Lukisan Ayah

Horror & Thriller Series 22056

Aku merenung ke luar tingkap rumah sewaku. Hujan jatuh membasahi tingkap aku yang tertutup. Rintik rintik hujan berlumba lumba turun ke bawah.

Bibir bawah aku gigit. Aku bosan. Aku mahu keluar. Atmostfera bilik aku ini terasa gelap. Terasa lembab. Tidak bermaya.

Mata aku alihkan ke arah dinding aku. Lukisan yang Khalil berikan aku semalam.

Lukisan sekuntum bunga berwarna merah jambu. Aku tertawa.

“Kau simpanlah. Aku lukis semalam, tapi aku tak tahu nak bagi siapa.” Ujarnya tiba tiba lalu berlalu pergi begitu sahaja.

Kelakar rasanya kerana tiba tiba sahaja dia berikan lukisan itu kepadaku. Apa yang lebih kelakar ialah aku tampalkan lukisan itu di dinding bilik aku.

Lukisan itu mengingatkan aku kepada satu kisah. Kisah tentang seorang budak kecil bernama Qah dan lukisan ayahnya.

Kaki kecilnya berlari lari anak di atas lantai kayu rumah pusaka itu. Bibirnya menguntum senyum apabila melihat kakaknya menjenguk dari belakang pintu yang terbuka sedikit.

“Kakak!” Qah menjerit sambil ketawa kecil. Dia membuka pintu itu seraya berteriak, “Dah jumpa kakak!”

Senyumnya yang luas berubah menjadi monyok apabila kakaknya sudah tiada di situ. “Mana kakak?” Qah bertanya, sudah mula mahu mengamuk kerana sudah penat mencari kakaknya.

Dia berjalan perlahan lahan ke dalam bilik yang gelap, badannya yang rendah tidak sampai mahu membuka suis lampu. “Kakak!”Jeritnya lagi lalu mencebik.

Saat itu pintu di belakangnya tertutup. Kini, hanya dia dan kegelapan yang tinggal di dalam bilik itu. Dia mahu lari keluar pada waktu itu juga tetapi dia terlalu takut untuk bergerak.

“Ha!”

Badan Qah yang kecil tersentak sebelum sepasang tangan memeluknya dari belakang dan lampu dinyalakan.

Qah berpaling dan merenung wajah empunya suara itu.

“Kakak!”Dia memasang wajah marah lalu ketawa kakaknya meledak. “Mesti adik takut,kan?” Usik kakaknya lagi sebelum sambung ketawa.

Qah menjeling geram. “Tak nak kawan kakak!” Qah memeluk tubuh dengan bibir dicebik comel.

“Alololo adik janganlah marah kakak.”Kakaknya memeluk tubuhnya yang kecil, tanda meminta maaf.

“Qah bagitau ayah!” Si adik itu mengugut menyebabkan senyuman kakaknya pudar.

“Eh..”Qah menekup mulutnya sendiri dengan tangan kecilnya. “Ayah dah takde, kan?” Tanyanya, seolah olah meminta kepastian walaupun dia sendiri melihat ayahnya dikuburkan beberapa minggu lepas.
Dia terlupa.

“Qah minta maaf.” Qah meletakkan tangannya di kedua dua belah wajah kakaknya yang sepuluh tahun lebih tua daripadanya. “Qah lupa.” Sambungnya saat melihat mata kakaknya mula berkaca.

“Takpe, kakak pun terlupa juga kadang kadang.” Si kakak tersenyum pahit dan memeluk adiknya.

“Janganlah sedih, kakak.” Qah mencium pipi kakaknya lembut.

“Kakak tak sedih pun.” Kakak Gadis berambut lurus panjang itu bangun lalu mengangkat adiknya di dalam pelukannya. “Jom makan aiskrim.”

“Yeay aiskrim!” Qah mengangkat kedua dua tangannya bersorak.

Sesampainya di dapur, kakaknya meletakkan dia di bawah lalu membuka peti ais. Aiskrim coklat dicedok dan diletakkan di dalam mangkuk kecil lalu diberikan kepada adiknya. “Ambil sudu kat atas meja tu ya.”

Suruhnya lalu mencedok aiskrim untuk dirinya pula.
Seraya itu Qah berjalan ke meja untuk mengambil sudu.

Dia perlu memanjat kerusi untuk mengambil sudu tersebut. Waktu dia mahu memanjat kerusi itu, sepasang tangan menghulurkan sudu kepadanya.
Dia tersenyum lalu mengambil sudu tersebut dan turun dari kerusi.

Saat dia mendongak, tiada siapa berdekatan meja itu. Kakak masih di depan peti ais.

Siapa yang memberikannya sudu tadi? Qah mengingat kembali warna kulit tangan yang menolongnya tadi.

Dan hanya satu nama yang teringat di kepalanya. Ayah.
Tetapi itu mustahil. Qah mungkin kelihatan naif dari luaran, tetapi dia yakin ayahnya tidak akan bisa kembali kepadanya selepas mati.

Mulutnya yang dibelenggu ingin tahu didiamkan sahaja. Khuatir kakaknya sedih apabila perkara begitu ditanyakan.

Aiskrim di tangan dijamah dalam diam dan dia tersenyum apabila ditanya sedap atau tidak.

Malam itu dia tidur dalam perasaan ingin tahu lagi kerana dia merasakan tangan ayah yang kasar mengelus rambutnya yang sedang berbaring di atas katil. Dia terlalu takut untuk berpaling.

Hari harinya selepas itu seringkali diganggu oleh hal hal aneh. Dia tidak pernah melihat kelibat ayahnya yang sebenar, tetapi dia selalu ternampak tangannya , separuh wajahnya dan kakinya daripada celahan pintu yang terbuka dan dari bawah katil.

Terasa ibarat ayahnya masih ada di rumah itu, tidak pernah meninggalkan mereka.

Pernah sekali dia terjatuhkan mainan di bawah katilnya, belum sempat dia menghulurkan tangan untuk mengambi mainan itu, sepasang tangan muncul dari bawah katil dan mencampakkan mainan itu ke atas katil.

Tangan ayahnya.

Qah ibarat terhenti bernafas. Lutut dipeluk ketakutan namun dia mencuba sehabis baik tidak memberitahu hal itu kepada siapa kerana tidak mahu menguatirkan kakak dan ibunya.

Beberapa hari kemudian dia ternampak sepasang tangan menggapai gapai dari belakang lukisan burung puyuh lukisan ayahnya. Tangan itu ibarat melambai lambai dari belakang bingkai empat segi itu.

Jantung Qah berdegup laju ketika kakinya mendekati lukisan itu. Separuh hatinya berharap yang makhluk itu menghilang, separuh lagi hatinya berharap makhluk itu kekal kerana Qah hanya ingin tahu apa yang terjadi.
“A-Ayah?”Dia memanggil ragu ragu.

Lututnya lemah ketika kepala ayahnya perlahan lahan muncul di atas lukisan itu. Mata ayah bergerak gerak ke kiri kanan sebelum ia berhenti bergerak apabila dia ternampak Qah.

Mata Ayah kelihatan seperti dia sedang tersenyum. Qah tahu dia tersenyum walaupun mulutnya tidak kelihatan.

Saat itu kakak datang memeluknya dari belakang dan dia menjerit sekuat kuat hatinya. Untuk beberapa hari kemudiannya Qah demam panas namun mulutnya tetap dikunci. Tidak mahu ibu dan kakak tahu.

Tidak lama kemudian mereka berpindah kerana ibu mengatakan dia ternampak kelibat ayah di cermin bilik air. Ibu tidak pernah tahu Qah mengalami perkara lebih teruk dari itu.

Mereka berpindah ke rumah seorang lelaki, yang ibunya suruh panggil ayah. Waktu itu Qah terfikir yang ibunya bukan mahu berpindah kerana ternampak ayah, dia hanya mahu berpindah kerana dia mahu melupakan ayah.

Berbelas tahun berlalu, hari ini Qah kembali ke rumah keramat itu.

“Kakak, Qah dah sampai ni.. Qah tunggu kakak tau.”Qah yang sudah remaja bercakap dalam telefon dengan kakaknya.

“Okay, Qah tunggu.” Qah mengangguk walaupun kakaknya tidak bisa melihat pergerakannya itu. Beg beroda ditarik masuk ke rumah agam itu.

Dia dan kakaknya sudah merancang mahu bermalam di rumah itu sebelum menyambung perjalanan ke Terengganu.

Selain untuk berehat , dia juga amat merindui rumah tersebut. Kisah lama dilupakan dengan pemikiran yang itu semua hanyalah khayalannya yang dicipta sendiri untuk melupakan ayahnya ketika kecil.

Kakinya memijak lantai kayu yang dirinduinya dan senyum di bibir menguntum. Rindunya terubat juga akhirnya.

“Assalammualaikum,” Suaranya perlahan memberi salam dan meletakkan beg di biliknya.

Rumah itu itu tidaklah berhabuk atau bersepah kerana sejak mereka meninggalkan rumah itu, ibu mengupah rakannya untuk menjaga rumah itu sekali sekala supaya tidak dimamah using, supaya tidak menjadi tempat persinggahan penagih dadah.

Qah melabuhkan badannya di atas katilnya. Nostalgia merasuki pemikiran apabila syiling direnung. Dia selalu termenung di biliknya dulu ketika kecil, memikirkan segalanya yang bermain di fikirannya, yang tidak boleh diluahkan kerana ayahnya sudah tiada.

Ayah sahajalah tempat dia mengadu ketika kecil. Ibu tidak suka mendengar luahannya dan kakak kadang kadang terlalu sibuk untuk mendengarkan dia. Sejak ayah pergi dia lebih banyak menyimpan sahaja perasaannya.

Dia keluar dari bilik untuk pergi ke dapur,lantas matanya tertancap ke lukisan milik ayah di kaki lima.

Lukisan yang ditenung Qah pernah ketakutan dahulu. Burung puyuh dalam lukisan itu ibarat merenung ke arahnya sinis.

Qah teruskan berjalan ke dapur dan tersenyum melihat bahan masakan yang telah disediakan rakan ibu, Auntie Wan. Dia mula menghidupkan dapur gas dan memasak masakn ringkas untuk dia dan kakaknya makan nanti.

Ketika dia mengacau sayur campur di dalam kuali, bahunya dicuit.“Eh, kakak! Kata jauh lagi,”

Qah berpaling namun tiada sesiapa. “Kakak?” Tiada siapa menjawab.

Telefon di dalam kocek diambil dan mesej baru dibaca. ‘Kakak sampai dalam sejam lagi.’ Mesej dari kakak.

Bulu roma Qah meremang namun dia menolak jauh perasaan takut. Usai masak, dia menonton televisyen di ruang tamu.

Ketika itu sebiji bola bergolek dari bawah almari. Bola yang selalu dimainnya ketika kecil dahulu. Ia bergolek dan bergolek dalam garisan lurus hingga ia sampai di kaki Qah. Ibarat ia ditolak.

Qah mencapai bola merah itu. Senyuman terukir kerana dia teringat akan kisah lama dia bergaduh dengan kakak hanya kerana sebiji bola ini.

Dia meletakkan bola itu dia atas sofa sebelahnya.

“Qah!”

Qah menoleh dan wajah kakak menghiasi pandangannya. Dia bangun dan memeluk tubuh kakak yang kini sudah setinggi dia.

“Kakak rindu Qah.” Ujar kakak. Sudah berbulan sejak mereka berjumpa kerana mereka berdua masing masing sibuk dengan kerja.

“Qah pun rindu akak.”Qah mencium pipinya lembut.

“Jom makan,Qah dah masak.” Qah mengajak.

Mereka duduk di meja makan yang tidak berubah sejak dahulu lagi. Meja kayu di mana mereka pernah makan berempat dan bergelak ketawa.

“Rindu pulak waktu dulu dulu.” Kakak tersenyum pahit.

“Tulah.” Jawab Qah pendek lalu menyuap nasi ke dalam mulutnya.

“Yang penting sekarang, Qah masih ada kakak dan ibu. Dan Qah bersyukur.” Qah menngenggam tangan kakaknya erat.

Mata kakak berkaca namun dia tetap tersenyum.

