Bab 19: Pertemuan Semula

Romance Series 20066

DAMIA terus meluru masuk ke dalam bilik. Rasa penat semacam pulak lepas keluar dengan Lokman tadi.

Dia rasa tak ada benda istimewa pun keluar bersama lelaki itu. Membazir masa dan tenaga adalah.

Ketika dia sedang menanggalkan ikatan getah pada rambutnya, Damia terpandang akan sling bag miliknya. Pantas jari-jemarinya menyeluk sling bag itu dan dikeluarkan satu plastik sate yang dibeli Lokman tadi.

Sengaja dia sorok sate-sate itu di dalam beg sejak pulang tadi. Nanti ibunya nampak, mesti ibunya tu tersilap sangka pulak. Dikatanya tu sate Syafiq, memang seksa nak menjawab.

Damia terus duduk di atas kerusi berdepan meja solek. Lihat saja sate, semestinya gerangan Syafiq yang diingatnya.

Memori ketika dia bersama Syafiq kembali diimbas. Ketika dia sering berkunjung ke gerai Syafiq untuk menikmati satenya. Ketika dia dan Syafiq bakar sate bersama-sama sewaktu di rumah lelaki tu.

Rasa pilu di dada menekan raga. Persahabatan yang berharga terpaksa dihancurkan. Hubungan yang masih terkawal batasnya terpaksa dipisahkan. Semuanya kerana perbuatan si ibu dan kakak. Perbuatan darah daging sendiri.

Damia ambil secucuk sate ayam. Dia gigit sate itu dan dikunyahnya perlahan. Tanpa sedar, air matanya mulai bergenang. Kunyahan demi kunyahan membuatkan matanya semakin berkaca-kaca.

Biarpun rasa sate itu tidaklah seburuk mana, tetapi tetap aje ia berbeza dari sate yang dibuat Syafiq. Dia sudah terbiasa rasa sate dari lelaki tu.

Damia masukkan kembali secucuk sate itu ke dalam plastik semula. Cukuplah hanya satu gigitan. Rasa rindu kepada Syafiq semakin membelah jiwa. Hanya sate dari Syafiq sahaja yang mampu diterima oleh tekaknya ketika ini.

Dia bingkas bangun dari duduknya, lalu dicampak plastik yang berisi sate itu ke dalam tong sampah. Berbelas-belas cucuk sate yang lain dibiarkan dibuang macam tu je.

Tangan dilap dengan sehelai tisu. Pada ketika itu juga, matanya tertumpu kepada sebuah beg. Beg kertas berwarna coklat keemasan yang masih elok bersandar di tepi meja soleknya.

Ya, itulah beg yang berisi baju kurung Damia. Baju kurung yang Damia ambil dari ibunya. Baju kurung yang membuat dirinya itu kenal siapa itu Syafiq Aiman.

Dengan rasa beratnya, Damia kuatkan diri mengambil beg tersebut dan duduk di atas katilnya pula.

Baju kurung berwarna hijau itu dikeluarkan. Masih cantik tanpa cela. Fizikalnya masih sama seperti ketika Syafiq serahkan kepadanya dahulu. Bahkan bau sabun pencuci yang digunakan Syafiq tu pun masih melekat pada baju tu.

Baju yang menjadi tanda awal perhubungan mereka. Baju yang memberi kenangan indah kepada dirinya.

Air mata jatuh bercucuran di pipi. Dikesat air itu dari jatuh berjurai tetapi makin mencurah-curah pula mutiara jernih itu mengalir dari tubir mata.

Saya rindukan awak, Syafiq. Saya rindu awak. Tangis Damia semakin menjadi-jadi.

Baju kurung itu digenggamnya kuat dan dicium baju itu. Hanya tangisan tanpa suara mampu diluahkan.

Saya tak boleh lupakan awak, Syafiq. Saya perlukan awak. Awak je yang faham saya. Damia terus meluah dalam hati.

Berat dan sakit. Apa ini yang dimaksudkan dengan rindu? Apa rindu yang dirasa mampu diubati?

Bagi Damia, rasa rindu itu hanya mampu beransur hilang jika dia dapat melihat lagi wajah lelaki yang dicintanya. Walau hanya sesaat.

Damia lap air mata yang bercucuran di pipi menggunakan baju kurung tu. Baju itu dimasukkan semula ke dalam beg kertas. Rasa rindu sudah dilepas biarpun belum lagi terubati. Biarlah rasa perit ini hilang sendiri walaupun sukar.

Tapi bagaikan ada satu aura yang membuatkan Damia membeku. Aura yang datang secara tiba-tiba. Mungkin kerana baju kurung itu yang menggambarkan susuk seseorang.

Gerangan Najihah tiba-tiba terlintas di kotak fikiran. Pemilik kepada nama tersebut memang dikenali dan diketahui agak rapat dengan keluarga Syafiq.

Kata-kata Najihah sewaktu di rumah Syafiq kembali terngiang-ngiang di kepala.

'Nah! Ambik kad ni. Kalau awak nak saya tolong apa-apa. Awak nak refresh balik tentang al-Quran, tajwid apa semua, boleh contact saya. Saya akan bantu selagi mampu.'

Najihah ... dia je yang boleh tolong aku. Gumam Damia sendiri. Dia bagaikan mendapat sinar harapan.

Dia terus bangun dari duduknya. Tercari-cari keberadaan kad itu. Laci meja ditarik, tetapi tak jumpa. Meja solek diselongkarnya, masih juga tak ditemui.

Damia tak berputus asa mencari sehinggalah dia memutuskan untuk mencari di almari baju. Seluar jean berwarna kelabu asap ditarik keluar. Seluar jean yang dipakainya sewaktu menetap semalaman di rumah Syafiq minggu lepas.

Selongkar punya selongkar, seluk punya seluk, akhirnya dia temui juga kad nipis berwarna hijau itu di bahagian poket kanan seluar. Keadaannya sudah renyuk mungkin kerana kesan dicuci dalam mesin basuh. Tetapi mujurlah tulisan yang tertera pada kad tersebut masih boleh dibaca.

Damia menghela nafas lega. Segera dia ambil telefonnya tu dan ditaip satu per satu nombor Najihah yang tertera pada kad tersebut.

Butang dail ditekan. Berharap sangat Najihah dapat membantunya. Berharap sangat dengan cara ini, dia dapat bertemu lagi dengan Syafiq.

Dalam beberapa saat sahaja, panggilan diangkat. Suara Najihah sudah terdengar di hujung talian.

"Assalamualaikum. Hello? Siapa ni?" tanya Najihah.

"Waalaikumussalam. Najihah. Ni saya, Damia."

Najihah terkaku sebentar. Baru je dirinya berfikir tentang Damia tadi, hari ini dia sudah mendapat panggilan dari gadis tu.

"Najihah. Saya nak mintak tolong awak boleh?"

*****

Mak Siti bersiap-siap sebelum keluar menjaga kedai. Kalau diikutkan, waktu tengah hari macam ni adalah waktu untuk Damia bekerja tetapi disebabkan anak gadisnya itu diberhentikan oleh dirinya sendiri, terpaksalah dia bekerja jaga kedai lebih masa. Bertambah pulak beban kerana perbuatannya sendiri. Padan muka!

Setelah memastikan dirinya benar-benar siap di depan cermin, Mak Siti terus keluar dari biliknya. Tapi tanpa dijangka, boleh pulak dia bertembung dengan Damia yang seperti mahu keluar dari rumah jugak.

Mak Siti agak terperanjat. Bukan kerana pertembungan yang tiba-tiba itu tetapi kerana penampilan anak bongsunya. Penampilan dan pemakaian yang sememangnya berbeza 200 peratus.

"Ka ... kamu ni dah kenapa? Pakai tudung ni nak pergi dengar ceramah ke?" tanya Mak Siti hairan.

Belum pernah lagi Damia keluar rumah dengan siap bertudung dan berbaju kurung. Hari ini dia pakai macam tu pulak. Mana tak terkejutnya Mak Siti itu.

"Mak ingat orang nak pergi ceramah je ke boleh pakai tudung? Angah nak pergi belajar mengajilah," jawab Damia dingin.

"Kamu ni demam ke, angah? Kena sampuk?"

Damia jeling tajam ibunya. Panas pulak hati. Iyalah, pakai bertutup elok pun kena sindir.

"Angah nak berubah mak. Salah ke?"

Mak Siti tahan senyum tetapi serta-merta gagal. Segera suasana pecah dengan tawanya yang memekik seluruh ruang rumah. Macam tak masuk akal pulak Damia cakap sebegitu.

"Kamu nak berubah? Mak rasa kamu memang dah demam ni. Tiba-tiba je nak mengaji ni dah kenapa?" Mak Siti tekan perutnya kerana sakit dek tawanya yang dilepas tadi.

Damia silangkan tangan. Ibunya ni, apa je yang dia buat, pasti ada je yang tak kena. Bukannya nak menyokong tapi gelak tak ingat dunia.

"Ikut suka mak la nak fikir apa pun. Sekurang-kurangnya angah ni ada niat jugak nak berubah. Mak bila lagi?"

Raut wajah Mak Siti sepantas kilat berubah. Segera dia tunjuk wajah garangnya. Padahal tadi gelak sampai nak tercabutlah gigi palsu dia tu.

"Amboi! Suka hati nak mengata orang. Kamu tu nak berubah ikhlas ke? Entah-entah ada udang di sebalik batu." Mak Siti serkap jarang.

Damia telan liur. Ayat terakhir yang dilontarkan ibunya tu seperti menembak tepat dirinya pulak.

"Ni, kamu nak pergi mengaji kat mana? Kamu pergi naik apa?" sambung Mak Siti bertanya.

"Kat kampung sebelah."

Dengar saja kampung sebelah, Mak Siti terus membeliakkan mata. Pantang betul dirinya kalau anaknya itu pergi sana.

"Kampung sebelah? Kamu ni memang tak boleh berenggang ke dengan kampung tu? Kampung sendiri punyalah luas tapi nak jugak pergi kat kampung tu. Ni mesti nak jumpak jantan tu, kan?" Mak Siti terus semburkan amarahnya tanpa usul periksa.

Biarpun tanpa usul periksa, sebenarnya niat awal Damia itu semestinya mahu jumpa gerangan lelaki yang disebut Mak Siti itu. Naluri seorang ibu, mana pernah salah.

"Mak! Angah cakap benda betul ni, mak!"

"Ah! Kamu ingat mak ni bodoh sangat ke? Lepas apa yang kamu buat kat mak hari tu. Kamu tipu mak, kata nak ambik motor rosak padahal tengah bermalam kat rumah jantan tu. Ingat mak nak percaya kamu lagi?" Panjang lebar Mak Siti bebelkan.

Damia terdiam. Dia sedar akan salahnya tu. Kalau dia tak menipu pada hari kejadian itu, pasti keadaan tak akan seteruk ini.

"Angah nak pergi mengaji dengan Ustazah Najihah je pun mak. Tolonglah," rayu Damia yang tak betah mengalah.

"Ustazah Najihah?" Mak Siti mendesis. "Sejak bila kamu tu rapat dengan dia? Nampak sangat kan kamu tipu."

"Mak ..."

"Sudah! Tak payah nak terkebil-kebil lagi kat sini. Mak tak izinkan kamu keluar. Masuk bilik kamu balik sekarang!" arah Mak Siti lantang.

Damia keluh berat. Nak meninggi suara dengan ibunya nanti lagi dilarang pulak dirinya diizinkan keluar. Nak dituruti kata ibunya tetapi dia sudah berjanji dengan Najihah.

"Assalamualaikum!"

Suara seseorang memberi salam dari luar rumah memutuskan pertengkaran. Segera Mak Siti buka pintu dan menjawab salam.

Alangkah terkejutnya dia bila melihat susuk depan pintu rumahnya tu. Baru je dia sebut nama wanita itu, wanita tu sudah tercegat berdiri di depannya. Tepat masa pulak tu.

"Na ... Najihah?"

Najihah hanya lemparkan senyum kepada pelanggan tetapnya itu. Segera mereka bersalaman tatkala muka Mak Siti masih terpampang reaksi tergamam.

"Mak cik sihat?" tanya Najihah.

"Sihat, alhamdulillah."

"Ni mak cik, saya datang ni sebab nak ambik Damia. Semalam dia call saya, dia kata dia nak start belajar mengaji hari ni. Mak Siti tahu tak pasal ni?"

Mak Siti telan liur. Dikira anaknya tadi berbohong rupanya tak pun. Bila Najihah sudah ada depan mata, tahu pun ketandusan kata.

Damia lalu munculkan diri di tengah perbualan mereka. Usai menyapa Najihah, Damia masih tak lekang dengan senyuman sebelum bibirnya dileretkan sinis tatkala wajah ibunya dipandang. Matanya dijeling tajam.

Orang cakap tadi tak nak percaya. Sekarang Najihah ada depan mata, tahu pun diam. Kritik hati Damia.

"Err ... tadi Damia dah bagitahu mak cik dah," jawab Mak Siti yang masih bergetar dengan rasa malu.

"Oh, okeylah kalau macam tu. Ni saya nak bawak Damia mengaji kat rumah saya. Mak cik izinkan tak?"

Mak Siti kerling seketika wajah anaknya. Nampak gayanya, anak gadisnya seorang ini berkata jujur. Kalau nak menipu pun takkanlah sampai bersekongkol dengan Najihah pulak.

Tapi rasa pelik jugaklah memikirkan macam mana anaknya ni boleh rapat dengan Najihah? Takkanlah Najihah ni kenal Syafiq? Ah! Tak mungkin. Benda tu sememangnya mustahil.

"Mestilah boleh. Sejuk hati mak cik bila Damia ni nak belajar mengaji dengan ustazah. Damia ni bukannya tak pandai mengaji, tapi dia dah lama tinggal baca Quran. Sebab tu dia nak baca balik tu, kan?" Mak Siti mengulas panjang. Tak naklah anaknya itu dicop buta al-Quran, nanti dirinya pulak yang kena tempias.

"Lagi satu mungkin sebab dia dah nak kahwin kut. Maklumlah, orang yang nak kahwin ni kena buat banyak persediaan lagi-lagi hal berkaitan agama," sambung Mak Siti masih belum habis berbicara.

Najihah terus mengerutkan dahinya. Kahwin? Damia tak pernah bagitahu pun tentang hal itu. Pelbagai persoalan muncul di fikiran Najihah pada ketika itu tetapi dia memilih untuk memendamnya sahaja.

"Mak! Mak merepek apa ni? Sudahlah. Angah dah nak gerak ni." Damia terus mencapai dan mengucup tangan ibunya lalu bergegas pergi. Memang setiap benda nak libatkan pasal kahwin ke?

Mak Siti hanya melihat sahaja anaknya itu menonong pergi ke arah kereta milik Najihah. Memang jelas Si Damia tu tak suka bercakap pasal hal itu.

"Kami pergi dulu ya." Najihah terus meminta diri.

Setelah kedua gadis itu sudah masuk ke dalam perut kereta, Najihah mulakan pemanduan. Damia yang duduk di sebelahnya hanya termenung. Ucapan selamat tinggal atau lambaian tangan kepada ibunya pun dia tak lakukan. Dia panas hati.

"Najihah." Damia mula bersuara.

"Hmm?"

"Terima kasih tau sebab sudi ambik saya kat rumah. Maaflah sebab susahkan awak padahal yang nak mengaji tu saya."

"Eh! Tak apalah. Saya okey je, tak susah mana pun. Lagipun semalam awak dah bagitahu kan yang motor awak rosak," ujar Najihah yang masih fokus memandu.

Damia hanya membalas dengan senyuman. Kalau diikutkan, nak aje dia beritahu perkara sebenar yang motosikalnya sudah dijual oleh ibunya tu. Kata nak sita, ini sampai jual terus motosikal kesayangannya itu.

Tapi tak naklah dia buka aib dan perbuatan ibunya itu. Cukuplah dia memaki dan mengecam dalam hati sahaja. Dah penat berperang mulut dengan ibunya tu, bukannya boleh ubah keadaan pun.

Sampai sahaja di rumah Najihah, Damia turun dari kereta. Lalu dia membuntuti langkah Najihah masuk ke dalam rumah separa kayu separa batu itu.

Rasa kekok menyelubungi diri pulak. Padahal tiada pelajar lain pun yang sedang mengaji. Sengaja Najihah menjemput Damia 30 minit lebih awal. Lagipun sekejap lagi budak-budak yang lain nak datang mengaji, nanti tak sempat pulak nak ambik Damia ni.

"Assamualaikum ... abi," ucap Najihah apabila dia melangkah masuk ke dalam rumah.

"Waalaikumussalam. Ha ... balik dah, Jihah?" Pak Ya yang sedang menulis sesuatu pada helaian-helaian kertas terus lemparkan senyum. Ketika itu juga, matanya terarah kepada Damia yang kelihatan silu di belakang Najihah.

"Oh, jadi ni la kawan kamu tu?"

"Ya, abi," jawab Najihah.

"Damia, ni ayah saya, Haji Yahya." Najihah terus memperkenalkan ayahnya.

"Nak panggil Pak Ya pun boleh. Pak Ya lagi suka kalau panggil dengan tu." Sempat lagi Pak Ya berseloroh.

Damia hanya tertawa kecil dan mampu lemparkan senyum nipis. Kepalanya ditundukkan sedikit sebagai tanda hormat.

Tengok kopiah putih yang dipakai elok di atas kepala Pak Ya tu, takkanlah Damia nak bersentuh dan bersalam dengan lelaki tua tu pulak, kan?

"Jadi kamu datang nak mengajilah, ye?" tanya Pak Ya.

Damia angguk kepalanya. "Ya, Pak Ya. Tiba-tiba rasa nak mengaji balik dan refresh apa yang patut. Saya pun dah agak lama tinggal ngaji ni."

"Alhamdulillah, baguslah macam tu. Kamu ada jugak usaha nak mengaji balik." Pak Ya memuji.

Damia pun hanya tersenyum malu. Tetapi rasa macam bersalah dan ada yang tak kena pulak dalam hatinya. Betul ke tujuan utama dia ke sini semata-mata nak belajar mengaji seperti yang dianggap Najihah dan Pak Ya tu?

"Kalau macam tu Pak Ya masuk bilik dulu, ya? Tak naklah ganggu kamu dengan Najihah mengaji. Sekejap lagi pun, budak-budak yang lain dah nak datang sini," ujar Pak Ya sambil mengemas-ngemas kertas yang bertaburan di atas meja.

Usai Pak Ya beredar dari ruang tamu, Damia dan Najihah terus tempatkan duduk mereka di atas sofa.

"Damia, awak nak air tak? Kalau nak saya boleh buatkan," pelawa Najihah.

"Eh, tak apalah. Saya tak nak air lagi."

Najihah angguk kepalanya.

"Ni awak nak mengaji dulu atau nak tunggu budak-budak yang lain?" tanya Najihah lagi.

Damia hela nafas dan matanya terpasang ke arah lain. Cuba untuk berfikir.

"Hmm ... saya tunggu budak-budak yang lainlah," jawabnya.

"Awak okey ke nak belajar sekali dengan budak-budak tu?"

Damia senyum lebar. "Saya okey je. Lagipun awak sendiri yang pernah pesan kat saya yang nak mengaji ni jangan malu."

Najihah terus pancarkan sengih. Betul tu. Jangan malu kalau nak buat kebaikan. Tapi malulah kalau buat kemungkaran.

"Betul jugak ye."

Najihah dan Damia hanya tertawa biarpun sabungan tawa mereka tidak menggegarkan ruang rumah. Masing-masing masih boleh kawal suara lagi. Mungkin kerana hubungan mereka yang masih di awal perkenalan. Kalau dah lama kenal ni, lain pulak ceritanya.

Tatkala itu juga, hon motor kedengaran dari luar rumah. Terus Damia dan Najihah hentikan tawa mereka dan mata masing-masing tertumpu ke arah luar.

"Assalamualaikum, ustazah!"

Suara kanak-kanak perempuan memberi salam. Dengar dari bunyi enjin motor dan suara budak perempuan itu, Damia memang kenal dan tak asing dengan semua tu. Adakah mereka tu ...

"Waalaikumussalam." Najihah bangkit dari duduknya lalu pintu dibuka. "Ha, Syafiqah. Datang pun kamu."

Syafiqah terus bersalam dengan Najihah. Nampak gembira dan teruja je dia bila nak belajar mengaji kat rumah ustazahnya itu.

Syafiq yang sudah turun dari motosikalnya segera menyerahkan beg milik Syafiqah itu. Macam biasa, hanya wajah yang lesu dan kurang bersemangat melekat pada wajah. Cuma kali ni lebih baik dari hari sebelumnya.

"Najihah, Pak Ya ada kat dalam ke? Saya tengok motor dia ada kat sini." Syafiq mulakan sembangnya sambil matanya melirik-lirik motosikal milik Pak Ya tu.

"Ya. Hari ni dia cuti. Katanya nak berehat. Tu dia tengah ada kat dalam, tengah sign surat apa entah," jawab Najihah yang terjuih-juih mulutnya.

"Ooo ..." Syafiq angguk.

Biarpun dirinya masih bersedih atas apa yang berlaku, dia tak seharusnya melampiaskan kesedihannya tu ke orang lain. Biarlah dia berpura-pura okey saja dengan perbualan yang agak rawak ini.

"Kalau tak ada apa-apa, saya balik dululah ye. Kirim salam kat Pak Ya." Syafiq titipkan salam.

"Insya-Allah."

Syafiq hadiahkan senyum nipis tetapi belum sempat dia beredar, langkahnya segera terkaku. Apabila dia pandang saja ke arah pintu rumah Najihah, ada seseorang yang cukup dia kenal dan cukup dia rindu sedang menjengulkan diri.

Gadis yang ditatapnya itu sangat berbeza. Tudung bawal berwarna kuning air nampak kemas dipakainya. Ditambah dengan baju kurung moden berwarna hijau lumut yang dikenakannya, cukup menambahkan seri dan tarikan daripada gadis itu.

Baju kurung yang dipakai gadis itu apabila Syafiq ingat semula, itu adalah lambang awal perkenalan mereka.

Mata Syafiq segera membuntang luas. Matanya dikerdipkan berkali-kali. Betul ke apa yang dia lihat sekarang ini? Semua ni bukan mimpi, kan?

Cantik! Itu sahaja perkataan yang terlintas dalam hati Syafiq. Bila lihat aje wanita itu sedang tersenyum ke arahnya, hati Syafiq yang terluka dihiris bagaikan menyembuh semula dengan sendiri.

"Damia?" tuturnya.

Bersambung...

Wahh bertemu semula buat kali ke berapa ni hahaha. Harap tak ada benda yang memisahkan Syafiq dan Damia dah, kalau tak kesian diorang nak menghadap air mata ^^' Harap Mak Siti tu tak tahulah tujuan Damia tu. Kalau tak ... hmm

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience