Kedua-dua beradik itu saling bertatapan.
Anak pertama menghela nafas.
“Kami tak akan jual rumah ni, Chor. Rumah ni saja kenangan arwah kepada kami.”
Kak Seha tersenyum lebar.
Mata yang sembab berkedut dek senyuman yang terukir.
Dia bersyukur kerana anak-anak arwah sangat baik.
Mereka tahu kehendak arwah ibu mereka.
Kak Seha berbisik dalam hati, “bertuah kau Khatijah …”
“Beginilah Chor, apa kata rumah ni saya wakafkan pada pihak surau.
Buatlah apa yang patut dengan rumah ni, kami tak kisah.
Jika ada anak-anak yatim yang memerlukan rumah ke.
Kami setuju saja.” Cadang anak pertama.
“Ya… lagi pun, doa anak-anak yatim cepat termakbul, Chor.”
“Bagus juga cadangan tu. InsyaALLAH, Chor akan sampaikan pada Imam surau di sini ya. Chor bolehlah menyumbang tenaga pada anak-anak yatim nanti.”
“Okey, Chor tolong uruskan hal tu. Kami terpaksa balik ke kota dulu, sebab nak urus banyak perkara lagi. Malam ni, Chor panggil orang surau datang sini buat tahlil ya. Saya tinggalkan duit sikit untuk belanja malam ni. Chor carilah tukang masak, buatlah apa yang patut. Tak cukup mintak pada saya.” Kata anak pertama sebagai ketua keluarga.
Anak kedua pula sedang merayau-rayau di sekitar kawasan rumah.
Dia seronok melihat hasil tanaman ibunya tumbuh subur.
“Eh… itu tak jadi masalah. Ibu kamu tu disenangi oleh orang ramai. Mereka pasti turun beramai-ramai ke sini nanti. Tak usah risau, tahulah Chor selesaikan hal ni. Dah, kamu pergi uruskan hal lain dulu. Chor pun nak ke baruh sebentar, nak jengok kebun kejap. Tengah hari nanti, baru Chor hebahkan pada orang surau. Okey ya, Chor pergi dulu!”
Mereka memandang batang tubuh Kak Seha dari jauh.
Sayup sahaja sehingga bayang Kak Seha hilang dari pandangan mereka.
Lalu, kedua-duanya beriringan menuju ke kereta.
Kenangan indah semasa bersama arwah kekal terpahat di memori mereka.
Kereta berlalu bersama bayu yang berpuput lembut sejak tadi.
Jauh di langit, kelihatan sepasang warga emas yang lengkap mengenakan seragam warna putih sedang menyaksikan drama di bumi sambil tersenyum senang.
Akhirnya pasangan itu turut berlalu dan menghilang dibalik awan nan biru.
Share this novel