Emak, terima kasih kerana dah lahirkan Min dan besarkan Min dengan baik.
Terima kasih jaga Min dengan baik, layan karenah Min, uruskan makan pakai Min. Maafkan Min sebab selalu susahkan mak, selalu sakitkan hati mak, selalu susahkan hati mak dan buat mak sedih. Min janji Min akan jadi mama yang baik macam emak untuk Faez. Tenanglah emak di sana, doa Min akan selalu menemani emak.
Aku mencium dahi emak yang sejuk dan kaku. Sedaya-upaya aku menahan rasa agar air mataku tidak menitis di atas jasad emak. Wajah emak yang tenang ku pandang lama. Min pasti akan rindukan mak sangat-sangat.
Aku hampiri umi yang terbaring kaku di sebelah mak. Aku mencium dahi umi seperti yang aku lakukan kepada emak.
Umi, terima kasih sebab umi selalu temankan mak bila Min tak ada. Terima kasih sebab sudi pilih Min sebagai menantu umi dan terima kasih sebab umi dah jadi mak mertua yang terbaik untuk Min. Min sayang umi macam Min sayang mak. Min akan selalu doakan umi.
Aku beralih ke tepi memberi ruang kepada Harriz untuk menatap wajah uminya buat kali terakhir. Sayu hatiku apabila melihat air mata lelaki itu jatuh buat pertama kalinya. Dia memeluk jasad yang terbaring kaku itu. Erat.
ALHAMDULILLAH, majlis tahlil untuk mak dan umi telah pun selesai. Aku kuat dengan semangat dan doa dari saudara-mara dan kawan-kawan. Aku mesti teruskan hidup dan pandang ke hadapan walaupun kadang-kadang jalannya berduri. Aku yakin dan pasti Allah akan sediakan jalan keluar yang terbaik untuk hambaNya.
Faez yang lena tidur aku cium. Terima kasih Faez sebab hadir dalam hidup mama. Kerana Faez mama lebih kuat jalani hidup ini. Mama dah tak ada sesiapa, mama cuma ada Faez. Mama akan selalu jaga Faez dan sayang Faez. Faez jangan tinggalkan mama ya sayang…
Aku tersenyum apabila melihat Faez yang menguntumkan senyuman. Entah apalah yang dia mimpi sampai tersenyum-senyum.
“Faez dah tidur?” tanya Harriz perlahan.
Aku mengangguk.
Pandai pulak Harriz ni kawal volume suara. Kalau cakap dengan aku bukan main lagi gegak-gempita suaranya. Hampir pecah gegendang telingaku. Bukan gegendang telinga je yang pecah, hati, jiwa, raga, sanubari dan kolam air mata pun konfem akan pecah.
“Sayang, esok papa ada flight. Tiga hari tau papa pergi. Faez jaga diri baik-baik tau. Nanti papa balik papa beli hadiah untuk Faez,” ujarnya selepas mencium Faez. Macam lah Faez faham apa yang dituturkannya.
“Flight ke mana?”
“Kau tak payah nak sibuklah. Kau jaga Faez baik-baik masa aku tak ada. Kalau aku balik tengok ada lebam ke parut ke kat badan Faez, nahas kau!” Harriz lantas meninggalkan aku dan Faez lalu menuju ke biliknya.
Aku terdiam mendengar kata-kata Harriz. Faez ini anakku. Aku yang lahirkan dia dengan bersusah-payah. Sudah tentulah aku akan lindungi Faez dengan nyawaku. Tidak percayakah Harriz kepadaku bahawa aku akan jaga Faez dengan baik?
Perkahwinan aku dah Harriz sudah masuk bulan ke sebelas tetapi langsung tak ada tanda-tanda yang Harriz akan menerima aku dalam hidupnya.
Harriz meletakkan beruang koala di sisi Faez. Seperti dijanjikan, Harriz membawa pulang hadiah untuk Faez. Aku cuma tersenyum senang. Mesti Harriz terbang ke Australia, tu yang boleh beli beruang koala tu!
“Malam ni Faez tidur dengan papa ya sayang. Papa rindu sangat dengan Faez ni,” ujanya sambil tangannya lincah mengagah anak kecil itu.
Mengekek Faez ketawa apabila digeletek papanya. Harriz mendukung Faez ke biliknya. Aku cuma memandang dari ekor mata. Pasti aku akan rindukan Faez malam ini.
Share this novel