Setelah mendapat maklumat tentang alamat tempat tinggal Nediya, Laila yakin inilah cara yang seterusnya dia terpaksa ambil demi menyelamatkan rumah tangganya. Dia sanggup berbuat apa sahaja asalkan Khalif tidak mengambil keputusan untuk menceraikannya demi perempuan itu.
Kemudian, Laila cepat-cepat mendail nombor telefon grab untuk ke alamat tempat tinggal Nediya. Kedua anaknya dijaga oleh pembantu rumah ketika Laila tiada di rumah.
Hampir setengah jam di perjalanan. Pemandu grab memaklumkan bahawa lokasi yang Laila ingin tuju sudah pun sampai. Laila segera membayar tambang kepada pemandu grab dan terus keluar dari kereta. Dia berharap masalah ini akan selesai pada hari ini.
Laila terus menghampiri sebuah rumah disitu. Lalu, dia memberi salam.
"Assalamualaikum." Laila berkata halus. Sekali lagi dia memberi salam.
"Ye waalaikummusalam. Cari siapa ya?" seorang mak cik bertanya kepada Laila. Laila menarik nafas sedalam-dalamnya lalu membalas "Ni rumah Nediya ke?"
"Oh, rumah Nediya kat sana. Yang berwarna putih tu." Mak cik itu berkata tenang. Laila memandang ke arah rumah yang ditunjukkan oleh mak cik tersebut.
"Ok, mak cik. Terima kasih ya". Laila berjalan menuju ke rumah berkenaan. Tiba-tiba hatinya berdebar. Bukan apa, dia takut keadaannya bukan seperti yang dijangkakan. Namun, dia harus kuatkan semangatnya.
Laila ternampak seorang mak cik dalam lingkungan 50-an sedang menyapu sampah di halaman rumah berkenaan. Laila terus menghampirinya dan memberi salam kepadanya.
"Mak cik, ni rumah Nediya ke?" Laila berkata dalam nada sopan.
" Ye, nak. Ni rumah Nediya. Saya mak dia. Kamu nak jumpa Nediya ye? Tapi sekarang ni, dia tiada di rumah. Dia baru saja keluar tadi. Katanya, nak berjumpa dengan bakal suami dia." Mak cik Khadijah terus berhenti daripada menyapu sampah.
" Oh macam tu. Kalau macam tu...saya balik dulu ye." Laila berkata dalam nada tersekat-sekat. Tanpa disedari air matanya mengalir perlahan. Mungkin dia terasa dengan perkataan bakal suami tadi yang disebut oleh Mak cik Khadijah.
"Eh, nak. Kenapa kamu menangis. Ada masalah ke kamu nak jumpa Dhia ni?" Mak cik Khadijah naik hairan melihat Laila menangis. Tetapi, di raut wajah Laila itu, sepertinya tersimpan kesakitan yang lama dipendam.
Laila tidak bersuara. Mak cik Khadijah terus mempelawa Laila untuk masuk ke dalam rumahnya dahulu. Laila tidak dapat menolak. Selepas itu, Mak cik Khadijah menyediakan air kepada Laila.
Selepas keadaan kembali reda, Mak cik Khadijah memulakan perbualan.
"Ada apa sebenarnya kamu datang mencari Dhia ni? Dia kawan kamu ke? Atau ada apa-apa yang berlaku?"
Laila berbelah bahagi sama ada dia patut berterus-terang kepada Mak cik Khadijah atau tidak. Memang niat asalnya mahu face-to-face dengan Nediya sendiri tetapi memandangkan Nediya berjumpa dengan 'bakal suaminya' itu mungkin mengambil masa yang lama dia keluar daripada rumah. Laila buntu namun dia cuba mengambil kudratnya untuk bersuara.
"Mak cik, sebelum itu maafkan saya jika kehadiran saya ni bukan berita baik yang saya nak sampaikan. Saya tidak kenal Nediya dengan baik. Mungkin jika Nediya tidak berhubungan dengan suami saya, saya langsung tidak akan kenal dia." jujur Laila dalam nada yang terputus-putus. Mak cik Khadijah mendengar dengan khusyuknya lantas membalas;
"Mak cik kurang faham. Apa maksud kamu, nak?"
Laila sebenar-benarnya rasa bersalah bagi pihak Mak cik Khadijah. Tetapi sebagai emak Nediya, mak cik Khadijah berhak untuk tahu.
"Bakal suami yang Nediya jumpa sekarang ni adalah suami saya." Laila berhenti berkata. Mak cik Khadijah tersentak. Dia benar-benar terkejut dengan kenyataan Laila itu tadi. Dia seakan tidak percaya namun dia cuba mengawal dirinya.
"Jadi Dhia sedang menjalinkan hubungan dengan suami kamu? Ya Allah, mak cik nak minta maaf kepada kamu bagi pihak Dhia ye." Mak cik Khadijah bersuara perlahan sambil seperti menahan tangisannya. Laila memerhati raut wajah mak cik Khadijah. Jelas terpapar perasaan kecewa di raut mukanya. Laila berasa serba-salah kerana Mak cik Khadijah yang naif itu menanggung rasa bersalah terhadap dirinya.
"Mak cik, saya tahu Nediya tu seorang wanita yang cantik, muda. Orang seperti dia mampu dapat lebih daripada apa yang suami saya ada. Saya bukan apa, saya berharap agar rumah tangga saya selamat daripada dimusnahkan oleh sesiapa sahaja." akui Laila. Mak cik Khadijah betul-betul dirundung rasa bersalah akan tindakan anak tunggalnya itu.
"Ye, nak. Mak cik faham perasaan kamu. Mak cik janji mak cik akan nasihat Dhia dan suruh dia lupakan suami kamu tu." Mak cik Khadijah membalas lembut. Cuba meyakinkan Laila. Lantas Laila memeluk Mak cik Khadijah dengan seeratnya sambil dalam tangisan. Mak cik Khadijah turut mengalirkan air mata. Dia faham perasaan seorang wanita yang berkorban demi menyelamatkan rumah tangganya.
Beberapa minit kemudian, Laila meminta diri untuk pulang. Mak cik Khadijah memerhati Laila dengan rasa simpati terhadap nasib rumah tangganya yang diuji dengan kehadiran anaknya sebagai orang ketiga.
Share this novel