Untitled

Romance Completed 117449

BAB 12

AKU sangat gembira hari ini kerana dapat kembali ke rumah. Abang Is membawa aku dan adik-adik ke hospital untuk melawat ayah yang baru pulang. Aku terasa sangat sebak melihat ayah yang semakin pulih. Ayah juga memeluk kami, melepaskan kerinduan. Kami diberitahu ayah akan dibenarkan pulang ke rumah beberapa hari lagi. Kesihatan ayah benar-benar menunjukkan perubahan setelah menjalani pemedahan oleh doktor pakar di luar negara. Aku tidak tahu bagaimana untuk membalas budi baik Sir Adam. Sungguh mulia hatinya.

Aku duduk di sebelah ayah, adik-adikku semuanya keluar bersama Abang Is untuk membeli makanan. Aku ingin bersama ayah. Sudah lama kami tidak bertemu, aku rasa sangatlah rindu.

“Ayah...” aku memegang tangannya dengan lembut. Meletakkan di pipiku.

“Aya sihat?” soal ayah perlahan.

Aku mengangguk. “Aya sangat-sangat sihat. Aya nak bersama ayah... nak jaga ayah...”

Ayah tersenyum. “Dengar sini... ayah dah sihat. Lagipun, Aya kena tumpukan perhatian pada pelajaran. Tinggal di rumah Tuan Adam, Aya akan dapat belajar dengan baik.”

“Aya... kenapa mesti Aya kena tinggal kat rumah dia, Ayah?”

“Sebab... Tuan Adam tu hidup dia sangat sunyi. Anak-anak dia dari isteri pertama berada di luar negara atas urusan masing-masing. Mereka jarang pulang ke Malaysia. Anak dia dengan isteri ke dua... cuma seorang. Itu pun berada di Jepun. Sekarang, cuma cucunya sahaja tinggal di sini. Sejak Aya kecil lagi, Tuan Adam ingin ambil Aya jadi cucu angkat dia. Tetapi, arwah ibu keberatan. Cuba bayangkan... rumah yang besar itu... sangat sunyi.”

“Tapi... Ayah sanggup biarkan Aya tinggal dengan orang lain?” soalku sebak.

“Tuan Adam dah banyak berjasa... lagipun, Aya boleh balik bila-bila masa sahaja. Anggaplah Aya tinggal di asrama,” pujukan ayah itu menyentuh hati aku yang paling dalam.

Aku sedar, aku perlu berkorban untuk mengurangkan beban keluarga. Abang Is akan sambung belajar, jadi siapa yang akan bekerja untuk membiayai persekolahan adik-adik sementara ayah akan sembuh sepenuhnya? Ah... waktu sukar seperti ini, aku tidak mempunyai banyak pilihan.

**********

            HARI persekolahan akan bermula esok! Aku kembali bersemangat. Hari ini, aku ke asrama Putera Emas untuk mengucapkan selamat tinggal kepada warga asrama itu yang banyak meninggalkan memori pahit manis dalam hidup aku. Dengan senyuman yang melebar, aku menuju ke dewan makan asrama. Aku sudah berjanji untuk bertemu dengan Kak Siti di situ.

            “Aya, lamanya tak jumpa!” Kak Siti memeluk aku dengan erat. Aku membalasnya.

            “Macam mana dengan asrama, semuanya baik?” soalku setelah kami meleraikan pelukan. Sekilas mataku meliar ke kawasan dewan mencari seseorang yang sudah lama tidak ketemu. Namun hampa. Kebanyakannya pelajar-pelajar junior yang datang awal ke asrama dan sedang menjamu selera untuk makan petang.

            “Rasanya baik belaka...” Kak Siti tersenyum kelat.

            “Macam ada yang tak kena aje?” aku dapat menghidu sesuatu yang kurang enak.

            Kak Siti ketawa kecil. “Kamu ni Aya, soal saya macam pengetua sekolah. Macam mana dengan asrama? Semuanya baik?” Kak Siti mengajuk soalanku itu dengan ketawa yang masih bersisa.

            “Biasalah... saya ni pekerja yang baik kan. Mesti la nak ambil berat pasal asrama.” Aku turut menyambut tawanya.

            “Pasal asrama ke, pasal warga asrama ni?” Kak Siti menyakat.

            Aku memuncung. “Dua-dualah...” balasku.

            “Emm...” Kak Siti tiba-tiba mengeluh. “Nampaknya asrama ni akan semakin sunyi. Kamu pun dah berhenti kerja, Aya. Presiden pun dah keluar dari asrama...”

            “Apa?” aku benar-benar terkejut kali ini. “Harry...”

            “Ya... dia dah tinggalkan asrama. Minggu lepas, beberapa orang lelaki datang angkut semua barangnya dengan tergesa-gesa. Macam ada sesuatu yang tidak kena...”

            Aku memandang kosong ke hadapan, otakku ligat berfikir. Hari itu, Harry pergi juga dalam keadaan tergesa-gesa dan penuh tanda tanya. Apa yang dah berlaku kepada lelaki itu?

            “Bukankah... atlet sepatutnya tinggal di asrama. Senang untuk masuk latihan dan aktiviti. Lagipun, dia kan presiden...” aku bercakap seorang diri. Tetapi Kak Siti mendengar juga suaraku itu.

            “Apa kata, Aya pergi jumpa dia...”

            Aku menoleh memandang Kak Siti. “Dia ada kat sini?”

            “Dia ada datang tadi, untuk uruskan beberapa perkara sebelum tinggalkan asrama.”

*********

            DADAKU terasa berdebar-debar ketika melangkah menuju ke asrama. Aku pun tidak pasti sama ada Harry ada di situ ataupun di tempat lain. Kali ini aku benar-benar mengikut gerak hatiku. Teringat peristiwa di kampung tempoh hari, menyebabkan aku terasa kekok pula. Bukankah kami semakin rapat walaupun setiap hari bergaduh dan bertegang urat. Tetapi, apabila aku kembali ke sini aku mula merasai jurang dalam perhubungan kami.

            Aku perlu sedar, hakikatnya aku ini tidak lebih dari kekasih palsunya. Bukan kawan, bukan cinta, bukan juga musuh. Habis itu? aku sendiri tidak tahu status diri aku dalam senarai orang-orang yang wujud dalam hidupnya. Aku berhenti di hadapan pintu biliknya. Lama.

            Tanganku teragak-agak untuk mengetuk pintu bilik Presiden Persatuan Pelajar itu. Beberapa pelajar yang melalui kawasan itu semuanya memandang ke arahku dengan senyuman. Pastilah, berita aku ini merupakan kekasih presiden sudah tersebar luas.

            “Cik Aya nak jumpa presiden ke?” tegur salah seorang pelajar junior yang melalui kawasan itu.

            Aku terpinga. “Er... emm...”

            “Kami nampak dia kat atas.” Beritahu pelajar itu. Tangannya ditunjukkan ke atas yang bermaksud di atas bumbung asrama. Betullah... di mana lagi lelaki itu suka melepak kalau bukan di atas bumbung itu.

            Aku mengangguk faham. “Oh... terima kasih.” Aku tersenyum kelat. Segan pula dengan mereka ini. Walaupun junior tetapi ketinggianku berada di paras bahu mereka sahaja.

*********

            LAURA berdiri tegak berhadapan dengan anaknya sekali lagi. Hari ini dia akan pulang ke Jepun dan dia tidak mahu perkara itu dibiarkan tergantung tanpa sebarang penyelesaian. Sungguh dia sangat buntu bagaimana mahu menyedarkan anaknya yang keras kepala itu tentang pentingnya syarikat itu kepada keluarga mereka.

            “Kamu cuma ada dua pilihan. Ikut mama balik Jepun atau tinggal dalam rumah ini!”

            Harry diam tidak berkutik. Dia memalingkan wajahnya ke arah lain.

            “Harry! Mama nak kamu buat pilihan sekarang?!”

            “Mama tak takut ke kalau saya ambil alih syarikat mama. Lepas tu jatuh bankrap!” Harry tersengih penuh sinis.

            Laura mengetap bibir geram. “You’re genius! Masa umur kamu 15 tahun kamu dah pernah selesaikan satu masalah syarikat mama. Sebab itu semua lembaga pengarah ingin kamu cepat habis belajar and join us to improve our company!”

            Harry meraup wajahnya. “Sebab dari kecil saya baca beribu buku yang mama suruh saya khatam. At that time mama, budak-budak lain cuma belajar apa yang mereka sepatutnya belajar di sekolah. But me?! Mama penjarakan saya with the rubbish books!”

            “Rubbish?!” Laura menjerit lantang. “Kamu kata buku-buku tu semua sampah?! Dari kecil, mama sendiri yang bersusah payah paksa atuk kamu belikan pelbagai buku ilmu perniagaan dan lain-lain, sebab bagi ibu itu semua ilmu yang berguna! Lihatlah mama sekarang. Kamu masih kata yang semua itu sampah?!” Laura semakin kerasukan.

            Harry malas mahu membalas mamanya. Semakin bertambah pula dosanya nanti.

            “Bertenang, bertenang!” Sir Adam yang sejak tadi berdiam diri turut bangun.

            “Harry...” Sir Adam memegang bahu cucu kesayangannya itu. “Tangungjawab seorang anak ialah membahagiakan ibu bapa. Ingat, apa yang kita lakukan di dunia, tanpa berkat seorang ibu. Tak akan kemana...”

            Harry menelan liur yang terasa pahit. Kata-kata datuknya itu benar-benar seperti anak panah yang menikam jantung.

            Laura memicit kepalanya yang mula terasa pening. “Kalau saya mati sekali pun ayah... dia tak akan datang ke kubur saya. Sebab waktu saya hidup pun dia tak pernah nak dengar cakap saya!”

            Laura mengambil tas tangannya dan terus berjalan keluar dari rumah. Harry memejam matanya.

            Sir Adam menggeleng kepalanya. Yang seorang anaknya, dan seorang lagi cucunya. Dia tidak tahu untuk membela siapa. Yang pasti salah seorang sepatutnya mengalah.

            “Madam!!” jerit seorang pengawal dari luar.

            Laura jatuh pengsan sebelum sempat memasuki keretanya. Ketika itu semua orang panik dan berdiri kaku kerana terlalu terkejut.

            Pengawal peribadi Sir Adam itu pantas menapak ke tubuh wanita itu yang sudah terbaring di lantai. Pemandunya yang sudah bersedia dalam kereta untuk membawa wanita itu airport juga bergegas keluar dari kenderaan itu.

            Harry memandang dari jauh tubuh mamanya yang terbaring itu dengan terkejut. Darah menyerbu ke kepala.

            “Mama!!!!” jeritnya dengan membuka langkah dengan luas.

            “Ketepi!” Harry menolak tubuh pengawal peribadi datuknya itu dengan kuat sehingga lelaki itu terdorong ke belakang. Harry mencempung tubuh mamanya yang longlai.

            “Buka pintu kereta!” jeritnya kuat.

*********

            HARRY terasa benar-benar tertekan. Dia menggenggam erat jeriji besi yang dipasang di tembok itu. Angin petang menghembus perlahan dan dia cuba untuk menyedut nafas dengan tenang. Apa yang berlaku beberapa hari yang lepas itu masih tidak dapat dibuang dari ingatannya. Mamanya jatuh sakit kerana terlalu tertekan dengan kerja dan juga masalah peribadi. Sudah tentulah tentang dirinya ini. Doktor juga memberi nasihat supaya mamanya tidak diberikan tekanan lagi selepas ini kerana dia akan mudah diserang migrain.

Buat masa ini mereka mengambil keputusan untuk membincangkan perkara itu. Mamanya pulang ke Jepun walaupun dalam keadaan yang masih lemah, katanya masih banyak perkara belum diselesaikan. Harry sedar, mamanya seorang wanita yang gigih. Tetapi, mengapa mamanya tidak cuba untuk selami perasaanya? Kini, dia setuju untuk tinggal di rumah datuknya semula. Tetapi, dia masih tidak membuat keputusan muktamad akan masa depannya kelak. Ke mana dia akan pergi. Lagipun, ada satu perkara yang menyebabkan dia menjadi lebih memberontak. Peristiwa itu sudah lama berlalu namun tidak mungkin dia lupakan. Perkara yang menjadi alasan, mengapa dia menjadikan Marhaya kekasih palsunya.

            Harry terasa air matanya bergenang. “Kenapa... kenapa semua orang hanya pentingkan diri sendiri?”

            “Awak...” aku menegur dari belakang. Setapak demi setapak aku menghampirinya.

            Harry yang baru sedar kehadiranku terus mengesat air matanya. Aku terkejut.

            “Awak menangis?! Kenapa? Kenapa?” Aku terus membelek keadaannya. “Awak masih sakit?”

            Harry tidak bercakap. Air matanya tidak dapat ditahan. Tumpah satu persatu.

