WS 4: Lindungi Mommy

Drama Series 56973

Peperiksaan besar SPM telahpun selesai. Kesemua pelajar yang terlibat telah menjalaninya dengan selamat. Syukur tak tehingga mereka panjatkan. Gelaran 'budak sekolah' kini tak lagi sandang. Tinggal menunggu keputusan yang bakal keluar dalam tempoh beberapa bulan kemudian.

Sementara itu, Amani telah fokus mencari kerja part time sebaik sahaja tamat sekolah. Pagi Amani bekerja di sebuah pasaraya. Sehabis itu, sebelah malam dia terus membantu Jemmy di warung.

Meski banyak kali dinasihati oleh Ramona supaya jangan terlalu memaksa diri, namun gadis itu tetap melakukannya. Katanya untuk membantunya mendapatkan wang. Akhirnya Ramona hanya mengeluh tidak dapat berbuat apa-apa untuk melarang Amani lagi.

Langkah Amani terburu-buru membawa senyum lebar. Kertas keputusan di tangan digenggam erat. Sesekala mulutnya menggumam kata syukur yang tak puas-puas diucap.

Dari lantai bawah, kakinya dihayun laju meniti tangga menuju tingkat tiga. Mommy mesti bangga dengan pencapaian yang dia perolehi. Keputusan SPM yang diterimanya cukup memuaskan.

Walaupun di sekolah dia disisihkan oleh rakan-rakan kerana dirinya adalah anak seorang pelacur, tetapi ia tak membantutkan semangat Amani untuk meraih keputusan cemerlang tersebut.

Puas dirinya memberi tahu bahawa Ramona bukanlah ibu kandungnya, namun kata-katanya hanya dipandang sebelah mata oleh rakan-rakan yang lain.

Bagi mereka, perempuan lorong tetap perempuan lorong. Walau bertutup purdah sekalipun tetap kotor di hadapan mereka. Amani sudah lali akan cemuhan itu jadi dia memilih untuk membiarkan saja. Asalkan mereka tidak mencederakan secara fizikal, Amani rela pekakkan telinga. Hatinya yang sudah lama cedera sudah kebal akan kesakitan itu.

Alhamdulillah. Walaupun tidaklah stright A, tapi keputusan yang diperolehinya cukup membuat guru-guru turut mengucap tahniah kepadanya. Amani sangat gembira.

Tangga terus dititi semakin tinggi, semakin hampir menuju rumah. Kaki Amani tertahan. Suara raungan seorang wanita telah membuat riak gembira di wajahnya bertukar cemas. Jelas terdengar suara itu berasal dari tingkat tiga. Tepatnya, dari rumahnya. Bergema satu flat akan suara rintih kesakitan seorang wanita, yang dia kenal pasti itu adalah suara Ramona.

Langkah yang tertahan lalu dihayun semula. Dia pasti, mommy Mona mungkin sedang dalam kesusahan.

Maka benar tekaannya. Sebaik Amani tiba di lantai itu, dia mendapati wanita itu sedang menerima beberapa sepakan kaki di wajah serta perut oleh lelaki bernama Razi. Amani segera berlari mendapatkan.

"Mommy....."

Amani turut melihat wanita itu wajahnya sudah melekap pada dinding dihempas oleh Razi. Amani langsung menyambutnya.

"Mommy. Kenapa jadi macam ni? Apa dah jadi mommy?"

Tubuh yang sudah tidak berdaya itu dirangkul. Tubuh kecilnya cuba menampung, namun upayanya sangat terbatas. Tubuh Ramona melorot ke lantai walau Amani cuba menahan.
Air mata Amani mengalir hiba sambil merangkul tubuh wanita itu yang telah berlumuran darah di bahgian wajah.

"Abang Razi, kenapa buat mommy macam ni? Apa lagi salah mommy?" bentak Amani sambil menangis pilu. Tubuh Ramona dipeluk erat.

"Aku nak duit aku. Kau faham tak. Aku nak duit tu besok."

Razi menunjukkan berang. Suaranya kuat menengking Amani. Tidak lupa kakinya turut disepakkan pada kaki Ramona yang mana wanita itu telah dipangku oleh Amani dikaki lima.

"Perempuan sundal ni tak faham bahasa. Aku dah kata, duit RM500 tu simpan untuk aku, aku nak guna besok. Tapi dia pergi bayar sewa rumah pulak. Sial punya perempuan," sambung amuknya sambil mengepal penumbuk yang kemudian dihayunkan ke dinding.

"Kalau abang Razi nak duit tunggu Amani dapat gaji dulu. Amani boleh bagi, tak perlu belasah mommy macam ni."

"Bila gaji kau? Hujung bulan? Hei, budak. Aku nak guna duit tu besok. Aku dah pesan kat mak kau ni suruh simpankan 500 untuk aku. Tapi dia guna jugak." Jari telunjuk diacu geram pada Amani yang meringkuk di lantai memangku Ramona.

"Dah memang nak kena bayar sewa, nak buat macam mana? Kitorang mana ada duit lebih?" Amani cuba memenangkan ibunya.

Namun malah ujarnya itu semakin mengundang api amarah semakin marak di dada Razi. Lelaki itu lantas menghampiri Amani, tudung gadis itu direntap kasar bersama rambutnya sekali. Amani menyeringai kesakitan. Tubuhnya terpaksa bangun walau tanpa kemahuan.

Razi mengetap rahang erat-erat. Sambil mencengkam rambut berlapik tudung, wajah gadis itu didekatkan ke mukanya.

"Aku nak kau cari duit untuk aku malam ni. Aku tak kira. kalau kau tak nak aku belasah mak kau ni lagi, baik kau buat apa aku suruh. Kau faham tak?"

Kata-katanya itu diucap tanpa menjarakkan gigi. Cengkaman pada rambut Amani lalu dilepas kasar usai kata-katanya selesai.

Nafas pendek Amani cuba diatur kembali. Wajahnya ketakutan semakin risau. Ramona kembali dihampiri. Wanita itu sudah tidak berdaya untuk bangun.

"Kau ingat. Aku nak duit tu besok. Pukul 8 malam aku jumpa kau lagi kat kedai Jemmy. Kalau kau tak datang, aku cari kau kat sini, dan belasah kau orang dua-dua sekali."

Usai menghambur kata-kata itu, Razi segera mengangkat kaki meninggalkan kedua wanita lemah tersebut tanpa sikitpun rasa simpati.

Amani mengucap panjang. Wajahnya yang lenjun oleh air mata yang dibiar tanpa diseka. Dia sudah tidak mampu berfikir lagi. Kata-kata Razi perlu dituruti. Dia tidak mahu lelaki itu bertindak mencederakan ibunya lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience