AKU sedih.
Rasa bersalah. Tapi, aku bersyukur kerana masa aku belum tiba. Kemalangan yang berlaku kelmarin telah menyebabkan kawan baik aku kembali ke rahmatullah.
Kecederaan yang dialami amat parah sehinggakan mata arwah pecah akibat terkena besi tajam. Macam mana aku boleh terselamat sedangkan aku yang memandu pada waktu itu? Ajal aku belum tiba. Belum tiba.
Oleh kerana aku dan arwah berasal dari kampung yang sama, keluarga kami amat rapat. Mak ayah aku sudah awal-awal lagi mengambil aku pulang ke kampung kerana takut akan keadaan aku yang masih trauma.
Jenazah arwah dibawa pulang pada malam ini dan dijangka akan tiba selepas waktu solat isyak. Keluarga arwah telah membuat keputusan untuk mengebumikan jenazah pada malam ini juga kerana memikirkan keadaan jenazah yang teruk.
Pengebumian tak boleh ditangguhkan ke hari esok disebabkan masih ada darah yang keluar daripada jenazah.
Selepas selesai solat maghrib, aku terasa amat-amat letih sehinggakan aku tertidur di belakang surau sewaktu menunggu tibanya waktu isyak. Sedar-sedar, aku berasa pelik kerana keadaan sekeliling surau amat sunyi seolah-olah semua jemaah telah pulang ke rumah.
Tapi, tak mungkin. Sebab sepatutnya mereka semua perlu menunggu jenazah arwah. Dengan perlahan aku mencapai handphone dan menghidupkan skrin.
9.30 malam.
Tak sangka aku tertidur dekat hampir 1 jam setengah! Aku cepat-cepat bangun dan berjalan menuju ke kawasan sebelah kanan surau. Tanah perkuburan terletak tidak jauh dari surau.
Kenapa tak ada sorang pun yang kejut aku?
Sambil berjalan aku terfikir dan timbul sedikit rasa marah kerana tiada seorang pun yang mengejutkan aku. Bila hampir berdekatan dengan pintu masuk tanah perkuburan, aku merasa lega kerana ternampak samar-samar lampu dan ada beberapa orang sedang meletakkan keranda di tepi liang.
Mereka masih belum mengebumikan jenazah arwah. Aku menarik nafas lega dan cepat-cepat menuju ke arah mereka. Mana lagi yang lain? Aku terdetik. 10 orang pun tak sampai. Mungkin yang lain dalam perjalanan agaknya. Aku melihat orang kampung membuka keranda dengan berhati-hati.
Jelas nampak sekujur badan yang dikapankan dengan kain putih. Tiba-tiba dunia aku terasa gelap, terasa kosong. Aku sebak.
Sejurus melihat jenazah arwah, air mata aku mengalir.
Maafkan aku, kawan. Maafkan aku.
Suasana sunyi bertukar dengan bunyi tangisan ahli keluarga arwah. Mungkin semua ni tak akan terjadi kalau aku tak memandu dengan laju. Aku berasa amat menyesal. Aku bunuh kawan aku sendiri. Penyesalan ini terlampau dalam untuk diungkap.
Aku mengesat perlahan air mata yang mengalir di pipi sambil memperhatikan jenazah diangkat. Sedang aku memperhatikan urusan pengebumian, handphone berbunyi. Bunyi ringtone yang kuat memecah kesunyian tanah perkuburan pada waktu itu.
Aku dengan segera berundur dan berjalan jauh sedikit dari kubur arwah kerana takut dianggap tidak menghormati urusan pengebumian. Namun aku masih lagi berada di pekarangan tanah perkuburan itu. Aku menjawab panggilan sambil membelakangkan kubur arwah. Kedengaran suara mak teresak-esak.
"Assalammualaikum along.... mak ni. Kamu kat mana tu?" Mak bertanya lembut.
"Mak kat mana? Orang kampung dah nak kebumikan arwah ni," jawab aku dengan nada risau.
"Along... kamu kat mana ni?" Mak bertanya lagi, kali ini nada suaranya pula berbaur risau.
"Along kat kuburlah mak. Tengok orang kebumi, manalah..." Belum sempat aku menghabiskan kata-kata, mak mencelah.
"Balik long, balik sekarang mak cakap. Balik!" ujar mak dengan nada sedikit marah.
"Lah, mak ni kenapa? Along dah dekat si..." Belum sempat aku menyambung, lagi sekali mak mencelah.
"Jenazah arwah baru sampai ni! Balik!" ujar mak dengan tegas. Ayat terakhir itu seolah-olah berulang-ulang di telinga aku.
Jenazah arwah baru sampai.
Jenazah arwah baru sampai.
Tiba-tiba, keadaan sekeliling tanah perkuburan yang tadinya bertemankan lampu samar-samar kini gelap-gelita dan sunyi. Hatiku berdegup kencang. Fikiran bercelaru. Lutut terasa lembik.
Terasa angin lembut menyapa leher. Keadaan menjadi dingin. Aku mula menggigil sehinggakan handphone yang dipegang terlepas dan jatuh ke tanah. Walau macam mana pun, aku cuba beranikan diri untuk melangkah.
Tapi langkah aku terhenti tiba-tiba apabila terasa bahu kiri ku ditepuk dari belakang dan jelas kedengaran satu suara menyapa.
"Nak pergi mana kawan?"
Share this novel