2. GILA

Romance Completed 575904

Sesampai di rumah, Hana mencampak beg tangannya sebarang lalu tubuh longlainya dia rebahkan ke katil. Dengan satu tangan di dahi, dia terkelip-kelip memandang lelangit kamar. Tidak ada apa-apa di sana, namun matanya seakan dapat melihat semua kenangan yang dia lalui bersama Nazeem. Bagai layar putih yang menayangkan sebuah filem. Bagaimana perkenalan mereka dalam Kelab Bola Tampar. Ketika itu dia di tingkatan empat, dan Nazeem di tingkatan lima. Bermula dengan menjalani latihan bersama setiap petang, hubungan mereka semakin rapat sebelum mengambil keputusan untuk menjadi pasangan kekasih. Ya, mereka masih terlalu muda saat itu, namun cinta tidak menghanyutkan mereka. Masa bertemu digunakan untuk menelaah pelajaran, sehingga akhirnya Nazeem berjaya melanjutkan pelajaran ke matrikulasi Kuala Pilah sebelum diterima masuk ke UPM dalam bidang perakaunan.

Setahun kemudian, dia pula ke Matrikulasi Tangkak sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang pemasaran di UTM. Jarak tidak merenggangkan hubungan mereka. Dua atau tiga minggu sekali, Nazeem akan mengunjunginya di UTM, atau jika lelaki itu sibuk, dia yang akan ke Serdang. Hubungan mereka kukuh dan utuh walaupun selama tempoh empat tahun di universiti, tidak sedikit lelaki atau perempuan yang mendekati mereka berdua.

Mereka sudah mengikat janji, akan setia mempertahankan hubungan mereka, dan mereka berjaya melakukannya sehingga hari ini. Tidak…Tidak…Sehingga pukul 8.15 malam tadi, sebelum Nazeem melafazkan kata perpisahan.

Air mata Hana mengalir lagi, mengingat betapa sia-sianya hubungan dia dengan Nazeem selama tiga belas tahun ini. Sia-sianya dia menunggu dan setia dengan lelaki itu. Sia-sianya dia berusaha mengambil hati umi Nazeem selama ini. Sedikit pun usahanya itu tidak dipandang, apa lagi dihargai. Dia rasa benar-benar terhina. Ya, terhina!

Dia bangkit, mencapai beg tangan yang dicampaknya ke lantai tadi. Tangannya meraba mencari telefon bimbit. Digeserkan telunjuknya pada skrin.

Terpampang gambar dia dan Nazeem ketika kali terakhir mereka keluar bersama lebih sebulan yang lalu. Semakin menjadi-jadi tangisannya saat melihat senyum Nazeem di dalam gambar itu. Senyum yang langsung tidak dia lihat malam ini.

“Awak jahat, Nazeem. Jahat…Jahat…” Dengan mata yang masih kabur, Hana membuka galeri foto telefonnya, berniat mahu memadam gambar-gambar Nazeem.

“Aku hapus kau dalam handphone aku! Menyemak! Sanggup aku clean up memory phone aku dua hari sekali, delete gambar dengan kawan-kawan aku, beli memory card, semata-mata nak simpan gambar kau. Tapi, kau tinggalkan aku, Nazeem!!! Jantan tak guna!!!”

“Select album!” Ada satu album yang mengandungi lebih 4000 gambar dia bersama Nazeem di dalam galeri itu. Namun saat jarinya mahu menekan delete, ada sesuatu yang menahan yang membuat jarinya tidak menyentuh skrin.

“Huk…Huk…Huk…” Dia tersedu. 4000 gambar, cukup untuk menggambarkan betapa banyaknya kenangan antara mereka, tidak termasuk gambar-gambar di mana belum wujud telefon pintar. Gambar yang diambil menggunakan kamera dan dicuci di kedai gambar. Masih tersimpan kemas semua foto itu di dalam albumnya.

Orang senang berkata 'move on', namun melakukannya tidak semudah memperkatakannya. 13 tahun, dia mengabdikan hati dan perasaannya kepada Nazeem seorang sehingga dia tidak memandang lelaki lain. Setianya, cintanya, hatinya hanya untuk Nazeem. Jadi, tidak mudah untuk dia’move on’ dalam hanya satu malam. Walaupun hatinya sakit, tetapi perasaan tidak rela itu tetap ada.

Hana membatalkan hasratnya untuk memadamkan gambar-gambar itu. Dia membuka pula aplikasi IG yang turut dipenuhi gambar-gambarnya bersama Nazeem. Ketika itu juga dia melihat ada satu direct message di IGnya. Pesanan dari Syakilla, salah seorang kawan karibnya di sekolah dahulu.

‘Hana, kau dengan Nazeem okay ke? Kenapa aku tengok Nazeem padam semua gambar kau dalam IG dia?’

Bagai ada satu pedang, dilibas, dan mencantas tangkai jantungnya saat membaca mesej dari Syakilla itu. Ya, tidak pelik tindakan Nazeem itu kerana mereka sudah berpisah dan Nazeem pun akan bertunang dengan Mila. Tetapi, tidakkah tindakan itu terlalu cepat. Mereka baru berpisah beberapa jam lalu, dan...

Nazeem sudah memadam semua gambarnya? Atau Nazeem sebenarnya sudah merancang lama untuk berpisah dengannya?

Ada rasa sedih, terkilan, tetapi tidak kurang juga marah dan bengang. Nampak seolah-olah Nazeem membuangnya. Walaupun hakikat itu benar, namun dia tetap tidak terima.

‘Aku dah broke up dengan dia.’ Itu sahaja jawapan Hana dan tidak lama dia melihat ‘Syakilla is typing’. Dia malas melayan pertanyaan lanjut dari Syakilla, sebaliknya dia mencari laman IG Nazeem. Sialnya, tidak dijumpai.

Tentu Nazeem sudah menyekatnya. Hana mengetap bibir, tangannya menggenggam telefon dengan kejap, menahan asakan emosi yang membuat dia seperti mahu menjerit sekuat hati.

“Tak apa Nazeem. Buatlah sesuka hati kau. Tuhan nampak dan Tuhan tak pernah tidur. Kau bukan suami aku, tapi kau dah buat aku tolak tiga lamaran lelaki yang buat aku masih tak kahwin walaupun umur aku dah 29 tahun. Semuanya sebab aku tunggu kau!!”

Tangan Hana terketar-ketar. Marah, sedih, kecewa bersatu.

“Tak apa, kau padam, aku pun boleh padam.” Maka, satu persatu gambarnya bersama Nazeem di IG itu dipadamkan. Bukan sedikit. Terlalu banyak. 2378 posts dan tiga perempat daripadanya adalah gambar-gambar dia bersama Nazeem.

“Sial betul. Lepas ni kalau ada boyfriend, aku simpan dalam hati je, tak payah simpan dalam IG. Kalau putus, move on. Tak payah susah-susah nak padam-padam gambar bagai. ” Sambil merungut, menyumpah, dan memaki Nazeem, tangannya memadam satu persatu gambar. Mahu nyah aktif akaun, sayang pula kerana ramai rakan-rakannya yang lain di IG itu. Lagipun, pada usia 29 tahun, sangat tidak matang dia menyah aktif akaun asbab putus cinta. Putus dengan Nazeem, mengapa perlu diputuskan juga hubungan dengan orang lain?

Hampir pukul dua pagi, baru Hana selesai memadam semua gambar. 'Zero posts'. Sayu melihat laman IGnya yang sudah kosong.

‘Good bye, pig!’

Hana tidak tahu pukul berapa dia terlelap semalam, namun saat alarm telefonnya menjerit nyaring pagi itu, matanya hampir tidak dapat dibuka.

Tangannya meraba-raba telefon, menutup alarm lantas meemejamkan semula matanya. Cuba untuk menyambung tidur, namun kepalanya yang berdenyut sakit, juga kelopak matanya yang panas saat dipejamkan, membuatkan dia bangkit. Hana bersandar pada kepala katil sambil memicit pelipis. Terlalu banyak menangis, dan melayan rasa kecewa semalam membuatkan tidurnya kurang nyenyak. Beberapa kali dia terbangun dan saat mengingat Nazeem bukan lagi kekasihnya, dia akan menangis. Puas menangis, dia tertidur semula. Begitulah, sehingga dia dikejutkan dengan bunyi alarm ini.

Dengan malas, Hana bangkit dari katil lalu menyeret kakinya menuju ke bilik mandi. Walau sebesar mana pun rasa kecewanya terhadap Nazeem, dia tetap perlu bekerja. Tidak mungkin dia terperap di rumah dan melayan rasa sedih ini sehingga kering air mata.

Di depan cermin, Hana memerhatikan wajah sembapnya. Mata bengkak, hidung merah, muka kembang. Benar-benar seperti overdose botox.

Hana memulas pili air sebelum membilas mukanya. Saat dia menunduk, kepalanya terasa benar-benar berat. Berdenyut-denyut sehingga mukanya terasa kebas. Mengabaikan rasa sakit itu, dia mengambil wuduk terlebih dahulu. Mungkin selepas solat, sakit kepalanya akan reda sedikit.

Langkah kakinya diatur keluar dari bilik mandi. Tuntutan dua rakaat itu dia tunaikan, sebelum dia berdoa supaya dia dapat melupakan Nazeem dan meneruskan hidupnya seperti biasa.

Telekung di kepalanya ditanggalkan, namun sakit kepala itu masih belum hilang. Jangan kata hendak bekerja, mahu memandu pun dia tidak yakin akan sampai ke pejabat. Silap-silap dijemput ambulans kerana kereta terbabas ke dalam longkang. Kepalanya benar-benar berat.

Hana akhirnya menghubungi pejabat dan mengambil cuti sakit. Dia tahu tidak sepatutnya dia mengambil cuti di saat rakan-rakan sejabatannya sibuk dengan penjenamaan semula, tetapi dia benar-benar tidak dapat bekerja hari ini.

