Bab 4

Romance Completed 66067

ARINI memicingkan matanya memandang rakannya yang sedang termenung merenung mihun goreng di dalam pinggannya. "Apa yang kau menungkan tu? Awal pagi dah termenung. Nervous nak masuk kerja ke?" tekanya sambil menarik kerusi yang berdepan dengan Etasya, lalu dia terus melabuhkan punggungnya.

"Hmm?" Etasya mendongak, lalu dia menunduk semula sambil memutar-mutarkan mihunnya menggunakan garfu. "Kau nak tahu tak siapa aku jumpa masa kat kelab malam semalam?" soalnya tanpa menjawab soalan yang diajukan kepadanya tadi.

"Siapa?" Arini mengerutkan dahinya memandang Etasya menanti jawapan.

"Dia tulah! Dengan awek dia," jawab Etasya dengan muka serius dan tegang. Mihun di dalam pinggannya, disodok-sodok kasar.

"Dia siapa?" Semakin berkerut dahi wanita berambut merah itu. "Yusran ke?" tekanya selepas dia berjaya membaca reaksi wajah Etasya, kerana setahu dia, hanya lelaki itu sahajalah satu-satunya makhluk lelaki yang paling dibenci oleh rakannya itu di muka bumi ini.

Etasya mengangguk sambil mengetap gigi. Jelas terpamer kebencian pada sinar mata perangnya.

"Dia tak cam kau, kan?"

"Tak, tapi sekejap lagi aku akan hadap dia kat tempat kerja. Aku tak pastilah kalau dia ingat atau tak pertemuan semalam tu. Harap-harap tak," jawab Etasya sambil mengimbas semula peristiwa dia dicabul dan tindakannya menampar lelaki itu. Kalau lelaki itu ingat, rosaklah rancangannya.

"Kalau setakat berselisih macam tu je, apa masalahnya? Bukannya kau pukul dia pun, kan?"

Etasya mendengus. "Itulah masalahnya," ujarnya, lalu dia pun menceritakan tentang apa yang berlaku semalam.

Terhambur tawa besar dari mulut Arini setelah Etasya selesai bercerita.

"Boleh pula kau gelakkan aku eh? Not funny, okay?!"

"Halah, si mak cik ni! Serius betullah! Dah kau cakap dia tersembam atas lantai, kan? Maksudnya, dia mabuk teruklah tu. Jangan risaulah! Aku yakin dia tak ingat ada jumpa kau semalam," kata Arini meyakinkan. "Dah, makanlah! Penat je aku masak lebih kalau kau tak makan. Aku ni, walaupun aku tidur lewat, aku tak pernah miss bangun awal untuk sarapan tau! Lepas sarapan baru aku tidur balik. Kau guna je kereta aku. Aku jarang keluar kalau siang," lanjut Arini, lalu dia menyuapkan mihun ke dalam mulutnya.

Etasya hanya membalas dengan anggukan lemah sambil mengeluh kecil dan turut menyuapkan mihun ke dalam mulutnya.

**

Selepas dibawa meronda-ronda di sekitar ruang pejabat oleh wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Norlia iaitu orang yang dimaksudkan oleh Arini sebagai kawannya, Etasya terus duduk di bilik kerjanya yang tidaklah terlalu besar. Syarikat kontraktor itu mempunyai lebih kurang 15 orang pekerja sahaja yang bekerja di bahagian pejabat dan ada ramai lagi yang bekerja di luar pejabat.

"Terima kasih, tau," ucap Etasya sambil mengukir senyuman manis buat Norlia.

"Sama-sama. Kalau kau ada apa-apa masalah, kau bagitahu aku je," pesan Norlia yang bertugas sebagai Pengurus Sumber Manusia di syarikat itu, lalu dia terus beredar dari situ menuju ke biliknya.

Etasya mula membuka fail yang diserahkan oleh Norlia tadi. Segala butiran yang tertera pada setiap lembaran di dalam fail itu dibaca satu per satu dengan teliti.

Satu jam kemudian, pintu biliknya diketuk. Norlia melangkah masuk sambil tersenyum menghampiri meja.

"So far, macam mana? Ada apa-apa masalah tak?" soal Norlia mesra.

"Erm... Barang-barang yang syarikat order ni, aku kena pergi check kat setiap site ke macam mana?" soal Etasya.

Norlia ketawa kecil. "Tak perlu pun. Ada pekerja yang pantau kuantiti dan kualiti barang kat setiap site. Diorang akan buat report, nanti Syukri akan collect semua report tu dan akan bagi sekali kat kau. Kau cuma perlu pastikan maklumat kuantiti dan kualiti barang tu sama macam dalam purchase data. Kau arahlah si Syukri tu. Dia tu kadang-kadang lambat collect report. Projek syarikat kita ni banyak. Projek-projek besar dan yang kecil-kecilan. Kalau dia lambat buat kerja, kau push je. Kadang-kadang aku menyampah nak hadap mamat sekor tu. Banyak je alasan," ujar Norlia panjang lebar disusuli tawa kecil. Walaupun baru pertama kali berjumpa, masing-masing berasakan seperti sudah lama kenal.

Etasya membulatkan mulutnya sambil mengangguk-angguk tanda faham. Dia merenung wajah wanita di depannya menanti apa lagi yang hendak diperkatakan.

"Ermm... aku datang ke bilik kau ni, sebab aku nak bagitahu, bos besar nak jumpa kau."

"Bos nak jumpa? Kenapa dia nak jumpa?" soal Etasya sambil mengerutkan dahinya.

"Nak berkenalan kot," jawab Norlia sambil ketawa. "Dah, kau pergilah. Bos tunggu dalam bilik dia tu. Aku balik ke bilik aku dulu. Kalau kau ada masalah, jangan segan tau. Kau cakap je kat aku," pesannya buat kesekian kalinya sambil menepuk-nepuk sisi bahu Etasya sebelum dia keluar dari bilik itu.

Etasya melangkah menuju ke bilik pemilik syarikat kontraktor itu dengan debaran di dada. Pelbagai persoalan muncul di benak fikirannya. Harap-harap dia tak ingat pasal semalam. Nafas dihela dalam-dalam mengumpul kekuatan sebelum dia mengetuk dan menolak daun pintu.

"Silakan duduk," pelawa lelaki yang sedang duduk bersandar sambil membaca butiran pada kertas yang dipegangnya.

Resume aku ke? Etasya melepaskan keluhan kecil, lalu dia duduk di kerusi berdepan dengan lelaki itu yang dipisahkan oleh meja.

"Tasya? Tasya binti Baharuddin?" Lelaki itu merenung wajah wanita di depannya sambil menjongketkan kening.

"Ya, saya," sahutnya. Tidak pula dia membetulkan sebutan nama penuhnya, kerana memang nama itu yang dia suruh Arini letak di dalam resumenya, termasuk salinan kad pengenalannya yang sudah diedit.

Dahi lelaki itu tiba-tiba berkerut. Dia berjeda buat seketika. Dia rasa seperti pernah dengar suara seperti wanita itu. Persis, sama! Dia memandang kertas yang dipegangnya, lalu dia memandang semula wajah Etasya seperti hendak memastikan sesuatu.

Muka hampir sama, tapi tak sama, getus hatinya. Berkerut-kerut dahinya. Nama hampir sama, tapi tak sama, getus hatinya lagi. Tetapi dia teringat orang tua-tua cakap, setiap manusia ada tujuh orang kembar di dunia, jadi tidak mustahil pun dia melihat wanita di depannya itu mirip seperti seseorang yang dikenalinya dulu.

"Semalam... awak..." Kata-katanya terhenti di situ kerana dia fokus sekejap menulis-nulis sesuatu di atas kertas yang dipegangnya sebelum dia memasukkan kertas tersebut ke dalam fail.

