Bab 10

Vampire Series 30571

“Arghhh!!!”

Langkah kakiku terhenti di hadapan pintu tandas perempuan. Jeritan yang mencemaskan itu menyebabkan aku segera masuk.

“Kenapa ni? Apa yang berlaku?” terus aku mendekati dua orang gadis yang terketar-ketar di luar salah satu kubikal tandas.

Salah seorang gadis yang menangis teresak-esak itu menuding ke arah dalam tandas. Aku melangkah ke ruang tersebut untuk menjenguk apa yang mencemaskan mereka semua. Ketika aku melangkah ke arah kubikal tersebut beberapa orang lagi masuk untuk mengambil tahu apa yang telah berlaku dalam tandas tersebut.

Apa yang aku lihat sekarang hanya membuatkan mataku terbeliak luas. Kedua belah tapak tangan kutekupkan ke mulut dan hidungku. Darah memenuhi sekitar lantai dan dinding dalam kubikal tersebut. Begitu juga dengan air dalam mangkuk tandas. Bau hamis menerawang menerjah ke rongga hidungku. Tekakku terasa loya dengan serta merta lantas aku tekan flush tandas. Darah yang bertakung dalam mangkuk tandas lenyap ditelan air bersih. Di luar kedengaran suara-suara bising orang yang baru datang dan nak ambil tahu.

Aku perlu buat sesuatu. Bahaya kalau apa yang aku nampak sekarang diketahui ramai orang. Boleh jadi viral sampai ke laman sosial. Aku keluar semula dari kubikal tersebut. Pintu kubikal aku tutup rapat dari luar.

“Apa yang berlaku? Kenapa menjerit?” Itulah soalan-soalan semua yang berada di situ.

“Tak ada apa-apa. Cuma tikus… err, sesat dalam lubang tandas.” Aku terpaksa cipta fiksyen. Muka kena maintain selamba macam tak ada apa-apa walaupun hakikatnya tekak aku dah loya teruk.

“Tikus?! Eeiiuuww… gelinya!”

Masing-masing mula lari keluar. Lumrah perempuan bencikan binatang pengotor. Sebaik mereka semua keluar aku kembali mendekati dua pelajar tadi.

“Jangan beritahu sesiapa tentang apa yang awak berdua nampak. Kita tak tahu apa sebenarnya benda tu. Jadi lebih baik perkara begini disiasat terlebih dahulu.”

“Tapi…”

“Jangan risau. Serahkan sahaja pada saya. Biar saya yang inform pada ahli perwakilan pelajar.” Aku tarik tisu tandas yang bergulung di tepi dinding banyak-banyak. “Awak berdua keluar dulu. Kalau boleh cuba halang sesiapa yang cuba masuk ke tandas ni buat masa sekarang.”

Nasib baiklah dua pelajar tersebut ikut sahaja arahan aku. Agaknya perasaan takut dan terkejut menyebabkan mereka akur dengan arahan aku. Selepas mereka pergi, aku cepat-cepat bersihkan dinding dan lantai tandas yang berdarah tadi. Sepanjang aku cuci darah tersebut beberapa kali juga aku rasa hendak termuntah, tapi aku tahan. Aku buat semua kerja pembersihan sepantas yang boleh kerana takut diketahui orang. Selepas kesan darah aku bersihkan, semua bahan bukti aku hapuskan. Kertas tisu yang berjela-jela aku gunakan tadi semuanya aku campak masuk ke dalam lubang tandas dan aku flush.

Aku dah tak boleh tahan berlama-lama dalam tandas ni lalu segera keluar untuk menghirup udara segar semula. Selepas perasaanku tenang kembali dari bau-bau darah aku mula memikirkan pula persoalan tentang kejadian tadi.

Apa yang telah berlaku dan siapa punya angkara?

Serta merta aku terfikirkan Azril. Aku perlu cari Azril sekarang. Cuma dia seorang sahaja yang patut tahu semua kegilaan ini. Aku menebeng sekejap di tebing koridor. Bau darah tadi masih menerawang dalam fikiranku menyebabkan tekakku loya. Dari tingkat 3 aku nampak kelibat Azril sedang mendaki anak tangga di tingkat 4. Tidak pasti kemana dia hendak pergi kerana sepatutnya dia masih dalam waktu kelasnya di bilik Makyung. Tingkahnya mencurigakan jadi aku segera mengatur langkah ke arah anak tangga dan memacu larian untuk mengejarnya.

“Azril!” Aku memanggilnya ketika di tingkat 5.

Azril menoleh dan bila melihat aku, dia segera mendaki sampai ke tingkat teratas. Nampaknya dia cuba melarikan diri dariku. Aku kejar.

“Azril, tunggu! Janganlah lari.” Banyak sebab kenapa aku tak boleh kejar Azril dan terpaksa merayu kepadanya untuk berhenti. Dia lelaki, kaki panjang, tenaga berganda-ganda dari aku dan dia vampire.

“Aku dah cakap banyak kali jangan ikut aku. Kenapa kau degil sangat, Sofie?” Azril mengeluh di hujung bicara. Dia kecewa dengan aku ke? Tapi kenapa?

“Kau takkan lari kalau kau tak buat salah. Kenapa kau lari? Sebab kau dah tak boleh sembunyikan sifat kebinatangan kau kan?” Aku berhenti sekejap untuk mencuri nafas. Tercungap-cungap akibat kekurangan oksigen.

“Baliklah… jangan ganggu aku lagi.” Dia tidak memandang ke arahku. Aku cuma dengar nada suaranya yang mendatar bagai menyembunyikan suatu perasaan.

“Azril, kau buat apa dalam toilet pelajar perempuan tadi?” Aku terus tanya.

“Apa yang aku buat?” Azril kembali berpaling kepadaku.

“Jangan pura-pura tak tahulah!” Aku angkat selangkah lagi kaki ke hadapannya.

“Dengar sini, Sofie. Aku nak kau balik dan jangan pedulikan apapun yang berlaku di sekitar kau.” Ekor mata Azril seakan sedang mengawasi sesuatu di sekelilingnya.

“Macam mana aku nak berdiam diri kalau benda tu berlaku depan mata aku. Kau bukan manusia seperti yang orang lain nampak. Kau raksasa yang makan darah untuk hidup. Kau vam…”

“Aku bukan vampire!”

Oh ya… aku lupa. Dia unvampire. Tapi…

“Jadi jelaskan apa yang dah berlaku kat toilet tadi.” Aku nekad mahu tahu perkara sebenar dari mulutnya kerana aku yakin Azril terlibat dalam kes ini.

“Aku janji aku akan jelaskan tapi bukan sekarang. Aku akan cari kau pada waktu yang sesuai nanti.” Dia hampir merayu kepadaku. Seolah-olah menyembunyikan sesuatu rahsia.

“Tipu. Aku tak percaya. Aku nak kau jelaskan sekarang juga.” Aku tak boleh terpedaya dengan helah Azril lagi.

“Aku tak boleh. Kau faham tak.” Aku buat muka blur. Sumpah aku memang tak faham. “Dengar sini… sebab aku boleh cakap sekali sahaja… esok, aku akan buat persembahan pembukaan untuk Battle Of The Band di O.H. Cari aku selepas persembahan tu nanti.” Dia menetapkan temujanji agar aku tidak terus mendesaknya.

“Kau janji?”

Azril angkat kedua belah tapak tangan dan mengangguk. “Aku janji. Sekarang aku nak kau balik. Aku ada urusan penting yang nak diselesaikan.”

Aku agak keberatan. Dalam hati ingin sekali mengajukan soalan lagi. Apa urusan penting yang dimaksudkan oleh Azril dan kenapa dia hendak ke bumbung bangunan pada waktu begini? Tapi memandangkan itu permintaan peribadi Azril, aku terpaksa menghormatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience