan logik.
"Betul juga tu, cemburunya saya dengan Puan Rina ni Mak Sofi. Suami anak tan sri, bapa mertua kaya, adik ipar prihatin dan kacak macam Encik Aqil. Macam puteri dalam cerita dongeng saja hidup Puan Rina kan Mak Sofi?" Ain mula berangan.
'Jika itulah yang terjadi pasti wanita ini tidak terbaring kaku di sini, Ain. Dia bukan seperti puteri di dalam cerita dongeng tetapi dia anak yatim piatu yang dirampas kebahagiannya dalam keadaan terpaksa. Andai kau tahu Ain betapa terseksanya dia menjalani hidup dengan fitnah orang terhadapnya, pasti kau tidak akan mencemburi dirinya malah kau akan meminta agar dijauhkan daripada tertimpa musibah sepertinya.' Mak Sofi berkata dalam hati dengan pandangan berkaca-kaca memandang Rina.
Mak Sofi tahu serba sedikit dengan kehidupan Rina daripada Aqil. Tiada sesiapapun di dalam rumah itu yang tahu bahawa Aqil mengenali Rina melainkan Mak Sofi itu juga kerana ketika Mak Sofi mengemas bilik Aqil, Mak Sofi terlihat komputer riba yang terpasang memaparkan gambar-gambar Rina. Ketika Aqil mengetahui rahsianya sudah terbongkar, dia menceritakan semuanya kepada Mak Sofi yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Mendengar cerita Rina daripada Aqil, Mak Sofi ikut mengalirkan air mata mengenangkan nasib malang yang menimpa Rina itu.
"Bangunlah, nak. Semua orang menantikan dirimu." Mak Sofi mencium dahi Rina sebelum dirinya dan Ain terkejut melihat air mata yang mengalir di bucu mata Rina. Ini pertama kali dalam enam bulan mereka melihat perkara itu.
"Biar saya panggilkan tan sri." Ain segera mahu berlari memberitahu tan sri tetapi ditarik tangan Ain dan menggeleng dengan pantas.
"Jangan, kamu tidak boleh ke bawah kerana tan sri ada tetamu. Kamu seharusnya tidak boleh dilihat berada di dalam rumah ini. Kamu jangan lupa apa yang kamu persetujui di kontrak kamu. Nanti saja kita beritahu mereka. Sekarang kamu baliklah dahulu ikut pintu belakang dan jangan sampai tertangkap." Mak Sofi mengingatkan Ain agar jangan terburu-buru.
Ain mengangguk dan berterima kasih kepada Mak Sofi kerana mengingatkan dirinya tentang kontrak yang ditandatangani. Ain menggenggam tangan Rina dan berbisik kata-kata semangat kepada majikan perempuannya itu sebelum mengemas barang-barangnya dan pulang ke rumah.
Shofwah menundukkan wajahnya ke bawah apabila Aqil menangkap dirinya yang sedang mencuri pandang lelaki itu. Terukir senyuman kecil dibibir wanita itu. Terubat rasa rindunya kepada Aqil, tunangnya yang sudah hampir tujuh bulan itu apabila lama sekali mereka tidak berjumpa kerana kata orang-orang tua darah ketika itu sedang manis jadi mereka tidak boleh selalu berjumpa takut hilang serinya. Tapi dia juga yakin Aqil juga tidak akan mahu berjumpa dengannya jika hanya berdua. Selalunya Aqil berjumpa dengannya hanya di rumah mereka itu juga apabila bapanya yang mengajak bertamu di rumah.
"Maafkan aku, tak telefon dulu sebelum datang ke sini." Dato' Bahrin meminta maaf kepada Tan Sri Mansur kerana kedatangannya yang tiba-tiba itu. Sebenarnya dia sekeluarga baru saja balik daripada Pahang dan bawa buah-buahan yang banyak untuk diberikan kepada Tan Sri Mansur dan Aqil.
"Tak mengapa. Aku dengar daripada Aqil kau pergi Pahang." Tan Sri Mansur tersenyum mendengar permintaan maaf Dato' Bahrin.
"A'ah. Ini ada aku bawakan banyak buah dari dusun aku. Nanti kau suruhlah Razak turunkan dari bonet kereta aku." Dato' Bahrin dengan nada mengarah kepada Pak Razak yang baru saja masuk ke dalam rumah. Kelakuannya itu mengundang kerutan di dahi Aqil. Dia tidak suka dengan cara Dato' Bahrin melayani orang yang dianggap tidak setaraf dengan mereka oleh bakal mertuanya itu.
"Tak apa, uncle. Nanti Aqil turunkan dari bonet kereta uncle." Aqil memberikan isyarat kepada Pak Razak agar meneruskan langkahnya yang mahu menuju ke dapur.
"Kamu ni, Aqil. Jangan baik sangat dengan orang. Mereka itu pekerja, biarlah mereka buat kerja mereka kalau tak buat apa kita bayar gaji mereka?" Dato' Bahrin memandang wajah bakal menantunya itu dengan sedikit rasa jengkel dengan kebaikan yang ditunjukkan Aqil kepada orang gajinya.
"Alang-alang sudah berada di sini, saya nak bertanya bila tan sri sekeluarga mahu datang melamar Shofwah? Tak baik juga mengikat tali pertunangan lama-lama." Datin Suraya bertanya sambil memandang ke arah Shofwah dan Aqil silih berganti.
"Sebenarnya aku memang nak datang ke rumah kau besok untuk melamar dan tetapkan tarikh pernikahan mereka. Maafkan aku sebab terlambat ke rumah kau sampaikan kau pula harus ke sini." Tan Sri Mansur meminta maaf kepada Dato' Bahrin sekeluarga.
Mendengar itu membuatkan Aqil tidak senang duduk. Dia terlupa bahawa dia sudah bertunang dengan Shofwah. Mengapa dia berfikir yang dirinya dan Rina masih mempunyai harapan untuk bersama?
"Aqil? Kamu dengar tak apa yang papa cakap ni?" Tan Sri Mansur menepuk tangan Aqil disebelahnya yang berangan.
"Huh?" Aqil memandang semua orang yang memandangnya.
"Bila kamu rasa tarikh yang paling sesuai tak clash dengan jadual kamu di syarikat dan perkara lain?" Tan Sri Mansur bertanya lagi mengulangi soalannya.
"Aqil sibuk dengan projek baru di Shah Alam sana tu. Projek tu akan siap dalam jangka masa tiga bulan sahaja lagi. Kenapa?" Aqil berseloroh tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan Tan Sri Mansur.
Shofwah mengangkat wajah memandang Aqil dan mereka bertentangan mata. Shofwah memberikan senyuman manisnya kepada Aqil mendengar kata-kata yang ditunggu selama hampir tujuh bulan itu.
"Baiklah, nampaknya dua-dua sudah tidak sabar mahu berkahwin." Dato' Bahrin ketawa terbahak-bahak melihat tingkah anak dan bakal menantunya itu.
Mata Aqil membulat. Apa yang dia sudah lakukan? Berkahwin dengan Shofwah tiga bulan ke hadapan? Dia masih berlum bersedia. Tiba-tiba Aqil berdiri sehingga semua mata kembali lagi ke arahnya.
"Kenapa?" Tan Sri Mansur bertanya pelik.
"Aqil naik atas sekejap mahu menghantar emel pada pelabur projek kita di Bangasar. Aqil terlupa yang Aqil belum hantar emel itu lagi." Aqil memberi alasan.
"Kamu ni. Shofwah nanti kalau kamu sudah berkahwin banyakkan bersabar dengan Aqil yang kuat bekerja ni." Tan Sri Mansur menggelengkan kepala melihat gelagat Aqil yang seperti cacing kepanasan itu.
"Baguslah lelaki kuat bekerja untuk keluarga. Pergilah selesaikan tugas penting kamu dulu." Dato' Bahrin memberikan keizinan kepada Aqil agar menguruskan pekerjaannya. Dia memang suka lelaki yang kuat bekerja untuk masa hadapan kerana dia juga sama seperti Aqil sehingga sering mendengar bebelan Datin Suraya.
Aqil naik ke atas dan sempat membalas senyuman Shofwah. Sampai di tingkat atas, Aqil tidak masuk ke dalam biliknya melainkan dia masuk ke dalam bilik Rina. Mak Sofi yang mendodoi Qalifh memandangnya dengan pandangan pelik. Aqil mendekati Rina dan melutut di sisi perempuan itu tiba-tiba.
"Rina apa yang Aqil sudah buat? Mengapa Aqil tidak bahagia mahu berkahwin dengan wanita yang sebaik Shofwah? Mengapa Aqil tidak boleh lupakan Rina?" Aqil mengadu sambil menundukkan wajahnya.
"Kenapa ni Aqil?" Mak Sofi bertanya kepada Aqil apabila risau melihat keadaan lelaki muda itu.
"Mak Sofi, Aqil sudah berdosa pada Shofwah. Aqil tidak mampu mencintai Shofwah seperti yang Aqil harapkan. Aqil tidak boleh melupakan Rina." Akhirnya Aqil mengalirkan air matanya.
"Aqil, bawa mengucap nak. Ingat, Rina isteri abang Aqil. Aqil tidak boleh berkelakuan seperti ini." Mak Sofi memujuk Aqil. Dia faham perasaan Aqil yang terpendam itu. Sudah lama dia cintakan Rina tetapi akhirnya mereka tidak ditakdirkan bersama.
"Haikal tak layak jadi suami Rina, Mak Sofi! Dia seksa Rina sama seperti dia seksa Aqil." Aqil bertambah marah mendengar kenyataan bahawa Rina isteri abangnya.
"Walau apapun yang Aqil nafikan, dia tetap hak Haikal. Isteri yang sah dinikahi dan Qalifh adalah anak mereka." Mak Sofi menunjukkan Qalifh di dalam dukungannya yang sedang tidur dan tidak terjejas dengan suasana yang agak bising itu.
Aqil memandang ke arah Qalifh. Serta merta Aqil beristighfar dan menenangkan dirinya sebelum turun ke bawah semula. Keluarga Shofwah masih dibawah mungkin sehingga ke malam. Aqil membuang bayangan Rina jauh dari fikirannya dan menumpukan perhatiannya kepada Shofwah yang menyambut kedantangannya saat itu dengan senyuman.
Share this novel