            “Awak...” tanpa sedar aku memegang pipinya. Mengesat air matanya yang mengalir.

            “Kenapa semua orang kejam?”

            “Apa?” aku tidak mengerti.

            Harry terduduk di lantai. Dia menangis teresak-esak. Aku benar-benar buntu.

            “Awak... arwah ibu saya cakap... kalau kita bersedih. Kita jangan memendam. Lepaskan saja...”

            Ketika itulah Harry menekup wajahnya dan menangis sepuasnya. Walaupun aku terasa lucu kerana dia menangis seperti anak kecil, aku cuba untuk mengawal reaksiku kerana ini bukan masa yang sesuai. Aku benar-benar tidak percaya, lelaki sekacak dan segagah ini boleh menangis seperti itu. Untuk bertanya, aku fikir Harry pasti tidak bersedia untuk menceritakannya.

            “Sabar ye...” aku mengusap kepalanya. Cuba memujuk. Seperti memujuk adik-adikku ketika mereka menangis.

            “Kalau adik saya Marhani menangis. Sebab rindukan arwah ibu, saya mesti akan pujuk dia dengan lagu ini.” Aku cuba untuk memujuk Harry yang kelihatan sangat kasihan itu. Sedangkan aku sendiri tidak tahu masalahnya.

            Harry akhirnya perlahan-lahan berhenti menangis. Dia menyeka air matanya. Kemudian memandang aku dengan matanya yang basah, hidungnya yang merah.

            “Lagu apa?”

            Aku tersenyum. Lantas aku bangun berdiri. “Saya Nur Marhaya, akan mempersembahkan lagu ini khas untuk Tuan Mud Harry! Fighting!” aku menjulang tangan ke atas sambil ketawa kecil.

            Harry duduk bersila dan mendongak melihat aku. Dia seperti bersedia untuk menyaksikan persembahan aku.

            Aku menggenggam tangan dan berlagak seperti memegang mikrofon.

“ I'm a big big girl, In a big big world, It's not a big big thing if you leave me. But I do do feel that, I do do will miss you much... Miss you much...” aku menari-nari dengan gaya comel sesuai dengan kecomelan lagu Big Big World nyanyian Emilia itu. Lagu itu sememangnya sangat comel walaupun hakikatnya menyedihkan!

Harry ketawa kecil sambil menggoyangkan tubuhnya mengikut nyanyianku. Dan aku hanya mengulang rangkap itu sahaja sebanyak tiga kali. 

“Setakat tu aje, kalau awak nak dengar sepenuhnya cari sendiri.” Ujarku ceria sambil kembali duduk bersimpuh di sebelahnya. Skirt pendek yang kupakai tersingkap sehingga ke lutut. Aku melurut-lurutnya untuk keselesaan. Aku melihatnya tersenyum dan ketawa kecil.

“Kenapa?”

Harry menggeleng kepala. “Comel...”

Aku turut ketawa. “Memang lagu tu nice sangat. Saya suka!”

“Bukan...” Harry memandangku. Tepat. “Kaulah... yang comel...”

“Ha...” aku tersipu. “Iyake...” tidak senang senang duduk aku jadinya. Aku menyelit rambut yang mengurai di telinga. Mukaku panas!

Harry menyandar badannya di tembok. “Terima kasih untuk lagu tu...”

Aku masih rasa segan mendengar pujiannya. Adakah aku nampak macam badut tadi? Menari berpusing-pusing. Aduhh... tiba-tiba aku rasa menyesal pula. Tanpa sedar aku mengetuk kepala aku sendiri.

“I’m a big big boy. In a big big world!” Harry turut melagukannya sebaris dengan menukar sedikit lirik itu.

Aku memandangnya dengan tidak percaya. ‘Harry cepatnya awak berubah ceria.’ Aku turut tumpang gembira.

Sesaat mata kami bertentang. Aku tidak melarikan anak mataku dan melihat wajahnya. Ada keruhan di wajahnya yang bertapak walaupun dia cuba untuk tersenyum.

“Dah lama... orang tak buat aku macam ni...” ujarnya kemudian. Suasana tiba-tiba menjadi sangat romantik. Cahaya matahari petang yang semakin redup menghasilkan warna oren terang menghiasi tempat itu.

“Macam mana?” soalku meminta kepastian.

Kemudian Harry mengambil tanganku. Diangkat dan diletakkan di atas kepalanya.

Aku tersenyum. Itu rupanya. Aku terus mengusap rambutnya dengan sedikit kasar.

“Manja betul!”

Harry tiba-tiba memejam matanya. Dia kembali menyandar ke dinding tembok sambil kakinya menghulur ke depan. Lama keadaannya seperti itu. Aku rasakan aku sepatutnya membiarkan dia di situ untuk meraih ketenangan. Lalu aku bangun dan perlahan-lahan meninggalkan bumbung asrama. Aku berjalan menuju ke lif.

“Aku sepatutnya jumpa dia untuk ucapkan selamat tinggal... aku juga akan tinggalkan asrama ini...” Aku mengeluh. Apa yang menyebabkan Harry menangis? Aku benar-benar terasa ingin mengetahuinya.

Pintu terbuka dan aku memasukinya dengan pantas. Dalam lif itu aku mengecil di belakang apabila beberapa pelajar lelaki turut masuk ke dalam. Mereka tidak menghiraukan aku. Mujurlah...

            Tiba di tingkat lima, ada seseorang yang masuk dan aku semakin tersepit ke belakang.

            “Aya!”

            Aku mendongak. Terkejut sungguh aku melihat lelaki itu di depanku. Dia tersenyum kacak dan memberi ruang kepadaku agar lebih selesa. Aku kembali berdiri tegak.

            “Apa khabar, Senior Ray?!”

            “Fine. Saya nak cakap sikit. Jom keluar!” Ray terus menarik tanganku dan menghimpit pelajar-pelajar lain. Kami menyelit sehingga ke pintu lif dan bergerak keluar ketika tiba di tingkat dua. Aku masih terpinga-pinga hanya mengikut sahaja Ray yang tergesa-gesa.

            Sebelum pintu lif itu ditutup semula, semua pelajar lelaki itu terlopong melihat kami.

            “Bukankah... itu kekasih presiden?”

*********

            “SENIOR... kita nak ke mana?!” aku berlari mengikutnya yang masih tidak melepaskan tanganku. Sehinggalah kami tiba di sebuah pantry. Pintu bilik itu dibuka dan Ray membawa aku masuk ke dalam.

            “Tempat ini lebih sesuai untuk bercakap.” Ray melepaskan lelah. Dia membuka pili air dan membasuh mukanya beberapa kali agar lebih segar.

            Aku berdiri kaku. Melihat sekeliling, bilik itu agak luas dan dilengkapi kemudahan dan kelengkapan seperti sebuah dapur. Fikiranku mula memikirkan kenapa aku dibawa ke sini. Senior Ray kelihatan tidak seperti selalu. Aku benar-benar keliru.

            “Maaf... kalau dah buat Aya terkejut.” Ray tersenyum. Dia menyandar di dinding. Menghembuskan nafas dengan perlahan.

            “Senior nak cakap apa?” aku mula tidak sedap hati. Bagaimana kalau ada orang yang melihat kami masuk ke sini? Aku tidak mahu ada orang salah faham akan hubungan kami.

            “Kenapa nak berhenti kerja?” soalnya kemudian.

            Aku memandangnya tepat. Hal ini rupanya. Aku tersenyum. “Sebab... sebab saya dah tak perlu bekerja.”

            Ray mengerutkan dahi. Raut wajahnya sukar untuk aku tafsirkan.

            “Jangan... jangan pergi...”

            “Ya?” aku tidak mengerti maksudnya.

            Ray berdiri di depan aku. Jantungku terus berubah rentak. Yang pasti... aku dapat merasakan Ray merenungku dalam.

            “Tolong... tolong jangan pergi.”

            Aku memberanikan diri memandangnya. “Tapi... saya cuma...”

            Ray dengan tiba-tiba menarik aku dalam pelukannya. Aku terkejut bukan kepalang. Pinggangku dirangkul kemas dan dagunya berlabuh di bahuku. Aku terasa nafasku benar-benar sesak!

            “Se... senior...” aku terasa tubuhku kaku. Tanganku tidak mampu bergerak dan jantung aku mula mengepam darah dengan lebih laju.

            “Tolong... tinggalkan Harry.” Ujarnya dengan membisik lembut.

            Terbeliak mataku ketika itu. Fikiranku terasa bejat! Apa yang sebenarnya Senior Ray maksudkan?!

******** 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience