Pusat pemindahan banjir itu tidak lagi riuh-rendah seperti siang tadi. Keadaan pada malam ini sedikit tenang dan lebih terkawal. Hanya sekali-sekala terdengar suara tangisan bayi kecil yang barangkali kelaparan minta disusukan. Sementara yang lain, rata-ratanya sudah masuk tidur dek kepenatan mengharung kepayahan untuk sampai ke pusat perlindungan sementara itu. Hampir 200 orang dari 25 buah keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah rendah kebangsaan di daerah Maran itu, hanya mampu bertawakal dan memanjatkan doa. Mengharap matahari galak menyinar pada keesokan hari.
Ammar masih berjaga. Matanya tidak mahu terlelap. Dia merasakan segalanya begitu ironi sekali. Semalam dia berada di Kuala Lumpur dan hari ini, entah kuasa apa yang menggerakkan hatinya untuk berada di bumi Pahang ini, bersama-sama teman sukarelawan yang lain. Sebelum ini, tidak pernah sekali dia melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawanan sebegini, tetapi kali ini, dia sendiri yang menawarkan diri. Bukan pengalaman yang dicari, apatah lagi untuk suka-suka tetapi Ammar terpanggil untuk membantu seikhlas hati. Jiwa mudanya seperti dikait-kait dengan satu umpan takdir yang tidak pasti.
“Berehatlah...sudah pukul 2.00 pagi,” Ammar menoleh ke belakang, mencari punca suara yang menyapanya. Seorang pemuda dengan raut jernih di wajah, tersenyum mengambil berat. Telaga mata masing-masing bertemu. Ammar menghargai keprihatinan teman sukarelawan yang baru beberapa jam dikenalinya itu.
“Aku dah biasa berjaga malam. Tak perlu kau risau...” jawab Ammar, lembut. Ridzwan menganggukkan kepala. Dia cuma bimbangkan kawan barunya itu tidak punya tenaga untuk menyambung tugas dan memikul tanggungjawab yang pastinya akan menanti mereka berdua seawal pagi esok.
“Jabatan Meteorologi dah keluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat peringkat jingga di beberapa buah negeri di Pantai Timur. Nampak gayanya, semakin banyaklah kawasan ditenggelami air lebih-lebih lagi di kawasan bertanah rendah,” Ridzwan mengajak sembang. Sebaliknya, Ammar terus berdiam. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu yang berat.
“Hujan itu tetap rahmat ALLAH yang indah meski datangnya dalam bentuk petaka...”
“Maksud kau?”
Ridzwan berkerut kening. Ammar sekali lagi berdiam diri. Pemuda itu menghirup hawa hujan sepuas-puasnya. Seperti malam itu malam terakhirnya mengecap nikmat udara.
“Kalau tak kerana hujan yang lebat turun mencurah-curah, mungkin orang macam aku ni, masih leka dengan kesenangan dunia. Terpuruk dalam zon selesa,” Ammar berkaca matanya tiba-tiba. Ridzwan makin pelik dengan perubahan emosi pemuda di sebelahnya itu.
“Kenapa kau cakap macam tu?”
“Aku tak serupa kau, Ridzwan. Aku tak serupa pemuda-pemuda lain dalam grup sukarelawan ni. Aku ke sini sebab inilah satu-satunya peluang aku untuk menebus dosa-dosa aku. I just hope the rain wash away all my pain,” Ridzwan tidak faham. Buntu akalnya memikirkan di sebalik kata-kata yang keluar dari kawan barunya itu.
Tidak sempat Ridzwan bertanya lanjut, sembangnya dengan Ammar terberhenti apabila tiba-tiba lampu di dalam pusat pemindahan banjir itu tertutup. Keadaan yang tadinya malap kerana hanya dua buah lampu kalimantang saja yang terpasang, bertukar menjadi gelap keseluruhannya.
Ridzwan yang lebih berpengalaman dalam menghadapi situasi genting begini, mengarahkan Ammar dan ahli sukarelawan yang lain untuk menghidupkan lampu-lampu kecemasan berkuasa bateri yang dibawa oleh mereka.
“Wan, satu bandar Maran terputus bekalan elektrik. Keadaan dah semakin darurat. Banjir makin teruk,” bisik salah seorang ahli sukarelawan ke cuping telinga Ridzwan. Bunyi bot-bot berenjin di luar memecah keheningan awal pagi itu. Sekumpulan pasukan bomba dan penyelamat negeri sudah berada di luar. Ammar terperanjat kerana baru beberapa jam tadi, kawasan di sekitar bangunan persekolahan itu masih selamat untuk diduduki. Tetapi dalam tidak sedar, sekelip mata saja sekeliling mereka sudah hampir ditenggelami air. Hujan terus menggila turunnya.
Share this novel