OBSES - 03

Romance Series 19920

"Mar..."

Marlia menoleh ke belakang. Kosong.

"Marlia sayang..."

Marlia menoleh lagi. Mendayu-dayu suara itu memanggilnya. Suara tenggelam namun masih kedengaran nada lembutnya. Marlia menapak beberapa langkah. Riak wajahnya gusar. Dia tak biasa dengan tempat ini. Tempat ini...

"Marlia, sinilah...," panggil dia lagi. Tempo nafas Marlia mula berubah rentak. Air matanya bergenang. Tubuh badannya menggigil.

"Jal... Jal! Kau ke tu? Jal, janganlah main-main!"

"Marlia..."

Marlia mencengkam kepalanya. Mata dipejam rapat. Tak peduli air matanya yang sedang mengalir. Suara Farizal tak putus-putus memanggilnya. Ada masa kedengaran kuat, seakan lelaki itu sedang berhadapan dengannya. Ada masa kedengaran jauh sekali. Marlia membuka kelopak matanya. Mencari-cari bayangan lelaki itu.

"Marlia..."

"Marlia..."

"Marlia..."

"MARLIA BINTI NORMAN!"

Marlia tersentak. Terbeliak biji matanya memandang tepat pandang dinding bilik kuliah tersebut. Merasakan suasana di sekelilingnya ketika ini sunyi, perlahan-lahan dia mengangkat kepala dan menoleh ke hadapan. Rata-rata semua pelajar di dalam kelas itu sedang tertumpu kepadanya termasuklah pengajar mereka di hadapan, Puan Wahida. Wanita berusia 40-an itu sedang berdiri mencekak pinggang. Memerhati tajam ke arahnya.

"Kalau rasa tak boleh nak beri komitmen dengan kelas saya, awak boleh keluar sekarang," katanya dengan nada mendatar. Marlia terdiam. Dia mengerling ke arah Edna yang sudah tertunduk mengemam bibir sendiri. Matanya kembali menatap wajah garang Puan Wahida.

"Tunggu apa lagi? Keluar sekarang. Cari tempat tidur yang lagi selesa dari kelas ni. Kelas ni tak perlukan spesies bangkai," lanjutnya lagi dan terus berpaling ke hadapan menuju ke papan putih yang hampir penuh dengan coretannya. Dia terus melanjutkan pembelajaran tanpa mempedulikan Marlia yang masih terdiam di tempatnya sendiri. Edna menoleh ke arah Marlia. Baru sedikit bibirnya terbuka, Marlia sudah bangun mengemas barang-barangnya.

"Mar... kau nak ke mana?" tanyanya perlahan. Marlia tidak menjawab. Hanya dengusan yang kedengaran. Siap mengemas kesemua barangnya, Marlia menolak kerusi ke dalam meja dan berjalan ke pintu belakang. Jika Puan Wahida boleh buat tak peduli, dia dua kali ganda boleh buat tak endah dengan pandangan rakan kelasnya yang lain. Tak perlukan spesies bangkai? Baik. Dia keluar.

Marlia menghembuskan nafas kasar. Ke kiri dan ke kanan dia menoleh melihat persekitaran di kawasan bilik kuliahnya itu. Sunyi. Dia mengerling pada jam di skrin telefonnya. Jam 10:45 pagi. Padanlah sunyi. Waktu rehat pagi dah habis 15 minit yang lalu. Marlia tiba-tiba kehabisan idea. Dia tak tahu mahu merempat di mana memandangkan rata-rata pelajar lain ada kelas masing-masing. Hendak ke kafe pun dia khuatir ada pensyarah lain duduk mengeteh di situ. Nanti lain pula hal yang timbul. Walaupun sebenarnya selalu saja dia timbulkan masalah.

Tanpa mengetahui tujuan tetapnya mahu ke mana, kedua belah kaki Marlia digerakkan berjalan di sepanjang koridor itu. Sesekali dia meraup-raup wajahnya sendiri kerana masih terngiang-ngiangkan mimpinya tadi. Dia tersengih sendiri. Entah ilmu apalah yang si Farizal ini gunakan sehingga membuatnya angau tak sudah. Sedangkan ada saja lelaki lain di dalam kolej ini yang jauh lebih berupa dari dia. Dah kalau namanya sedap mata memandang, macam itu jugalah Marlia. Seburuk macam mana pun wajah Farizal itu ketika itu tetap juga dia katakan kacak.

Ah, jadi rindu pula dia dengan lelaki itu sekarang ni. Dia berhenti berjalan. Sedar tak sedar, kakinya sudah membawa dia ke perpustakaan awam kolej tersebut. Dia memerhati segenap bangunan kecil tersebut. Kalau tak ada urusan penting seperti ingin photostat atau print kertas kerja, takkan pernah Marlia jejakkan kakinya ke sini. Namun hari ini, tercipta dalam sejarah hidup Marlia, dia menjejakkan kakinya ke sini kerana sudah tiada pilihan yang lain. Dia mengambil nafas sedalam mungkin sebelum dihembus perlahan dan melangkah masuk ke dalam. Jejak saja sebelah kaki, sudah terasa nyaman penghawa dingin yang di pasang di dalam perpustakaan tersebut. Meliar matanya memerhati isi dalam perpustakaan tersebut. Ada sesetengah pelajar sedang melakukan kaji selidik seorang diri, ada yang sedang bertungkus lumus menyiapkan laporan dan ada yang sedang bergelak tawa.

Sekejap. Bergelak tawa? Marlia mengecilkan matanya. Macam dia kenal nada gelak itu. Dia berjalan masuk ke dalam dan cuba menjengah. Mencari gerangan yang sesekali ketawa seronok itu. Kini, matanya tertumpu pada salah satu meja yang berada di hujung belakang bersebelahan dengan rak buku laporan senior-senior tahun sebelum ini. Ada tiga orang di situ. Dua orang sedang membelakanginya dan salah seorang lagi sedang berhadapan dengannya. Dan paling penting sekali, Marlia kenal ketiga-tiga orang tersebut.

"Psst!" Mendengar bunyi decihan seperti tikus itu, serentak dua orang yang sedang membelakangi Marlia itu menoleh. Marlia tersentak. Kini ketiga-tiga lelaki itu memandangnya. "Psst!" sekali lagi bunyi itu kedengaran namun kali ini ditambah dengan lambaian dari salah seorang tiga lelaki tersebut. Gayanya seperti memanggil Marlia untuk datang sertai mereka. Marlia meneguk air liur sendiri sambil menoleh ke kiri dan ke kanan. Risau bukan dirinya yang dipanggil. Tapi siapa saja yang tengah berdiri kat tengah-tengah perpustakaan ini selain dia. Ragu-ragu Marlia menapak mendekati mereka bertiga.

"Ya?" sebaik saja sampai, Marlia bertanya. Dia takkan duduk selagi tak diajak. Memang sikap dia selamba namun dia pun ada rasa segan dan malu. Sudahlah dia sedang berhadapan dengan buah hatinya sendiri sekarang ni. Mahu lagi segan dia dibuatnya. "Kau buat apa kat sini? Dah macam anak kucing hilang mak je aku tengok," tanya Naezmi. Salah seorang kawan baik Farizal. "Entahnya. Kau tak ada kelas ke sekarang?" tanya pula Rafiuddin juga kawan baik kepada lelaki itu. Farizal hanya diam tak bertanya apa-apa memandangkan soalan yang ingin ditanyakan pun sudah kawan-kawannya lontarkan. Diam dia memerhati wajah Marlia yang tersengih-sengih terkemut-kemut sendiri itu.

"Actually,..."

"Pergh, actually mat...," potong Rafiuddin bersama gelaknya. Naezmi berdecit menyuruhnya diam. Marlia menggigit bibirnya. Kuat dia memegang tali totebag yang dipakainya sekarang ni. "Ada kelas tapi... aku... kena halau."

"Hah?!"

Shh! Mereka berempat terdiam. Tertunduk-tunduk mereka meminta maaf sebaik saja mendapat jelingan tajam dari pegawai yang bertugas di perpustakaan tersebut. Naezmi mempelawa Marlia duduk. Rasa kasihan pula dibiarkan gadis itu berdiri lama. Memandangkan disebelah Farizal sudah ada Rafi, maka Marlia terpaksa mematikan angan-angannya dan terus duduk di sebelah Naezmi. Dalam hati usah kata, pelbagai kata kesat dia lemparkan untuk Rafi walaupun lelaki tu tak salah apa-apa.

"Seriuslah, Mar? Kau buat apa sampai kena halau ni? Sekarang masa siapa?" tanya Farizal ingin tahu. Dasyat betul Marlia punya nakal ni sampai kena halau. Marlia bila ditanya sebegitu oleh buah hati belum jadi, langsung tergeliat lidah. Tak tahu hendak bercerita macam mana. Malu pun ada sebab yelah, fikirkan sendiri awak-awak sekalian. Pelajar tahun akhir perempuan kena halau dengan pensyarah sendiri dan yang dapat tahu sekarang ni crush dan kawan-kawan crush sendiri... malu weh! Malu!

"Tak ada apa pun. Aku tertidur je sebenarnya tapi entahlah Puan Wahida tu pula angin moonsun mana datang dekat dia, dia terus halau aku. Dia cakap aku tak boleh bagi komitmen kat dalam kelas," jawab Marlia dan menundukkan wajah. Bermain bersama kuku sendiri. Mereka mengangguk faham. Marlia mengangkat sedikit wajahnya. Mencuri pandang wajah Farizal yang sedang berfikir sesuatu. "So, sekarang kau merempat kat sinilah?" tanya Rafi. Marlia sekadar mengangguk. Rafi dan Naezmi kembali berbual seperti biasa. Yang Marlia tahu mereka sedang bercakap tentang Puan Wahida. Farizal masih mendiamkan diri.

Marlia menghela nafas perlahan. Sudah ada peluang dapat bertentang mata, dapat bercakap, buah hati belum jadi pula diam tak bercakap apa-apa. Takkan dia mahu mulakan dahulu. Macam mana dengan Naezmi dan Rafi? Apa pula mereka berdua kata kalau dia terlalu tonjolkan diri dia untuk nak berbual dengan Farizal saja? Argh, Marlia rasa mahu hentak saja kepalanya ke meja sekarang ni.

"Mar, ikut aku kejap," tanpa angin ribut taufan guruh, Farizal bersuara. Lelaki itu bangun dan terus berjalan ke pintu keluar masuk perpustakaan. Marlia yang terpinga-pingan memandang Rafi dan Naezmi silih berganti. Tiba-tiba sangat ni. Tak sempat dia nak hantuk kepala dah ajak keluar. Tapi ke mana? Marlia terus melangkah laju mengikut jejak Farizal.

tak tau nak cakap apa

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience