BAB 1 : 2011

Romance Completed 48899

HINGAR seluruh pelusuk kedai makan di kawasan Uptown Wangsa Maju dengan sorakan dari penonton dan para penyokong bola sepak yang sedang berlangsung pada malam itu. Skrin layar besar yang dipasang oleh pemilik kedai untuk menarik lebih ramai pelanggan pada malam itu antara salah satu taktik mereka.

         Kebanyakan yang memenuhi kedai makan itu majoritinya adalah lelaki dan hanya segelintir wanita itu pun ditemani atau sedang menemani pasangan masing-masing. Seluruh perhatian kini hanya pada skrin besar itu yang menyaksikan perlawanan secara langsung bola sepak di antara Kelab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menentang Kelantan FC.

         Apabila wisel penamat dibunyikan, sekali lagi kedai makan itu bergema dengan sorakan kegembiraan yang menyaksikan nasib menyebelahi Kelantan FC setelah menang 3-2 ke atas ATM. Begitu ramai penyokong Kelantan yang meraikan kemenangan pasukan mereka dan hanya sedikit sahaja penyokong ATM.

         “Aku dah kata Kelantan mesti menang punya!” suara seseorang dengan nada yang kuat melawan hingar di sekitarnya.

         “Sudahlah, Bakri. Nasib aje tu…” tempelak rakannya.

         “Dua-dua pun hebat apa, takde la tinggal jauh pun. Kira ATM memang superb gak la sebab mampu bertahan sampai extra time.” celah rakan Bakri yang lain.

         “Tak kiralah pun, janji Kelantan menang. Yeah!!” sorak Bakri kegembiraan. Masakan tidak Kelantan adalah negeri kelahirannya. Sudah tentulah tinggi semangat kenegeriannya.

         “Bos, dah nak dekat pukul dua belas ni. Tak nak balik ke? Esok schedule start pukul lapan pagi, nanti lambat pulak.” Tegur satu suara wanita kepada lelaki yang lebih banyak mendiamkan diri sejak tadi. Kecewa dengan kekalahan ATM agaknya.

         “Raf, jap lagi laa… Bos kau tengah frust ATM kalah tu, kau ni pun.” Siku Bakri. Gadis yang dipanggil Raf itu mendengus marah dengan tindakan Bakri menyikunya. Sakit tau tak!

         “Raef, better kau balik sekarang. Karang tak pasal-pasal kau lambat esok pagi. Abang Bad tu kau tau la perangai dia macam mana, kalau dia mengamuk memang meletup satu set dia buat. Tak pasal-pasal je!” nasihat Razak yang duduk di sebelah lelaki yang diam sejak tadi.

         “Aku nampak Laila dengan Fariz…” Gumam Raef.

         “Mana?!” serentak perkataan itu keluar dari mulut yang ada di meja itu. Mata masing-masing juga melilau mencari kelibat yang disebutkan Raef sebentar tadi.

         “Wei… betullah Laila dengan Fariz! Sialan!” cemuh Bakri sebaik sasaran matanya mengena pada orang yang dia cari. Tidak jauh dari tempat mereka duduk kelihatan Laila sedang bergelak ketawa di sisi seorang lelaki yang berbadan tegap. Mereka juga duduk berkumpulan semeja.

         “Raef, kau tak nak pergi serang ke?” cucuk Fadli. Dia melihat reaksi Raef yang tidak menunjukkan apa-apa tindak balas.

         “Bos, relaks! Jangan cari pasal kat sini, orang tengah ramai ni!” Rafal cuak. Dia berusaha untuk menenangkan Raef dari bertindak bodoh.

         Raef bagaimanapun masih tidak berganjak dari tempatnya. Seketika kedengaran telefon bimbit milik lelaki itu berbunyi. Dia tidak menjawab, mungkin pesanan ringkas yang masuk. Raef dilihat sedang menekan-nekan telefon bimbit jenama Blackberry Torch itu. Dia sedang berbalas mesej dengan seseorang.

         Seakan tahu dengan siapa lelaki itu berbalas mesej, rakan-rakan Raef mengalih pandangan pada Laila yang juga sedang menaip sesuatu dari telefon bimbitnya. Untuk beberapa ketika hanya babak berbalas mesej saja yang berlaku dan Laila masih kelihatan gembira bersama teman dan rakan-rakannya.

         “Penipu!” dengus Raef secara tiba-tiba sambil tangannya menghentak meja. Perbuatannya itu menarik perhatian orang sekeliling termasuk Laila yang berada tidak jauh dari tempat mereka. Nyata riak terkejut yang teramat terpancar diwajah wanita itu.

         “Bos!” Rafal sudah bersiap sedia daripada sebarang tindakan yang bakal dilakukan Raef selanjutnya. Sememangnya itulah tugas dan tanggungjawabnya. Menjaga dan mempertahankan reputasi serta kerjaya Wan Raef sebagai pelakon terkenal seluruh Malaysia.

         “Rafal, jom balik!” arah Raef keras. Dia bangkit dan terus berlalu dengan perasaan marah yang menyelubungi dirinya. Rafal terkial-kial menurut namun jauh dalam sudut hatinya dia lega kerana tiada perkara buruk yang dilakukan lelaki itu.

         Tergesa-gesa Rafal mencapai barang-barang miliknya dan Raef malah sempat juga dia meletakkan not RM10 dua keping di atas meja. Dia sekadar mengangkat tangan pada rakan-rakannya yang masih duduk di meja itu sebagai isyarat ‘berpamitan’. Manakala Laila yang melihat dari jauh sempat juga dia mengangkat tangan isyarat supaya Raef menunggu. Namun Raef tidak mengendahkannya.

         Kecut perut Rafal apabila Raef memandu dengan laju dan agresif. Sempat dia menjeling meter kelajuan yang tertera di dashboard. Mak datuk, 160 km/j! Ni minta mati cepat ni! Ya Allah, kau selamatkanlah perjalanan kami! Sekiranya berlaku apa-apa sepanjang perjalanan ini terlebih dahulu aku memohon keampunan dari-Mu, Ya Allah. Mak, ampunkan Rafal!

         Raef bengang! Hatinya sakit kerana dipermainkan Laila untuk kesekian kalinya. Ketika mereka berbalas mesej di kedai makan tadi dia bertanyakan keberadaan Laila dan nyata wanita itu membohonginya dengan mengatakan berada di rumah sedangkan wanita itu jelas berada di hadapan matanya bersama lelaki lain. Kurang ajar! Bentak Raef dalam hati.

         Tangan Raef yang menghentak stereng kereta memeranjatkan Rafal. Seakan mahu gugur jantungnya dengan tindakan lelaki itu. Sungguh dia takut. Selalu juga lelaki itu mengamuk tetapi situasi mereka pada kali ini sangatlah berbeza kerana mereka berada di dalam kenderaan yang sedang bergerak. Pelbagai kemungkinan boleh terjadi. Ingin juga Rafal menegur tetapi mulutnya terkunci. Perasaan takutnya lebih menguasai diri.

         Tiba-tiba telefon bimbit berbunyi nyaring. Ada panggilan yang masuk. Raef mengagau tangannya mencapai telefon. Bagaimanapun dia pelik melihat skrin telefonnya yang gelap. Telefon siapa pulak yang bunyi? Dia pelik. Dia berpaling di sebelah tempat duduk pemandu. Dilihatnya sebelah tangan Rafal sedang memegang kuat pemegang pintu kereta manakala tangan kirinya sedang mengenggam erat brek tangan kereta dan mata gadis itu tertutup rapat.

         Raef mendengus kasar. Dia terlupa Rafal yang menumpangnya lantas dia memperlahankan kereta lalu berhenti di bahu jalan. Rafal yang sedar pemanduan Raef sudah berhenti perlahan-lahan membuka matanya.

         “Turun!” arah Raef tegas tanpa memandang Rafal yang seakan keliru.

         “Dah sampai ke bos?” tanya Rafal pelik sebaik dia melihat kawasan jalan yang kosong hanya diterangi lampu jalan.

         “Aku kata turun! Kau balik sendiri! Aku takde mood malam ni!” tengking Raef kuat. Rafal tersentak. Cepat-cepat dia mengambil barangnya lantas keluar dari perut kereta milik Raef.

         Honda Civic hitam yang dipandu Raef pantas memecut pergi sebaik Rafal menutup pintu kereta dan terus meninggalkan gadis itu bersendirian di kawasan sunyi yang dia sendiri kurang pasti di mana. Rafal mengeluh lemah. Dia memerhatikan saja kawasan sekelilingnya. Dia melangkah beberapa tapak sambil matanya melilau mencari sebarang papan tanda yang menunjukkan arah atau tempat.

         Ini kali ke-67 Raef meninggalkannya di tepi jalan setiap kali mood lelaki itu tidak baik. Rafal sudah biasa. Dahulu sewaktu kali pertama, kedua dan ketiga ditinggalkan menangis jugalah dia hendak balik macam mana tetapi kini dia sudah lali. Sepanjang dua tahun berkhidmat sebagai pembantu peribadi Raef, sudah bermacam perkara yang dia lalui dan semuanya datang daripada majikannya itu sendiri.

         Wan Raef  sememangnya seorang pelakon yang berkaliber dan berbakat tetapi apabila menyentuh isu sikap dan peribadi lelaki itu ternyata dia merupakan seorang yang perengus dan cepat berubah fikiran. Mood baik lelaki itu hanya akan datang sebaik teman wanitanya datang memujuk. Tetapi kini Laila kekasih kesayangannya sudah tertangkap curang jadi apa yang akan mengubah mood tak baik majikannya itu nanti? Haih… nampaknya sementara ni memang akulah yang jadi mangsa. Tak guna punya Laila, sebab kaulah aku yang kena tempiasnya. Kutuk Rafal dalam hati.

         HAMPIR jam 3 pagi barulah Rafal dapat merebahkan tubuhnya di atas katil. Dia merasa terlalu penat kerana berjalan jauh tadi. Nasib jugak Raef meninggalkan dia di kawasan Jalan Kuching jadi pandailah dia berjalan kaki ke Hentian Pekeliling dan menanti rakan serumahnya, Syuhaila datang menjemputnya. Mujur Syuhaila jenis yang mudah dikejutkan orangnya, tidaklah lama Rafal menanti rakannya itu mengangkat panggilan telefonnya walaupun sudah nyenyak tidur.

         “Kalau hari-hari macam ni Raf, aku pun tak tahan. Apa kejam sangat si Raef tu? Dia tak pikir ke keselamatan kau? Dia tinggal je tepi jalan macam tu, kalau jadi apa-apa kat kau dia nak tanggungjawab ke?!” marah Syuhaila. Seringkali dialah tempat Rafal meminta pertolongan setiap kali Raef meninggalkannya di tepi jalan pada waktu malam.

         “Dahlah, aku penat ni. Kau sambunglah tidur balik.." Rafal malas mahu bertekak. Syuhaila juga terus diam cuba untuk memahami.

         Baru Rafal mahu melelapkan matanya, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada pesanan ringkas yang masuk. Dengan berat Rafal membacanya.

         Kau kat mana? 

Mesej daripada Raef. Rafal senyum dalam keletihan.

         Rumah. 

Balas Rafal pendek. Sesudah itu dia terus menutup matanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience