Nediya turun daripada teksi. Dia melangkah masuk ke dalam rumah dengan keadaan lemah-gemalai. Dia betul-betul kecewa dengan keputusan Kak Dira itu. Namun dia tidak salahkan Kak Dira , sebaliknya dia akui bahawa ini semua memang salah dia. Kalaulah dia tidak menggunakan masa kerjanya itu semata-mata untuk berjumpa Khalif, mungkin dia akan melakukan kerjanya di salon dan tidak akan dipecat oleh Kak Dira. Namun apakan daya, nasi sudah pun menjadi bubur.
"Dhia dah balik dah? Dari mana ni?" ngelamun Nediya terhenti apabila Mak cik Khadijah yang tadinya sedang menjahit bantal di ruang tamu menegur anak daranya itu. Nediya dengan nada suara yang perlahan membalas. "Dhia.. Dhia baru balik dari salon Kak Dira, mak" Nediya berkata dalam nada yang tersekat-sekat.
Nediya menghampiri Mak cik Khadijah lalu memegang kedua tapak tangan emaknya. Digenggam tangan emaknya itu dengan erat. "Mak, Dhia ada nak cakap sesuatu dengan mak. Dhia dah kena buang kerja, mak." Nediya berkata dalam nada teresak-esak. Mak cik Khadijah mengusap bahu anaknya itu sambil berkata. "Dhia, sebelum ni bos Dhia selalu menelefon rumah ni tanya pasal Dhia kenapa tak datang kerja.." Nediya menatap mata emaknya sedalam-dalamnya.
"Mak, Dhia minta maaf kecewakan mak. Dulu Dhia lalai. Kalau bukan kerana taksub jalin hubungan dengan suami orang, mungkin ini semua takkan berlaku, mak. Maafkan Dhia." Nediya teresak-esak lagi. Dia pasti emaknya kecewa dengannya. Mak cik Khadijah cepat-cepat menyampuk. "Dhia, tidak ada satu orang pun dalam dunia ni terlepas dari membuat kesalahan. Dhia patut bersyukur sebab Allah sudah sedarkan Dhia. Perkara yang dah berlaku biarkan lah. Ambil iktibar. Apa-apa pun mak doakan supaya Allah memberikan rezeki lain buat Dhia. Doa mak sentiasa untuk Dhia kerana Dhia satu-satunya anak mak." ujar Mak cik Khadijah dengan panjang lebar.
Nediya terus menguncup kedua tangan emaknya dan memeluk emaknya itu. "Dhia janji Dhia akan dapatkan kerja untuk bantu mak." kata Nediya dalam pelukan emaknya. Mak cik Khadijah mengusap kepala anaknya itu. Berharap agar Nediya dapat terima qada' dan qadar Allah mengenai perjalanan hidupnya itu.
Share this novel