Ah, sudah! Dia ingat ke? Etasya menggigit-gigit bibirnya sendiri. Wajah lelaki di depannya direnung menanti lelaki itu menyambung bicara.

"Semalam awak tak cukup tidur ke? Mata sembap," ujar lelaki itu dengan nada tenang tetapi serius.

Etasya mengukir senyuman nipis di bibirnya, tetapi dalam hati, segala kata-kata makian dan cemuhan menggetus sakan menunjukkan betapa bencinya dia terhadap lelaki di depannya sekarang. Relaks, Tasya. Buat macam biasa. Hatinya berbisik untuk menenangkan diri. "Ya, bos. Tak cukup tidur. Saya lewat tidur sebab kemas barang-barang dalam bilik."

Lelaki itu mengangguk kecil. "Sorry... Saya tanya je. Saya tak kisah pun awak tidur lewat ke, tidur awal ke, asalkan masuk kerja ikut waktu dan kerja, jalan..."

"Takpe. Soalan simple je tu, bos. Saya tak kisah pun," balas Etasya.

"Ermm... sebelum tu, saya perkenalkan diri dulu. Nama saya, Yusran, pemilik syarikat ni merangkap bos awak." Tangannya dihulurkan untuk bersalaman, tetapi Etasya tidak menyambut tangan itu, sebaliknya dia terus menyilangkan tangannya ke dadanya.

Yusran cepat-cepat menarik semula tangannya setelah dia menyedari tindakannya yang tidak wajar itu. Bukannya dia tidak tahu tentang batas sentuhan, tetapi entah kenapa dia boleh terlalai tadi. "Sorry..." ucapnya, tetapi dengan muka serius.

Bunyi kuakan pintu membuatkan mereka serentak menoleh. Seorang wanita memakai skirt paras paha yang dipasangkan dengan singlet bertali nipis masuk ke dalam bilik itu dengan langkah seperti peserta Miss Universe menghampiri Yusran.

"Kenapa you datang ganggu I awal-awal pagi macam ni?" Keras lontaran nada suara separuh berbisik lelaki itu menyoal.

"You ni! Setiap kali I datang jumpa you, mesti you guna istilah ganggu. I bukannya nak ganggu you pun! I cuma nak tengok you sekejap je nak lepaskan rindu, baru I ada mood nak pergi ke salon I tu," balas wanita itu dengan muka cemberut.

Etasya memandang wanita itu dengan ekor mata sambil mengutuk dalam hati. Makin kaya, makin miskin! Pakai baju pun tak cukup kain. Ingatkan dah kahwin dua ketul ni. "Err, kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu, bos,"kata Etasya, lalu dia bingkas berdiri. Dua ketul ni pun, macam tak tengok kiri kanan nak bertekak pun. Ingat aku ni tunggul kayu balak ke? marahnya dalam hati.

Yusran memandang Etasya yang sudah berpaling menuju ke pintu. Lagaknya seperti hendak menghalang wanita itu daripada pergi dari situ, tetapi niatnya terbantut kerana wanita berpakaian seksi itu tiba-tiba melingkarkan tangannya ke leher lelaki itu.

"Melanie! You tak malu ke depan orang buat macam ni?!" Yusran membentak keras dengan suara separuh berbisik seperti tadi.

"Hisy, you ni! Bukannya dia nampak pun! Dia membelakangkan kita kan tu? Dia dah nak keluar dah pun!" balas wanita itu.

"Sebagai perempuan, you wajib tahu malu, Mel! You kena jaga batas you! I dah balik-balik pesan kat you, jangan pakai macam ni di depan I, kan?!"

Etasya tersenyum meluat. Semalam bukan main lagi kau eh! Siang-siang, auto jadi ustaz pula? Hipokrit punya jantan! Takpe... korang berasmaradana jelah dulu puas-puas sebelum korang menangis lepas ni!

**

"Fuh! Nikmatnya!" ujar Etasya sendirian selepas dia menggeliat meregangkan seluruh tubuhnya yang lenguh. "Ni baru hari pertama masuk kerja ni. Dah macam ni kerja. Hadaplah kau hari-hari kerja berlambak macam ni, Tasya," ujarnya lagi kepada dirinya sendiri sambil memandang timbunan kertas dan fail di tepi mejanya. Dah pukul berapa dah ni? Laparlah pula. Jam kecil di pergelangan tangannya dikerling. "Biar betul baru pukul 10.00 pagi?" Bibirnya diketuk-ketuk menggunakan jari telunjuk. Pejabat ni ada bilik pantri ke eh? Pergi tanya dia kejaplah. Dia terus keluar dari biliknya menuju ke bilik Norlia.

"Norlia, office kita ni ada bilik pantri tak?" soal Etasya sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di depan wanita yang sedang tekun melakukan kerja itu.

"Panggil Lia je. Office kita ni mana ada pantri," jawab Norlia disusuli tawa kecil.

"Aku laparlah. Boleh order makanan tak? Ke pejabat ni tak benarkan penghantar makanan masuk?"

"Boleh je. Kau orderlah. Aku pun biasa order je," jawab Norlia lagi sambil menekan-nekan papan kekunci komputernya.

"Okeylah kalau macam tu. Aku balik ke bilik aku dulu," kata Etasya, lalu dia terus keluar dari bilik itu kerana tidak mahu mengganggu wanita itu bekerja.

"Tasya," panggil satu suara sebaik sahaja dia keluar dari bilik Norlia.

Dengan pantas dia memandang si pemilik suara yang berdiri tidak jauh dari kedudukannya. "Ya, bos?"

"Mari temankan saya pergi ke site." Serius dan tegas kedengaran nada suaranya.

Spontan dahinya berkerut. Wajah lelaki itu direnung dengan pandangan tidak berpuas hati. Apasal pula aku kena pergi ke site? Lia cakap aku tak perlu pun pergi site. Aku ni dahlah tengah lapar, rungutnya dalam hati.

"Kerja awak memang tak perlu turun ke site, tapi saya nak awak temankan saya pergi makan sekejap sebelum pergi ke tapak pembinaan tu. Saya tak sempat sarapan pagi tadi," kata lelaki itu seolah-olah tahu apa yang sedang bermain di fikiran wanita itu.

"Dalam ramai-ramai pekerja kat sini, kenapa saya?" soal Etasya sambil menghalakan jari telunjuknya ke wajahnya sendiri.

"Sebab saya nak awak yang temankan saya. Dah, mari cepat," balas lelaki itu dengan lagak bersahaja sambil memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluarnya.

"Bahagia betul jadi bos eh!" gumam Etasya dengan suara yang tidak didengari oleh lelaki itu, lalu dia berjalan melepasi lelaki itu menuju ke arah yang bertentangan.

"Awak nak pergi ke mana tu? Lif kat sana," kata Yusran dengan dahi yang berkerut sambil menjuihkan bibirnya ke arah yang dimaksudkannya.

"Saya nak pergi ambil beg saya sekejap," balas Etasya tanpa menoleh. "Hisy! Menyampah aku!" gumamnya sambil mempercepatkan langkah kakinya menuju ke biliknya.

**

Yusran memerhati wanita yang sedang makan dengan gelojoh di depannya itu dengan mata yang tidak berkedip langsung. Tangannya yang sedang memegang sudu berisi nasi goreng, pegun di depan mukanya. "Awak lapar sangat ke ni?"

"Hmm, hmm," jawab Etasya sambil mengangguk dengan makanan yang penuh di dalam mulutnya. Dia tidak memandang langsung wajah lelaki di depannya. Bukannya dia tidak sedar lelaki itu sedang memerhatinya sejak seminit lepas. Lantaklah! Yang aku tahu, aku lapar!

Yusran masih tidak lepas daripada merenung wajah wanita di depannya. Kenapa aku rasa banyak sangat persamaan diorang ni? Bayangan wajah seseorang, terbayang di pelupuk matanya melapisi pandangan nyatanya terhadap wanita yang sedang duduk di depannya pada ketika ini.

Ironinya, wanita pada masa lalu yang sedang bermain di fikirannya sekarang telah membuatkan hatinya tertutup untuk mana-mana wanita sehingga ke saat ini, padahal bukannya mereka pernah bercinta pun, tetapi wanita yang ada di depan matanya pada ketika ini, entah kenapa terasa lain daripada yang lain. Ada satu aura yang dia rasakan daripada wanita yang baru pertama kali dia jumpa itu.

"Bos cakap tadi nak singgah makan sekejap je, kan? Tengok tu, nasi bos banyak lagi tu," tegur Etasya, lalu dia mengesat bibirnya menggunakan tisu dan tidak sengaja tersendawa di depan lelaki itu. Oops! Dia dengar ke? Melihat lelaki itu beriak tenang, dia membuat andaian bahawa lelaki itu tidak dengar atau mungkin lelaki itu dengar, tetapi dia buat-buat tidak dengar.

Yusran memandang pinggan di depan Etasya yang sudah kosong licin. Dia ni, perempuan tulen ke? Belum pernah lagi aku jumpa perempuan makan secepat ni. Macam saka yang tak kena bagi makan setahun, getus hatinya, lalu dia pun cepat-cepat menyuapkan makanan ke dalam mulutnya.

**

"Lenguh ke? Sorry..." ucap Yusran sambil memandang Etasya buat beberapa saat yang sedang memicit-micit kakinya, lalu dia kembali fokus dengan pemanduannya. Tiba-tiba dia mengerutkan dahinya. Sejak bila pula aku ni ringan mulut nak cakap sorry kat perempuan ni? getus hati egonya. Di pejabatnya awal pagi tadi pun, beberapa kali dia mengucapkan perkataan itu kepada orang yang sama.

"Lenguh sikit," jawab Etasya dengan suara malas-malas tanpa menoleh. Dia malas hendak melayan lelaki itu sebenarnya. Kalau bukan sebab memikirkan dia ada rancangan yang perlu dijayakan tanpa membuatkan dia ditangkap polis, sudah lama dia menikam lelaki itu sampai mati dan menanamnya di tapak pembinaan bangunan yang baru dilawat oleh mereka tadi.

Jeda. Kedua-duanya sibuk melayan fikiran masing-masing sama seperti sepanjang perjalanan mereka menuju ke tapak pembinaan tadi. Mungkin kerana kekok baru pertama kali di dalam situasi berduaan seperti ini.

Selepas beberapa minit memandu, Yusran tiba-tiba membelok masuk ke kawasan bangunan pejabat dan kedai makan, lalu dia berhenti tepat-tepat di depan satu bangunan.

Dia buat apa kat bangunan tempat kerja lama aku? Etasya mengerutkan dahinya memandang lelaki di sebelahnya.

"Jom."

"Pergi mana?" soal Etasya.

"Temankan saya duduk sekejap kat kafe depan tu," jawab Yusran, lalu dia terus keluar dari kereta selepas dia melepaskan tali keledarnya.

Etasya menggigit-gigit bibirnya sambil memandang kafe tempat kebiasaannya melepak suatu ketika dulu. Ada sesuatu yang dia risaukan. Lambat-lambat dia keluar dari kereta mengejar majikannya yang semakin menghampiri pintu kafe tersebut.

"Awak tak nak order ke?" soal Yusran dengan muka serius sebaik sahaja mereka duduk di dalam kafe yang tidak terlalu ramai pelanggan pada ketika ini.

"Saya ambil minuman dari dalam peti tu je," jawab Etasya lalu dia terus berdiri.

"Zee!" bahunya dipegang oleh seseorang dari belakang.

Spontan Yusran memandang wajah Etasya dan wanita yang memegang bahunya itu silih berganti dengan muka terkejut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience