BB - BAB 29

Drama Completed 309212

SUNGGUH, dia tidak pernah mengalami senggugut seteruk itu sehingga badannya seolah-olah tidak bertenaga.  Darah yang keluar juga sangat banyak semenjak dari semalam dan tidak seperti selalu.  Entah sudah berapa kali dia menukar tuala wanita hanya dalam masa beberapa jam sahaja sehinggakan dia menjadi letih berulang alik ke tandas.  Dan kini dia sudah tidak larat untuk bangun dan berjalan lagi.

Selesai sahaja Taufiq menunaikan solat subuh, dia terus mencempung Qaireena untuk dibawa ke klinik memandangkan wanita itu sudah tidak larat untuk bangun dan berjalan. Wajah Qaireena juga kelihatan sangat pucat.

Sampai sahaja di klinik, doktor terus membuat pemeriksaan ke atas Qaireena.

"Selalu ke Puan mengalami sakit senggugut yang teruk macam ni?".   Soal doktor Fazliana kepada Qaireena yang sedang berbaring di atas katil rawatan.

"Tak doktor, ini adalah kali pertama saya alami sakit  senggugut yang sangat teruk, sebelum ni saya tak pernah rasa sakit macam ni".  Jawab Qaireena lemah dengan suara yang tersekat-sekat menahan kesakitan.

"Boleh saya tahu jenis darah yang keluar adakah cair sahaja atau berbentuk ketulan dan gumpalan darah?".  Tanya doktor Fazliana lagi.

"Ya doktor, berbentuk gumpalan darah yang pekat dan banyak doktor".  Jawab Qaireena.

"Mengikut rekod tarikh terakhir period yang Puan nyatakan sebentar tadi, Puan dah terlewat datang bulan".  Kata doktor Fazliana sambil matanya meneliti borang daftar pesakit yang berada di tangannya ketika itu.

"Period saya memang tidak teratur, dan adakalanya saya langsung tidak period dalam sebulan".  Jawab Qaireena lagi. 

Doktor Fazliana mengangguk-anggukkan kepalanya.  Dia kemudian memberikan botol kecil kepada Qaireena dan meminta wanita itu memasukkan urin ke dalam botol tersebut.  Taufiq membantu Qaireena untuk bangun dan menuju ke tandas.

"Encik, Puan, hasil daripada ujian kehamilan yang saya buat, saya dapati Puan Qaireena sedang mengandung.  Tetapi gambaran ultrasound yang saya buat sebentar tadi menunjukkan rahim Puan Qaireena telah pun kosong dan tidak mempunyai janin lagi.  Saya pasti pendarahan yang berlaku ke atas Puan semenjak semalam bukanlah darah period tetapi pendarahan akibat keguguran".  Kata doktor Fazliana jujur.

"Mengandung?".  Soal Taufiq sekali lagi seakan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja dikatakan oleh  doktor di hadapannya itu. 

Qaireena yang turut mendengar kenyataan doktor Fazliana itu juga terkejut.  Sungguh dia benar-benar tidak menyedari bahawa dirinya telah mengandung.  Airmata yang tadinya sudah kering akibat menahan kesakitan kini kembali mengalir dengan deras.

"Ya Encik, Puan Qaireena mengandung.  Mungkin disebabkan kitaran haid yang tidak normal dan tidak menentu menyebabkan Puan Qaireena tidak menyedari bahawa beliau telah mengandung".  Ujar doktor Fazliana.  Taufiq menoleh ke arah Qaireena yang sudah menangis teresak-esak.  Bahu isterinya itu disentuh dan diusap lembut.

"Maaf saya bertanya, Puan Qaireena ada tabiat merokok atau minum minuman beralkohol ke?".  Soal doktor Fazliana.

"Tak doktor, isteri saya langsung tak ada tabiat tu semua".  Jawab Taufiq jujur.

"Puan Qaireena ada melakukan kerja-kerja berat atau pun terjatuh mungkin?".  Tanya doktor Fazliana lagi.

Mendengar sahaja pertanyaan itu, serta merta Taufiq teringat akan peristiwa Qaireena yang tergelincir di tepi kolam petang semalam.

"Dia tak ada buat kerja-kerja berat, cuma petang semalam dia ada jatuh tergelincir.  Tapi masa tu dia kata hanya sakit sedikit sahaja dan tak mahu saya bawa ke klinik.  Sepanjang malam semalam dia juga dalam keadaan baik dan hanya mengadu yang dia mengalami sakit senggugut.  Subuh tadi, semasa saya bangun dari tidur, saya tengok dia dah tak mampu untuk bergerak".  Terang Taufiq pada doktor Fazliana.

"Untuk pengetahuan Encik, kandungan yang belum mencecah 12 minggu adalah bersifat fragile dan para ibu dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dalam tempoh tersebut.  Mungkin semasa Puan Qaireena terjatuh, beliau mengalami hentakan yang kuat dan menyebabkan berlakunya pendarahan yang banyak sehingga membahayakan kandungan beliau".  Kata doktor Fazliana kepada Taufiq.

~~~

Sampai sahaja di rumah, Taufiq mencempung Qaireena untuk naik ke bilik mereka.  Perlahan wanita itu di baringkan di atas katil.  Seketika wajah isteri kesayangannya itu dipandang sayu.  Airmata Qaireena yang sedari tadi tidak henti mengalir di seka lembut dengan jarinya.

"Reen, dahlah tu sayang, Abang tak nak tengok Reen sedih macam ni.  Anggap je itu bukan rezeki kita ya".  Pujuk Taufiq lembut.  Sedih hatinya melihat keadaan Qaireena begitu.

"Semua ni salah Reen, kalau Reen tak berlari sampaikan Reen jatuh tergelincir mesti kita bakal menimang cahaya mata tak lama lagi".  Ujar Qaireena bersama airmata yang semakin deras mengalir.

"Jangan salahkan diri, Reen sendiri pun tak tahu yang Reen sedang mengandung masa tukan.  Redha sayang, terima yang itu bukan rezeki kita.  Abang sikit pun tak salahkan Reen.  Apa yang penting sekarang ni adalah kesihatan Reen".  Tutur Taufiq. Kepala Qaireena diusap lembut.

"Kenapa hidup Reen tak pernah lepas dari ujian kehilangan?".  Esakannya semakin berlagu tanpa mempedulikan pujukan Taufiq sebentar tadi.

"Reen, tak baik cakap macam tu, Reen sedar tak yang Reen sedang mempersoalkan ketentuan Allah?  Bawa mengucap Reen.  Allah uji kita sebab Allah sayangkan kita.  Kalau Reen sedih, Abang juga sedih atas kehilangan zuriat pertama kita, tapi kita kena redha, ini bukan pengakhirannya sayang.  Reen masih muda, kita masih ada peluang untuk mencuba lagi".  Ujar Taufiq.  Dia kemudian baring di sebelah Qaireena dan terus memeluk wanita itu yang masih lagi teresak-esak.

Sungguh, pada luarannya Qaireena adalah wanita yang kelihatan sangat kuat menghadapi setiap ujian yang menimpa namun hakikatnya dia lemah.  Hatinya terlalu rapuh dan jiwanya terlalu cepat mengalah.

"Abang mandikan Reen, lepas tu Reen berehat ya.  Mak Leha kata, Reen kena berpantang walaupun hanya keguguran je.  Untuk beberapa hari ni, Abang nak Reen bed rest je, tak boleh aktif sangat, lagipun Reen dah kehilangan banyak darah hari ni, badan Reen pun masih lemah lagi".  Kata Taufiq lembut.  Qaireena hanya menganggukkan kepala apabila mendengar kata-kata suaminya itu.

Taufiq mendudukkan Qaireena di dalam bathtub, air suam yang keluar dari handheld shower head di ratakan ke badan isterinya.  Sesekali dilihatnya tangan wanita itu naik menyeka airmata yang mengalir perlahan dipipi namun dibiarkan sahaja.  Dia tahu tidak semudah itu untuk mengusir kesedihan atas kehilangan yang dialaminya.  Walaupun kandungan itu masih baru namun ianya tetap makhluk yang bernyawa dan memberi makna dalam hidup mereka berdua.

Selesai sahaja membantu Qaireena mandi, Taufiq turun ke dapur.  Tidak lama kemudian dia muncul semula bersama dulang yang berisi nasi, sayur dan sup ayam yang dimasak oleh Mak Leha.

Pada mulanya Qaireena langsung tidak mahu menjamah makanan walau sedikit pun, namun setelah dipujuk berulang kali barulah dia menyentuh makanan yang dibawa oleh Taufiq itu.

••••••••••

Empat hari berlalu, Qaireena masih lagi tidak banyak bercakap dan suka menyendiri.  Adakalanya Taufiq melihat wanita itu mengalirkan airmata ketika duduk bersendirian.  Dia tahu Qaireena masih lagi menyalahkan diri sendiri dengan apa yang telah berlaku ke atas diri dan kandungannya.

"Reen, Abang pergi pejabat dulu ya.  Sorry tak dapat temankan Reen hari ni sebab Abang ada mesyuarat penting".  Kata Taufiq sambil menyentuh pipi Qaireena lembut.

"Tak apa Reen faham, lagipun dah tiga hari Abang tak masuk pejabat sebab nak jaga Reen.  Sorry sebab dah susahkan Abang".  Ujar Qaireena sambil memandang Taufiq.

"Kan Abang dah kata, Abang tak suka dengar Reen kata macam tu.  Reen tak pernah pun susahkan Abang, Reen adalah tanggungjawab Abang.  Wanita yang telah memberikan kebahagiaan kepada Abang".  Tutur Taufiq.  Mendengarkan itu Qaireena hanya senyum.  Senyuman yang langsung tidak terselit kemanisan.

"Hati-hati memandu".  Pesan Qaireena sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Taufiq.

"Sayang rehat ya".  Ujar Taufiq sebelum bibirnya menyentuh dahi Qaireena lembut.  Qaireena senyum dan menganggukkan kepalanya.  Dia menghantar susuk tubuh Taufiq sehingga hilang dari balik pintu bilik mereka.

~~~

Taufiq melangkah keluar dari perut lift dan menuju ke pejabatnya.  Namun baru beberapa langkah dia keluar dari lift itu, dia bertemu dengan Yazid.

"Morning Fiq".  Ucap Yazid dengan senyuman.

"Morning Zid.  Kau dari mana ni?".  Soal Taufiq dengan senyuman.

"Aku pun baru je sampai, PA aku pula tiba-tiba cuti kecemasan hari ni, so memandangkan aku nak cepat, aku sendirilah yang hantar dokumen ni untuk kau tandatangan sebelum pukul 10 pagi nanti".  Jawab Yazid sambil menunjukkan fail hitam yang berada di tangannya. 

"Sekarang juga aku tandatangan untuk kau, jom ke pejabat aku".  Kata Taufiq dengan senyuman.

"Macam mana dengan Reen, dia dah okay ke?".  Soal Yazid sambil jalan beriringan dengan Taufiq untuk menuju ke pejabat lelaki itu.

"Alhamdulillah kesihatan dia semakin baik, cuma yang buat aku risau Reen suka sangat mengelamun sekarang ni".  Jawab Taufiq.

"Mesti dia masih bersedih atas keguguran yang dia alami tu, kau kena banyakkan bersabar dan sentiasa berikan semangat dan dorongan pada dia Fiq".  Ujar Yazid sambil melabuhkan punggung di kerusi bertentangan Taufiq ketika mereka sudah pun berada di dalam pejabat lelaki itu.

"Itulah yang aku sedang lakukan sekarang ni Zid.  Aku tahu tak mudah untuk Reen menerima kenyataan itu.  Sedangkan aku sendiri pun masih lagi bersedih atas keguguran zuriat pertama kami, tapi aku redha dan menganggap bahawa itu bukan rezeki untuk kami berdua buat masa ni.  Cuma aku berharap emosi Reen kembali stabil sebelum dia memulakan pengajiannya di Sydney nanti".  Kata Taufiq sambil menundukkan wajahnya.

"Oh ya, aku akan ambil cuti selama dua minggu untuk hantar Reen ke Sydney nanti, so segala urusan syarikat aku serahkan pada kau ya.  Lagipun aku ambil masa ni untuk bercuti dan luangkan masa bersama Reen sebelum dia mula study".  Tambah Taufiq lagi.

"No problem.  Kau selesaikan je urusan kau dekat sana dan luangkan masa dengan Reen, hal berkaitan syarikat nanti aku uruskan, kau jangan risaulah".  Ujar Yazid dengan senyuman.

"Thanks Zid".  Ucap Taufiq.

~~~

Mak Leha menapak naik dan menuju ke bilik Qaireena dan Taufiq untuk menghantar hidangan makan tengah hari untuk Qaireena.

"Reen, makan ya, hari ni Mak Leha masakkan sup ikan untuk Reen".  Kata Mak Leha sambil meletakkan dulang di atas meja yang berada di depan sofa yang di duduki oleh Qaireena.

"Terima kasih Mak Leha".  Ucap Qaireena dengan segaris senyuman.

"Sama-sama".  Jawab Mak Leha sambil memandang Qaireena.

"Macam mana keadaan Reen sekarang, dah rasa sihat sedikit?  Perut Reen masih ada rasa sakit lagi ke?".  Tanya Mak Leha pada Qaireena.

"Reen dah rasa sihat dan bertenaga sedikit Mak Leha.  Perut Reen pun dah tak sakit lagi, tapi selepas tiga hari ni Reen kena datang ke klinik semula sebab doktor nak pastikan yang rahim Reen betul-betul dah kosong dan bersih".  Jawab Qaireena.

"Alhamdulillah kalau Reen dah rasa semakin sihat, lega hati Mak Leha ni dengar".  Tutur Mak Leha.  Qaireena senyum memandang wajah wanita itu.

"Kalaulah Reen tak berlari petang tu, mesti Reen tak jadi macam ni.  Mesti sekarang ni Abang tengah gembira bila dapat tahu yang Reen mengandung.  Tak adalah Reen susahkan Abang, Mak Leha dan Pak Abu".  Kata Qaireena.  Wajahnya ditundukkan sambil tangannya perlahan menggaul sup yang berada di dalam mangkuk dihadapannya itu.

"Reen, setiap yang berlaku semuanya atas kehendak Allah s.w.t.  Siapa kita untuk mempersoalkannya?  Redha dengan segala yang telah ditentukan oleh-Nya dan yakinlah setiap ujian yang diturunkan oleh Allah kepada hamba-Nya adalah tanda kasih dan sayang-Nya kepada hamba-Nya.  Percayalah setiap ujian yang datang itu juga pasti terselit satu hikmah yang pada awalnya langsung tidak kita sedari".  Ujar Mak Leha. 

Qaireena diam dan masih menundukkan wajahnya ketika mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Mak Leha.  Sedikit sebanyak kata-kata itu telah menyedarkan dirinya bahawa dia lebih banyak menurutkan sahaja emosinya daripada menggunakan akal fikiran warasnya.

"Selalulah bersangka baik pada Allah, dan sentiasa ingatkan diri bahawa di dunia ini kita hanya meminjami bukannya memiliki.  Kerana apa yang kita miliki hari ini tak semestinya akan kekal menjadi milik kita selamanya".  Tambah Mak Leha lagi.

"Terima kasih Mak Leha sebab selalu ada untuk nasihatkan Reen". Ucap Qaireena bersama airmata yang mengalir di pipinya.  Mak leha senyum dan mengangguk kepalanya kemudian dia menghampiri Qaireena dan memeluk erat tubuh kecil wanita itu.

Happy Reading korang:-)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience