2 Baik, Tuan Besar!

Romance Completed 368627

USAI mengaminkan doa, Maria terus mendekati susuk Tuan Decsier yang ketika itu sedang duduk bersantai di ruangan tamu bersama segelas air kosong. Lelaki itu seorang yang sangat menjaga kesihatan. Yang manis bergula, dia tidak akan sentuh.

Sambil melangkah, sambil itu jugalah Maria mengurut dada. Gugup dan takut itu sudah pasti ada namun dalam masa yang sama, Maria tetap berusaha juga untuk menenangkan dirinya kerana dia tahu, walaupun lelaki itu cerewet sungguh, namun dia tidak kejam. Garang pun hanya sedikit sahaja. Itupun kalau kerja yang dibuat ada salah.

"Tu... tuan," Maria mula memanggil sambil tersengih-sengih. Tanpa dipelawa, dia terus duduk berhadapan dengan susuk seorang tuan besar itu.

"Awak nak apa, Maria?" soal Tuan Decsier. Melirik ke arah wajah pembantu rumahnya itu dengan tatapan yang sedikit curiga.

"Saya... saya sebenarnya ada hal nak cakap dengan tuan. Boleh? Tapi kalau tak boleh pun, kena boleh juga. Sebab hal ni memang penting, tuan."

"Cakaplah. Saya dengar ni." Tuan Decsier mematikan rancangan televisyen yang sedang dia tonton kerana mahu memberi sepenuh perhatian terhadap kata-kata Maria.

"Se... sebenarnya... saya nak minta berhenti kerja... "

"Apa?? Maria, awak... "

"Tak, tuan dengar dulu apa yang saya nak cakapkan ni." selaan dibalas juga dengan selaan. Maria menarik nafas sebelum kembali meneruskan kata. "Nenek saya kat kampung sekarang ni tengah sakit, tuan. Tak ada siapa yang dapat tengokkan dia. Jadi, saya dah buat keputusan untuk berhenti dari sini tapi... tuan jangan risau. Saya dah jumpa orang yang akan menggantikan saya. Bab memasak, kerja-kerja rumah, dia memang pakar."

Tuan Decsier mengecilkan mata. Mahu marah namun dia tahu yang dirinya harus bersabar. Dia faham akan situasi Maria kerana dia juga mempunyai seorang nenek yang kesayangan. Tidak mengapa, asalkan Maria berterus terang dan sudah menemui pengganti sahaja. Dia tidak kisah siapapun, asalkan insan itu dapat melakukan segala tugasnya dengan baik. Jangan menyusahkan sahaja, sudah.
"Jadi, bila awak nak berhenti?" soalnya.

"Errr... hari ni last. Esok, saya akan bawa kawan saya tu datang berjumpa dengan tuan. Tuan jangan risau, saya berani jamin... yang kawan saya tu hebat yang sangat luar biasa dalam bab buat kerja-kerja rumah ni." ujar Maria dengan penuh yakin.

"Baik, nanti saya akan sediakan satu surat perjanjian untuk kawan awak tu. Pastikan dia datang dan mula bekerja esok. Pasal gaji awak, saya akan transfer esok. Saya akan bagi full."

"Eh, tapi saya baru je kerja beberapa hari dengan tuan. Errr... tuan kira... pakai hari je lah." Maria pura-pura berjual mahal sedang di dalam hati sudah melonjak suka. Bab-bab duit, Maria memang juara!

"Kalau awak nak saya bayar pakai hari pun, tak apa. Saya lagi suka." Tuan Decsier menjeling sebal. Bukan dia tidak tahu akan sikap mata duitan Maria. Drama je lebih!

"Eh, mana boleh macam tu!" laju Maria menggeleng dengan riak yang sangat kalut. Menyesal pula dia menolak tadi. "Tadi tuan dah cakap dah. Tak eloklah macam tu. Tak apa, tak apa. Walaupun saya rasa berat hati sangat-sangat, saya tetap akan terima gaji penuh yang tuan bagi esok. Saya doakan semoga tuan terus berjaya dalam kerjaya tuan dan dilimpahkan dengan rezeki yang tidak pernah putus. Aamin... " Maria menayang sengihan sebelum berebutan berlalu ke arah dapur. Lama-lama di situ, bimbang pula tawaran yang dibuat oleh Tuan Decsier tadi dimansuhkan serta-merta.

"Ada-ada je dia ni! Nak cakap nak, tak nak cakaplah tak nak." Tuan Decsier tersenyum seraya menggelengkan kepala.

DARA JELITA menahan sebak dan air mata saat seorang demi seorang rakan sekerjanya datang memeluk dan bersalaman. Hampir setahun dia mencari rezeki di situ, berkongsi kisah suka dan duka dengan para sahabatnya. Semua itu sudah pasti meninggalkan rasa sedih pada hati Dara Jelita.

"Kalau awak ada masa, awak datanglah jenguk kami kat sini. Awak jangan lupa kat kami-kami tau?" Dellia menitip pesan dengan cebikan sedih pada bibir. Dalam kalangan mereka, Dellialah yang paling terkenal dengan sikapnya yang suka menyakat. Dalam sehari, tidak akan tenang hidupnya barangkali jika tidak membuat huru-hara.

"Janganlah sedih sangat. Saya cuma resign je, bukannya nak pergi mati." celupar mulut Dara Jelita ketika menjawab membuatkan satu farmasi itu riuh dengan ledakan suara mereka. Menangis sambil tertawa, aneh sungguh!
"Awak semua jangan risau, saya tak akan pernah lupakan awak-awak ni semua."

"Janji tau? Kalau awak kahwin, jangan lupa jemput kami-kami ni pula." Qistina mengusik.

"Kahwin? Hrmmm... " Dara Jelita terangguk-angguk dalam sengihan, menggigit bibir sebelum tertawa kecil. "Saya ni... boyfriend pun tak ada, nak kahwin macam mana pula?"

"Sebab tu lah, saya kata... kalau. Dara yang jelita macam awak ni, tak ada yang tak nak." Qistina membalas dengan kenyitan nakal.

"Lepas ni mesti saya akan rindukan suara-suara sumbang awak semua."

"Hrmmm, nak dengar kami nyanyi tak?" Dellia membuat usulan. Alang-alang sudah masuk waktu rehat, mengapa tidak mereka bersuka-ria terlebih dahulu sebagai acara untuk majlis perpisahan yang tidak rasmi itu?

"Nak, nak! Kita... nyanyi sama-sama." Dara Jelita laju mengangguk setuju.

"Okey... three, two, one!
Duhai dara kau manis jelita
Senyum mu indah berseri-seri
Hati ku selalu menjadi tergoda
Memandang kau tiap hari

Engkaulah yang ku puja-puja
Gadis impian di waktu malam
Aku duduk termenung kesepian
Terkenang dara pujaan

Tidakkah kau kasihan
Ku menanti kepadamu selalu
Biar ku rasa bosan
Hati ku tetap pada mu

Beginilah hidup dalam dunia
Selalu sama saling bercinta
Marilah dinda pujaan kesuma
Mengikat janji asmara

Tidakkah kau kasihan
Ku menanti kepadamu selalu
Biar ku rasa bosan
Hati ku tetap pada mu

Beginilah hidup dalam dunia
Selalu sama saling bercinta
Marilah dinda pujaan kesuma
Mengikat janji asmara...

SEBAIK sahaja tiba tepat di hadapan sebuah rumah besar sesuai dengan lokasi yang dihantar oleh Maria tadi, Dara Jelita terus menghubungi sahabat lamanya itu.

"Masuklah, Dara. Buat biasa-biasa je." Maria mempelawa riang. Sedari tadi wajahnya tidak lari daripada senyuman. Melihat Dara Jelita datang bersama beg pakaiannya semakin membuat Maria tidak sabar untuk angkat kaki dari rumah besar itu. "Bos saya ada kat dalam tu ha. Tengah tunggu awak. Awak jangan risau, dia baik sangat." ujar Maria bersungguh-sungguh.

Tuan Decsier memang seorang majikan yang baik namun yang menjengkelkan hanyalah sikap cerewetnya sahaja.

Akur dengan kata-kata Maria, Dara Jelita terus menyambung semula langkahannya untuk mengekori pergerakan Maria dari belakang. Sambil-sambil itu, ralit juga matanya memerhatikan suasana di rumah besar itu. Sungguh; terlihat sangat cantik dan sempurna, tersusun kemas dan rapi, berbau segar dan sangat menenangkan. Pandai Maria menjalankan tugas. Sempat Dara Jelita berfikir; bagaimanalah keadaan di dalam rumah itu kelak jika dia yang menjadi pembantu. Entah-entah, tiada bezanya dengan sebuah tongkang yang pecah.

"Haaa, tu pun bos saya. Dia tengah tunggu tu." Maria menunjuk ke satu arah, laju juga Dara Jelita menoleh sama.

Terkedu anak dara yang jelita itu. Mana tidaknya, mati-mati dia ingatkan majikan Maria adalah orang tua, rupa-rupanya dia salah. Muda, bertubuh sasa dan Dara Jelita yakin, wajahnya juga pasti tampan. Sekali lagi Dara Jelita berfikir; entah bagaimanalah keadaan bakal majikannya itu nanti jika dia yang menjadi pembantu? Entah-entah daripada bertubuh sasa dan sihat, berubah pula menjadi kurus meranting. Sudahlah nasi pun Dara Jelita tidak reti masak. Ah... jangankan menanak nasi, menjerang air pun dia tidak reti. Bala sungguh!

"Tuan, kawan saya dah sampai." Maria bersuara sebaik sahaja sudah mendekati lokasi Tuan Decsier berlabuh punggung.

Serentak dengan itu juga Tuan Decsier mengangkat wajah. "Duduk." arahnya sepatah walaupun sempat terkesima buat sesaat dua tadi.

"Duduklah, Dara." Maria menarik tangan sahabatnya.

Mengambil tempat di sisi Maria, Dara Jelita terus menghela nafas sambil bercurian melirik pandang ke arah wajah bakal majikannya itu.
'Nampak garang tapi... asal macam pernah tengok erk?? Oh, dia artis sendu agaknya!'

"Nama, umur, pekerjaan terakhir, status dan apa-apa sahaja yang berkaitan." tanpa bermukadimah yang indah-indah, langsung sahaja Tuan Decsier mengarah Dara Jelita untuk memberitahu jelas tentang dirinya. Sudahlah kekal dengan riak yang tegang tanpa sedikit pun manis di wajah. Mujur sahaja Dara Jelita sememangnya seorang yang tenang dan tidak mudah gugup.

"Ehermmm," Dara Jelita berdeham nakal. "Nama saya Dara Jelita, berumur 22 tahun. Status bujang dan sebelum ini saya bekerja di sebuah farmasi."

"Farmasi? Tapi kenapa awak berhenti dari situ?" pertanyaan Tuan Decsier itu semerta membuat Dara Jelita menoleh ke arah Maria kerana jawapan untuk pertanyaan itu ada pada Maria sendiri.

"Errr... macam ni, tuan. Dara... Dara... aaa... Dara kata... " terkial-kial Maria mencari jawapan sambil terus menggaru kepala. 'Nak tipu lagi ke tak?'

"Lupakan! Saya tak ada masa nak menunggu orang gagap bercakap." Tuan Decsier pantas menyela membuat Maria langsung sahaja tersengih-sengih pada tempat duduknya. "Teruskan, Dara."

Dara Jelita mengangguk sebelum kembali meneruskan kata, "Hobi saya menyanyi, bermain TikTok. Saya tak suka bersenam, bersukan, terutama sekali main-main bola apa semua. Bagi saya... semua itu buang masa dan tenaga. Sia-sia!" selamba dan dengan riak yang sangat polos Dara Jelita melontarkan tentang dirinya yang itu membuatkan Tuan Decsier bersama Maria hampir sahaja tertelan lidah mereka sendiri.

"Awak rasa... antara menyanyi, main TikTok dengan main bola sepak, mana satu yang lebih berfaedah?" Tuan Decsier terus menyoal. Geram pula hatinya mendengar hujah polos anak dara itu tadi, dengan sesuka hatinya sahaja menghina kerjaya yang sedang dia ceburi kini. Sudahlah Tuan Decsier paling pantang jika melihat orang menyanyi sambil memasak. Habis air liur masuk ke dalam makanannya nanti!

"Mestilah menyanyi dengan main TikTok. Semua tu sebagai pengubat jiwa kalau kita sedang penat atau... sedih. Kalau tuan tak percaya, tuan cubalah. Lepas tu, tuan cuba lagi main bola. Masa tu, barulah tuan akan faham kenapa saya kata main bola tu, buang masa dan tenaga. Dah tahu bola tu bulat, masih juga mereka-mereka kat padang tu berebut pergi kejar. Aduhaiii, kesian sangat. Macam tak cerdik je!" Dara Jelita mengekeh tanpa mempedulikan tingkah Maria yang sedari tadi menguis kakinya.

Tuan Decsier mengetap bibir lantaran berasa geram yang teramat. Sakit pula hatinya melihat sikap bersahaja anak dara itu yang seakan-akan sedang sengaja mahu memerlinya kerjayanya "Awak tahu kan yang awak akan gantikan tugas Maria dalam rumah ni? Apa tugas-tugas awak, berapa jumlah gaji yang akan saya bagi dan... akan ada surat perjanjian yang awak kena sign. Tahu?"

"Tahu. Maria dah cakap dah." segera Dara Jelita mengangguk dengan yakin.

"Bagus. Kalau macam tu, sekarang ni... saya nak awak sign. Dalam masa enam bulan ni, jangan harap yang awak boleh berhenti sesuka hati awak." Tuan Decsier menghulurkan sekeping kertas bersama sebatang pen hitam kepada Dara Jelita. "Awak baca sebelum sign. Fa... "

"Dah." belum habis lagi ayat Tuan Decsier yang tadi, Dara Jelita pula sudah selesai menurunkan tandatangannya. Bukan sahaja Tuan Decsier yang melopong, tetapi Maria juga sama.

"Awak tak baca dulu?" soal Tuan Decsier sambil menggelengkan kepala.

"Sebab saya memang dah faham semuanya. Daripada tugas-tugas, gaji, tempoh kontrak, saya dah faham dan hadam." Dara Jelita menjawab selamba.

"Okey... " Tuan Decsier akhirnya mengangguk reda. "Maria, awak boleh balik. Gaji awak, saya dah transfer dah dan awak Dara... selamat bekerja. Untuk tugasan awak yang pertama, saya nak awak... buatkan kopi untuk saya."

"Kopi??" Maria dengan Dara Jelita langsung menyoal serentak, masing-masing juga terus menayang riak yang berbeza. Maria jelas terlihat hairan sementara Dara Jelita pula kelihatan gugup.

"Kenapa? Tak tahu kopi tu apa?" soal Tuan Decsier sebelum berdesah sinis.

"Eh, tahu-tahu! Saya memang selalu buatkan kopi untuk ayah saya." laju Dara Jelita menjawab. Pura-pura mempamerkan riak yakin walau di dalam hati sedang teruk dilanda rasa bimbang.

"Kalau macam tu, pergilah buatkan kopi untuk saya sekarang!" arah Tuan Decsier seraya mendengus geram.

"Errr... errr... ba... baik, tuan besar. Saya yang menurut perintah!" Dara Jelita mengangguk laju. Mujur sahaja otaknya masih ingat pada sukatan serbuk kopi dan gula ketika menyediakan air untuk ayahnya tempoh hari. Dara Jelita sangat yakin yang air kopi buatannya itu sedap memandangkan mulut ayahnya juga tidak henti-henti memuji.

SETELAH berpelukan sebagai tanda pamit dengan Dara Jelita, Maria terus melangkah keluar dari ruamah besar itu. Bukan main lega lagi hatinya mengenang diri yang telahpun bebas daripada cengkaman seorang majikan yang cerewet. Perasaan bersalah terhadap Dara Jelita memang ada, namun apa kan daya? Semua ini demi kepentingan dirinya juga. Tidak mengapalah, Dara Jelita juga sudah pandai melakukan segala pekerjaan-pekerjaan rumah.

"Semoga urusan Dara dipermudah, Ya Allah." Maria meraup wajah setelah doa pendeknya dibaca.

Sementara itu di dalam dapur pula, Dara Jelita masih berusaha mengingati sukatan kopi yang dibuat untuk ayahnya tempoh hari. Sebiji cawan diambil, juga bekas-bekas yang terisi dengan serbuk kopi hitam dan gula namun gulanya pula tiada. Puas menilik, puas mencari tetapi tetap juga tiada.

Tergopoh-gapah pula Dara Jelita menyusun langkah ke arah ruang tamu untuk menemui majikan baharunya semula.

"Gula dah habis erk?" langsung sahaja dia menyoal tanpa ada sapaan hormat terlebih dahulu.

Mahu gugur jantung Tuan Decsier dibuatnya membuat lelaki itu terus berpaling dengan perasaan yang sebal. "Awak ni kan, datang-datang terus tanya gula! Nasib tak mati terkejut saya kat sini!"

"Eh," Dara Jelita terus menggaru kepala sambil tersengih serba-salah. "Maafkan saya, Tuan Besar."

'Tuan Besar??' Sekali lagi Tuan Decsier mengeluh. Mengapakah sengal sungguh pembantu rumah baharunya itu??

"Awak nak apa tadi?" malas melayan tingkah aneh Dara Jelita, Tuan Decsier terus menyoal.

"Saya tanya, gula dah habis ke? Saya cari tak ada."

"Tak mungkin dah habis. Semalam saya dah suruh Maria beli semua keperluan-keperluan kat dapur tu. Awak tengok baik-baik." Tuan Decsier mengarah tegas.

"Dah cari dah Tuan Besar tapi memang tak ada." ujar Dara Jelita bersungguh-sungguh.

"Ada, Dara ada! Cari betul-betul."

"Kalau Tuan Besar tak percaya, Tuan Besar carilah. Kita tengok siapa yang betul, siapa yang salah." Dara Jelita seakan-akan mencabar tanpa dia sedar.

Tuan Decsier yang sedang menonton rancangan sukan kegemarannya terus mendengus geram. Jadi apa fungsi Dara Jelita di rumah itu jika dia sebagai majikan pula yang perlu menyusahkan dirinya untuk turun ke dapur? Sekilas wajah Dara Jelita dipandang dengan jelingan yang sangat tajam sekali. Ikutkan hati, mahu sahaja dia menjentik dahi wanita itu.

"Kalau saya jumpa gula tu nanti
Dara, siap awak!" Tuan Decsier bangkit dari tempat duduknya lalu terus memasang langkah ke arah dapur. Arah kabinet yang menempatkan segala barangan dapur yang kering dituju. Tidak sampai seminitpun dia mencari, sebiji bekas yang berwarna putih jernih terus dikeluarkan lalu diletakkan tepat di hadapan Dara Jelita. "Ni apa? Garam?!" soalnya dengan sangat geram.

Mengambil bekas tersebut dari tangan Tuan Decsier, Dara Jelita segera membelek-belek juga dibuka penutupnya. "Tapi ni bukan gula tu, Tuan Besar." Dara Jelita gigih menggeleng.

"Awak tak sekolah ke, Dara? Pandai baca tak kat situ Maria tulis apa??"

"Brown sugar." Dara Jelita membaca dengan tampang yang suci dan polos.

"Habis brown sugar tu bukan gula ke, Dara?"

"Tapi... kat rumah ayah warna putih. Kat rumah Tuan Besar je yang warna ni. Gula ni hangus ke??" soal Dara Jelita sambil menggaru kepala.

"Hangus nenek awak! Eee... bebal!" Tuan Decsier terus memasang langkah untuk meninggalkan ruangan itu. Gara-gara kebebalan Dara Jelita dia terlepas rancangan sukan kegemarannya tadi.

"Eee nenek-nenek pula yang dia main." Dara Jelita menjeling geram. "Tapi kan, kenapa... gula ni warna lain??" Dara Jelita mengomel seorang diri. Namun lantaran malas melayan persoalan yang tidak penting itu, Dara Jelita terus memulakan tugasnya yang pertama iaitu membancuh kopi untuk Tuan Decsier.

Lima sudu makan serbuk kopi hitam, 10 sudu makan gula perang diletakkan ke dalam sebiji cawan lalu dicampurkan pula dengan air panas yang mendidih. Sambil tangannya sibuk bergerak, sambil itu juga mulutnya asyik menyanyi sebuah lagi yang sedang viral di TikTok. Sikap Dara Jelita memang seperti itu, menyanyi di dapur memang hobinya. Bukan sahaja di dapur, bahkan ketika berada di bilik mandi juga dia selalu seperti itu. Pendek kata; hobi Dara Jelita adalah menyanyi.

"Sikok bagi duo
Sikok bagi duo
Sikok bagi duo
Sikok bagi duo
Idak naik jugo tekan samo-samo
Sikok bagi duo
Sikok bagi duo
Idak naik jugo tekan galo-galo...
Ermmm, mesti sedap kopi yang aku ni. Sekali cuba, pasti nak lagi! Yesss!" Dara Jelita melompat keriangan, sakan tangannya bergerak ke sana sini lalu terlanggar bekas terisi serbuk kopi tanpa dia sedar. Sudahlah bekas kaca, huru-hara lantai dapur itu dicemari dengan ronaan hitam legam, belum lagi ditambah dengan air kopi yang turut tertumpah sama.

Pranggg!

"Arghhh... mati aku! Tuan Besar mesti marah ni!" Dara Jelita membebel dalam sengihan sambil melirik ke arah laluan masuk. Dalam takut, tetap juga matanya menunggu susuk sasa majikannya muncul.

Terima kasih sudi menjenguk... Muahh!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience