LANGKAH QALISA perlahan menuju ke sebuah rumah banglo usang di hujung kampung itu. Hatinya dipukul badai gelisah dan dalam masa yang sama mulutnya tidak henti-henti membacakan surah-surah perlindungan memohon agar tiada apa-apa yang buruk dan tidak diingini menimpanya.
Jikalau bukan kerana satu panggilan yang diterimanya, mana mungkin dia tega datang ke kawasan yang dicanang angker selain merupakan kawasan hitam kerana sering dijadikan ssarang mat gian melepaskan nafsu ketagih mereka.
Peluh merecik di dahi laju sesekali mengalir di mata menjejaskan pandangannya.
“Qalisa, tolong aku Qalisa... Tolong!” Rintih suara itu di hujung talian telefon disambungkan. Qalisa kaget dengan suara seseorang perempuan yang seakan dikenalinya.
Dengan keadaan suara perempuan yang panik itu membuatkan dia sukar untuk mengecam siapa pemanggilnya. Bertambah lagi dengan suara yang putus-putus itu disebabkan talian telefon bimbitnya yang tidak berapa elok ketika ini.
“Hello! Hello! Siapa ni?” Soal Qalisa sambil menyandarkan penyapu di dinding rumahnya. Dia yang sedang mengemas rumah segera fokus pada panggilan telefon yang bersuara panik itu.
“Qalisa, ini aku Tyra! Tolong aku Qalisa... ” Pinta Tyra lagi. Qalisa teringatkan Tyra yang merupakan kawan persekolahannya semasa tingkatan lima. Tetapi Tyra ini agak ganas sedikit. Sikapnya agak pemarah jikalau Qalisa bersamanya. Pelik!
Kenapa Qalisa juga ditelefonnya? Fikir Qalisa. Sudah lama rasanya Qalisa tidak berhubung dengan Tyra selepas tamat persekolahan yang lalu. Tetapi walaupun Tyra ini suka sangat mencari fasal dengannya Qalisa tahu yang Tyra ini baik sebenarnya.
Qalisa lebih gemar bersangka baik pada orang. Itulah pesanan dari ayahnya iaitu jangan bersangka buruk pada orang.
“Tyra! Tyra! Kau dekat mana ni?” Soal Qalisa cemas. Hatinya berdebar-debar.
Share this novel