BAB 12

Romance Completed 4092

“Nama awak siapa, ya? Dah lama sebenarnya saya nak tahu. Mujurlah kita jumpa hari ini.” Syed Aidil pantas bertanya sejurus kami tiba di Kipmart.

“Nama saya Cempaka,” jawabku perlahan, antara dengar dengan tidak.

“Oh, Cempaka. Sedap nama awak. Macam nama kawan sayalah.” Syed Aidil seperti mengingati sesuatu. Barangkali sebelum ini dia pernah mengenali seseorang yang mempunyai nama serupa seperti itu.

“Cempaka Sari ke?” Aku bertanya lagi. Sengaja ingin menduga ingatannya. Sudah pasti dia ingat nama samaran aku itu.

“Eh, betullah. Macam mana awak boleh tahu? Saya pernah berkawan dengan Cempaka Sari dulu. Tapi sayang sangat sebab…”

“Sebab dia tak cantik ke?” Aku segera memotong bicara Syed Aidil. Riak wajahnya berubah secara tiba-tiba.

Syed Aidil hanya mengangguk. “Orangnya tak secantik namanya. Kalau orangnya macam awak ni, tentu dah lama saya tackle.”

Em, sudah mulalah miang dia datang. Hendak berkawan dengan orang cantik sahaja. Yang hodoh, gemuk, muka banyak jerawat macam aku waktu dulu tak nak pula. Untuk pengetahuan kau, Syed Aidil, perempuan yang kau kutuk tu sebenarnya aku tahu tak. Ish, geram betul dengan mamat sewel ni.

“Dahlah cepat. Saya nak beli barang ni. Tak boleh lama-lama sangat. Nanti risau pula boyfriend saya.” Aku terus berlalu pergi meninggalkan Syed Aidil seorang diri di situ. Dia pantas mengekori aku dari belakang.

“Awak, tunggulah saya dulu!” Teriaknya dari belakang.

Aku cepat-cepat melangkah masuk ke ruang dalam tanpa mengendahkan panggilannya. Sengaja aku biarkan dia mentafsir sendiri maksud aku sebentar tadi. Memang aku belum berpunya saat ini, tapi itu bukan bermakna ada ruang untuknya mencurah kasih. Cinta aku padanya sudah lama padam saat dia menghamburkan kata-kata kesat pada diri ini. Maruah diri aku seperti diinjak-injak sesuka hati. Tanpa rasa bersalah, dia sanggup merendahkan maruah diri aku di hadapan kawan-kawan sekuliah.

Peristiwa silam itu kembali terlayar di fikiran. Aku masih ingat lagi bagaimana marahnya dia waktu itu apabila mengetahui aku yang selama ini menyamar sebagai Cempaka Sari. Kalau tidak kerana kecuaian aku, sudah pasti sampai sekarang dia tidak tahu siapa aku. Pada hari itu, entah bagaimana aku boleh terlupa untuk silent telefon bimbitku. Sebelum kuliah bermula, tiba-tiba handphoneku berbunyi. Aku pantas menjawab tanpa melihat nombor yang tertera di atas skrin.

“Assalammualaikum, siapa ni?” soalku perlahan.

“Waalaikummussalam. Ini sayalah, Syed Aidil. Awak kat kolej ke sekarang?” Seakan gugur jantungku sebaik mendengar suara Syed Aidil yang menjawab salamku.

“Ada apa awak call saya pagi-pagi macam ni. Saya ada kuliah ni kejap lagi. Lain kalilah awak call. Maaf sangat-sangat.”

Aku terus memutuskan talian kerana bimbang Syed Aidil mengesyaki rahsia aku. Buatnya dia sampai sekarang ini, mampus aku. Tak pasal-pasal, rahsia aku pecah. Mana aku nak letak muka ini.

Tidak berapa lama selepas itu, tiba aku terdengar ada satu tepukan kuat dari belakang. Aku pantas menoleh ke arah datangnya suara itu. Ya Allah, Syed Aidil.

“Bagus, Yasmin. Pandai ya kau menyamar sekarang. Kau ingat aku tak tahu siapa Cempaka Sari.”

“Kenapa ni, Aidil? Siapa yang menyamar?” Aku berpura-pura tidak tahu. Adakah dia sudah tahu penyamaran aku selama ini? Tidak mungkin dia tahu siapa Cempaka Sari.

“Oh, sudah gaharu cendana pula. Dah tahu, pandai pula kau nak tanya, ya,” tempik Syed Aidil kuat. Aku tersentak mendengar suaranya. Rakan-rakan yang lain turut terperanjat. Masing-masing sibuk memasang telinga.

“Aku nak ingatkan kau sikit, Min. Kau jangan mimpilah nak rebut cinta aku. Kau ingat aku boleh tergoda ke dengan perempuan gemuk macam kau ni, hah. Cubalah kau tengok cermin baik-baik, antara kau dengan aku bagai langit dan bumi. Jauh sangat berbeza tahu, tak. Aku tak sangkakan, kau sanggup menyamar sebagai orang lain semata-mata nak berkenalan dengan aku. Dasar perempuan tak ada maruah diri. Kalau aku tak call kau tadi, agaknya sampai matipun aku kena tipu dengan perempuan bangsat macam kau.”

Marah benar Syed Aidil kepadaku saat itu. Dia seperti orang hilang akal sebaik mengetahui cerita sebenar tentang Cempaka Sari. Kesabarannya benar-benar teruji. Aku hanya menadah telinga mendengar caciannya. Akhirnya, aku pulang ke rumah kerana tidak sanggup berhadapan dengan rakan-rakan sekuliah. Aku malu. Maruah aku diinjak-injak oleh lelaki yang aku sayangi. Sejak peristiwa itu, Syed Aidil terus membuang aku dari hidupnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience