"Dia buat kat atas tu?".
Aku baru separuh tangga turun terus berhenti melangkah dan memasang telinga.
"Kakak baru sudah mandi, ibuk"
"Tengah hari baru nak mandi. Dah berapa minggu dia berpantang ni, ada tak dia masak untuk anak aku?". Tinggi nada suara bonda dari dapur.
"Ha.. aku dah agak. Dah la mandul. Pemalas. Betul cakap Yoh Mamat dulu", sambung bonda lagi.
"Yam, jangan nak percaya yang bukan bukan", tegur ayah.
Mereka tiba semalam. Sehari dalam seminggu mereka akan datang bermalam di rumah kami. Kata Arif, bonda prihatin dengan keadaan aku. Proses pemulihan emosi aku penting. Ya lah tu, selama bonda ada di sini tak pernah dia masuk ke bilik kami bertanya khabar. Untuk aku keluar dari bilik, aku tak berdaya selama ini. Baru hari ini, aku mengorak langkah untuk bertemu mereka namun bila terdengar kata bonda, aku mundur.
"Yam cakap yang betul bang. Abang nampak sendiri kan sekarang? Rahim dah takde, nak buat apa Yeh simpan lagi bini macam ni? Dari dulu Yam tak berkenan dengan dia. Yeh je yang tergila gilakan budak tu. Dah hantar jauh hujung dunia pun boleh jumpa balik. Huh! Abang dengan Paan la suruh Yam terima dia, tengok apa dia buat kat Yeh? Tak berketurunan anak kita"
Aku melangkah naik semula, duduk di atas katil tanpa sedar air mata menitis lagi. Kali ini bukan kerana kekuranganku tapi kerana terang terang bonda menyatakan dia tak pernah sukakan aku dari dulu. Selama ini dia hanya berpura pura kerana permintaan ayah dan kerana Arif.
Tak berapa lama kemudian, aku terdengar bunyi enjin Toyota Hilux ayah. Aku jenguk dari balik langsir, bonda melangkah masuk ke dalam kenderaan tersebut. Kurang kusut fikiranku bila bonda pulang.
Setelah keluar dari hospital dulu, lama aku berkurung, aku tak mampu menerima keadaan diriku sekarang.Ā Kekurangan aku sebagai wanita. Kehidupanku hanya berkitar di rumah dan hospital - itu pun jika ada sesi terapi. Arif sudah mula berkerja selepas seminggu aku menjalani pembedahan.
Namun aku tak ditinggalkan sendirian, Arif mengupah seorang warga asing diambil dari agensi pembantu rumah untuk menemani aku di rumah buat sementara waktu. Sewaktu aku kembali ke rumah dari hospital, dia sudah menghuni di bilik bersebelahan dapur.
Lilis namanya, seorang wanita dari Jawa Tengah. Kuning langsat kulitnya, sudah bercerai dan punya dua anak. Aku sekadar memasang telinga bila Lilis bercerita tentang anaknya. Ni kali kedua Lilis masuk ke Malaysia. Kali pertama bekerja dengan keluarga orang kaya dan berpangkat. Aku kenal nama itu, yelah orang ternama.
Setelah kenderaan itu hilang dari pandangan, aku turun ke dapur sekali lagi. Lilis terus membancuhkan aku secawan kopi kosong. Aku membalas huluran cawan darinya dengan segaris senyuman. Jam menunjukkan sembilan setengah pagi.
"Tuan memang begini ya cara kerjanya kak?"
Aku pelik dengan soalan Lilis. Berkerut seribu dahiku.
"Maksudku, pulangnya dinihari. Perginya tak tentu masa. Hari ni, jam lima dia sudah keluar". Aku tersenyum.
"Tuan bukannya berkerja pejabat seperti majikan kamu dulu"
"Untung kakak punya suami rajin usaha. Tidak seperti suamiku. Aku kerja di sini, kirim wang bagi dia di sana. Ehhh tau tau dia main perempuan. Bukannya biaya makan sekolah sama makan anakku".
Aku tersenyum pahit. Terusik hatiku dengan kata katanya. Kesian, wanita secantik dan serajin dia pun diperlakukan begitu.
"Tapi kakak harus hati hati, jangan jadi seperti majikan saya dulu".
Aku sekadar mengangkat kening bertanya kenapa.
"Itukan majikan lama sayaĀ 'orang kuat negara'. Banyak hal negara harus diurusin, jadi sering pulang lewat begini la seperti suami kakak. Tapi kadang kadang perginya awal. Saya belum sempat sediakan sarapan, ehh tau tau sudah keluar. Isterinya pun kadang kadang masih tidur lagi. Adakala pulang ke rumah sekadar gantian baju saja. Kemudian, dapat tahu rupanya majikan saya tu sudah punya keluarga baru. Genteng sekali isteri barunya. Genit gaya anak baru lepasan sekolah".
Aku menelan air liur - pahit. Aku tak tau kenapa Lilis menceritakan hal begini padaku.
"Suami saya pengarah produksi Lilis. Sudah lama. Dari sebelum kami kenal. Kerja produksi kan tak tentu masa. Saya sendiri dulu kerja sama suami saya. Tidur makan semua di lokasi".
"Oh.. filem ya kak? Grand banget tu".
Aku meneguk kopi O tanpa gula yang sememangnya menambah pahit dalam mulut. Malas nak layan.
"Yok kak, batu ni sudah saya letak atas dapur".
Aku bergerak ke ruang tengah, sudah ada tilam nipis menanti. Lilis bentangkan setelah bonda beredar. Jika ayah ada, kami melakukan rawatan di dalam bilikku.
Ikatan kain batik kualih dari pinggang ke dada. Baju kutanggalkan. Tubuhku meniarap menanti Lilis datang bersama minyak terapi.
"Saya lihat kakak banyak kain batik, cantik cantik. Buatan Indonesia ya?". Lilis mula menyingkap kain hingga atas pelipat lututku.
"Hmmm.. ibu mentua belikan di sana", ujarkuĀ bila sentuhan Lilis mengenai tapak kaki. Mataku mula terpejam. Menyebut perkataan ibu mentua itu cukup menyiat hatiku.
"Ohh.. ibu Maryam belikan. Dia memang kerap ke sana". Jawapan Lilis membuat mataku terbuka.
"Lilis tau ibu mentua saya sering ke sana?". Pelik dah ni.
"Masakan tak tahu. Dia la yang membawa saya masuk ke Malaysia. Sama Tuan Shamsudin. Rumahnya kan bersih, kemas saja". Aku mengangguk dengan kata kata Lilis. Aku tak menyangka pula keluarga Arif ada agensi pekerja asing sebab sepanjang aku menziarahi bonda, tak pernah aku terserempak dengan tenaga kerja Indonesia. Patutlah cepat betul Arif dapat mencari pembantu siap pakej pandai mengurut lagi.
"Kami yang mana belum ada majikan, seminggu dua atau tiga kali akan ke rumah Ibu Maryam, mencuci. Orangnya tegas dan garang kan kak?". Pertanyaan Lilis tak kujawab. Aku menyeringai menahan kesakitan di betis. Tak kuat mana pun Lilis tekan, aku jenis tak tahan.
"Saya jarang berjumpa dia di rumah. Dia kerap ke sini. Dengan along Paan atau ayah".
"Ohh begitu. Saya suka ke rumah Tuan Farhan, banyak kucing. Semuanya manja. Di rumah ibu Maryam tak bisa main main, gaya rumah tinggal. Sunyi sepi, sejuk gelap. Saya selalu habiskan kerja cepat cepat", cerita Lilis yang sudah beralih mengurut pahaku pula.
"Kamu sering ke rumah ibu Maryam?"
"Ya. Dari awal masuk ke sini. Sama kami, dia sering marah. Tapi sama tenaga kerja dari Thailand, tidak pula. Awalnya saya fikir kakak sama saja dengan ibu Maryam, kaklong. Takut juga mau menginap di sini", adunya.
Kaklong pun garang macam bonda? Biar betul.
***********
Buat pertama kalinya, aku keluar berjalan jalan di waktu petang di kawasan perumahan. Sekadar brisk walk. Aku dah rimas duduk di dalam rumah. Lagipun aku rasa dah agak kuat sedikit - emosi dan fizikal. Aku ajak juga Lilis tadi tapi dia memberi alasan mahu berehat.
Aku melemparkan senyuman pada jiran di hadapan rumah pabila terlihat dia dan anaknya bermain dengan kucing di depan pagar rumah.
Lontaran salamnya membuat aku berhenti lalu menyapa anaknya yang sedang membelai si coklat putih berbulu panjang. Ada beberapa ekor lagi sedang sibuk berlarian di halaman tepi rumah mereka.
"Comel kucing ni. Nama apa?"
"Ini Milo", jawab anak jiranku.
"Banyak kucing you bela. Comel comel. Bagi makan apa? Whiskas?", soalku sekadar untuk berbual.
"Tak juga. Ada masa ayam rebus, ikan rebus. Dry food ni kadang kadang je", balas jiranku, Noor yang baru berpindah sewaktu kami berbulan madu. Aku belum sempat berkenalan ketika itu. Sebelum ini hanya suaminya yang tinggal di situ.
"Patut gemuk dan sihat kucing you", pujiku sambil membelai Milo.
"Ala.. kucing you pun sama. I nak tanya you bagi makan apa sampai bulu dia berkilat. Mata pun memancar kalau masa bulan mengambang".
"Kucing?"
"Ala.. black cat tu. Kucing you kan? I selalu nampak dia depan gate you. Tergolek golek. Aktif sangat malam malam.. sampai ke bumbung you dia duduk. Memang you tak letak dalam sangkar ye? Kucing macam tu, jangan biarkan. Nanti tau tau hilang".
"Aaa... memang i lepaskan je", jawabku lantas meminta diri. Dalam fikiran berfikir, kucing hitam? Adakah kucing yang sama seperti di rumah bonda? Aku tak pernah nampak kucing di rumah aku. Aku tak pernah bela kucing pun. Diri aku sendiri tak terbela, ini nak bela kucing? Mau mati kucing tu. Aku pusing satu rumah mencari jejak kucing yang Noor sebutkan.
"Lilis, kamu pernah nampak kucing dalam rumah kita tak?", tanyaku sebaik terlihat Lilis keluar dari bilik.
Lilis menggeleng, "Tak pula. Cuma jika bunyi tu sesekali ada la. Kucing liar".
"Pasti?". Dia mengangguk kehairanan dengan aku.
Aku tak senang duduk menanti Arif pulang malam itu. Tv aku hidupkan namun tumpuanku entah ke mana. Tadi Lilis ada menemaniku kemudian dia masuk ke bilik katanya mengantuk. Jam menginjak ke pukul 11 malam. Tv kututup dan aku naik ke tingkat atas menuju ke bilik. Aku menghidupkan pendingin hawa sebelum menghampiri pintu kaca untuk menarik langsir tebal. Langsir nipis sudah kutarik dari awal tadi.
Telingaku menangkap bunyi ngiauan kucing dan aku mencari. Ada sepasang mata bercahaya di hujung kakiku. Kami hanya terpisah dengan pintu kaca dan pintu jaring besi. Aku terkejut dan melompat menjauhi pintu. Hilang semangatku seketika.
"Sayang". Aku menoleh ke pintu dan tak bersuara.
"Kenapa ni?"
"Bila abang balik?", tanyaku aneh. Aku rasa aku baru saja naik ke atas. Takkan aku pekak sampai tak dengar bunyi enjin kereta Arif.
"Tadi. Kenapa melompat?"
"Ada kucing kat luar tu". Arif menuju ke tempat yang aku maksudkan.
"Takde pun".
"Ada. Sama macam kat rumah bonda", jawabku bersungguh.
"Rumah bonda? Mana ada bonda bela kucing". Arif memandangku dengan penuh tanda tanya.
Habis, apa yang aku nampak selama ni?
Aku bercerita pada Arif tentang perbualan petang tadi. Arif sekadar menggelengkan kepala, "kucing liar kot. Tak pun kucing dari rumah lain".
"Tapi yang mama nampak tadi?", soalku tak berpuas hati.
"Kucing liar sayang, kat mana pun dia boleh naik panjat. Apa nak dirisaukan? Masuk ke dalam rumah pun boleh kalau pintu terbuka", jawab Arif malas. Pasti Arif kepenatan. Aku tak mahu menyoal lagi. BimbangĀ Arif naik angin dengan persoalan yang bukan bukan dari aku. Aku hanya memandang gerak geri Arif dari jauh.
"Apa lagi ni?"
Aku menggeleng dengan soalannya. Arif merenung aku dari pintu bilik mandi lalu berkata, "Sayang jangan fikir macam macam tentang bonda".
Share this novel
Macam agak terlalu cepat author turn off mood sedih.. Kalau kasi 1 chapter lagi mood sedih pun ok.. Peristiwa besar dalam hidup kot.. Bukan apa baru teruskan fefeeling sedih akibat apa yg berlaku last chapter, tetiba dah chapter ni author dah ajak we all masuk ke alam bunian semula.. Adakah kucing hitam dan Arif adalah entiti yang sama?
emm payah nii