Selesai mengemas telekungnya, dia ke dapur. Satu papan Panadol dia ambil dari kabinet. Dua biji dia keluarkan sebelum menelannya sekaligus. Kalau emaknya tahu dia menelan ubat dengan perut kosong, boleh tanggal telinga kena leter. Dia malas mahu makan apa-apa kerana niatnya selepas makan ubat dia mahu tidur sepuas-puas dan selena-lenanya.

Hana kembali ke bilik lalu menghempaskan tubuhnya ke katil. Telefon di atas meja, dia capai sebelum menghantar mesej kepada Puva sahabat sejatinya di Stillvol, memberitahu dia tidak sihat dan mengambil cuti sakit.

Berpuluh-puluh notifikasi DM yang masuk ke IGnya dia abaikan. Tidak lain tidak bukan, tentu mahu bertanya tentang hubungannya dengan Nazeem setelah semua gambar dia padamkan semalam. Persetan! Dia malas menjawab apa-apa. Pandai-pandailah mereka semua membuat kesimpulan sendiri. Lagipun, tidak ada apa yang perlu diceritakan juga. Hanya akan membuat maruah dirinya dipijak-pijak, kerana perpisahan itu adalah kehendak Nazeem. Tentu dia akan diejek dan ditertawakan kerana setelah bercinta belasan tahun, akhirnya dia ditinggalkan.

Hana mencampakkan telefonnya ke tepi. Cuba memejamkan mata, namun semakin dipejam, semakin sakit pula kepalanya. Fikirnya dengan menelan dua biji Panadol, bolehlah dia tidur macam orang mati, namun dia silap. Wajah dan kata-kata Nazeem semalam lebih mendominasi fikirannya.

Dengan rengusan keras, Hana bangkit, menyeret comforter tebalnya menuju ke ruang tamu. Dengan berbungkus comforter tebal itu, dia berbaring di sofa, selepas alat kawalan jauh TV dicapai dari atas meja. Jemarinya laju menekan alat kawalan, mencari drama atau filem sesuai seleranya di Netflix. Drama santai yang tidak memerlukan dia menguras otak untuk berfikir.

Akhirnya dia memilih drama bersiri Korea yang mengisahkan percintaan antara seorang bos dengan setiausahanya.

Merapatkan selimut ke tubuhnya, dia berbaring selesa di sofa, cuba menghayati drama yang ditonton, dengan harapan dapat menyingkirkan bayangan wajah Nazeem dari kotak fikirannya.

“Bestnya bercinta dengan boss…” Dia menggumam.

“Pergi kerja, tengok muka dia. Balik kerja muka dia lagi. Eh, apa kisah, muka handsome, tengok 24 jam sehari pun tak jemu.”

“Hmmm…Aku ni jangankan nak tackle boss, bercinta dengan pegawai bank pun kena tinggal.”

“Dasar Nazeem tak guna…”

Niat hati mahu melupakan Nazeem, namun perlakuan manis hero di dalam drama itu mengingatkannya kepada Nazeem. Nazeem lelaki yang sangat sentimental. Hari ulang tahun perkenalan mereka pun, lelaki itu akan mengirimkannya hadiah. Belum lagi hari jadi. Ada-ada sahaja kejutan yang dirancang Nazeem untuknya.

Mengingat semua perlakuan manis itu, Hana menangis lagi. Meraung semahunya bagi melepaskan segala rasa sakit di hati. Dia bukan lemah, tetapi dia hanya mahu melepaskan perih yang mencengkam. Bukan mudah untuk mengatasi rasa kecewa akibat disakiti oleh orang yang kita harapkan untuk menjadi pasangan hidup kita. Dia perlukan masa. Selama mana? Dia tidak tahu.

HANA tidak tahu bila dan berapa lama dia terlelap sehinggalah dia mendengar loceng pintu appartmentnya ditekan berkali-kali. Dia mengerjapkan matanya, cuba memulihkan kesedarannya setelah terkejut dari lena yang panjang.

“Hana….Ooo…Hana…Kau hidup lagi ke?” Terdengar suara Puva melaung dari luar pintu.

“Hana, kalau kau putus cinta dengan Nazeem, jangan gantung diri tau. Kerja bertimbun kat office siapa nak buat oii?” Suara Badrul pula kedengaran.

“Lelaki macam Nazeem tu, ibarat kalau buah rambutan, orang jual longgok. Tiga kilo lima ringgit, sebab nak habiskan stok. Tak payah dilayan sangat frust kau tu. Banyak lagi lelaki kacak, bergaya, berkualiti, dan setia kat luar sana.” Rita pula menyampuk.

Hana mendengus geram. Kawan-kawannya itu kecohnya tidak boleh dibawa berbincang. Kenapa tidak dipinjam speaker masjid sahaja, buat pengumuman ‘Hana sudah putus cinta. Mohon para qari qariah masjid buat solat hajat untuk beliau.’

Dengan malas Hana bangkit dari sofa lalu menuju ke pintu, sebelum seluruh blok ini tahu dia ditinggal teman lelaki.

Sebaik sahaja daun pintu dikuak, terpampang wajah kawan-kawannya itu dengan sengih kerang busuk.

“Ya Allah ni Hana ke saka Hana ni?” Rita mengurut dada.

“Assalamualaikum nek…Maaf cucu mengganggu. Hana ada nek?”

Hana malas melayan. Dia tahu Rita mengejek penampilannya sekarang. Rambut serabai, mata bengkak, muka sembap, dengan comforter di atas bahu yang dia seret sehingga ke pintu, tentu hodoh sekali.

“Yalah, aku putus cinta. Tapi tak payahlah isytihar sampai satu bangunan tahu,” ujar Hana sambil tangannya membuka gril pintu.

“Dah engkau tu senyap je tak bukak-bukak pintu. Dekat lima minit kita orang ketuk. Mahu tak panik. Aku dah terbayang mayat kau tergantung dengan lidah terjelir gitu,” balas Badrul celupar.

“Hei Badrul!” Puva bersuara. “Tak berbaloi Hana gantung diri kalau setakat putus cinta dengan Nazeem. Lainlah kalau dia putus cinta dengan anak Sultan Brunei ke, kerabat diraja Britain ke, untunglah jugak bunuh diri. Masuk berita muka depan pun orang tak kecam. Kalau kena kecam pun mesti murni-murni je.”

Badrul mengangguk sambil menggoyang-goyangkan telunjuknya ke arah Puva, bersetuju dengan pendapat sahabatnya itu.

Hana memutar bola matanya. Gril dia kuak dan ketiga-tiga kawannya itu melangkah masuk menjinjit beberapa plastik berisi kotak makanan dan teh ais.

“Aku akan mati kalau aku putus nafas je. Kalau setakat putus cinta, aku boleh hidup lagi walaupun semput-semput.”

“Good…Good…Semangat macam ni lah yang kita nak,” ujar Rita.

“Hana, aku buat dapur kau macam dapur aku ek?” jerit Badrul dari arah dapur yang terletak betul-betul di sebelah kanan pintu.

“Okay babe.”

Hana melangkah ke ruang tamu bersama Puva. Membiarkan Badrul dan Rita menghidangkan makanan yang mereka bawa.

“Kau dah mandi belum ni? Muka serabai, sememeh macam tempe setengah masak,” tanya Puva lalu melabuhkan punggung di sofa.

Hana kembali berbaring di sofa. Drama Korea yang ditontonnya tadi entah sudah sampai ke episod berapa. Masih terpasang, memaparkan adegan romantis antara Lee Young-joon dan Kim Mi-so. Tercebik-cebik bibirnya menahan tangis melihat adegan itu, membayangkan lelaki itu adalah Nazeem dan wanita itu adalah dirinya, suatu ketika dahulu.

Tap!

Tiba-tiba skrin TVnya gelap. Bukan bekalan elektrik terputus, tetapi ditutup oleh Puva.

“Dah, tak payah tengok. Baik kau tukar tengok cerita hantu. Daripada sedih, baik kau takut supaya kau boleh lupa dengan si Nazeem tak guna tu.”

Hana diam. Dengan comforter tebal masih membalut tubuhnya, dia memeluk lutut, tidak mempedulikan kata-kata Puva. Melayan perasaan lebih nikmat daripada mendengar bebelan sahabatnya itu.

“Ni, aku tanya dari tadi lagi. Kau dah mandi belum ni? Dah pukul enam petang kak!”

Ya, pukul enam petang. Hampir dua belas jam dia tidur. Benar-benar tidur mati sehingga dia terlepas solat Zuhur. Jika tidak dikejutkan sahabat-sahabatnya, entah sampai Subuh esok dia tidur. Cacing-cacing dalam perutnya juga sudah mula memberontak kerana kelaparan. Kali terakhir dia makan ialah sebelum Nazeem melafazkan perpisahan semalam. Itupun tidak habis.

“Belum. Aku tidur mati, start dari pagi tadi. Semalam aku langsung tak boleh tidur.”

Puva menggeleng. Dia faham kekecewaan Hana walaupun dia tidak mengalaminya. Malah, dia juga rasa bersalah kerana dia yang membuat Hana berharap dengan membuat andaian Nazeem akan melamar Hana. Dia mengagak Hana putus dengan Nazeem selepas melihat akaun IG sahabatnya itu sudah kosong. Ya, atas dasar apa lagi seseorang itu memadam semua gambar bersama kekasihnya jika bukan sebab putus?

“Hana, I’m sorry…”

“It’s okay. Kau tak salah apa-apa, Puva.”

“Cuba story kat aku, apa jadi sebenarnya?”

Hana akhirnya menceritakan apa yang berlaku semasa pertemuan dia dengan Nazeem semalam, tanpa Puva menyela sedikit pun.

“Aku tak tahulah, Puva. Aku frust, aku benci diri aku sendiri, aku rasa…” Hana menengadah. “Sia-sianya tiga belas tahun ni. Kalau aku kahwin dengan Fikri dulu, agaknya anak aku dah tadika.”

Fikri adalah pegawai pemasaran di Stillvol yang pernah meluahkan perasaan kepadanya, namun dia tolak kerana setianya kepada Nazeem. Fikri akhirnya berkahwin dengan Saliza, kerani di Jabatan Pemasaran dan sedang menanti kelahiran anak kedua.

“Alah, kalau kau kahwin dengan Fikri pun kau takkan bahagia, Hana. Jodoh kau bukan dengan Fikri, bukan dengan Nazeem. Mungkin Tuhan dah mempersiapkan seorang lelaki yang budiman, prince charming yang sempurna untuk kau. Perempuan gila macam kau, layak dapat lelaki yang baik, supaya gila kau tak melarat dan tak berjangkit dengan orang lain.”

Hana mendengus sebal. Wajah Puva dijeling sekilas dengan bibirnya sengaja dimuncungkan.

"Hana, listen to me. I'm Puva, your beautiful and loyal bestie. Nasihat aku tak pernah dan tak akan menjahanamkan kau." Puva yang tadinya duduk di sofa, sudah bersila di lantai, tepat di depan Hana, bersiap mahu menyampaikan ceramah motivasi kepada sahabatnya itu.

"Lebih baik kau berpisah sekarang sebelum kau kahwin dengan dia, mak dia tak suka, paksa Nazeem kahwin dengan perempuan pilihan dia, then kau makan hati sorang-sorang. At least kau berpisah sekarang, you're still a virgin."

Hana diam, membuatkan Puva memicingkan mata dan meluruskan telunjuk tepat di depan muka Hana. "You're still virgin, right?"

"Of course, I'm a virgin." Hana menepis telunjuk Puva dari wajahnya.

"So, kau tak rugi apa-apa. Setakat rugi belasan tahun tu apalah sangat. Lebih rugi kalau kau kahwin, kemudian cerai. Dara kau takkan dapat balik."

Tiada balasan daripada Hana. Namun, dia akui nasihat Puva itu ada betulnya. Setidaknya, berpisah sekarang lebih baik, daripada mereka bercerai setelah berkahwin.

"Hana...Tengok sini." Puva menunjukkan jari tengahnya kepada Hana. Membuntang mata Hana melihat aksi kawannya itu. Bantal smiley dia layangkan tepat ke kepala Puva.

"Tak senonoh kau ni tau. Aku tengah sedih, kau pergi tunjuk jari tengah."

"Kau tahu kenapa Tuhan ciptakan jari tengah?" Puva bertanya tanpa mempedulikan kemarahan Hana.

"Untuk ejek aku?"

"No!" Puva berdecak. "The purpose of middle finger is we can use it when words aren't enough."

"Bodoh!!" Hana terbahak.

"Lain kali kalau kau jumpa Nazeem dengan perempuan tu, just show your middle finger. "

“Ah, buang masa layan kau. Aku nak mandi, nak solat jap. Cakap dengan Bad and Rita, jangan makan lagi. Tunggu aku,” ujar Hana sebelum bangun dan mengatur langkah ke bilik. Sudah melekit-lekit tubuhnya kerana kali terakhir dia mandi ialah petang semalam, sebelum menemui Nazeem.

Selesai mandi, solat asar dan qada’ solat Zuhur yang terlepas tadi, dia bergabung dengan rakan-rakannya yang sedang enak bersantai di depan TV. Empat pinggan nasi goreng kampung bersama telur mata, serta teh ais yang sudah siap dituang ke dalam jug sudah terhidang di atas meja kopi.

Badrul, Rita, dan Puva sudah biasa bertandang ke rumahnya sejak dua tiga bulan kebelakangan ini, bagi menyiapkan projek penjenamaan semula syarikat mereka. Jadi, tidak hairanlah kalau melihat mereka sekarang ini seperti bersantai di rumah sendiri.

“Terima kasih, babe sudi bawakkan makanan untuk aku,” ujar Hana sambil menuangkan teh air ke dalam gelas. Teh ais Pak Mat kegemarannya. Pekat dengan rasa teh dan susu. Nikmat terasa sehingga ke ari-ari.

“Yalah, kita orang risaulah jugak bila call kau tak jawab, whatsapp tak balas. Nak-nak bila tengok kau dah delete semua gambar kat IG. So kita orang syak kau dah putus dengan Nazeem.”

“Dahlah, tak payah cakap pasal dia. Aku dah lapar gila ni. Mana satu aku punya?” tanya Hana.

“Tu…Yang ikan bilis lebih.” Puva menunjuk ke arah pinggan yang mengandungi banyak ikan bilis goreng berbanding yang lainnya.

“Ni cakoi favourite kau. Cakoi Che Ramlah.” Rita mengunjukkan piring berisi cakoi bersama pencicah berperisa pandan.

Hana tersengih. Mereka tidak pernah lupa kegemarannya. Nasi goreng kampung, ikan bilis lebih. Dia kehilangan Nazeem, tetapi dia masih punya kawan-kawan yang mengambil berat.

“Tadi boss HR bagitau, esok ada assistant manager datang lapor diri.” Badrul membuka cerita setelah beberapa minit suasana sunyi kerana masing-masing menikmati makanan.

“Ya Allah, Alhamdulillah. Tak sia-sia aku buat drama air mata depan Encik Saiful hari tu,” balas Hana.

“Tu la. Elok jugak ada assistant, tak lah serabut sangat aku rasa. At least boleh bahagi-bahagi kerja kan? Nak-nak makin dekat due date ni makin takut pulak aku. Takut boss baru reject. Mampuslah nak kena stay back lagi kat office sampai pukul 2,3 pagi,” keluh Puva.

“Ada Encik Saiful bagitahu AM tu lelaki ke perempuan?” tanya Hana.

“Tak pulak. Dia cuma suruh kemas bilik kau sebab nanti AM kena share bilik dengan kau, sebab dah takde space nak letak meja kat department kita tu.”

Hana mengangguk-angguk. Tidak kisahlah kalau terpaksa berkongsi bilik, asalkan dia mendapat seorang pembantu supaya beban tanggungjawab yang besar itu dapat diagihkan. Semua yang berada di jabatan itu tidak mempunyai pengalaman dalam penjenamaan. Banyak yang mereka perlu belajar menyebabkan proses kerja mereka agak lambat. Syarikat juga tidak ada peruntukan untuk menghantar mereka menghadiri latihan berkaitan. Semuanya mereka lakukan sendiri.

“Aku harap AM tu perempuan. Rajin, komited dan bercita-cita tinggi macam aku," ujar Hana membuat Puva, Rita, dan Badrul memutar bola mata mereka sambil membuat aksi mahu termuntah.

.
.
.

KETIKA Badrul sedang mengelap meja kerjanya sebaik sahaja sampai ke pejabat pagi itu, Saiful dari HR memanggil namanya.

“Bad!”

Badrul berdiri lalu pandangannya segera dihalakan ke arah pintu masuk Jabatan Penjenamaan.

“Ya Encik Saiful, ada apa-apa yang boleh saya bantu di pagi yang mulia ini?”

“Hana dah sampai?”

Badrul melihat jam di pergelangan tangan. Baru pukul 7.30 pagi. Hana takkan sampai sepagi ini. Paling awal, wajahnya akan terjengul di pejabat lima belas minit sebelum pukul lapan.

“Belum, Encik Saiful. Ada pesanan?” tanya Badrul, sambil matanya memandang seorang lelaki muda yang bersama dengan Saiful. Segak dan kacak dengan kemeja biru muda dan seluar kelabu tersarung di tubuhnya.

“Takpelah. Ni Raqeef, AM baru Brand Department. Dah prepare tempat untuk dia kan?”

“Dah, Encik Saiful.”

“Okay.” Saiful mengangguk. “Raqeef, saya tinggalkan awak dekat sini. Nanti Hana sampai, dia akan brief awak tentang apa yang awak kena buat.”

Raqeef mengangguk sopan sebelum Saiful meninggalkannya di situ.

Badrul mendekati AM barunya itu. Nampak baik dan tidak semena-mena timbul rasa kasihan. Bagaimana lelaki sebaik dan sesopan Raqeef akan bekerja di bawah Hana? Semoga Tuhan melindungimu.

"Hai Raqeef, I Badrul. Tapi you boleh call I Bad. Guna melayu baku ya. Supaya bunyinya Bad, jangan guna slang English nanti bunyinya 'Bad'." Panjang lebar pula Badrul memperkenalkan dirinya kepada Raqeef sambil menghulurkan tangannya.

Hulurannya bersambut.

“Raqeef.” Raqeef memperkenalkan dirinya, walaupun dia sudah diperkenalkan oleh Saiful tadi.

“Come, I tunjukkan bilik you.” Badrul berjalan mendahului Raqeef menuju ke pejabat Hana yang terletak di bahagian belakang. Raqeef menuruti langkahnya.

"You kena kongsi bilik dengan Hana sebab tempat tak cukup. Bilik manager tu pun asalnya store fail, tapi direnovate jadi office. Lebih kurang, mintak halalkan ya. Memang tak selesa berkongsi bilik, kan. Tapi, setakat ni cuma tu je yang company mampu bagi. Maybe lepas rebranding, sale kita naik, bolehlah kita apply untuk upgrade department kita ni."

Angguk lagi.

"Manager kita perempuan. Hana Kamelia. Tapi panggil dia Hana je. Dia baik walaupun kadang-kadang dia tu gila sikit. Entahlah nak kata gila sangat tak jugak, tapi time dia buat gila, orang gila pun boleh hilang muka."

Lagi-lagi Raqeef hanya mengangguk, sambil kepalanya membayangkan bagaimana kegilaan Hana itu.

"Kalau you tengok mata dia merah, hidung bengkak, rambut serabai, bukan sebab dia bela saka. Tapi sebab dia baru putus cinta. "

Raqeef mengangguk-angguk. Sampai begitu sekali impak dari putus cinta, fikirnya.

Turun naik bola mata Badrul memandang Raqeef dari atas ke bawah. Dari tadi lelaki itu hanya mengangguk-angguk. Geram pula dia. Macam mana boleh lulus temuduga penolong pengurus kalau semua jawapannya hanya angguk sahaja?

“You memang tak banyak cakap ya?”

“Yeah. Lebih kurang bercakap, lebih banyak berfikir ” balas Raqeef.

“Ahhh….” Badrul mendesah penuh dramatis sambil mengangguk-angguk. Ternyata diam Raqeef bukan diam biasa. “You’re right.”

“Okay, ini bilik Hana. Dan yang tu meja awak.” Badrul menunjuk ke arah sebuah meja yang masih kosong, berbeza dengan meja satu lagi yang sudah ada sebuah komputer dan beberapa buah fail.

“Thank you,” ujar Raqeef.

“You’re welcome.”

Badrul berlalu dan Raqeef menuju ke mejanya. Beg galas berisi mac book, telefon dan beberapa barang peribadi diletakkan di atas meja sebelum dia melabuhkan duduk. Pandangannya dihalakan ke seluruh ruang bilik ini. Kemas teratur dengan susun atur perabot yang tidak begitu sesak. Tidak sangka sebuah stor fail boleh diubah suai menjadi sebuah pejabat yang selesa.

Raqeef berdiri, menuju ke tingkap dan menarik tirai bagi membolehkan cahaya matahari masuk. Lama dia berdiri dengan kedua-dua tangannya di dalam kocek seluar, menikmati pemandangan pagi dari tingkat lima bangunan ini. Tingkap ini menghala ke bahagian parkir belakang. Beberapa buah kereta bergerak memasuki petak parkir masing-masing. Kelihatan agak sibuk kerana ramai staf baru tiba.

Matanya tertarik kepada seorang wanita yang keluar dari sebuah kereta. Tanpa menutup pintu kereta, wanita itu keluar melihat kedudukan keretanya dalam petak parking. Bercekak pinggang, sebelum masuk semula ke dalam kereta dan membetulkan kedudukan keretanya. Ke depan, ke belakang, ke tepi, ke tengah. Berulang kali dia keluar masuk melihat kedudukan keretanya. Raqeef mengagak, wanita itu memastikan kedudukan keretanya benar-benar simetri, baru dia berpuas hati. Dia tersenyum sambil menggeleng. Kenapa wanita begitu cerewet?

HANA berlari-lari anak menuju ke pintu masuk Stillvol, sambil tangannya meraba-raba mencari ID Card bagi membolehkan dia memasuki bangunan pejabat ini. Namun, puas meraba, kadnya tidak ditemui.

“Ya Allah, mana pergi Id card aku? Selalunya dalam beg ni je, tak pernah bawak keluar.” Hana menggumam.

Dia menuju ke meja penyambut tetamu, mengeluarkan segala isi dalam begnya di atas meja, namun ID card itu tetap tidak ditemui.

“Huwaaaa……Mana card aku? Macam mana aku nak masuk?” Hana menghentak-hentak kaki sambil mengemaskan semula barang-barangnya.

“Hana, kenapa?”

Hana menoleh. Dia mendesah lega apabila melihat Rita di belakangnya.

“ID card aku hilanglah. Entah kat mana terci…” Kata-kata Hana terhenti. Tiba-tiba dia teringat insiden dia mengamuk memukul keretanya dengan beg tangan. Berterabur segala barang isi di dalam begnya ketika itu.

Hana membekap mulut. Mungkinkah tercicir di tempat parkir tempoh hari?

“Kenapa babe?” Rita bertanya lagi apabila melihat riak wajah Hana yang tiba-tiba berubah. Dari panik, menjadi bertambah panik.

Mana tidak, kehilangan kad itu akan didenda RM500 sebelum boleh diganti dengan kad baru. Kad itu dilengkapi dengan cip yang membolehkan mereka mengakses ke dalam bangunan ini dan mengunakan lif.

“Aku pinjam ID card kau dulu, boleh? Kad aku tercicirlah.”

“Boleh…Boleh. Jom.”

Rita masuk terlebih dahulu melalui pintu automatik seperti yang terdapat di stesen LRT, sebelum menyerahkan kadnya itu kepada Hana yang masih berada di luar pintu.

“Thanks babe,” ujar Hana sebaik sahaja dia berjaya masuk.

“No problem.”

RAQEEF memusingkan tubuhnya setelah wanita yang dia perhatikan tadi sudah meninggalkan kawasan parkir. Namun, ketika itu juga matanya tertancap pada bingkai gambar di atas meja Hana. Gambar seorang wanita yang dia yakin itu adalah Hana dan seorang lelaki, tertawa riang sambil saling menatap. Nampak bahagia sekali. Tangannya yang masih di dalam kocek, terhulur mencapai bingkai gambar itu.

“Okay nanti aku brief…” Pintu bilik yang dirempuh tiba-tiba membuatkan Raqeef terkejut sehingga terlepas bingkai gambar di tangannya.

Prang!

Raqeef tergamam. Begitu juga Hana yang sedang berdiri di pintu.

“M…Maaf…” ujar Raqeef serba salah apabila bingkai itu berkecai di kakinya. Dia menunduk mahu mengutip serpihan kaca itu, namun suara Hana menahannya.

“Jangan!!”

Serta-merta pergerakannya terhenti. Tubuhnya tegak semula. Jangan ditanya bagaimana debar dadanya saat ini. Hari pertama bekerja sudah cari pasal dengan pengurus.

Hana melangkah perlahan ke arahnya sambil matanya memandang bingkai yang sudah retak.

“Saya minta maaf Cik Hana…”

Hana mengangkat tangannya tepat di depan muka Raqeef, mengisyaratkan supaya Raqeef diam.

Raqeef akur. Liur diteguk berkali-kali. Teringat kata-kata Badrul sebentar. Hana jika buat gila, orang gila pun boleh hilang muka. Seram pula apabila memikirkannya.

Hana bertinggung. Hujung gambar itu dia tarik, mengeluarkannya dari bingkai.

“Ini petunjuk,” ujar Hana.

Dahi Raqeef berkerut. Mahu bertanya, namun belum sempat dia membuka mulut, Hana tiba-tiba mengoyak gambar itu. Bahagian yang ada muka Nazeem, dia campakkan semula ke lantai, bersama serpihan bingkai tadi. Kemudian dia bangkit, dan beberapa saat kemudian, Raqeef ternganga apabila melihat kegilaan Hana.

"Yang tempat dia bukan dalam hati. Tapi...Di kaki!"

Mana tidak, dia melihat Hana memijak-mijak bingkai yang pecah bersama gambar Nazeem dengan kasut tumit tingginya sambil mulutnya mengomel entah apa. Tidak cukup dengan itu, dia melompat-lompat di atas gambar dan bingkai itu sehingga serpihan kaca tadi bertukar menjadi habuk kaca. Wajah kacak Nazeem juga sudah tidak kelihatan.

“Huh, puas hati aku!” Hana meniup rambutnya yang berjuntai di dahi akibat kegilaannya.

“Hai, saya Hana.” Hana menghulurkan tangan kepada Raqeef dengan senyum ramah, seolah tidak ada apa-apa yang berlaku sebentar tadi.

Teragak-agak Raqeef menyambut huluran tangan itu.

“Raqeef.”

“Nice to meet you, Raqeef. Welcome to the Brand Department. Buat macam bilik sendiri walaupun kat depan pintu tu nama saya,” ujar Hana sambil menguis serpihan kaca tadi ke tepi dengan kakinya.

Raqeef mengangguk dengan senyum canggung. Segan kerana berada dalam ruang tertutup dengan seorang wanita, walaupun bilik mereka ini berdinding kaca dan orang di luar masih boleh melihat mereka di dalam.

“Cik Hana, saya minta maaf tadi saya…”

“No…It’s okay. Never mind. Sampah memang tempatnya di tong sampah,” balas Hana selamba sambil menghidupkan komputernya.

Raqeef tidak berkata apa-apa lagi. Benar kata Badrul. Hana jika buat gila, orang gila boleh hilang muka. Dia pula nyaris hilang jantung melihat kegilaan Hana. Begitu sekali ya penangan putus cinta. Namun, gambaran Badrul tentang mata merah, hidung bengkak, rambut serabai, sama sekali tidak benar. Hana terlihat cantik sahaja. Wajah segar dengan mekap nipis, rambut panjangnya dibiar lepas, serta kemeja putih dan skirt pink yang dipakainya membuat Hana kelihatan sangat manis. Kemas dan tidak berlebihan dalam bergaya.

Dan melihat kepada pakaian Hana, dia yakin Hana adalah wanita yang membetulkan parkir keretanya beberapa kali tadi. Ah, dia sudah membayangkan bagaimana hidup sebagai Penolong Pengurus Hana Kamelia nantinya.

awal2 ni sendu sikitlah...haha.. perkenalan antara hana dengan raqeef. happy reading guys. .muahxxx

Share this novel

Juliana Hassim
2021-08-26 23:46:36 

salam..xpa sendu dr awal kita tunggu next chapt...lau awal bg gempak xbest dik last sendu org pun boring baca...good story n good job dik

Hawani Hashim66
2021-08-26 11:36:21 

tq update calyta xpernah kecewakan followernya

Roshasniah Mustafa
2021-08-26 07:44:53 

hahaha...terslh type.....mmg gila Hana..ni yg best..


NovelPlus Premium

The best ads free experience