HENDAK menyesal pun sudah tiada gunanya kerana masa tidak akan dapat diputarkan kembali. Sejak tiga hari yang lepas Qatrunnada tidak berapa sihat dan kepalanya selalu berdenyut-denyut. Semalam Mufidah ada menawarkan diri untuk menemaninya ke klinik tetapi dia tolak kerana dia sangkakan dirinya hanya sakit biasa-biasa sahaja. Dia memang jarang jatuh sakit tetapi apabila sekali dia jatuh sakit, biasanya akan teruk jika lambat sembuh.
Apabila Qatrunnada menolak pelawaan Mufidah untuk menemaninya ke klinik, Mufidah meneruskan niatnya untuk terus pulang ke kampung kerana Isnin nanti dia bakal memulakan kerja sementara di kampung halamannya. Jadi, dia hanya punya dua hari untuk berehat-rehat dan berjalan-jalan sekitar kampung. Kepada Qatrunnada sudah dia pesan supaya menjaga diri dan sentiasa berwaspada apabila tinggal seorang diri di rumah sewa tersebut. Qatrunnada hanya tersenyum dan meyakinkan Mufidah bahawa dia akan baik-baik sahaja.
Hasilnya pada pagi ini Qatrunnada keseorangan menanggung kesakitan. Kerana tidak tahan dengan badan yang terasa lemah dan kepalanya yang masih berdenyut-denyut, dia membuat keputusan untuk ke klinik yang berdekatan. Dia tidak pasti adakah klinik beroperasi pada hari Sabtu ini tetapi dia gagahkan diri juga untuk ke klinik seorang diri.
Firhan yang baru sahaja keluar dari rumah dan menuju ke arah keretanya terpandangkan Qatrunnada yang juga baru keluar dari rumah. Secara automatik senyuman terukir di bibirnya apabila dapat melihat Qatrunnada di awal pagi ini. Tak sia-sia aku tak tidur semula lepas Subuh tadi. Wajiblah aku cerita dekat Jay nanti aku jumpa Nada di awal pagi. Siapa suruh dia tak nak ikut aku pergi beli sarapan. Eheh! Awal pagi ke Fir? Alah, pukul 9.00 dikira pagilah walaupun bukan awal pagi sangat.
Firhan berkira-kira untuk menegur Qatrunnada selepas gadis itu selesai mengunci pintu tetapi belum sempat untuk Qatrunnada mengunci pintu, dia rebah di depan pintu rumah sewanya. Firhan yang terkejut dengan apa yang baru berlaku serta-merta berlari ke rumah sebelah. Dengan kadar yang segera pintu pagar dia buka dan dia berlari menuju ke arah Qatrunnada yang sudah terbaring. Untuk seketika dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Untuk mengangkat Qatrunnada yang sangat dihormatinya itu dia rasa tidak manis pula. Fir, sekarang dikira daruratlah kan? Angkat ajelah Nada bawak pergi klinik! Ehh, kejap, kejap! Darurat sangat ke? Takde pilihan lain sangat ke?
“Assalaamu`alaikum. Kak Risya! Kak Risya! Tolong Fir kak, Nada pengsan ni! Kak Risya!” Firhan yang keresahan menjerit ke arah rumah Batrisyia dari pagar yang memisahkan rumah sewa Qatrunnada dengan rumah Batrisyia.
Batrisyia yang mendengar jeritan Firhan segera mencapai tudung yang berdekatan dengan pintu dan keluar bagi melihat keadaan Qatrunnada. Segera Batrisyia memanjangkan langkah apabila terpandang sekujur tubuh Qatrunnada yang sudah terbaring di depan pintu rumah sebelah.
“Kak Risya tolong papah Nada ke kereta Fir ya. Biar Fir bawa Nada ke klinik.” Firhan berkata apabila Batrisyia sudah memasuki laman rumah sewa Qatrunnada.
Batrisyia yang tidak banyak bunyi terus menghampiri Qatrunnada. Berbekalkan tenaganya yang gagah, Batrisyia memapah Qatrunnada ke kereta Firhan. Mujurlah kereta Firhan terparkir di luar pagar kerana sudah tiada ruang untuk diparkirkan di dalam kawasan pagar rumah sewanya. Firhan segera menghidupkan enjin kereta selepas Batrisyia memastikan keadaan Qatrunnada yang selamat di tempat duduk belakang.
“Fir bawa kereta elok-elok tau. Hantar Nada ke klinik yang terdekat. Sorry Kak Risya tak dapat nak ikut sekali. Anak yang akak tolong jaga tu ada dengan akak sekarang, dengan anak akak lagi. Diorang tengah tidur tu takut diorang menangis bila bangun tak nampak akak.” Batrisyia berkata kepada Firhan. Ada nada resah pada suaranya.
“Takpe Kak Risya. Ini pun dah cukup membantu. Nanti akak tolong kunci pintu rumah Nada ya kak. Fir gerak dulu. Assalaamu`alaikum.” Firhan terus memandu menuju ke klinik yang terdekat. Dalam hati dia berdoa agar keadaan Qatrunnada tidak serius. Dia tidak pernah melihat keadaan gadis itu selemah ini.
Share this novel