Bab 3

Romance Series 106380

JUWITA termenung sendirian di kamarnya. Usai makan malam bersama ibu dan adik-adiknya dia terus melangkah masuk ke kamar.

Tidak seperti kebiasaannya, dia akan meluangkan masa yang ada untuk bersantai bersama mereka di ruang tamu.

"Aik, kau tahu jalan ke rumah aku?" Juwita menyoal Zailani apabila Zailani langsung tidak bertanya di mana rumahnya. Malah melalui jalan yang betul menuju ke rumahnya.

"Tahu. Sebab aku pun duduk dekat sana. Kau je yang tak ambil tahu." Zailani memandu tenang sedangkan Juwita di sebelahnya sudah berkerut dahi.

"Tak payahlah nak berkerut macam tu. Cepat tua nanti baru tahu. Kau tu dah le tak berlaki lagi. Kang tak sempat cari laki, dah berkedut sana sini." Juwita menahan hati dengan sindiran Zailani.

"Aku kenal semua family kau. Kau memang tak ingat aku langsung ke Juju?" Mata Juwita terbeliak. Lama sudah panggilan Juju itu tidak didengari.

Semenjak rakan sepermainannya Lan terpaksa berpindah apabila ayahnya dihantar bertugas ke negeri lain.

"Lan?" Juwita inginkan kepastian. Tapi hatinya cuba menidakkan. Lan yang dia kenal bukannya seorang yang lembut seperti Zailani.

"Haaa... akulah. Azlan Zailani." Juwita terdiam. Dia hanya mengetahui nama Lan adalah Azlan.

Sepuluh tahun berpisah. Zailani banyak berubah sampai dia tidak mengenalinya. Macam mana Lan boleh berubah menjadi Zai? Makin Juwita penasaran.

"Aku tak percayalah. Kau bukan Lan. Lan aku kenal bukannya kurita macam kau. Lan yang aku kenal hensem. Tak lembik." Zailani tersenyum.

Benar, Lan yang Juwita kenal tidak lembik seperti Zailani. Tapi masa merubah segalanya. Bukan keinginan Zailani untuk jadi seperti itu.

Ketukan di pintu mengembalikan Juwita ke dunia nyata. Dia segera membuka pintu biliknya. Kelihatan Zaitun di depan muka pintu.

"Masuklah ibu." Juwita kembali duduk di birai katil.

"Ju okey ke ni? Ibu tengok Ju lain macam je." Zaitun melabuhkan duduknya di sebelah Juwita. Rambut Juwita dibelai dengan penuh kasih sayang.

"Ju okey je, ibu. Kenapa ibu tanya?" Zaitun tersenyum mesra.

"Zai hantar Ju balik tadi? Kereta mana?" Juwita terus mengadap Zaitun.

"Kereta Ju tak boleh start. Esok baru mekanik datang. Ibu kenal Zai?" Juwita inginkan kepastian. Namun hatinya kuat mengatakan Zailani dan Azlan adalah orang yang berbeza.

"Ju tak ingat Zai ke? Betul ni Ju tak ingat?" Zaitun inginkan kepastian. Juwita mengeluh.

"Bu, Zai dan Lan orang yang berbeza, kan? Ju yakin Zai bukan Lan." Zaitun menepuk lembut kekura tangan Juwita.

"Mereka orang yang sama Ju. Orang yang Ju tunggu selama ni." Juwita semakin bingung. Dia bungkam tanpa sebarang kata. Zaitun hanya mampu menggeleng melihat reaksi Juwita.

"Kaki dah sapu ubat?" Juwita hanya mengangguk sebagai jawapan.

"Ibu keluar dulu. Jangan tidur lewat." Satu kucupan hinggap di dahi Juwita. Kucupan yang tak pernah lekang walau sehari pun dari hidup Juwita.

Juwita segera mematikan lampu biliknya dan menghidupkan lampu tidur. Dia tidak boleh tidur dalam keadaan gelap. Pasti mimpi ngeri akan mengejarnya.

Walau telah lebih lima tahun peristiwa itu berlalu, fobianya tidak mampu dihakis. Malah sehingga kini, dia masih dihantu mimpi ngeri itu.

Kejadian yang meragut sikap mesra dan senyuman di bibir Juwita dan kerana kejadian itu jugalah dia kehilangan baba tercinta.

* * * * *

USAI mengerjakan solat, Zailani terus menuju ke balkoni biliknya. Dari situ, dia boleh melihat dengan jelas taman rekreasi yang berada di situ. Indah dan tenang suasana malam itu.

Akhirnya terlepas juga apa yang ingin diberitahu pada Juwita. Masih jelas di fikirannya betapa Juwita terkejut apabila mengetahui siapa dirinya. Malahan Juwita tetap menafikan dirinya adalah Lan yang dikenali.

Lan dan Zai mana mungkin sama. Perwatakan mereka berbeza. Bagai langit dan bumi. Namun, hakikatnya mereka adalah mereka.

"Zai..." sapaan dari Faridah membuatkan Zailani terkejut.

"Mak... nasib baik tak jatuh jantung kita tau." Zailani memegang dadanya. Cuba mengimbangi rasa terkejutnya.

Geleng kepala Faridah dengan reaksi Zailani. Sudah habis iktiar agar Zailani keras namun, masih juga begitu sifatnya. Namun, dia tetap bersyukur kerana Zailani masih lelaki sejati.

Lelaki yang mendambakan wanita dalam hidupnya. Mujur saja Zailani tidak berpaling dari fitrah. Jika itu terjadi, pasti luluh hatinya sebagai seorang ibu.

"Zai dah solat?" Meskipun dia tahu jawapan yang akan diberikan oleh Zailani, dia tetap bertanya.

"Dah mak. Lepas maghrib tadi Zai mengaji dulu sementara tunggu masuk waktu. Azan je, Zai terus solat. Mak jangan risau. Zai takkan tinggalkan solat selagi Zai berdaya nak usahakan." Salmiah tersenyum bangga.

Semoga saja Allah SWT sentiasa memelihara iman di dada anaknya.

"Mak... menung apa tu? Ni mesti ada pape sampai masuk bilik Zai." Zailani jungkit kening ala-ala Ziana Zain. Geleng kepala Faridah dengan keletah anak bujangnya itu.

"Zai dah bagitahu Juwita?" Zailani tersenyum. Pasti Zaitun, ibu Juwita ada menghubungi emaknya.

"Sudah mak." Faridah terdiam seketika.

"Macam mana penerimaan Ju?" Zailani mengeluh. Diraih tangan Faridah lalu diusap lembut.

"Ju tak percaya Zai." Satu keluhan hampa dilepaskan oleh Zailani. Betapa sukarnya untuk menyakinkan Juwita.

"Zai usahalah ye, nak. Mak akan doakan untuk Zai. Mak keluar dulu." Faridah terus berlalu meninggalkan Zailani kembali sendirian di balkoni.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience