“Jadi, itu sahaja ya?” Penyiasat wanita, Miss Kim mengambil tempat duduk berhadapan Zinnirah. Gadis itu hanya mengangguk perlahan sambil menonyoh hidungnya yang sudah melecet pedih. Miss Kim hanya tersenyum nipis. Dia menulis sesuatu pada fail di tangannya.
“Cik Zinnirah. Saya faham situasi ini. Cik Zinnirah mendakwa lelaki yang juga kenalan kepada ayah cik sendiri telah memperkosa tanpa kerelaan Cik Zinnirah. Tapi, Cik Zinnirah kata, cik sendiri yang mengikut lelaki itu ke kediamannya. Macam tu?”
Zinnirah hanya membatu. Miss Kim menghela nafas berat. “Saya juga orang perempuan Zinnirah. Ada keinginan untuk membuktikan cinta pada seseorang. Tapi, tidaklah sampai nak menyerahkan tubuh-”
“AWAK PEKAK KE? SAYA TAK PERNAH CAKAP SAYA SERAHKAN TUBUH SAYA DENGAN KERELAAN!” Zinnirah membentak. Penumbuknya dikepal dan dihentak ke atas meja. Suaranya bergema seisi balai. “Sabar Cik Zinnirah, sabar. Bagi saya habiskan ayat saya dulu.” Miss Kim cuba menenangkan Zinnirah yang kelihatan seperti kurang siuman. “Sudahlah! Kalau awak tak nak bantu saya, bagitahu je!” Zinnirah berlari keluar meninggalkan Miss Kim bersendirian. “Cik! Nanti dulu!” Panggilan Miss Kim tidak diendahkan. Zinnirah keluar mendapatkan ibunya.
Suasana di balai huru-hara. Ada mata-mata yang memandang sinis ke arah seorang gadis yang sudah terkulai layu memeluk kaki ibunya. Bola mata Zinnirah bengkak kemerahan. Habis kuyup tudungnya dibasahi sungai tangisan dan hingus cair. “Ibu.. Pandanglah Irah, ibu..” Zinnirah menggoncang keras kaki ibunya. Sekali-sekala, dia terbatuk-batuk.
“Maaf puan. Maafkan anak saya ya. Dia ni kadang-kadang memang macam ni. Drama lebih.” Terbongkok-bongkok tubuh Hikmah di hadapan seorang polis wanita berwajah sombong. Hikmah tatkala itu tidak sedikitpun memberi sekelumit pandang kepada sang anak.
“Puan Hikmah, kalau tak ada apa-apa nak report, tolonglah bawa anak puan ni balik. Janganlah nak buat kecoh dekat sini. Kami ni ada banyak urusan kerja nak buat.” Polis wanita itu menarik muka masam sambil memeluk tubuh. Dijelingnya Zinnirah seperti mahu ditelan. “Baik puan. Baik. Kami balik dulu ya.” Hikmah menarik lengan Zinnirah dan cuba mengheretnya keluar. Malu benar dirinya dilihat begitu. Namun, Zinnirah seperti bongkah batu besar yang tidak mahu berganjak. Malah, tangisannya semakin kuat.
“Ibu! Irah tak tipu, ibu. Sumpah Irah tak tipu.” Zinnirah beralih pandang ke arah polis wanita tadi lalu memeluk erat kakinya. “Kakak, tolonglah saya kakak. Jangan buat saya macam ni. Sumpah saya tak tipu. Saya dah kena rogol dengan kawan ayah saya. Percayalah cakap saya.” Laung Zinnirah sambil menggoncang keras kaki polis wanita tersebut.
“Irah! Cukuplah tu. Janganlah malukan ibu macam ni. Dah, jom balik.” Hikmah mengeraskan suara sambil menarik tubuh Zinnirah. Polis wanita itu hanya menarik nafas dalam sambil menahan geram.
“TAK NAK! IRAH TAK NAK BALIK!” Zinnirah menjerit. “Selagi ibu tak percaya cakap Irah, Irah tak nak balik!”
“Dah, diam! Berdiri cepat. Tak habis-habis nak menyusahkan orang!” Hikmah menujal kasar kepala anak gadis. Berang hatinya dengan perangai Zinnirah yang acapkali mengheretnya ke dalam masalah.
Zinnirah terkulai lemah di atas lantai. Mata-mata sinis tadi bertukar kasihan melihat sekujur tubuh gadis itu. Habis tenaganya ikut mengalir meninggalkan jasad, dek tangisan yang tak berpenghujung. Hidungnya yang tersumbat juga menyukarkan gadis itu bernafas. “Cepatlah! Lembap.” Hikmah mengheret Zinnirah yang masih terpesat. Tudung yang menyarung kepala Zinnirah juga sudah tertarik ke depan.
“Ibu.. Irah tak tipu, ibu.. Lelaki tu rogol Irah..” Meleret-leret suara Zinnirah merayu kepada ibunya. “Kita balik ya Irah. Ibu tak nak dengar lagi pasal ni.”
“IRAH!” Satu suara lelaki menjengah ke telinga mereka seperti halilintar. Jantung Hikmah tatkala itu seperti mahu berhenti. Uwais, suaminya muncul bersama anak saudaranya, Faisal. “A- Abang? M- macam mana boleh tahu-” Suara Hikmah terbata. Kejung urat sendinya tatkala menatap wajah bengis Uwais. Zinnirah hanya mampu menelan air liur.
“Tak habis-habis memalukan orang.” Faisal membisik sambil tergelak kecil melihat Zinnirah. “Faisal tunggu dalam kereta ye.” Ujarnya lalu keluar semula dari balai menuju ke kereta.
“Hikmah! Masuk kereta sekarang!” Uwais menengking. Hikmah akur dan meninggalkan Zinnirah sendiri. Ah, cukuplah anak gadisnya sudah menconteng arang ke wajahnya. Biarlah Zinnirah berhadapan sendiri dengan akibatnya. Gadis itu pula masih tidak berganjak. Dia hampir terkucil dek ketakutan yang amat sangat. Peluh di tangannya sudah bersatu dengan lantai beku. Dia sempat menancap ngeri tikaman mata ayahnya yang panas baran.
“AHH! AYAH! SAKITLAH!” Lolongan Zinnirah memecah gegendang tatkala Uwais merentap kasar rambutnya dan mengheretnya keluar. Tudung Zinnirah juga sudah tercabut dari kepala.
“Jom balik sekarang!” Suara keras Uwais berselang-seli dengan tangisan Zinnirah. “Ayah, berhenti! Irah sakit.” Zinnirah terus merayu.
PANG!
Satu lempangan hinggap di pipi Zinnirah. Gadis itu jatuh terjelepuk di atas tanah. Tubuh genit gadis itu calar-balar diseret turapan jalan dan batu kerikil yang tajam. Air mata dan hingus yang sudah mengering kembali mengalir laju, setitik demi setitik membasahi Bumi.
“KAU MENANGIS LAGI, KAU DAN IBU KAU SAKIT!” Uwais memberi amaran. Zinnirah tertunduk dan terdiam seribu bahasa. Raung tangisnya mula menghening. Semua yang menyaksikan kejadian itu termasuk Miss Kim hanya mampu berdiam diri.
Share this novel
hai