Bab 12
Leo tidak membantah. Dia mengambil periuk lantas memasukkan beras ke dalamnya. Kemudian turun ke sungai untuk membasuh beras tersebut. Tidak lama kemudian dia meletakkan periuk berisi beras di atas dapur gas setelah Amalina mengangkat cerek air yang sudah menggelegak.
“Sementara menunggu makan nasi, kita makan mee segera dulu, okey?” tanya Amalina.
Leo menggeleng.
“Aku nak minum kopi saja.”
“Okey. Jimat beras aku,” gurau Amalina tersenyum dan mengenyitkan mata.
Namun Leo langsung tidak tersenyum. Leo sedang dilanda masalah berat. Amalina mengagak sendiri masalah itu pastilah berkaitan dengan Pilar.
Sudah dua hari mereka bekerjasama di situ, dan dia mahu memberikan sedikit ruang untuk membina persahabatan.
Amalina mulai rasa betah berada di situ. Biarpun jauh dari bandar, di sini dia merasa satu ketenangan. Alam yang menghijau mengepung persekitaran, bunyi air sungai tenang lagi mengasyikkan. Air sungai yang jernih tidak tercemar langsung. Anak-anak ikan dapat dilihat jelas berenang-berenang di air cetek, bagaikan cermin. Agh! Betapa dia mencintai alam sekeliling yang indah itu. Jika boleh dia mahu merakam semuanya di dalam buku yang akan dikarangnya nanti. Dia juga akan menulis rencana tentang alam semulajadi serta kehidupan liar yang ada di dalam hutan itu.
Ahhh… Begitu besar cita-cita Amalina sejak berada di situ. Ingin melaksanakan kedua-dua kerja sekaligus. Menulis buku dan membuat filem dokumentari.
“Aku pergi tengok jeratku awal pagi tadi,” beritahu Leo.
“Tapi nampaknya jeratku lebih dulu sudah diperiksa orang lain…”
Amalina memandang Leo. Dia sedang asyik meratah udang galah yang amat sedap itu.
“Maksudnya… Ada orang lain kat sini?” tanya Amalina. Ada garis-garis kerutan di dahinya.
“Ya, aku nampak kesan tapak kakinya berdekatan dengan jerat. Aku tahu Perus selalu ke sini… Dia mengintip kita.” Pertama kali Amalina mendengar Leo menyebut perkataan ‘kita’. Dia rasa sedikit teruja. Bermakna mereka sudah menjadi kawan sekarang… Tapi persoalannya apa tujuan Perus mengintip mereka?
“Buat apa? Aku kan tak pernah kacau dia?” tanya Amalina tidak mengerti.
“Dia tak suka aku kerja dengan kau… Dia nak aku balik ke kampung, tapi aku tak mahu. Dia paksa aku segera berkahwin dengan Pilar.”
“Mengapa kau tak mahu berkahwin segera dengan Pilar?” tanya Amalina.
“Aku tak mahu berkahwin dengan Pilar. Aku tak cintakan dia.” Jawab Leo sambil membuang pandangannya jauh-jauh.
Memang perasaanku sungguh aneh, Amalina. Sejak aku bertemu denganmu, aku semakin tidak suka pada diriku sendiri. Aku merasakan yang aku amat berbeza dengan dirimu. Mengapa aku harus hidup di hutan ini? Mengapa aku tidak lahir di luar sana, supaya antara kau dan aku tiada bezanya…
Mengapa? Aku tahu kau akan kembali ke dalam masyarakatmu dan aku tidak mungkin akan dapat menuruti jejak langkahmu…
Wajah Leo bertambah muram. Leo melepaskan keluhan. Sesungguhya dia tidak pernah takut untuk berhadapan dengan binatang buas di hutan ini. Hutan ini adalah dunianya. Tapi mengapa sekarang dia jadi takut untuk menelan kebenaran? Amalina akan pergi apabila tugasnya selesai. Amalina hanya singgah sejenak di dalam hidupnya, bukan untuk menghuni hatinya buat selama yang mungkin. Dia takut untuk menempuhi perpisahan itu kelak. Biar dia berdepan dengan binatang buas namun dia tidak ingin menghadapi perpisahan dengan gadis di hadapannya itu.
“Bangun anak. Bangun!”
Leo mencari-cari wajah Mak Upeh dalam suram cahaya di lorong itu. Dia terdengar bunyi kocakan air. Begitu dekat. Dia sudah berada di hujung lorong. Dia melangkah perlahan. Terlihat anak sungai di hadapannya. Lorong itu adalah sebuah gua rupanya… Fikir Leo. Dia berada di mulut gua, di hadapannya adalah air terjun yang mengalir ke dalam sungai.
Dia lihat Mak Upeh.
...bersambung
Bab akan datang:
Kenapa Leo terpaksa berkahwin dengan Pilar? Siapakah yang memaksanya?
Share this novel