Usai makan Qah pergi ke ruang tamu sementara kakaknya membasuh pinggan. Kakaknya masih berpegang erat dengan kata kata ayah, “Kalau kakak masak, Qah kena basuh pinggan, kalau Qah masak, kakak basuh pinggan.” Walaupun ketika ayah mengatakan kata kata itu mereka berdua masih kecil dan segala kerja rumah masih dibuat ibu.

Qah duduk di sofa dan tangan mencapai alat kawalan jauh. Saat itu dia baru tersedar bola tadi sudah tiada, dia menjenguk ke bawah sofa, tangan meraba raba mencari sebelum satu tangan mengenggam tanganya erat.

Dia tersentak lalu menarik tangannya kasar.

Nafasnya menjadi laju dan matanya mencari cari gerangan yang memegang tangannya tadi namun tiada siapa.

Seraya itu, bola bergolek keluar dari bawah sofa.

Qah beristighfar. Bulu roma meremang.

“Qah, jom jalan jalan kat pantai.” Kakak yang sudah menyarung tudung semula kelihatan di muka pintu ruang tamu.

“Yang muka pucat tu kenapa?”Kakak menegur sebelum Qah menggeleng kepala. “Jom.” Ujarnya.

Pantai itu masih sama. Pasirnya masih sama. Semuanya masih sama.

Perangai Qah yang suka berahsia pun masih sama. Dia tidak menceritakan apa apa kepada kakaknya tentang apa yang terjadi.

Malam itu usai makan malam, Qah dan kakaknya tidur di bilik lama mereka. Puas berbicara tentang kisah zaman kecil, tentang ibu dan ayah, tentang permainan ketika kecil, kakak tertidur.

Yang tinggal hanya Qah dan kesunyian.

Pada waktu itu juga pundi kencing mula membuat perangai, mahu membuang air kecil. Kalau boleh ditahuan mahu sahaja Qah tahan sampai esok pagi.

Pasti kerana dia minum teralu banyak petang tadi.

Kakinya ragu ragu berjalan di atas lantai kayu itu dan dia terpaksa melalui lukisan itu dan banyangan lama mula mengantui semula.

Tangan yang melambai lambai dan mata ayahnya yang mengintai daripada belakang lukisan itu, lemah lutut bila diingat semula.

Kepala ditundukkan apabila dia lalu di depan lukisan itu namun kepala terpaksa diangkat juga kerana bola merah tadi perlahan lahan bergolek ke arahnya dan mata tertancap semula ke arah lukisan itu.

Mata burung puyuh itu berkedip.

Qah tersentak. Dia mahu berlari masuk ke bilik semula namun badannya tidak mampu bergerak.

Saat itu, sepasang tangan keluar dari belakang lukisan itu.

Betul betul seperti yang berlaku belasan tahun lalu.

Ayah menjengukkan setengah badannya dari belakang dan Qah menutup matanya rapat rapat.

“Qah, Qah balik juga akhirnya. Ayah rindu Qah.” Suara ayah berbicara. Badan Qah menggigil.

“Qah?”

Qah membuka mata setelah namanya dipanggil lagi sekali dan kelibat itu masih di belakang lukisan itu.

Qah memberanikan diri dan mendekati lukisan itu.

Jantungnya berdegup seakan ia akan terkeluar dari dadanya namun dia perlu menghilangkan rasa ingin tahunya. Yang sudah bersarang belasan tahun lalu.
Tangan itu cuba menggapainya namun dia mengelak.

Dengan perasaan bercampur baur dia menarik lukisan itu jatuh ke lantai dan tangan itu hilang serta merta.

Di belakang bingkai lukisan itu, terlekat sepucuk surat.

Pagi itu, dia membaca surat itu bersama kakaknya.

Surat itu menceritakan perkara yang dilakukan ibunya sebelum kematian ayah. Rupa rupanya ibu curang dengan ayah sebelum ayah meninggal dunia lagi.

Di akhir surat, ayah menerangkan yang semuanya sudah todak penting lagi. Dia Cuma ingin melepaskan segala isi hatinya kerana dia tidak punya tempat mengadu.

Rupanya inilah dia rahsia lukisan ayahnya. Tidak hairanlah bayangan ayahnya kerap hadir dan membawanya ke situ.

Aku tersenyum, mereka kata semua lukisan punya rahsia. Entah apa rahsia di sebalik lukisan Khalil ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience