BAB 2

Romance Completed 9878

DANISH memberi salam lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Dia melangkah ke arah ibu dan sahabat lama ibunya. Kedua-dua wanita itu memandangnya kehairanan.

“Danish, mana Izyan?” Soal ibunya, Puan Azizah.

“Entahlah, bu. Dah lari ke mana entah Cik Senah tu,” balas Danish. Dia melabuhkan punggung ke sofa dengan selamba.

“Ibu dan Mak Cik Ruzila suruh Danish pergi jemput Izyan, bukan Cik Senah. Siapa Cik Senah tu?” Puan Azizah menggeleng. Pening kepalanya! Orang suruh cari orang lain, orang lain pula yang dicarinya.

“Cik Senah tu Izyanlah, bu. Tadi, Danish dah jumpa dia tapi, boleh pulak dia tak nak mengaku. Dia siap tanya Danish lagi, Izyan pendek ke tinggi ke debab. Manalah Danish tahu Izyan yang mana satu.”

“Habis, Danish tak beritahu nama pak cik?” Tanya Puan Ruzila pula.

“Dah. Danish dah cakap yang Danish cari Izyan Ibrahim. Patutlah cepat saja Cik Senah tu nak melarikan diri. Rupa-rupanya dialah orang yang dicari.”

“Habis tu, macam mana Danish tahu yang budak tu Izyan?” Puan Ruzila mengeluh mendengar cerita tersebut. Izyan Hasna, memang pantang kalau ada orang yang tidak dikenali mahu berjumpa dengannya. Pantas sahaja dia memboloskan diri. Entah apalah penyakit budak seorang itu. Bukannya mahu bertanya terlebih dahulu. Ini main pecut sahaja!

Danish menyambung ceritanya, “Danish tanyalah seorang budak perempuan ni. Dia cakap, hari ini Izyan pakai serba merah. Dengan beg-beg sekali warna merah. Jadi, memang mudah kalau nak cari. Tetiba Danish teringat pada Cik Senah. Cik Senah pakai baju serba merah. Beg sandangnya pun warna merah.”

“Hah, betullah tu! Tadi, mak cik ada nampak dia keluar pakai baju merah.”

“Hidup-hidup Danish kena tipu, mak cik.”

“Tak apalah, Danish. Nanti ada jodoh, berjumpa lagi. Kalau mak cik tahu dia nak lari macam tu, mak cik tak minta Danish pergi jemput dia. Tunggu saja di rumah sampai dia balik. Tak rugi duit minyak.”

“Tak ada hallah, mak cik. Perkara kecil saja. Lagipun, Danish dah tinggalkan jejak Danish pada dia.”

“Hah? Danish pijak dia?” Mata Puan Azizah membuntang. Ish, budak ni! Anak orang dipijaknya!

Ketawa Danish terburai. Ada pula hendak dipijak-pijaknya Cik Senah itu. Kalau dipeluk-peluk, logiklah juga! Comel!

“Ke situ pulak ibu ni….”

“Habis tu? Danish buat apa?” Puan Azizah sudah mencekak pinggang. Sungguh, dia tidak mengerti bahasa anak muda zaman sekarang. Tinggalkan jejak? Bagaimana lagi caranya jika bukan dipijak-pijaknya budak Izyan itu?

“Adalah….” Danish tersenyum penuh makna. Harap-harap Cik Senah tidak memakan coklat tersebut sebaliknya, menyimpannya buat kenang-kenangan.

LINDOR. Dia membaca perkataan yang tertulis pada pembalut coklat bulat yang berwarna merah itu. Coklat mahal. Dapat pula daripada ‘Abang Coklat’. Sayangnya hendak ditelan coklat tersebut.

“Yang kau belek-belek, tenung-tenung coklat tu kenapa? Makan sajalah kalau dah teringin tu. Kau pun bukannya sedang berdiet,” tegur Amirah yang sedang memandu.

Izyan Hasna tersengih lalu menjawab, “Aku sayanglah nak makan. Susah nak dapat coklat macam ni.”

“Kau sayang nak makan atau kau teringat pada Abang Coklat kau tu?” Perli Amirah sambil menggeleng kepala.

“Dua-dua!” Izyan Hasna berkata jujur. Seketika kemudian, dia ketawa mengilai.

“Gatallah kau ni, Senah! Entah-entah, tadi tu kau sengaja jatuhkan nota yang aku tinggalkan di dalam fail kau tu. Taktik nak berbual dengan Abang Coklat, kan? Kau nak mengurat dia?” Amirah meneka sambil mengecilkan mata merenung sahabat karibnya di sebelah. Tetapi, perlakuannya itu tidak lama. Dia kembali menghadap jalan raya. Dia tidak mahu terbabit dalam kemalangan akibat kecuaiannya sendiri.

“Eh, kau ni… tak adalah! Takkanlah aku nak buat macam tu? Aku ni kan pemalu.” Cepat-cepat Izyan Hasna menukas tanggapan Amirah.

“Malu-malu kau tu ada gatalnya juga! Ingat aku tak tahu? Kau tu pantang tengok lelaki kacak! Menggigil tempurung lutut!” Tempelak Amirah lalu ketawanya terburai.

“Hei! Tempurung-tempurung jangan main ya! Aku serkup kepala kau dengan tempurung kelapa nanti!” Pantas sahaja Izyan Hasna menuding jari ke arah Amirah sebagai tanda amaran.

“Hah? Ingat aku hairan sangat dengan tempurung kelapa kau? Kecil! Ada hati nak serkup kepala aku.” Amirah menjelir lidah.

“Kalau macam tu, aku ketuk kepala kau dengan tempurung kelapa, nak? Lagi masyuk, kan?” Izyan menayang penumbuknya.

“Eh, kalau kau tak nak makan coklat tu, bak sini. Biar aku yang makan.” Segera Amirah mengembalikan topik perbualan mereka kepada coklat Lindor tadi. Tangan Izyan Hasna itu bukan boleh dibuat main. Silap-silap, kepalanya betul-betul diluku oleh tangan kurus dan nampak bentuk tulang itu. Sakit ooo… Jangan dipandang rendah pada tangan itu!

“No way!” Izyan Hasna menjerit sekuat hati.

“Hei! Suara tu tak boleh kuat lagi ke? Kau nak orang fikir aku kidnap kau?” Marah Amirah sambil memijak kuat pedal brek. Lampu merah. Cepat pula lampu isyarat kuning bertukar kepada merah.

Izyan Hasna menunduk muka. “Ops, sorry, Mira Idora.” Perlahan sahaja kedengaran suara itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience