"Bodoh! Benda senang macam ni pun tak boleh buat ke?! Aku bayar kau untuk buat kerja!! Bukan untuk tunjuk kebodohan kau!" marah Tengku Zafran kepada pekerjanya, Kamarul.
"Maaf bos. Tapi orang kampung kat situ tetap tak nak jual tanah tu walau apa pun," kata Kamarul. Dia sudah banyak kali menerangkan perkara itu kepada bosnya. Namun tetap juga dirinya disalahkan.
"Habis tu untuk apa aku bayar kau?!" jerkah Zafran seraya mencampak kertas kerja di tangannya ke arah muka Kamarul.
"Kau ambil semua barang kau kat sini! Berambus daripada syarikat aku!" sambungnya lagi. Kamarul terkejut lalu dia melutut di hadapan Zafran.
"Tolong bos. Saya perlukan duit untuk rawatan isteri saya. Saya merayu sangat bos. Isteri saya harus buat pembedahan tak lama lagi," rayu Kamarul dengan air mata jatuh mengalir turun.
"Kalau isteri kau mampus sekali pun, bukan urusan akulah bodoh," kata Zafran tanpa rasa simpati. Kamarul terkejut mendengarnya.
"Saya merayu bos," rayu Kamarul. Zafran tidak mempedulikannya lalu tanpa belas kasihan, dia menendang Kamarul. Kamarul rebah di atas lantai. Zafran tersenyum sinis.
Dia bergerak ke arah mejanya dan mencapai interkom pejabatnya.
"Nisa. Panggilkan security guard," arah Zafran.
Beberapa saat kemudian Nisa memasuki bilik pejabat Zafran sambil diikuti security guard.
"Halau sampah ni daripada syarikat aku! Kosongkan meja dia sekarang jugak!" arah Zafran. Dua security guard itu kemudiannya mengheret Kamarul keluar daripada bilik Zafran.
Nisa hanya melihatnya lalu dia mendekati Zafran. Dia memaut leher Zafran dari arah depan.
"You ni. Janganlah marah-marah. Seram I tengok you tau tak," kata Nisa. Zafran mengeluh sambil melihat ke arah anak mata Nisa. Nisa tersenyum sambil mencium Zafran walaupun mereka bukan suami isteri.
"Jom ikut I. Kita pergi tenangkan diri you," kata Nisa lagi sambil menarik tangan Zafran. Zafran hanya mengikutinya.
Mereka berdua keluar daripada pejabat Zafran dan pergi ke suatu tempat.
×××××
"Awat baba?" soal Nurul Jannah kepada Haji Rashid yang baru sahaja pulang daripada surau.
"Soal tanah wakaf tu lah. Belum selesai lagi. Tadi di surau habis pakat duk kecoh," kata Haji Rashid. Dia kemudiannya duduk di atas kerusi sofa.
"Baba nak cheq pi jumpa bos depa ka? Jannah boleh pi bincang," soal Jannah seraya duduk di kerusi berhadapan dengan Haji Rashid.
"Doksah... bos dia akan mai sendiri nanti. Biaq abah ja yang bincang dengan bos depa," kata Haji Rashid. Jannah mengangguk faham.
"Kalau baba perlukan bantuan Jannah, bagitau ja. Jannah akan tolong semampu Jannah," kata Jannah.
"Tak paa. Baba boleh bincang dengan depa. Insya Allah bos depa akan dengaq kata," kata Haji Rashid.
"Awat depa nak sangat tanah tu?" soal Jannah.
"Baba pun dak tau. Dengaq kata depa nak buat kilang. Kalau tanah biasa dak paa la boleh bincang tapi depa nak beli tanah wakaf yang tuan dia wakafkan untuk buat masjid. Dah jadi hak milik Allah dah tanah tu. Dak boleh jual beli dah sampai kiamat," kata Haji Rashid. Jannah mengangguk.
"Cheq pi buat ayaq kopi untuk baba dulu ya," kata Jannah. Haji Rashid mengangguk. Jannah kemudiannya bangun dan melangkah menuju ke dapur.
×××××
Zafran mengambil pakaiannya di kaki katil lalu memakainya. Dia melangkah ke arah sisi katil lalu mencium Nisa yang sedang tidur itu. Seperti biasa, mereka melakukan maksiat setelah Nisa membawanya ke sebuah hotel.
Dia kemudiannya melangkah keluar daripada bilik hotel itu meninggalkan Nisa yang sedang nyenyak tidur. Dia mengeluarkan telefonnya lalu mendail nombor telefon kawannya.
"Hello," sapa Zafran.
"Hello," sahut Fazli.
"Kau dekat mana sekarang ni Fazli?" soal Zafran.
"Aku di tempat biasa kita lepak lah," kata Fazli.
"Okey. Cun. Aku gerak pergi sana sekarang," kata Zafran lalu panggilan itu dimatikannya. Dia terus melangkah pergi dari situ menuju ke kelab malam tempat mereka selalu lepak bersama.
Setelah beberapa puluh minit kemudian, dia tiba di kelab malam tersebut.
"Macam mana projek kau tentang tanah dekat kampung di Kedah tu?" soal Fazli kepada Zafran. Zafran tiba di situ beberapa minit yang lepas.
"Hmph. Macam bodoh je orang kampung dekat situ. Aku sendiri pulak kena pergi ke kampung tu esok untuk berbincang. Ada pekerja pun tak boleh nak harap. Susah kalau berurusan dengan orang miskin macam diorang tu," kata Zafran. Dia menuang arak ke dalam gelasnya. Fazli tergelak.
"Aku pun pelik. Nak bina masjid buat apa? Dah berlambak dah masjid dalam Malaysia ni. Sakit mata je aku tengok," kata Fazli. Zafran tersenyum sinis.
"Aku akan pastikan aku dapat tanah tu tak kira macam mana sekalipun. Kalau ada yang cuba halang, aku akan pastikan dia menyesal," kata Zafran seraya meminum arak di dalam gelasnya. Fazli mengangguk.
"Dahlah. Pergi menari lagi bagus," kata Zafran seraya bangun berdiri dan pergi ke arah pentas menari dan menari dengan beberapa wanita berpakaian seksi.
Fazli pula hanya melihat Zafran yang kelihatan mabuk itu. Dia tersenyum sinis.
×××××
Zafran menghentikan keretanya di tepi bahu jalan. Dia mengeluh lalu turun daripada keretanya. Perjalanan selama empat jam itu membuat dirinya penat dan menjadi moody.
Dia berdiri di pintu keretanya sambil menunggu seseorang yang akan berjumpa dengannya. Beberapa saat kemudian, dia didekati oleh seorang lelaki dan ditegur oleh lelaki itu. Lelaki itu pengantara dia dan orang kampung di situ.
"Bos. Selamat datang," kata Zack yang merupakan pekerjanya. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Zafran. Zafran tidak mempedulikannya.
"Mana Haji Rashid?" soal Zafran tanpa bersalaman dengan Zack. Zack menarik kembali tangannya.
"Haji Rashid ada di surau depan sana tu," kata Zack sambil menunjuk ke arah surau yang tidak jauh daripada mereka.
Zafran tanpa banyak cakap terus melangkah ke arah surau itu.
'Sombong gila,' kata Zack di dalam hatinya. Dia kemudiannya hanya mengikuti langkah Zafran.
Haji Rashid yang berada di pintu sliding surau itu melihat ke arah Zafran yang berpakaian kasual. Dia lihat pemuda itu menuju ke arah surau. Dia kemudiannya turun daripada surau dan mendekati Zafran.
Jannah yang berada di sebalik pintu surau bahagian wanita melihat ke arah Haji Rashid.
"Assalamu'alaikum nak. Ada apa-apa pak cik boleh tolong?" soal Haji Rashid.
"Mana Haji Rashid?" soal Zafran kasar tanpa menjawab salam yang diberi Haji Rashid.
"Pak cik lah Haji Rashid. Ada apa cari pak cik?" soal Haji Rashid.
"Haji. Ini CEO syarikat yang nak beli tanah wakaf tu," celah Zack. Haji Rashid mengangguk faham.
"Aku nak kau tanda tangan surat ni. Lepas tu, semua masalah akan selesai. Berapa sahaja kau nak, aku akan bayar. Beritahu je jumlahnya," kata Zafran sambil menghulurkan fail di tangannya kepada Haji Rashid.
Dalam fail itu ada surat persetujuan untuk menjual tanah wakaf yang berada di seberang jalan berhadapan dengan surau itu.
"Astaghfirullahala'zim," istighfar Jannah apabila melihat sikap kurang ajar Zafran itu.
"Maafkan pak cik. Pak cik tak boleh jual tanah wakaf tu. Tanah tu dah jadi milik Allah sampai ke kiamat," kata Haji Rashid. Zafran mengeluh.
"Tak payah nak ajar akulah. Kau hanya perlu tandatangan surat ni je. Lepas tu aku akan bayar berapa saja kau nak. Cepatlah. Panas pulak aku duduk depan surau ni," kata Zafran. Haji Rashid tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.
"Pak cik tetap tak akan jual tanah tu. Pak cik wajib jalankan tanggungjawab pak cik dan amanah pak cik yang orang dah bagi. Orang kampung pun banyak yang protes untuk tidak jual tanah tu," kata Haji Rashid.
"Apa benda tak kena dengan kepala otak orang miskin macam orang dalam kampung ini. Dahlah tak berpendidikan lepas tu nak ajar aku pulak. Itulah, inilah," kata Zafran sambil mengeluh.
"Ingatlah nak. Segala yang kita miliki sekarang ini adalah pinjaman Allah yang sementara," kata Haji Rashid sambil tersenyum.
"Pinjaman? Daripada Allah? Hahaha. Dia boleh bagi aku apa je? Semuanya aku dapat atas usaha aku sendiri. Titik peluh aku sendiri. Aku tak perlukan Allah dalam hidup akulah!" kata Zafran angkuh.
Haji Rashid, Zack dan Jannah terkejut mendengarnya. Haji Rashid beristighfar di dalam hatinya.
"Baba," panggil Jannah dari sebalik pintu. Dia menampakkan sedikit wajahnya.
Zafran melihat ke arah Jannah. Dia terpaku melihat wanita yang memakai purdah itu. Hatinya berdebar hebat.
"Jannah. Pergi masuk ke dalam," arah Haji Rashid.
"Maaf baba. Jannah bukan mahu derhaka perintah baba. Tapi baba beritahu si fulan di hadapan baba itu bahawa tidak akan masuk syurga jika seseorang itu mempunyai sifat sombong di dalam hatinya walaupun sedikit," kata Jannah sambil memandang ke arah Haji Rashid. Zafran terkejut mendengarnya lalu dia tersenyum sinis.
"Kau siapa nak tetapkan aku masuk syurga atau neraka? Kau ke yang cipta syurga?" soal Zafran sinis.
"Siapa yang mencipta syurga?” soal Jannah tanpa melihat Zafran.
"Soalan bodoh. Budak tadika pun tahu syurga tu ciptaan Allah," kata Zafran sinis.
"Jadi, awak boleh beli syurga dengan duit yang awak ada tu? Awak kata segalanya atas titik peluh awak dan Allah tak boleh beri apa-apa pun kepada awak. Tapi pada masa yang awak sendiri mengaku yang Allah maha mencipta syurga yang nilai dan kenikmatannya tidak dapat dibandingkan dengan dunia ni. Hati awak dah tenggelam terlalu dalam ke dalam kenikmatan dunia sehingga awak tak nampak keagungan Allah di dalam hati awak," kata Jannah. Zafran terkejut mendengarnya dan tidak terkata-kata.
"Jannah. Masuk ke dalam sekarang," suruh Haji Rashid.
"Maaf baba," kata Jannah.
"Syurga tu hal lain. Itu di akhirat. Ni di dunia. Aku berusaha sendiri cari duit untuk diri aku. Kau tak payah nak ceramahkan akulah," kata Zafran. Dirinya masih ego dan tidak menerima teguran Jannah tadi.
"Semua itu kerana Allah mengizinkannya. Usaha awak selama ini, itu kerana Allah yang izinkan untuk awak berjaya. Tetapi awak lalai sehingga sombong dengan pemberian Allah kepada awak," kata Jannah tanpa memandang ke arah Zafran. Zafran sakit hati mendengarnya.
"Jannah," tegur Haji Rashid. Jannah memandang ke arah Haji Rashid.
"Baba. Beritahu dia yang saya cabar dia untuk lawan dengan saya menggunakan sistem mahkamah yang adil untuk dapatkan hak tanah itu," kata Jannah.
"Nurul Jannah, masuk ke dalam sekarang," kata Haji Rashid tegas. Jannah menunduk.
Zafran yang mendengar cabaran itu terasa egonya tercalar. Dia kemudiannya tersenyum sinis.
"Aku terima cabaran kau. Dalam waktu seminggu ni, aku akan pastikan aku dapat tanah tu tak kira macam mana sekalipun. Dan aku akan pastikan kau menyesal," kata Zafran sinis. Dia kemudiannya beredar pergi dari situ begitu juga dengan Zack.
Haji Rashid melihat ke arah Zafran yang melangkah keluar daripada kawasan surau itu lalu dia mendekati Jannah.
"Jannah. Baba tau hang ada lulusan tinggi dalam hal ni tapi kalau hang lawan dengan orang macam depa, depa akan buat apa saja untuk dapatkan apa yang depa nak," kata Haji Rashid.
"Jannah tau baba. Biar depa nak buat apa-apa sekali pun, Allah tetap lebih berkuasa berbanding depa," kata Jannah. Haji Rashid hanya tersenyum pahit. Dia tidak tahu hendak berkata apa dah selain hanya mendoakan keselamatan Jannah.
×××××
Dua minggu hampir berlalu. Zafran masih lagi menetap di Kedah dan melupakan syarikatnya kerana terlalu fokus pada tanah yang hendak dibelinya itu. Dia juga semakin tertekan apabila memasuki mahkamah banyak kali kerana berlawan dengan Jannah.
Dia tidak menyangka gadis yang dia anggap tidak berpelajaran itu, handal dalam undang-undang dan akta-akta mahkamah. Semakin hari dirinya semakin buntu idea untuk mengalahkan Jannah.
Pelbagai sudah cara kotor yang dia gunakan untuk mendapatkan tanah itu. Dia juga cuba untuk rasuah hakim namun tindakannya itu sia-sia apabila dia diberikan hukuman denda kerana cuba merasuah pihak mahkamah.
Dia juga telah memalsukan dokumen tanah tersebut namun Jannah lebih bijak kerana telah mendapatkan geran tanah bersama dengan tuan tanah terdahulu untuk memberikan kesaksian.
Hari demi hari berlalu, keadaan Zafran seperti tidak terurus dan jambang serta misainya juga sudah tumbuh walaupun tidak terlalu lebat.
Dan akhirnya, hari terakhir perdebatan diantara dirinya dan Jannah sudah berlangsung. Hari itu merupakan hari terakhir mereka memasuki mahkamah dan setiap perkara menyebelahi Jannah dan Zafran tidak mempunyai cara kotor lagi untuk digunakan dalam mahkamah kerana dia yakin dia pasti akan dipenjara setelah banyak kali diberi amaran keras.
Perdebatan mereka berlangsung selama hampir satu jam dan akhirnya keputusan hakim berpihak kepada Jannah. Zafran pula didenda saman kerana melakukan kesalahan selama mana kes berlangsung. Zafran sangat merasakan marah dan berdendam terhadap perbuatan Jannah yang merosakkan rancangannya.
Zafran melangkah keluar daripada mahkamah dengan perasaan marah. Hatinya sangat sakit dan egonya tercalar teruk.
"Sial!" kata Zafran sambil menuju ke arah keretanya. Perasaan marahnya sangat bergelora.
"Aku akan pastikan kau menyesal," kata Zafran lagi seraya menekan alarm kunci keretanya.
"Assalamu'alaikum," tegur Haji Rashid. Zafran berpaling ke arah belakangnya.
"Kau nak apa?" soal Zafran kasar. Dia melihat ke arah Jannah yang menunduk di belakang Haji Rashid itu.
"Maafkan pak cik, anak pak cik dan orang kampung. Pak cik harap kamu tak berdendam dengan kami semua," kata Haji Rashid. Zafran tersenyum sinis.
"Kau akan menyesal sebab berani lawan aku," kata Zafran sambil melihat ke arah Jannah. Dia kemudiannya beredar pergi dari situ.
'Ya Allah. Berikanlah hidayahMu kepadanya,' doa Haji Rashid di dalam hatinya.
Selain itu, dia merasakan simpati terhadap pemuda itu kerana kelihatan tertekan dan tidak terurus. Dia tahu akan perkara itu setelah melihat jambang dan misai Zafran yang tidak dicukur.
Dia tidak mampu menolong apa-apa dan hanya mampu berdoa supaya Allah lembutkan hati pemuda itu untuk bertaubat.
×××××
Pada keesokan harinya, Zafran mengikuti Haji Rashid dan Jannah pergi ke bandar secara rahsia. Apabila tiba di bandar, dia mengikuti langkah Haji Rashid dan Jannah dari belakang tanpa mereka berdua menyedarinya.
Tujuan dia mengikuti mereka berdua adalah dia ingin menghantar sihir kepada Jannah kerana dia benci akan wanita itu. Dia tidak berpuas hati selagi mana gadis itu tidak menderita.
Apabila mereka tiba di bahu jalan, dia mengeluarkan serbuk sihir daripada poket seluarnya. Dia menuang serbuk sihir itu di tapak tangannya sambil tersenyum sinis. Dia kemudiannya cuba meniup serbuk itu ke arah Jannah namun perbuatannya itu terhenti apabila dia melihat kejadian di hadapannya itu.
Serbuk di tangannya terbang ditiup angin. Jantungnya seakan-akan terhenti apabila melihat tubuh Jannah yang terbaring di bahu jalan setelah menyelamatkan seorang kanak-kanak yang hampir dilanggar kereta oleh kereta tadi. Kereta yang entah datang daripada mana tadi hampir melanggar kanak-kanak lelaki namun Jannah menyelamatkannya. Kereta itu kemudiannya melarikan diri manakala Jannah terbaring di atas jalan.
Orang ramai mula berkumpul dan membantu Jannah. Zafran pula kaku di tempatnya kerana terkejut.
×××××
Zafran membiarkan air daripada shower membasahi dirinya yang lengkap berpakaian. Dia masih lagi teringat akan kejadian pagi tadi. Setelah pulang ke hotel, dirinya sangat tidak tenang dan dia sentiasa memikirkan keadaan Jannah sehingga dia tersedar yang hari sudah malam.
"Kenapa..." katanya perlahan.
"Kenapa dia bahayakan diri dia untuk selamatkan orang lain," katanya lagi. Dia tidak faham kenapa Jannah sanggup bahayakan nyawa sendiri untuk orang lain.
Beberapa minit kemudian, dia keluar daripada bilik air dan menukar pakaiannya. Dia duduk di atas katil sambil merenung ke arah lantai. Fikirannya hanya memikirkan keadaan Jannah. Dia takut jika terjadi apa-apa kepada Jannah.
"Kenapa dengan hati aku ni," katanya hairan sambil meletakkan tangan pada dadanya.
Dia mengeluh lalu dia bangun dan melangkah ke arah rak buku di dalam bilik hotel itu. Dia cuba mengambil satu majalah di rak itu namun dia terlihat satu buku yang menarik perhatiannya. Dia mengambil buku itu lalu dia kembali duduk di atas katil. Dia melihat tajuk buku itu.
[SIFAT SOMBONG PENGHALANG UNTUK MEMASUKI SYURGA]
Dia tertarik untuk membaca buku itu. Dia membuka buku itu dan mula membacanya. Beberapa puluh minit kemudian air matanya mengalir turun apabila membaca keseluruhan buku itu. Dia tidak tahu kenapa air matanya mengalir turun setelah membaca buku itu. Dia merasakan dirinya sangat hina dan penuh dosa.
Dia teringat kembali apa yang dikatakan oleh Jannah ketika pertama kali dia menjejak kaki di kampung itu. Air matanya kian laju mengalir turun.
"Ya Allah... ?? ??? ??? ???? ???? ???? ???? (Lailahaillallah Muhammadurasulullah)" ucap Zafran dalam tangisan.
"Ya Allah, aku banyak buat salah kepadaMu. Maafkan hambaMu yang lalai ini," kata Zafran dalam tangisan.
"Aku lalai ya Allah. Aku lalai. Aku sombong dengan nikmat yang Engkau berikan kepadaku selama ini. Maafkan diriku ya Allah," kata Zafran lagi. Dia menyesali segala perbuatannya selama ini.
Dia terus menangis dan meratapi segala kesalahan dan dosanya. Hatinya amat sedih dan takut apabila mengenangkan dosa-dosa yang dia telah lakukan selama ini.
Beberapa minit kemudian, setelah tenang daripada menangis, dia menggapai telefonnya untuk menghubungi Nisa. Dia mengeluh apabila bateri telefonnya sudah habis. Dia bangun dan bergerak ke arah telefon yang disediakan di hotel itu.
Dia menekan nombor telefon Nisa dan menelefonnya. Beberapa saat kemudian telefonnya dijawab.
"Sayang," kedengaran suara lelaki dalam panggilan. Suara Nisa turut terdengar. Zafran terkejut mendengarnya. Bicaranya ditahan.
"Hello," kedengaran suara Nisa menyapa. Zafran hanya diam.
"Hello," sapa Nisa sekali lagi.
"Siapa call tu sayang?" soal lelaki tadi.
"Entahlah. Diam je," kata Nisa. Zafran tersenyum sinis apabila dia sudah cam suara lelaki itu. Dia kemudiannya meletakkan telefon itu.
Dia melangkah ke arah katil semula lalu dia cas telefonnya. Setelah telefonnya dihidupkan, dia menelefon Fazli.
"Hello Fazli," sapa Zafran setelah panggilannya diangkat.
"Hello. Aku di rumah akulah. Kenapa?" soal Fazli semua. Zafran tersenyum sinis.
"Tak ada apalah," kata Zafran lalu dia meletakkan panggilan itu. Dia kemudiannya menelefon Nisa. Panggilan pertama dan keduanya tidak diangkat. Setelah tiga kali mencuba, panggilannya akhirnya diangkat.
"Hello sayang. You dekat mana? Bila nak balik KL? I rindulah dekat you," kata Nisa sebaik sahaja mengangkat panggilan itu.
"Hello. I masih di Kedah. You rindu I? Haha. Kesiannya you," kata Zafran.
"Baliklah cepat. I tak sabar nak bersama dengan you," kata Nisa. Terdengar gelak daripada mulut Zafran.
"Hahaha. Hebatlah kau. Kau masih boleh kata kau rindu aku sedangkan kau sedang bersama dengan Fazli," kata Zafran. Fazli dan Nisa terkejut mendengarnya.
"Apa you kata ni?" soal Nisa pura-pura tak tahu.
"Kau jangan berlakon lah. Aku tahu kau dengan Fazli sekarang ni. Aku pun tak nak cakap banyak dengan perempuan murahan macam kau. Dan aku yakin, Fazli tengah dengar perbualan kita ni jadi aku nak beritahu dekat kau Fazli. Perempuan yang kau bersama sekarang ni dah banyak kali aku rasa. Apa perasaan kau dapat barang second hand punya?" soal Zafran sinis.
Fazli yang mendengarnya menjadi panas hati. Dia tahu Nisa dan Zafran selalu bersama namun hatinya panas apabila Zafran seolah-olah memperlinya sebagai lelaki murahan yang hanya ingin memuaskan nafsu.
"Kurang aj-" belum sempat Fazli habis berbicara, panggilan itu ditutup oleh Zafran.
Zafran mengeluh seraya meletakkan telefonnya di tepi. Dia meraup kasar wajahnya. Hatinya sakit apabila dikhianati kawan baik sendiri. Tentang Nisa pula, dia tidak terlalu memikirkannya kerana dia tidak mencintai Nisa namun dia tidak menyangka mereka berdua ada hubungan di belakangnya selama ini.
Dia kemudiannya melihat ke arah buku yang dia baca tadi. Dia tersenyum pahit melihat ke arah buku itu.
"Mungkin ini balasan atas dosa aku selama ni," kata Zafran.
Dia bangun berdiri dan melangkah keluar daripada bilik hotelnya untuk ke bandar.
×××××
Zafran memandu keretanya menuju ke arah bandar. Dia ingin membeli beberapa buku tentang Islam dan ingin mempelajarinya dengan lebih dalam. Sedang dia memandu, dia terlihat satu gerai burger di bahu jalan. Dia terkejut lalu terus menghentikan keretanya di bahu jalan. Dengan cepat dia keluar menuju ke arah gerai burger yang dia lihat tadi.
"Abang Kamarul," kata Zafran terkejut. Tidak salah lagi lelaki yang dia lihat tadi adalah bekas pekerjanya dahulu, Kamarul.
"Bos?" soal Kamarul terkejut.
"Allahuakbar. Maafkan saya," kata Zafran lalu terus memeluk Kamarul. Kamarul terkejut namun dia tetap membalas pelukan Zafran.
"Maafkan saya sebab kurang ajar dengan abang selama ni. Saya menyesal sangat-sangat," kata Zafran lagi. Kamarul terkejut apabila Zafran meminta maaf.
"Benda dah lepas. Saya dah maafkan bos lama dah," kata Kamarul. Zafran melepaskan pelukannya.
"Tak perlu panggil saya bos. Panggil je saya Zafran," kata Zafran. Kamarul tersenyum sambil mengangguk.
"Macam mana keadaan isteri abang?" soal Zafran. Dia merisaukan keadaan isteri Kamarul setelah teringat kembali keadaan isteri Kamarul yang sakit.
Wajah Kamarul bertukar sayu seraya dengan gelengan kepala.
"Isteri abang dah meninggal dunia 3 hari lepas. Duit untuk pembedahan dia tak mencukupi jadi abang terpaksa bawa dia ke hospital biasa untuk rawatan biasa namun ajal dia telah tiba terlebih dahulu. Abang tak dapat buat apa-apa selain terima kenyataan tu," kata Kamarul. Zafran terkejut mendengarnya lalu dia terduduk di atas tanah. Kamarul terkejut melihatnya.
"Bos," kata Kamarul sambil duduk melutut.
"Kalau saya tak pecat abang hari tu, mesti isteri abang masih hidup," kata Zafran sambil mengalirkan air mata. Kamarul terkejut melihat Zafran menangis.
"Ajal maut semuanya di tangan Allah. Semuanya ketentuan Allah. Kamu tak perlu sesali apa-apa. Kamu tak bersalah pun," kata Kamarul sambil tersenyum.
"Saya menyesal sangat. Saya yang pecat abang hari tu. Kalau tak, pasti isteri abang boleh jalankan pembedahan," kata Zafran. Kamarul tersenyum pahit.
"Tak pergi fikiran tentang hal tu. Kalau isteri abang buat pembedahan sekalipun, dia tetap akan mati kerana ajalnya telah ditetapkan pada hari itu. Alhamdulillah kalau kamu sudah berubah. Jangan kenang benda yang dah lepas. Abang tak salahkan kamu pun," kata Kamarul sambil menarik Zafran untuk bangun berdiri.
Zafran menyeka air matanya.
"Terima kasih," kata Zafran. Kamarul tersenyum.
"Jom makan burger abang. Abang belanja," kata Kamarul. Zafran hanya tersenyum pahit dan mengangguk.
Dia duduk di atas kerusi manakala Kamarul memasak daging burger.
"Abang buat apa kat sini?" soal Zafran membuka bicara.
"Abang tinggal kat kawasan ni. Rumah abang dekat dengan kampung yang kamu nak bina kilang tu," kata Kamarul. Zafran mengangguk faham.
"Soal tanah tu, saya tak nak ganggu dah. Itu hak orang kampung di situ. Saya rasa hina sangat sebab halang mereka untuk dirikan masjid dekat tanah tu," kata Zafran. Kamarul tersenyum.
"Baguslah kalau macam tu," kata Kamarul. Zafran tersenyum pahit.
×××××
Seminggu telah berlalu. Zafran masih lagi berada di Kedah untuk menenangkan dirinya. Dia langsung tidak memikirkan tentang syarikatnya di KL dan hanya fokus mempelajari tentang Islam di buku-buku yang dia beli, di YouTube dan ceramah di masjid.
Pada hari itu, dia memandu menuju ke rumah Haji Rashid untuk meminta maaf atas perbuatannya.
Beberapa minit kemudian dia tiba di surau berdekatan dengan rumah Haji Rashid. Dia turun daripada keretanya lalu melangkah ke arah surau untuk mencari Haji Rashid.
"Assalamu'alaikum," sapa Zafran setelah masuk ke dalam surau itu.
"Wa'alaikumsalam," jawab Haji Rashid seraya berpaling ke belakang. Dia terkejut dan hairan melihat Zafran di situ.
"Haji," kata Zafran lalu dia bersalaman dengan Haji Rashid. Dia mencium tangan Haji Rashid.
"Haji. Maafkan saya," kata Zafran seraya air matanya laju menitis keluar. Haji Rashid terkejut melihatnya. Dia terus mengangkatkan kepala pemuda itu.
"Kamu tak ada salah apa-apa pun," kata Haji Rashid sambil senyum.
"Saya dah buat banyak sangat salah dekat Haji dan orang kampung ni," kata Zafran. Haji Rashid tersenyum.
"Duduk dulu. Tenangkan diri kamu," kata Haji Rashid. Zafran mengangguk. Mereka berdua kemudiannya duduk.
"Cuba cerita, apa yang terjadi?" soal Haji Rashid.
"Saya sombong. Saya angkuh dengan kekayaan saya. Saya tindas orang yang lemah dan miskin. Saya rampas hak mereka. Saya sangat zalim. Banyak sangat dosa saya Haji," kata Zafran. Haji Rashid tersenyum.
"Nak... Allah tu Maha Menerima taubat. Bertaubatlah bersungguh-sungguh dan ikhlas daripada hati kamu. Allah pasti akan ampunkan segala dosa kamu," kata Haji Rashid.
"Tapi saya buat dosa. Saya berzina, minum arak, rampas hak orang. Dan yang paling besar sekali saya dah buat dosa syirik. Saya gunakan sihir untuk cederakan Jannah sebab terlalu sakit hati dan marah. Maafkan saya haji," kata Zafran jujur. Haji Rashid tersenyum pahit.
"Sebesar mana pun dosa yang kamu telah buat, jangan pernah lupa untuk bertaubat. Allah sentiasa menerima taubat hambaNya yang betul-betul ingin berubah," kata Haji Rashid. Dia menepuk bahu Zafran beberapa kali.
"Saya rasa bersalah sangat. Saya lakukan perkara yang sangat jahat kepada orang sebaik anak haji," kata Zafran lagi. Haji Rashid tersenyum.
"Dah. Lupakan saja benda yang dah lepas. Sekarang waktu zohor dah nak masuk. Apa kata kamu yang laungkan azan," kata Haji Rashid. Zafran menyeka air matanya.
"Layak ke diri saya untuk laungkan azan yang suci sedangkan diri saya penuh dengan dosa?" soal Zafran. Haji Rashid tersenyum.
"Kamu sangat layak," kata Haji Rashid.
Zafran tidak memahami maksud Haji Rashid namun dia tetap bangun bersama dengan Haji Rashid. Dia mendekati mikrofon lalu menghidupkannya. Dia menenangkan diri sementara. Beberapa saat kemudian dia menutup kedua-dua telinganya seperti mana yang dia lihat di dalam youtube. Dengan lafaz bismillah, dia melaungkan azan.
Haji Rashid terkejut apabila mendengar azan yang dilaungkan oleh Zafran. Hatinya bergetar hebat mendengar kemerduan suara pemuda itu.
'Allahuakbar. Sesungguhnya sangat indah anugerah yang Engkau berikan kepada anak muda ini. Bimbinglah dia menuju ke arah jalan yang benar dan berikanlah dirinya istiqamah dalam beramal kepada diriMu,' doa hati Haji Rashid.
Jannah yang sedang membaca novel itu terhenti apabila mendengar suara laungan azan. Dia terkejut apabila mendengar suara azan itu. Pertama kali dia mendengar suara merdu itu melaungkan azan di surau kampung itu. Dia kemudiannya terus mendengar laungan azan itu dengan fokus dan menghayatinya.
"Masyaallah. Merdunya," kata Jannah sambil memuji-muji Allah atas anugerah pemberianNya kepada pemuda yang sedang melaungkan azan itu.
"Allahuakbar. Sungguh merdu suara kamu," puji Haji Rashid. Zafran yang bingung itu menayangkan muka blur. Haji Rashid tergelak kecil melihat wajah Zafran.
"Kamu dah ada wuduk? Kita solat sunat dulu kemudian kita solat zohor berjemaah," kata Haji Rashid.
"Belum. Saya pergi ambil dulu," kata Zafran. Haji Rashid mengangguk.
Usai menunaikan solat bersama, mereka melangkah keluar daripada surau setelah Zafran meminta izin untuk pulang.
"Marilah singgah dulu di rumah baba," pelawa Haji Rashid setelah mereka selesai menunaikan solat zohor. Dia sengaja menggunakan gelaran diri sebagai baba dengan pemuda itu.
"Tak apalah haji," kata Zafran.
"Panggil je baba. Jomlah singgah sekejap. Jannah pun ada di rumah. Nanti baba suruh dia buatkan air," kata Haji Rashid. Zafran terkejut mendengar nama Jannah. Sudah seminggu dia tidak melihat gadis itu.
"Jannah ada di rumah?" soal Zafran. Haji Rashid mengangguk.
"Ouh. Tak apalah baba. Saya tak mahu menyusahkan dia setelah apa yang saya dah lakukan pada diri dia. Saya minta diri dulu ya," kata Zafran sambil tersenyum.
Haji Zafran tersenyum lalu mengangguk. Zafran kemudiannya terus melangkah pergi dari situ.
Haji Rashid pula turut melangkah menuju ke rumahnya yang berada hampir di surau itu. Dia memasuki rumahnya lalu disapa oleh Jannah.
"Baba, siapa yang laungkan azan tadi?" soal Jannah. Haji Rashid tersenyum.
"Hang mesti dak percaya kalau baba habaq," kata Haji Rashid.
"Awat?" soal Jannah.
"Yang laungkan azan tadi tu sebenaqnya(sebenarnya) Zafran," kata Haji Rashid. Jannah terkejut mendengarnya.
"Bos yang nak beli tanah wakaf tu?" soal Jannah tidak percaya.
"Ya. Alhamdulillah dia dah berubah. Dia akui kesalahan dia selama ni. Baba yakin dia memang betul-betul berubah sebab baba tengok dia menangis dengan penuh penyesalan tadi," kata Haji Rashid.
"Ouhh," kata Jannah. Haji Rashid melihat ke arah anaknya itu lalu dia tersenyum.
"Pi buat ayaq kopi untuk baba," kata Haji Rashid. Jannah mengangguk seraya melangkah menuju ke dapur.
×××××
Pada keesokan harinya, Zafran memandu ke rumah Haji Rashid untuk memberi salam perpisahan kerana dia sudah ingin bertolak balik ke Kuala Lumpur.
Dia menghentikan keretanya setelah tiba di surau itu. Dia hairan apabila melihat ramai orang berkumpul di hadapan surau. Dia juga melihat Haji Rashid dan Jannah di situ. Dia turun daripada kereta dan mendekati mereka.
"Assalamu'alaikum," sapa Zafran.
"Tu dia! Dia haq(yang) nak rampas tanah kita!" jerit salah satu lelaki di situ.
Mereka semua terus meluru ke arah Zafran dan memukulnya. Zafran terkejut apabila diserbu dan dipukul oleh mereka. Haji Rashid dengan segera meleraikan mereka daripada memukul Zafran. Zack dan Kamarul juga turut berada di situ dan menolong Zafran.
"Kenapa haji halang kami? Dia haq nak rampaih(rampas) tanah haq kita nak dirikan masjid. Takkan haji nak bela dia?" soal lelaki tadi. Belum sempat Haji Rashid membuka mulut, Zafran terlebih dahulu berkata.
"Ya. Saya tahu semuanya salah saya. Saya datang ke sini pun untuk minta maaf," kata Zafran seraya bangun berdiri.
"Maaf? Habis tu kenapa kau luluskan projek kau? Kenapa tak berambus daripada kampung ni?!" soal lelaki tadi.
"Luluskan projek?" soal Zafran hairan.
"Buat tak tahu pulak dah. Tanya sendiri pekerja kau!" kata lelaki itu.
Zafran melihat ke arah seorang lelaki lalu dia melangkah menuju ke arahnya. Dia meminta surat persetujuan lalu membaca surat itu dengan teliti.
"Siapa yang luluskan surat ni?" soal Zafran serius. Hanya dia yang boleh luluskan segala surat pengesahan namun dia hairan setelah membaca surat tadi. Surat tadi memang merupakan surat daripada syarikatnya namun tandatangan orang lain.
"Saya tak boleh beritahu encik," kata lelaki itu.
Zafran mencengkam kolar baju lelaki itu lalu dia menolaknya ke arah dinding pagar surau. Dia kemudiannya menumbuk kuat dinding pagar surau itu sehingga tangannya berdarah. Mereka semua terkejut melihatnya begitu juga dengan Jannah.
"Siapa yang luluskan surat ni?!“ soal Zafran dengan suara yang keras sekali.
"CEO baru, Tengku Fazli," jawab lelaki itu ketakutan. Zafran terkejut mendengarnya.
"Fazli?" soal Zafran terkejut.
"Ya. Tuan Fazli dan cik Nisa yang beri kelulusan untuk teruskan projek di tanah ni," kata lelaki itu. Zafran tergelak kecil.
"Telefon bos kau sekarang," suruh Zafran.
"Tapi en-" kata-kata lelaki itu terhenti apabila Zafran memintas.
"Telefon sekarang atau aku belasah kau sampai kau mampus," kata Zafran serius. Lelaki itu ketakutan lalu dia mengeluarkan telefonnya dan menelefon Fazli.
"Bos," sapa lelaki itu setelah panggilannya diangkat. Zafran mengambil telefon lelaki itu dan tanpa sengaja menekan butang pembesar suara.
"Aku nak kau tarik balik arahan kau untuk teruskan projek untuk bina kilang di kampung ni," kata Zafran.
"Hahaha. Kenapa Zafran? Asal tak kau je yang beri arahan?" soal Fazli sinis kerana Zafran sudah tiada hak lagi atas syarikat itu.
"Aku tak kisah kau nak rampas syarikat aku ataupun nak ambil semua harta aku sampai aku hidup sebatang kara sekalipun. Tapi kalau kau berani teruskan projek atas tanah wakaf ni, aku tak akan teragak-agak untuk bunuh kau," kata Zafran. Mereka yang mendengarnya terkejut.
"Kau fikir aku takut? Haha. Engkau dah tak ada kuasa dah. Kau tak ada kekayaan dah. Kau fikir kau boleh lawan aku?" soal Fazli.
"Aku tak perlukan kuasa atau duit untuk halang kau sebab aku ada Allah. Dia yang paling berkuasa di alam semesta ni," kata Zafran. Jannah terkedu mendengar perkara itu keluar daripada mulut Zafran. Haji Rashid pula tersenyum.
"Hahaha. Kau dah insaf ke beb sejak duduk di kampung tu? Kau dah ustaz ke beberapa minggu ni? Hahaha," perli Fazli. Zafran tergelak sinis.
"Esok kau sendiri turun ke kampung ni kalau kau berani. Dan, aku bersumpah esok akan jadi hari terakhir hidup kau kalau kau masih nak teruskan projek ni," ugut Zafran. Fazli yang mendengarnya menelan air liur.
"Okey. Esok aku datang. Kau fikir aku pengecut? Aku akan pastikan kau yang mati esok," kata Fazli lalu dia menutup panggilan telefon itu. Zafran memberikan telefon itu semula kepada lelaki tadi.
"Beritahu bos kau. Kalau dia tak datang esok, aku sendiri akan ke sana jumpa dengan dia," kata Zafran. Lelaki itu mengangguk dan pergi dari situ.
Zafran berpaling ke arah belakang lalu dia melihat semua penduduk kampung di situ.
"Saya minta maaf atas segala kesalahan saya. Saya akan pastikan hal ini selesai secepat mungkin. Saya akan tebus kesalahan saya untuk orang kampung dan saya akan pastikan projek ini dibatalkan walau apa sekalipun," kata Zafran.
"Betul tu. Saya pernah kerja dengan Zafran dan saya tahu bagaimana sikap dia. Saya yakin dia akan pulihkan keadaan ni secepat mungkin," kata Kamarul bagi menyakinkan penduduk kampung.
"Dah, dah. Hangpa semua bersurai. Haq ni biaq saya dengan Zafran selesaikan," kata Haji Rashid. Mereka semua mengangguk lalu bersurai.
"Tangan kamu tu okey?" soal Kamarul. Zafran melihat ke arah tangannya yang luka dan berdarah tu.
"Okey je. Sakit sikit je ni," kata Zafran.
"Kena cuci luka tu. Bahaya nanti kuman merebak," kata Haji Rashid.
"Tak apalah baba. Saya minta diri dulu, abang Kamarul, Zack," kata Zafran. Mereka mengangguk. Jannah hairan apabila Zafran memanggil Haji Rashid sebagai baba.
"Baiklah," kata Haji Rashid. Zafran kemudiannya pergi memasuki keretanya.
Kamarul dan Zack juga meminta diri dan pergi dari situ.
×××××
Malam kini menjelma. Jannah menyelak sedikit langsir lalu dia terlihat kereta Zafran yang sedari tadi masih berada di situ. Dia yakin lelaki itu tidak pergi ke mana-mana. Dia kemudiannya melangkah ke dapur untuk bertemu dengan Haji Rashid.
"Baba. Cheq tengok kereta Zafran masih ada di tepi jalan tu. Cheq rasa dia dak balik dari tadi," kata Jannah.
"Hmm. Baba tau. Tadi keluaq surau lepas solat isya' sekali dengan dia pun baba tengok dia. Tangan dia luka teruk sebab tumbuk dinding tadi," kata Haji Rashid.
"Awat baba tak ajak dia masuk rumah dan rawat luka dia?" soal Jannah.
"Baba dah ajak. Dia tak mau," kata Haji Rashid.
"Ouhh," kata Jannah.
"Awat. Hang risaukan dia ka?" soal Haji Rashid. Wajah Jannah bertukar menjadi merah. Jelas kelihatan pipinya merah kerana kulitnya yang sangat putih dan bersih itu.
"Mana ada. Cheq tanya ja," kata Jannah. Haji Rashid tergelak kecil.
"Baba nak pi kat luaq sat," kata Haji Rashid seraya bangun berdiri. Jannah mengangguk.
Beberapa minit kemudian, Haji Rashid datang kembali ke dapur. Jannah pula sedang membasuh pinggan.
"Jannah," panggil Haji Rashid.
"Ya baba," sahut Jannah.
"Hang pi hantaq ubat kat Zafran jap. Dia ada di luaq surau," suruh Haji Rashid.
"Cheq?" soal Jannah terkejut.
"Haa la. Pi sat. Kesian dia," kata Haji Rashid.
"Sat," kata Jannah. Dia membasuh tangannya lalu bergerak masuk ke dalam biliknya untuk memakai tudung dan purdah.
Setelah memakai pakaian lengkap menutup aurat, dia mengambil ubat luka dan kapas lalu dia meminta izin Haji Rashid untuk keluar. Dia melangkah keluar daripada rumah menuju ke surau. Haji Rashid pula mengintai daripada sebalik langsir.
Dia sengaja menyuruh Jannah menghantar ubat untuk menguji anaknya dan Zafran.
Jannah berjalan mendekati Zafran yang sedang duduk di beranda surau itu.
"Assalamu'alaikum," sapa Jannah. Zafran yang sedang fokus kepada telefonnya terkejut mendengar suara Jannah lalu dia terbangun.
"Wa'alaikumussalam," jawab Zafran.
"Baba suruh saya hantar ubat ini untuk awak," kata Jannah. Dia hanya menunduk seraya menghulurkan ubat dan plastik kapas kepada Zafran. Zafran mengambilnya.
"Terima kasih," kata Zafran. Jannah sempat melihat ke arah tangan Zafran. Dia terkejut apabila dapat melihat sedikit tulang buku lima Zafran.
"Sama-sama. Jika awak terlalu marah, beristighfarlah di dalam hati awak. Allah melarang kita melukai diri kita," kata Jannah. Zafran melihat ke arah Jannah lalu dia melihat ke arah tangannya yang luka itu.
"Luka ni tak seberapa atas luka yang saya beri kepada orang yang saya zalimi selama ni," kata Zafran.
"Awak dah berubah. Setiap manusia layak diberikan peluang untuk berubah," kata Jannah. Zafran hanya tersenyum.
"Jannah," panggil Haji Rashid. Jannah yang mendengar panggilan haji Rashid itu meminta diri dan melangkah pergi dari situ.
Zafran membalas senyuman Haji Rashid yang berada di tingkap itu. Dia kemudiannya duduk semula di atas lantai. Dia meletakkan ubat luka di sebelahnya dan kembali sibuk dengan telefonnya.
Dia cuba menghubungi dan mesej semua pekerjanya namun satu pun tidak menjawab panggilannya dan membalas mesejnya. Peguamnya juga tidak dapat dihubungi. Dia mengeluh kerana dia yakin Fazli pasti dah beri amaran kepada pekerjanya.
Dia akhirnya menutup telefonnya dan merenung ke arah tanah wakaf yang berada di seberang jalan itu. Esok dia pasti akan halang Fazli daripada berbuat sesuka hatinya.
×××××
Keesokan pagi harinya, kecoh apabila abah buah Fazli cuba memasuki kawasan tanah wakaf itu dengan jentera berat. Haji Rashid yang berada di situ cuba untuk berbincang dengan Fazli. Dia ingin menyelesaikan perkara itu dengan cara baik.
"Nak. Kita berbincang dulu," pinta Haji Rashid.
"Nak bincang apa lagi orang tua? Kau ambil duit ni then berambus!" kata Fazli seraya melempar cek pada muka Haji Rashid. Haji Rashid beristighfar. Dia kemudiannya melangkah ke arah surau tanpa mengambil cek itu.
"Report polis ja haji!" kata salah lelaki di situ. Orang kampung pakat berkumpul di surau itu.
"Zack dah pi report. Tunggu depa datang ja," kata Haji Rashid.
"Tak nampak pun kelibat Zafran," kata Nisa.
"Haha. Lelaki pengecut tu memang tak akan munculkan diri punya," kata Fazli. Nisa tersenyum sinis. Selama ini dia mendekati Zafran hanya kerana mahukan harta Zafran. Begitu juga dengan Fazli yang inginkan syarikat Zafran. Akhirnya mereka bersepakat untuk rampas harta Zafran.
Haji Rashid dan orang kampung di situ hanya mampu melihat jentera anak buah Fazli melakukan kerja di atas tanah wakaf itu. Mereka tidak berani melawan apabila melihat dua anak buah Fazli yang bertubuh sasa mengawasi mereka.
Fazli berpuas hati melihat anak buahnya membuat kerja. Dia menunggu di situ seketika untuk melihat muka putus asa orang kampung di situ.
Beberapa minit kemudian, mereka terlihat kereta Zafran datang di situ. Zafran menghentikan keretanya di hadapan surau lalu turun bersama dengan Kamarul. Kamarul mendekati Haji Rashid manakala Zafran melangkah menuju ke arah Fazli. Fazli terkejut melihat Zafran di situ lalu dia memanggil anak buahnya.
"Aku nak kau hentikan anak buah kau sekarang jugak," arah Zafran. Dia berhenti tidak jauh daripada Fazli apabila ditahan oleh anak buah Fazli.
"Kalau aku tak nak?" soal Fazli.
"Kalau kau tak nak jugak, kampung ni akan jadi tempat terakhir kau bernafas," kata Zafran serius.
"Hahaha. Kau tak nampak dua anak buah aku ni? Kalau kau berani sentuh aku, diorang akan bunuh kau," kata Fazli. Zafran tersenyum sinis.
Dia cuba melangkah ke arah Fazli namun dua anak buah Fazli menahannya. Fazli tersenyum sinis.
"Berambus kalau tak nak kena belasah," kata salah satu anak buah Fazli. Zafran melihat ke arahnya. Dia tergelak sinis lalu berpaling.
Mereka menyangka Zafran hendak pergi dari situ namun sangkaan mereka meleset apabila Zafran berpaling Selayang menumbuk kuat rahang lelaki yang menahannya tadi. Lelaki itu jatuh pengsan di atas jalan. Mereka semua terkejut.
Lelaki satu lagi pula cuba menumbuk Zafran namun Zafran menunduk lalu dia menumbuk rahang lelaki itu dari bawah. Lelaki itu turut jatuh pengsan di atas tanah. Nisa yang melihatnya berlari masuk ke dalam kereta.
Fazli juga turut ingin melarikan diri namun Zafran lebih pantas menyerangnya. Dia menumbuk Fazli bertubi-tubi dan membelasah badan lelaki itu. Orang kampung di situ terkejut melihatnya.
"Baba. Pi lah halang Zafran tu," kata Jannah risau.
"Baba memang nak pi halang tapi rasanya Zafran boleh kawal marah dia. Biaq ja," kata Haji Rashid. Jannah kemudiannya melihat ke arah Zafran.
"Kau nak teruskan lagi?" soal Zafran sambil mencengkam kolar baju Fazli.
"Sorry bro. Aku akan suruh anak buah aku pergi," kata Fazli. Mukanya teruk luka dan berdarah dipukul Zafran. Zafran melepaskan kolar baju Fazli.
Dia hanya membiarkannya seketika. Fazli menunduk dan diam-diam cuba mengeluarkan pisau daripada poket seluarnya. Apabila dia mencapai pisau itu, dia terus mengeluarkannya dan cuba menikam perut Zafran. Mereka semua terkejut melihat tindakan Fazli itu.
Zafran turut terkejut namun dia sempat menahan tangan Fazli. Dia menggenggam kuat lengan Fazli lalu dia merampas pisau itu. Dia kemudiannya menyepak Fazli sehingga Fazli terjatuh atas bumper kereta lalu Zafran dengan perasaan marah mencengkam kolar baju Fazli dan cuba menikam mata Fazli.
"Zafran!" jerit Jannah. Perbuatan Zafran terhenti dan sedikit sahaja lagi mata pisau itu hendak menyentuh mata Fazli. Zafran berpaling memandang ke arah Jannah.
Fazli yang melihat kesempatan untuk melarikan diri itu menolak tubuh Zafran lalu dia berlari masuk ke dalam kereta. Nisa dengan cepat memandu pergi dari situ. Zafran mengeluh seraya mencampak pisau di tangannya ke tanah. Jika tidak dengan jeritan Jannah tadi, dia pasti sudah menikam Fazli.
Dia kemudiannya mendekati kawasan tanah wakaf itu.
"Aku nak korang hentikan pekerjaan ni dan tinggalkan tempat ni!" arah Zafran. Seorang lelaki mendekatinya.
"Maaf encik. Kami hanya boleh berhenti atas suruhan CEO saja," kata pekerja lelaki itu. Satu tumbukan diberikan kepada lelaki itu. Zafran menarik kolar baju lelaki itu seraya mengeluarkan sepucuk surat daripada poketnya. Dia membuka lipatan surat itu lalu melemparnya pada wajah lelaki itu.
"Tu surat menyatakan aku adalah CEO syarikat yang luluskan projek ni. Kalau kau tak percaya, kau boleh hubungi peguam aku dan mintak bukti," kata Zafran.
Alhamdulilah Allah mempermudahkan segalanya. Semalam, peguamnya menghubunginya semula lalu dia menceritakan semuanya. Peguamnya sudi membantu lalu dia Kamarul bergerak ke Kuala Lumpur pada malam itu juga. Setelah mendapatkan kembali jawatan CEO miliknya secara rahsia, dia terus kembali ke kampung itu dan kebetulan sekali tiba pada waktu tadi.
Pekerja lelaki tadi membaca surat itu lalu mengangguk faham. Dia meminta maaf lalu menyuruh semua anak buah Fazli menghentikan kerja. Mereka kemudiannya meninggalkan kawasan itu.
×××××
Beberapa hari telah berlalu dan tiada lagi gangguan pada kampung itu. Selain itu, mereka masih lagi belum mendengar khabar tentang Zafran yang terus sahaja pergi setelah kejadian dulu tanpa memberi salam perpisahan terlebih dahulu.
Akhirnya orang kampung itu mendapat berita bahawa Zafran telah menyerah diri kepada pihak polis. Setelah Kamarul memberitahu. Dia juga memberitahu bahawa Zafran menutup sepenuhnya syarikat miliknya kerana terlalu banyak memperolehi rezeki daripada sumber yang haram.
Berkenaan dengan hak milik orang dia zalimi pula, dia sudah membayar semuanya dan menggantikan rugi segala kerosakan yang dialami oleh semua pihak yang terlibat. Dia jatuh muflis dan menjual segala hartanya untuk menebus balik dosanya selama ini. Akhirnya dia menyerah diri dan dipenjara begitu juga dengan Fazli dan Nisa.
Haji Rashid dan Jannah terkejut apabila mendengar Zafran masuk ke dalam penjara. Mereka berdua kemudiannya bertolak ke Kuala Lumpur untuk melawat Zafran di dalam penjara.
"Tahanan 189, kamu ada pelawat," beritahu pegawai polis sambil membuka pintu sel Zafran. Zafran hairan namun dia hanya mengikuti pegawai polis itu.
Setelah tiba di ruangan bertemu, Zafran terkejut apabila melihat Haji Rashid dan Jannah berada di situ. Dia tersenyum pahit lalu duduk di kerusi. Dia mencapai gagang telefon berdekatan di jaring besi itu.
"Assalamu'alaikum," sapa Zafran.
"Wa'alaikumsalam," balas Haji Rashid.
"Baba sihat?" soal Zafran memulakan bicara.
"Sihat, alhamdulillah. Kamu pula?" soal Haji Rashid.
"Alhamdulillah," kata Zafran sambil tersenyum.
"Kenapa kamu lakukan semua ni?" soal Haji Rashid.
"Apa yang saya lakukan ni tak setara dengan apa yang telah saya lakukan pada banyak orang. Saya bahkan layak dihukum lebih teruk berbanding semua ni," kata Zafran. Haji Rashid tersenyum pahit.
Zafran kemudiannya melihat ke arah Jannah yang menunduk itu.
"Maafkan saya Jannah. Saya banyak buat salah dekat awak. Bahkan saya pernah cuba untuk sihir awak. Saya betul-betul minta maaf atas kesalahan saya pada awak," kata Zafran. Jannah yang mendengarnya hanya menunduk. Dia sudah tahu akan perkara itu kerana Haji Rashid menceritakannya.
"Selain itu, pertama kali dalam seumur hidup saya, saya lihat seorang manusia yang langsung tidak mementingkan diri sendiri. Sanggup bahayakan nyawa sendiri untuk selamatkan orang lain. Perbuatan awak itu membuatkan hati saya tersentuh. Saya rasa diri saya hina sangat kalau nak banding dengan diri awak. Saya sombong dengan kekayaan saya. Sombong dengan kenikmatan yang Allah beri kepada saya. Tapi tak pernah sekali pun saya fikirkan tentang diri orang lain. Terima kasih sebab sedarkan diri saya dengan kebaikan awak. Jujur saya kata, saya cintakan awak setelah lihat semua tu. Namun saya rasa diri saya tak layak untuk mencintai awak setelah apa yang saya lakukan selama ini," kata Zafran. Jannah terkejut mendengarnya lalu dia mendongak melihat ke arah Zafran. Pertama kali dia melihat mata lelaki seumur hidupnya. Haji Rashid tersenyum.
"Zafran. Baba tak ada perkara nak cakap dekat kamu. Baba cuma nak beritahu yang orang kampung dah maafkan kamu dan mereka juga meminta maaf dekat kamu. Jadi, baba tinggalkan kamu dengan Jannah ya. Kamu berdua bercakaplah," kata Haji Rashid lalu dia meletakkan gagang telefon di bawah. Dia bangun berdiri dan bergerak ke arah dinding.
Jannah bergerak ke arah kerusi lalu duduk. Dia mengambil gagang telefon itu.
"Assalamu'alaikum," sapa Jannah.
"Wa'alaikumusalam," balas Zafran.
Pertama kali mereka bercakap sambil bertentangan mata.
"Saya dah lama maafkan awak dan langsung tidak simpan apa-apa perasaan buruk atau dendam terhadap awak," kata Jannah. Zafran tersenyum.
"Saya selalu fikirkan diri awak. Pernah sekali, saya tertanya pada diri saya. Layak ke diri saya untuk cintai awak? Saya tertanya-tanya pada diri saya. Bila awak, seorang gadis yang baik dan berilmu dan merupakan pujaan hati para lelaki menjadi pasangan hidup diri saya, bolehkah untuk saya hadapi ujian di masa akan datang dengan diri saya yang penuh kekurangan ini?" luah Zafran.
"Kisah lalu awak biarlah berlalu. Awak sudah berubah. Awak sudah sedar kesalahan awak dan awak sedang tebus kesalahan awak. Saya akan sentiasa tunggu awak jikalau awak adalah jodoh yang ditetapkan oleh Allah kepada saya," kata Jannah.
"Maksud awak?" soal Zafran hairan.
"Saya jatuh cinta pada awak selepas mendengar laungan azan awak. Setelah baba cerita tentang perubahan diri awak, cinta saya semakin bertambah. Jadi, saya akan tunggu awak sehingga awak keluar daripada penjara," kata Jannah seraya air matanya mengalir keluar tanda dirinya bahagia kerana cintanya terbalas. Zafran terkejut mendengarnya. Hatinya bersyukur sangat.
"Saya janji. Saya akan keluar tak lama lagi dan berkahwin dengan awak. Tunggu saya ya," kata Zafran dan saraya itu juga air mata tanda syukurnya mengalir turun.
Jannah mengangguk sambil tersenyum di sebalik purdahnya. Haji Rashid melihat ke arah mereka lalu tersenyum kerana Allah telah melembutkan hati keras seorang pemuda yang sombong untuk menerima hidayahNya.
'Terima kasih ya Allah,' ucap Zafran di dalam hatinya.
[TAMAT]
~Bicara Hikmah~
Jauhi sikap mahupun sifat sombong kerana tidak akan masuk ke dalam syurga bagi orang yang mempunyai perasaan sombong di dalam hatinya walaupun sedikit sahaja.
Dan janganlah kita memakan atau mengambil harta saudara kita mahupun milik orang kafir secara batil kerana perbuatan itu hanya akan mencampak diri kita ke dalam api neraka. Nauzubillahi min Zalik.
Daging(manusia) yang membesar daripada rezeki yang haram, amal dan solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T. Sedangkan rezeki daripada sumber yang diragui(Syubhah) pula boleh memberi impak(tidak elok) kepada hidup kita.
Sentiasa berhati-hati dalam melakukan kerja. Sentiasa bersifat amanah, jujur dan sentiasa menolak segala perkara yang haram.
Share this novel